Tafsir Surah Baqarah Ayat 49 – 66 (Tentang Orang Yahudi)

Ayat 49: Sekarang bermula dari ayat seterusnya ini, Allah akan menceritakan sejarah Bani Israil. Tapi bukan dalam susunan kejadian ianya terjadi. Kerana Quran bukanlah satu buku sejarah yang menceritakan satu persatu kejadian dengan tertib kejadiannya (bukan secara kronologi). Yang penting dalam Quran adalah pengajaran yang perlu diambil. Memanglah kita kalau nak tahu cerita, kita mahukan ikut susunan kejadian, tapi logik Quran bukan ikut logik akal kita. Quran susun kisah tentang Bani Israil ini ikut kepentingan perkara yang hendak disampaikan.

Allah mengingatkan nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada Bani Israil, moga-moga mereka insaf dan mahu ikut agama islam. Ada 8 jenis nikmat yang disebutkan. Dan ada 2 bentuk hukuman yang pernah Allah kenakan kepada tok nenek mereka supaya mereka mahu memikirkan. Supaya mereka beringat dan berpada. Itulah cara Allah untuk menyedarkan hambaNya.

Tidak diajarkan ilmu tauhid dalam ayat-ayat ini kerana umumnya Yahudi masih lagi mentauhidkan Allah. Tapi kerana mereka tolak Nabi Muhammad, mereka dikira kafir juga. Oleh itu kalau ada manusia yang engkar hadith, mereka juga sudah kafir. Ada orang Islam yang kononnya pakar pakai Quran sahaja, tapi sebenarnya mereka tak belajar betul Quran itu, kalau tidak, mereka tidak akan tolak hadis. Mereka baca Quran sendiri dan faham sendiri sahaja. Mereka sangka mereka pandai, tapi mereka sebenarnya amat jahil. Kalau Nabi tidak sampaikan Quran kepada kita, macam mana kita boleh terima Quran? Lalu bagaimana kita boleh tolak Nabi dan tolak Hadis? Kalau belajar Quran dengan betul, kita akan terima hadis juga.

Oleh itu, golongan Yahudi Madinah itu kebanyakannya masih lagi ada kefahaman Tauhid. Tidak seperti dengan Musyrikin Mekah yang memang telah punah Tauhid mereka.

Orang yang pertama dengar ayat-ayat Quran tentang orang Yahudi adalah orang-orang Arab Madinah, iaitu mereka yang duduk dengan Nabi. Dari sahabat Nabi itulah yang akan menyampaikan ayat-ayat itu kepada golongan Yahudi. Dari itu, orang yang dulunya jahil itulah yang akan menyampaikan agama yang benar kepada golongan Yahudi yang dulunya terkenal dengan kehebatan ilmu agama mereka.

Dari ayat-ayat itu, maka terbongkarlah rahsia-rahsia mereka. Bayangkan perasaan mereka waktu itu – satu-satu rahsia mereka terbongkar, tapi tidak boleh buat apa-apa kerana ianya adalah kebenaran. Benda yang mereka sorokkan Allah keluarkan satu persatu. Sejarah tok nenek mereka, begitu juga perangai mereka zaman itu pun disebut sekali. Semua Yahudi di Madinah kehairanan.

Untuk kita yang belajar tafsir ini, dan tahu sifat-sifat mereka itu, hendaklah kita melindungi diri kita dari mempunyai sifat-sifat itu. Itulah yang pertama sekali kita kena lakukan. Bukanlah kita baca ayat-ayat ini untuk kita kutuk mereka tapi Allah nak kita faham setiap kesalahan mereka dan jangan ulang. Kerana yang Allah marah adalah sifat mereka, bukannya kaum Yahudi itu. Allah tidak pandang kaum, bagi Allah, semua kaum sahaja.

Ringkasnya jasa-jasa Allah kepada Yahudi dalam ayat-ayat ini:
Ayat 49: jasa pertama
Ayat 50: jasa kedua
Ayat 51-52: jasa ketiga
Ayat 53: jasa keempat
Ayat 54: jasa kelima
Ayat 55-56: jasa keenam
Ayat 57: jasa ketujuh
Ayat 60: jasa kelapan

Jadi, ada lapan jasa yang Allah sebut dalam bahagian ini. Dan jasa ini ada diulang-ulang dalam surah-surah lain. Dalam surah-surah lain pula, ada disebut jasa-jasa lain.

Dan bahagian hukuman pula:
Ayat 58-59: hukuman pertama
Ayat 61: hukuman kedua

وَإِذ نَجَّيناكُم مِن آلِ فِرعَونَ يَسومونَكُم سوءَ العَذابِ يُذَبِّحونَ أَبناءَكُم وَيَستَحيونَ نِساءَكُم ۚ وَفي ذٰلِكُم بَلاءٌ مِن رَبِّكُم عَظيمٌ

Sahih International

And [recall] when We saved your forefathers from the people of Pharaoh, who afflicted you with the worst torment, slaughtering your [newborn] sons and keeping your females alive. And in that was a great trial from your Lord.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu;

Perkataan yang digunakan bermaksud ‘berkali-kali Allah telah selamatkan mereka’. Bukan hanya sekali sahaja. Ini adalah kerana keluarga Firaun mempunyai peluang untuk menghapuskan bangsa Israil tapi Allah telah selamatkan mereka setiap kali.

مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ

daripada keluarga Firaun;

Ini adalah jasa pertama iaitu ketika Allah menyelamatkan kamu dari golongan Firaun. Mereka telah menimpakan ke atas kamu azab yang sangat dahsyat. Dia bunuh anak-anak lelaki kamu dan biar hidup wanita-wanita kamu jadi hamba abdi. Allah selamatkan mereka dari kezaliman itu.

Kerajaan Firaun memerintah dan menindas bangsa Israil selama 400 tahun. ‘Firaun’ bukanlah nama seorang individu tapi ianya adalah satu pangkat keturunan. Selepas mati Firaun, akan diganti oleh Firaun yang lain.

Firaun adalah dari keturunan bangsa Qibti. Cara pemerintahan Firaun adalah menggunakan dinasti kekeluargaan. Sebab itu Allah menggunakan kata ‘keluarga Firaun’. Maknanya, ini bukan Firaun seorang sahaja yang memerintah mereka dan menindas mereka. Semua pangkat tinggi diberikan kepada anak beranak dari keluarga dia sahaja. Oleh itu, kalau kerajaan mana-mana negara sekarang menggunakan dinasti keluarga, maka, ianya sama dengan cara Firaun memerintah.

يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ

Mereka telah menjerumuskan kamu ke dalam azab yang teruk;

Sudahlah keluarga Firaun itu menjadikan mereka sebagai hamba abdi, tetapi mereka buat lebih teruk lagi. Bermakna keluarga Firaun menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang hina.

يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ

Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu;

Memang mereka buat sungguh. Tapi hanya dapat buat sekali sahaja. Tapi perintah yang Firaun keluarkan dua kali. Tapi dapat buat sekali sahaja. Kali yang kedua, tidak sempat kerana dia telah ditenggelamkan dalam air laut yang terbelah.

Perkataan yang Allah gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ianya boleh lagi terjadi dalam zaman ini. Masih ada lagi orang yang bersifat seperti Firaun yang akan melakukan perkara yang sama. Kerana sentiasa sahaja ada orang yang bersifat seperti Firaun dalam dunia ini.

وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ

dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu;

Maknanya, mereka biarkan itu pun kerana nak menghinakan bani Israil itu. Supaya tiada lagi lelaki dari bani Israil. Mereka akan mengambil perempuan-perempuan bani Israil itu sebagai hak mereka (merogol) dan yang lahir nanti selepas itu adalah bangsa dari keturunan Qibti belaka. Ini adalah satu penghinaan yang paling teruk yang boleh dikenakan kepada satu-satu bangsa. Zaman sekarang ini pun masih lagi dilakukan oleh bangsa-bangsa tertentu yang hendak menghinakan satu bangsa lain. Ianya dipanggil ethnic cleansing.

Perkataan yang Allah gunakan dalam ayat ini adalah dalam ‘present tense’. Bermaksud ianya boleh lagi terjadi dalam zaman ini.

Keturunan Firaun ini adalah keturunan Qibti ataupun dalam bahasa Inggeris sekarang dikenali sebagai Koptic Christian. Kerana keturunan mereka itu kemudiannya telah masuk agama Kristian.

وَفِي ذَٰلِكُمْ

Dan pada yang demikian untuk kamu

Dalam apa yang terjadi kepada kaum kamu itu.

بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ

adalah ujian besar dari Tuhan kamu yang Maha Agung;

Pada demikian itu, suatu nikmat yang sangat besar – iaitu penyelamatan anak-anak lelaki dari dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dari dijadikan hamba abdi. Ini adalah terjemahan pertama bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم.

Terjemahan kedua bagi lafaz وَفي ذٰلِكُم, merujuk kepada kejadian anak-anak lelaki dibunuh dan perempuan-perempuan mereka dijadikan hamba abdi, itu adalah ‘bala bencana’ dari Allah. Ada dua pendapat kerana lafaz بَلاءٌ boleh jadi ‘nikmat’ atau ‘bala’. Satu kalimah yang mempunyai dua makna yang berlawanan.

Sebenarnya, semua ujian yang ada adalah dari Allah belaka. Allah hendak menguji kita dalam kehidupan dunia kita ini. Kita pun ada juga dapat ujian dari masa ke semasa. Kita juga mungkin boleh terkena dengan ujian yang telah dikenakan kepada Bani Israil ini. Kerana akan sentiasa ada jenis seperti Firaun dalam setiap zaman. Semoga Allah selamatkan kita.


Ayat 50: Ini adalah jasa yang kedua yang Allah telah berikan kepada Bani Israil. Ketika Laut Khulzum dibelah untuk mereka jadikan laluan untuk lari dari Firaun. Dan telah ditenggelamkan pengikut Firaun dan Firaun sendiri dalam laut. Dan kamu boleh lihat sendiri mereka ditelenggalami dalam air. Mereka boleh nampak sendiri bagaimana air yang dibelah itu dicantumkan dan semua pengikut Firaun dan Firaun sendiri mati kesemuanya.

وَإِذ فَرَقنا بِكُمُ البَحرَ فَأَنجَيناكُم وَأَغرَقنا آلَ فِرعَونَ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Sahih International

And [recall] when We parted the sea for you and saved you and drowned the people of Pharaoh while you were looking on.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ

Dan ingatlah ketika Kami belahkan laut untuk kamu;

Perkataan ‘بِكُمُ‘ dalam ayat ini menunjukkan laut itu dibelah hanya untuk mereka sahaja.

Seperti yang kita tahu dari kisah sejarah para Nabi yang kita biasa dengar, Nabi Musa yang ketuk laut itu dengan tongkat, tapi Allah kata dalam ayat ini bahawa Dia yang belahkan. Maknanya, Allah yang sebenarnya belah laut itu. Bukan Nabi Musa. Nabi Musa tidak ada kuasa apa-apa untuk keluarkan mukjizat.

Begitu juga, Tok wali juga tidak ada kuasa nak keluarkan keramat. Keramat itu macam mukjizat juga, tidak boleh berulang-ulang dilakukan ikut niat pembuatnya. Seperti juga Nabi Musa belah laut itu, sekali sahaja dilakukan. Tidak ada cerita yang mengatakan, kalau dia nak seberang laut lagi, dia belah lagi laut atau sungai. Jadi, keramat pun kalau jadi, hanya sekali sahaja boleh dilakukan. Kalau keramat berlaku berulang kali, maknanya itu bukan keramat, tapi itu adalah sihir. Sihir sahaja yang terjadi dengan kehendak orang itu dan boleh terjadi banyak kali.

Banyak orang yang boleh buat sihir. Kalau ada kuasa untuk melakukan sesuatu berulang kali, itu adalah sihir dan sihir adalah perbuatan kufur kepada Allah. Mereka yang boleh buat sihir itu adalah kerana mereka beramal dengan sesuatu amalan. Jadi, banyaklah orang yang mengamalkan wirid-wirid pelik dan ilmu rahsia”. Dalam pengajian sesat mereka itu, ilmu itu hanya diberikan kepada orang tertentu sahaja. Kononnya kalau belum sampai tempoh atau tahap tertentu, tidak boleh pakai lagi. Dan ini amatlah bahaya kerana kalau mengamalkan sesuatu wirid tertentu, mesti ada mengamalkan tawasul di permulaannya.

فَأَنْجَيْنَاكُمْ

Maka Kami selamatkan kamu;

Allah selamatkan mereka daripada ditelenggelami laut dan daripada keluarga Firaun

وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ

Dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun;

Keluarga Firaun telah ditenggelamkan dan dengan Firaun sekali. Bukan keluarga dia sahaja. Semasa dia lemas itu, barulah Firaun mahu mengaku beriman. Dia telah mengucap. Tapi tidak diterima syahadahnya waktu itu. Kalau baru mahu beriman semasa menghadapi suasana yang menyebabkan kita mati, tidak diterima iman orang itu dah. Contohnya, kalau kita kemalangan, dan waktu itu baru mahu beriman, ianya tidak diterima. Kalau dia telah pernah melakukan syirik kepada Allah, taubat dia waktu itu tidak diterima. Kalau dosa dia jenis yang bukan syirik, in sha Allah masih lagi diterima.

Seluruh keluarga Firaun telah mati dalam laut. Tidak ada lagi yang meneruskan pemerintahannya selepas itu.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

Sedangkan kamu waktu itu, sedang melihat;

Mereka nampak sendiri dengan mata mereka bahawa memang betul Firaun mati lemas dalam Laut Merah. Tapi mereka tak berani lagi selagi mereka tidak melihat jasad Firaun. Takut-takut nanti timbul pula di tempat lain. Begitulah takutnya mereka dengan Firaun. Maka, mereka telah cari jasad Firaun sampai mereka jumpa. Ini adalah kerana telah ada kepercayaan di kalangan mereka bahawa Firaun tidak boleh mati. Ada yang percaya bahawa Firaun adalah tuhan. Maka, mereka hendak pastikan betul-betul bahawa Firaun telah mati. Mereka melihat dengan terkejut kejadian itu.

Jadi, Allah sedang mengingatkan kepada Bani Israil tentang jasa Allah kepada mereka. Begitu juga Allah katakan kepada kita, mengingatkan yang dulu kita pernah juga mengamalkan syirik kerana kita tidak tahu bahawa perbuatan syirik itu salah. Atau dulu kita miskin, dan Allah telah beri kekayaan. Allah nak ingatkan kita tentang nikmat-nikmat yang Dia telah berikan kepada kita. Tentu banyak nikmat yang Allah telah berikan.


Ayat 51: Ini adalah jasa ketiga yang Allah ingatkan kepada mereka.

وَإِذ واعَدنا موسىٰ أَربَعينَ لَيلَةً ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظالِمونَ

Sahih International

And [recall] when We made an appointment with Moses for forty nights. Then you took [for worship] the calf after him, while you were wrongdoers.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).

وَإِذْ وَاعَدْنَا مُوسَىٰ

Dan ingatlah ketika Kami ambil perjanjian dengan Nabi Musa; Kejadian ini berlaku setelah mereka selamat dari dikejar oleh Firaun dan selepas kisah belahan laut itu. Sepatutnya, selepas kejadian yang besar itu, bangsa Israil sepatutnya telah menerima Nabi Musa sebagai Nabi mereka. Mereka sepatutnya taat kepada baginda. Tapi kita lihatlah apa yang terjadi.

أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

selama 40 hari;

Nabi Musa telah bertapa di bukit Thursina untuk terima kitab Taurat. Nabi Musa diperintah untuk membawa 70 ribu umatnya kepada bukit Thursina untuk menerima Kitab Taurat. Nabi Musa naik dahulu seorang diri. Sepatutnya dia bawa semua sekali naik bersamanya. Jadi disebabkan itulah ujian diberikan kepada Nabi Musa dan kaumnya. Asalnya adalah 30 malam, dan Allah suruh tambah lagi 10 malam. Dalam tempoh itu, kaumnya yang dibawah telah menyembah patung anak sapi yang dibuat dari emas. Sebab bukan semua dibawa naik ke atas, ada yang tinggal di bawah bukit Thursina. Yang menyembah patung sapi itu adalah mereka-mereka yang menunggu di bawah.

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ

Kemudian kamu ambil anak lembu sebagai pujaan kamu

Kemudian kamu yang tidak pergi dengan Nabi Musa, telah menjadikan patung anak lembu sebagai ilah tempat pemujaan, dan kamu minta macam-macam kepadanya, selepas pemergian Nabi Musa pergi bertapa. Kamu puja anak lembu itu.

مِنْ بَعْدِهِ

selepas pemergian Nabi Musa

Iaitu selepas Nabi Musa naik ke Bukit Thursina. Bayangkan ini berlaku selepas segala apa yang telah terjadi dan segala apa yang mereka telah saksikan. Setelah Nabi Musa menyelamatkan mereka dan selepas Allah telah membelahkan laut untuk mereka. Mereka masih lagi melakukan perkara syirik.

وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ

Kamu waktu itu zalim;

Makna zalim dalam ayat ini bermaksud syirik. Ada di kalangan umat Nabi Musa yang telah menyembah patung anak sapi. Orang-orang lain tak berani larang, kerana yang buat itu adalah orang-orang yang gagah. Nabi Harun pun tak berani nak larang mereka. Yang menjadi kepalanya adalah Musa Samiri. Allah hendak menekankan bahawa yang zalim sebenarnya mereka. Kerana bangsa Israil ini adalah jenis yang menyalahkan orang lain dalam kesalahan mereka. Sampai Allah pun mereka salahkan apabila mereka telah melakukan kesalahan. Jadi Allah nak tekankan bahawa merekalah sebenarnya yang bersalah, bukan orang lain, bukan Allah.


Ayat 52: Ini adalah sambungan ayat sebelum ini. Inilah nikmat  yang diberikan kepada mereka. Sebelum ini disebut kesyirikan yang mereka lakukan.

ثُمَّ عَفَونا عَنكُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

 

Sahih International

Then We forgave you after that so perhaps you would be grateful.

Malay

Kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.

ثُمَّ عَفَوْنَا عَنْكُمْ

Kemudian Kami ampunkan kamu;

Makna عَفَ adalah memaafkan dalam keadaan sayang. Kerana kita boleh juga maafkan seseorang tapi kita marah dalam kepadanya. Tapi Allah menggunakan perkataan yang menunjukkan Dia masih sayang kepada mereka. Inilah nikmat dan jasa yang Allah maksudkan. 

Kemudian Kami maafkan kamu selepas apa yang kamu lakukan itu. Allah maafkan semua sekali dosa mereka. Bukanlah dengan Allah maafkan itu hendak mengatakan yang perbuatan mereka itu betul, tapi maaf itu dengan makna Allah telah menerima taubat mereka. Taubat mereka itu pula dengan hukum bunuh. Sesiapa yang sembah anak lembu kena taubat dan untuk taubat, kena bunuh. Itulah syariat Nabi Musa waktu itu.

Dan satu lagi nikmat Allah kepada mereka: walaupun mereka sembah anak lembu itu, Allah tidak turunkan azab ke atas mereka yang boleh menghapuskan seluruh keturunan mereka. Yang tidak sembah anak lembu itu dibiarkan hidup seperti biasa, dan yang sembah sahaja yang dikenakan hukum bunuh. Jadi ada dua nikmat yang Allah telah berikan.

مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

selepas kamu sembah anak lembu itu;

Selepas kejadian mereka menyembah anak sapi itu, mereka telah diarahkan untuk bertaubat. Dan taubat mereka telah diterima Allah. Cara mereka kena bertaubat mereka adalah: mereka kena saling bunuh membunuh sesama mereka. Iaitu mereka yang tidak menyembah anak patung itu disuruh membunuh mereka yang telah menyembah. Waktu itu Allah turunkan kabus supaya tidak nampak siapakah yang mereka bunuh. Mujurlah syariat kita tidak macam itu lagi, iaitu tidak perlu bunuh diri. Cukup sekadar taubat sahaja. Kalau tak, banyaklah yang kena bunuh diri.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur;

Tujuannya mereka diampunkan adalah supaya mereka boleh bersyukur kepada Allah dengan melakukan ketaatan. Maknanya syukur itu kena ditunjukkan dengan melakukan taat kepada perintah dan larangan Allah. Mereka sepatutnya bersyukur kerana lepas buat syirik itu, Allah taala masih mahu ampunkan lagi kesalahan syirik mereka.

Syarat untuk taubat kita diterima, kita kena hidup lagi. Kalau dah mati, tidak ada harapan untuk diterima taubat. Kita kenalah minta ampun selagi kita masih hidup. Kalau kita sudah mati, tidak ada sesiapa yang boleh mohon ampunkan dosa syirik kita. Kalau dosa selain syirik, masih boleh lagi sanak saudara atau orang Islam yang lain mohon ampunkan dosa untuk kita. Tapi untuk dosa kesalahan syirik, pembuat syirik itu kena minta ampun sendiri.


Ayat 53: Ini adalah nikmat keempat

وَإِذ آتَينا موسَى الكِتابَ وَالفُرقانَ لَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Sahih International

And [recall] when We gave Moses the Scripture and criterion that perhaps you would be guided.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

وَإِذْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ

Dan ingatlah ketika Kami beri kepada Nabi Musa Kitab Taurat;

Kitab itu bermaksud mereka telah diberikan dengan hukum yang mereka kena ikut.

وَالْفُرْقَانَ

sebagai pembeza;

Iaitu pembeza antara hak dan batil. Kalau buat begini, syirik, kalau begitu, tidak. Quran pun serupa juga. Dari segi akidah, serupa sahaja ajaran Quran dengan kitab-kitab yang lain. Yang beza, adalah dari segi syariat. Quran juga dikenali sebagai Furqan.

لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

supaya kamu mendapat petunjuk;

Mereka sepatutnya menggunakan Kitab Taurat itu sebagai panduan petunjuk mereka. Kena ada usaha untuk mendapatkan petunjuk dan hidayah. Allah dah tolong dengan beri Kitab kepada mereka. Bukanlah kalau dah ada Kitab dari Allah, terus selamat. Kena belajar dan berpegang dengannya. Perumpamaannya, Allah dah buat jalan untuk mereka, sekarang mereka kena ikut sahaja jalan itu.

Kalau diikutkan begitu kurang ajarnya mereka, tidak dapat nikmat dah. Tapi Allah tetap beri kitab Taurat kepada mereka. Mudah-mudahan dengan kitab itu mereka terpimpin.


Ayat 54: Ini adalah jasa kelima yang Allah ingatkan kepada mereka.

وَإِذ قالَ موسىٰ لِقَومِهِ يا قَومِ إِنَّكُم ظَلَمتُم أَنفُسَكُم بِاتِّخاذِكُمُ العِجلَ فَتوبوا إِلىٰ بارِئِكُم فَاقتُلوا أَنفُسَكُم ذٰلِكُم خَيرٌ لَكُم عِندَ بارِئِكُم فَتابَ عَلَيكُم ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

And [recall] when Moses said to his people, “O my people, indeed you have wronged yourselves by your taking of the calf [for worship]. So repent to your Creator and kill yourselves. That is best for [all of] you in the sight of your Creator.” Then He accepted your repentance; indeed, He is the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika berkata Nabi Musa kepada kaumnya:

Apabila Nabi Musa balik, baginda telah bersabda kepada mereka.

إِنَّكُمْ ظَلَمْتُمْ أَنْفُسَكُمْ بِاتِّخَاذِكُمُ الْعِجْلَ

“Sesungguhnya kamu sudah menzalimi diri kamu kerana mengambil anak lembu sebagai pujaan”

Sebelum itu, apabila Nabi Musa telah naik ke Bukit Thur, Allah telah tanya Nabi Musa kenapa tak bawa kaumnya sekali? Nabi Musa kata, kaumnya ikut tak jauh di belakang dan dia sengaja datang awal supaya dapat redha Allah lebih awal, kemudian baru redha kepada kaumnya pula. Allah beritahu dengan Nabi Musa datang awal itu, dan meninggalkan kaumnya di belakang, amat membahayakan. Kerana perbuatan Nabi Musa itu, kaum Nabi Musa itu telah murtad sepeninggalan baginda dan ada yang sembah anak lembu. Jadi Nabi Musa telah balik dengan segera dan beri nasihat.

Mereka dikira zalim kerana telah melakukan syirik menyembah anak lembu. Maka mereka semua disuruh supaya bertaubatlah segera – iaitu menyesal dengan hati dan berikrar untuk tidak akan buat lagi dan istighfar dengan mulut. Inilah rukun-rukun taubat yang biasa.

فَتُوبُوا إِلَىٰ بَارِئِكُمْ

“Maka bertaubatlah kamu kepada Pencipta kamu”;

Ini adalah nasihat yang diberikan oleh baginda. Amat menarik kerana kata بَارِئِ digunakan dalam ayat ini. Perkataan itu banyak digunakan dalam Kitab mereka. Maka Allah gunakan dalam Qur’an juga, dan tidak menggunakan kalimah ‘Rabb’. 

فَاقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

“Kemudian kamu bunuhlah diri-diri kamu.”

Tetapi, syariat Nabi Musa waktu itu, tidak sempurna taubat dengan istighfar mulut sahaja, mereka juga kena bunuh diri mereka. Orang yang tak bersalah kena bunuh kaumnya yang bersalah. Tapi kenapa disebut أَنفُسَكُم (diri-diri kamu) sedangkan bukan bunuh diri sendirikah kalau begitu? Kerana mereka semuanya sesama agama, maka dikira diri mereka sendiri. Inilah dalil yang mengatakan mereka kena berbunuhan sesama mereka untuk diterima taubat mereka.

Bani Israil terbahagi kepada 12 puak. Dari setiap puak itu ada yang telah menyembah anak lembu itu. Bukan semua mereka menyembah. Maksud arahan ini adalah setiap puak kena mencari siapakah yang telah menyembah anak lembu itu dan kena dibunuh individu yang telah menyembah itu. Itulah yang dimaksudkan ‘bunuhlah diri-diri kamu”.

Oleh kerana mereka yang menyembah itu telah melakukan perbuatan syirik dan mereka telah murtad, maka mereka layak dibunuh. Ini adalah sama seperti hukum murtad yang Islam ada. Maka, hukum bunuh kepada mereka yang murtad bukan baru. Dalam syariat Yahudi pun dah ada hukum bunuh kepada yang murtad.

Syariat bunuh sebegini tidak ada dalam syariat kita kecuali dalam keadaan tertentu sahaja – contohnya orang kahwin yang berzina, orang yang bunuh orang lain, dan sebagainya yang termaktub dalam hukum hudud. Tapi dalam bab syirik, tidak ada hukuman bunuh sebegini. Kalau ada, tentu susah kita. Ramai orang Islam kena bunuh belaka, kerana syirik yang berleluasa dalam masyarakat. Maka, Allah tidak kenakan dalam syariat Nabi akhir zaman.

ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ عِنْدَ بَارِئِكُمْ

“Yang demikian itu lebih baik untuk kamu di sisi Pencipta kamu”;

Bertaubat dan bersedia untuk dibunuh itulah yang lebih baik di sisi Tuhan kamu. Kerana di akhirat tidak kena azab lagi. Maknanya, orang-orang yang dibunuh itu telah hapus segala kesalahan mereka. Maknanya mereka itu adalah ahli syurga. Mati dalam keadaan bersih dari dosa tentulah masuk syurga.

Mungkin ada melihat hukum bunuh itu adalah berat dan teruk. Tapi Allah beritahu dalam ayat ini bahawa ianya adalah baik pada sisi Allah. Ianya adalah kebaikan untuk mereka. Jangan kita pula sangka ia adalah hukuman yang tidak patut. Yang penting adalah apa yang Allah redha.

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

“Maka Allah menerima taubat kamu”;

Maka Allah menerima taubat mereka. Inilah nikmat dimaksudkan dan ianya adalah jasa yang amat besar. Dan apabila Allah terima taubat mereka, mereka dimasukkan ke dalam syurga.

Selepas mereka membunuh diri mereka, Allah telah mengampunkan dosa mereka. Ayat ini mengatakan Allah telah mengampunkan dosa mereka. Maka mereka yang menyembah anak lembu itu semua adalah ahli syurga belaka. Cuma kita sahaja yang sangka mereka masuk neraka. Padahal, mereka semuanya masuk syurga. Kerana Allah telah menerima taubat mereka.

Taubat mereka telah diterima kerana mereka telah mengikut syariat Allah. Dan syariat waktu itu adalah mereka kena bunuh diri mereka. Oleh kerana mereka ikut syariat, Allah telah menerima taubat mereka.

Tapi selepas itu, bangsa Yahudi sangka mereka adalah orang yang ‘terpilih’ – kerana Allah sentiasa maafkan kesalahan mereka. Sampai mereka tidak kisah apabila mereka melakukan kesalahan di dunia. Mereka kata Allah tentu akan maafkan mereka. Mereka rasa, kalau Allah masukkan mereka ke dalam neraka pun, hanya untuk beberapa hari sahaja. Itu adalah pemahaman yang salah. Yang telah dibunuh dalam kisah ini diterima taubat mereka kerana mereka telah bertaubat dan mereka telah mengikuti syariat.

Kisah ini bukan boleh digunakan kisah itu sebagai ‘lesen’ untuk mengatakan bahawa Allah akan terus sentiasa mengampuni dosa semua Bani Israil. Untuk mendapat pengampunan, mestilah bertaubat dan mengikut syariat. Ada proses yang perlu diikuti sebelum taubat diterima.

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ

Sesungguhnya Allah itu Maha Menerima Taubat;

Allah berkali-kali boleh menerima taubat. Walaupun manusia banyak kali melakukan kesalahan, tapi apabila mereka bertaubat, Allah terima taubat mereka.

Dalam hal ini, jangan terpedaya dengan bisikan syaitan. Apabila kita telah bertaubat, tapi kita lakukan juga kesalahan yang sama, syaitan akan hasut kita. Dia kata buat apa kau taubat lagi, sedangkan kau akan buat kesalahan yang sama. Ini adalah salah faham tentang taubat. Walaupun kita dah bertaubat, tapi kadang-kadang kerana lemah dan kerana bisikan syaitan, kita mungkin melakukan kesalahan yang sama. Kalau kita lakukan kesalahan yang sama, bertaubatlah lagi. Jangan kita putus harap dengan taubat. Allah boleh menerima taubat kita berkali-kali, walaupun untuk kesalahan yang sama.

الرَّحِيمُ

Lagi Maha Mengasihani;

Allah sanggup menerima taubat hambaNya kerana sifat Allah yang raheem.

Apabila Allah menerima taubat hamba itu, Dia tidak siksa lagi mereka di akhirat kelak.

Maka, mereka yang menyembah anak lembu itu telah selamat. Kita belum tentu lagi.


Ayat 55: Ini adalah nikmat keenam yang diberikan kepada Bani Israil.

Nabi Musa telah bertapa selama 40 hari dan setelah tamat 40 hari, baginda telah mendapat kitab Taurat. Apabila baginda pulang, kaumnya ada memberi berbagai-bagai reaksi. Bayangkan mereka ada 70 ribu orang. Ada yang tidak percaya yang Taurat itu dari Allah pun ada. Mereka tak percaya sampai ada yang nak tengok juga cara bagaimana kitab Taurat diturunkan. Yang berkata begini adalah mereka yang tidak sembah anak lembu sebab yang sembah anak lembu dah kena bunuh dah. Maknanya, yang tak sembah patung anak lembu itu pun ada masalah juga.

Maka telah diperintahkan untuk pilih setiap seribu orang, seorang wakil. Maka ada 70 orang telah dipilih untuk lihat bagaimana cara kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa. Mereka telah dibawa naik ke Bukit Thur untuk menyaksikan sendiri proses penurunan Taurat itu. Setelah mereka sendiri lihat, mereka masih juga tak percaya. Mereka kemudian minta nak lihat Allah taala dengan mata mereka sendiri. Oleh kerana permintaan mereka itu, Allah matikan mereka terus waktu itu juga. Allah matikan mereka dengan tempikan dan gegaran. Terus mereka mati bergelimpangan. Mereka lihat sendiri yang mereka jatuh rebah dan mati di situ juga.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نُؤمِنَ لَكَ حَتّىٰ نَرَى اللهَ جَهرَةً فَأَخَذَتكُمُ الصّاعِقَةُ وَأَنتُم تَنظُرونَ

Sahih International

And [recall] when you said, “O Moses, we will never believe you until we see Allah outright”; so the thunderbolt took you while you were looking on.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata;

Yang berkata dalam ayat ini bukan Yahudi zaman Nabi Muhammad, tapi tok nenek mereka dahulu. Tapi Allah menggunakan perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini. Ini adalah kerana Bani Israil merasakan mereka adalah satu keluarga yang dari dahulu sehingga sekarang. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang dahulu. Jadi Allah bercakap kepada mereka seperti mereka adalah orang yang sama juga.

Seramai 70 orang wakil dari Bani Israil telah dijemput naik ke Bukit Thursina untuk melihat cara kitab Taurat diturunkan. Semua sekali rakyat Bani Israil adalah seramai 70 ribu orang. Setiap seribu, dipilih seorang wakil untuk naik ke atas mengikut Nabi Musa. Selepas mereka melihat bagaimana Taurat diturunkan, mereka masih tidak puas hati lagi untuk beriman. Maka mereka berkata:

يَا مُوسَىٰ لَنْ نُؤْمِنَ لَكَ

“Wahai Musa, kami tidak akan percaya kepada kamu”,

Mereka tidak percaya kepada Nabi Musa. Kerana perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘لَكَ’ – kepada kamu. Bayangkanlah, Nabi mereka sendiri pun mereka tidak percaya. Sedangkan Nabi Musa a.s. itulah yang telah membawa mereka menyeberangi Laut Merah, telah mengeluarkan air dari batu dan macam-macam lagi mukjizat yang mereka boleh lihat dengan mata mereka sendiri. Tapi mereka masih tidak percaya. Lihatlah betapa degilnya mereka.

Ada yang mengatakan bahawa makna ‘لَكَ’ yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan mereka ‘tak mahu ikut arahan kamu’. Mereka percaya Nabi Musa adalah seorang Rasul dan Nabi tapi mereka masih tak mahu ikut arahan baginda. Kerana kalau tidak percaya, perkataan yang sepatutnya digunakan adalah ‘بِكَ’ – ‘dengan kamu’. Maknanya, mereka itu adalah umat yang degil. Dengan Nabi yang memang mereka dah percaya pun mereka tak mahu ikut arahan yang diberikan. Padahal, arahan yang disampaikan oleh Nabi Musa itu adalah arahan dari Allah, bukan dari dirinya sendiri.

Ada yang kata, yang mereka tak percaya itu adalah arahan supaya dibunuh mereka yang telah murtad kerana menyembah anak lembu itu. Mereka tuduh arahan itu dari Nabi Musa sahaja. Maka mereka nak dengar sendiri arahan itu dari Allah. Begitulah degil dan kurang ajar mereka dengan Nabi mereka sendiri. Maka, kalau dengan Nabi mereka sendiri yang mereka telah terima pun mereka degil, apatah lagi dengan Nabi Muhammad.

حَتَّىٰ نَرَى اللَّهَ جَهْرَةً

“sehingga kamu menunjukkan Allah secara terang-terang”;

Mereka hendak melihat sendiri Allah dengan mata mereka. Padahal Nabi Musa nak tengok Allah pun dah pengsan dah – kerana tidak mampu – ada dikisahkan dalam ayat yang lain. Mereka tidak cukup dengan melihat bagaimana Kitab Taurat diturunkan sahaja, tapi mereka nak melihat sendiri Allah dengan mata mereka. Ini adalah perbuatan yang melampau.

فَأَخَذَتْكُمُ الصَّاعِقَةُ

Maka Kami timpakan azab tempikan kepada kamu;

Disebabkan oleh permintaan mereka itu, mereka dikenakan azab tempikan dari Jibrail, maka mereka terus mati. Ditempik seorang demi seorang.

وَأَنْتُمْ تَنْظُرُونَ

sedangkan kamu melihat;

Mereka melihat sendiri kawan-kawan mereka mati seorang demi seorang.


Ayat 56: Ini selepas mereka dimatikan, Nabi Musa bimbang kalau dikatakan yang Musa telah membunuh mereka. Maka, Musa berdoa kepada Allah semoga dihidupkan mereka kembali. Melihatkan kejadian itu, Nabi Musa merayu kepada Allah, kalau yang wakil itu dimatikan, apa lagi yang baginda nak beritahu kepada umatnya yang lain? Padahal 70 orang itu adalah wakil yang telah dipilih dan yang kira dah bagus dan lebih cerdik kalau dibandingkan dengan kaum mereka yang lain.

ثُمَّ بَعَثناكُم مِن بَعدِ مَوتِكُم لَعَلَّكُم تَشكُرونَ

Sahih International

Then We revived you after your death that perhaps you would be grateful.

Malay

Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

ثُمَّ بَعَثْنَاكُمْ مِنْ بَعْدِ مَوْتِكُمْ

Kemudian Kami bangkitkan kamu hidup selepas matinya kamu;

Inilah nikmat keenam yang dimaksudkan. Iaitu setelah mereka dimatikan, mereka dihidupkan kembali. Banyak cubaan untuk menafsirkan ayat ini dengan cara lain. Kerana ada yang susah nak terima orang yang sudah mati, hidup balik. Yang seeloknya, kita terima bahawa memang Allah telah matikan mereka, dan Allah telah menghidupkan mereka kembali. Allah mampu untuk melakukannya.

Maka Allah hidupkan mereka semula dan mereka semua bertaubat. Takkan dah mati tak taubat lagi. Dan apabila mereka pulang, mereka telah memberitahu kisah yang terjadi kepada kaum mereka yang tinggal tidak ikut itu. Walaupun begitu, pun mereka masih tidak terima juga. Sampai mereka kata wakil-wakil itu semuanya telah berpakat dengan Nabi Musa untuk menipu mereka. Mereka tuduh Nabi Musa beri rasuah kepada 70 orang wakil mereka itu. Begitulah teruknya puak Yahudi itu.

Maka kerana kedegilan mereka, Allah telah angkat gunung atas kepala mereka untuk menakutkan mereka. Allah suruh mereka buat keputusan samada nak terima atau tidak. Kalau tak terima, gunung itu akan dijatuhkan atas mereka, barulah Allah alihkan gunung itu dan letak tempat lain. Ini semua disebut dalam Quran dalam ayat yang lain.

لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mudah-mudahan kamu bersyukur.

Allah mengatakan supaya ‘mudah-mudahan kamu bersyukur’. Padahal, mereka dibunuh kerana mereka tidak taat. Kenapa Allah gunakan kata ‘syukur’ dalam ayat ini? Kerana kalau seseorang itu benar-benar bersyukur kepada Allah, dia akan taat kepada arahan Allah. Sebab itu kita kena faham, ‘syukur’ itu bukan hanya menyebut ‘alhamdulillah’ berkali-kali sahaja. Tapi perlu diikuti dengan perbuatan. Iaitu kita kena taat kepada Allah. Apa yang Allah suruh kita buat, kita lakukan. Apa yang Allah larang, kita tinggalkan.

Maka, jasa Allah adalah Allah hidupkan semula 70 orang wakil itu selepas mereka dimatikan. Tujuan dihidupkan semula itu adalah supaya mereka dapat bersyukur. Bersyukur kerana mereka dapat bertaubat selepas dihidupkan dan tidak terus mati sampai ke neraka.

Maka, para sahabat yang sedang membaca Quran itu, barulah tahu tentang kisah-kisah puak Yahudi itu. Semua kisah itu tidak diceritakan oleh puak Yahudi di Madinah. Ini adalah rahsia mereka. Takkan mereka akan buka pekung mereka.


Ayat 57: Ini adalah nikmat yang ketujuh.

Ini adalah dalam peristiwa berlainan. Apabila mereka sudah terima Taurat, Nabi Musa kata untuk amalkan Taurat itu, kena pulang ke Palestin, tempat asal mereka. Di sanalah nanti mereka boleh amalkan syariat seperti yang ada Taurat itu. Cuma tempat itu waktu itu sedang dijajah oleh golongan yang angkuh dan ganas. Mereka kena balik dulu ke Palestin itu dan berperang dengan puak yang sedang mendudukinya waktu itu. Lepas mengalahkan mereka itu, barulah Bani Israil dapat duduk di Palestin.

Apabila dengar sahaja kena berperang, Bani Israil tidak mahu. Nabi Musa kata, berperang itu syarat sahaja, kerana Allah sudah janjikan kemenangan. Hanya suruh berperang sahaja dan Allah akan halau puak itu dengan qudratNya. Allah akan bantu mereka mencapai kemenangan dengan mudah.

Yang hanya ikut Nabi Musa hanya dua orang, salah seorangnya yang akan naik jadi Nabi, iaitu Yusha’. Yang selain dari dua orang itu, mereka suruh Nabi Musa dan Allah sendiri pergi berperang. Mereka nak tunggu di luar sahaja apabila dah menang.

Dari kata-kata kurang ajar mereka itu, Allah telah sesatkan mereka di satu padang selama 40 tahun. Nama padang pasir itu adalah Padang Tih. Dalam 40 tahun itulah Nabi Musa wafat bersama dengan mereka yang telah kurang ajar bercakap dengan Nabi Musa dahulunya. Yang hanya boleh keluar dari kesesatan di padang itu hanya anak cucu mereka. Merekalah yang telah pergi untuk berperang di Palestin dan menawan kota Palestin bersama Nabi Yusha’. Dalam riwayat, dikatakan yang luas padang itu hanyalah 32 KM persegi sahaja. Tapi mereka disesatkan oleh Allah sampai tidak jumpa jalan. Mereka berpusing-pusing dalam padang yang tidak berapa luas itu. Sesat sampai 40 tahun itu adalah sebagai hukuman Allah atas kedegilan mereka.

Di manakah nikmat yang dimaksudkan? Semasa sesat di padang itu, tentulah tidak ada makanan dan minuman. Tapi Allah dengan qudratNya, telah membantu mereka – untuk air Nabi Musa disuruh ketuk batu dan keluar air untuk minuman mereka; dan mereka diberikan dengan makanan yang turun dari langit seperti sejenis burung dan diberikan dengan sejenis manisan. Oleh kerana Allah yang menyesatkan mereka disitu, tidak boleh pergi mana-mana, maka Allah telah memberikan kepada mereka makanan, pakaian dan sebagainya. Sama juga kalau kerajaan Malaysia memenjarakan banduan, sehingga mereka tidak boleh cari makan sendiri, maka kerajaan Malaysia lah yang kena memberikan makanan kepada mereka. Ini adalah satu keajaiban yang ditunjukkan dan diberikan kepada mereka. Allah nak tunjuk yang Dia boleh buat apa sahaja asalkan mereka ikut sahaja syariat dari Allah. Oleh itu nikmat yang disebut dalam ayat ini adalah Allah telah beri makanan dan minuman kepada mereka.

وَظَلَّلنا عَلَيكُمُ الغَمامَ وَأَنزَلنا عَلَيكُمُ المَنَّ وَالسَّلوىٰ ۖ كُلوا مِن طَيِّباتِ ما رَزَقناكُم ۖ وَما ظَلَمونا وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

Sahih International

And We shaded you with clouds and sent down to you manna and quails, [saying], “Eat from the good things with which We have provided you.” And they wronged Us not – but they were [only] wronging themselves.

Malay

Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ

Dan Kami teduhkan atas kamu dengan awan;

Pada siang hari, awan akan meneduh mereka dari keterikan panas matahari. Kata الْغَمَامَ bermaksud awan jenis yang menggembirakan hati mereka – sebagai peneduh. Bukan jenis awan yang gelap dan menakutkan. Sepanjang hari, mereka akan berjalan lebih kurang sejauh 20 batu. Esok mereka akan jalan ke arah lain pula sampai malam. Mereka berpusing-pusing dalam kawasan yang sama selama 40 tahun. Begitulah Allah sesatkan mereka. Walaupun mereka berada dalam kawasan yang kecil, tapi mereka masih sesat lagi. Oleh kerana mereka berjalan dalam kepanasan terik matahari, maka Allah berikan teduhan kepada mereka.

وَأَنْزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ

Dan Kami turunkan ke atas kamu Manna dan Salwa;

Allah menurunkan makanan daripada syurga kepada mereka: Manna itu seperti campuran madu dan susu. Mereka ambil di ranting-ranting kayu waktu pagi. Salwa itu seperti burung Puyuh. Apabila turun ke bumi, sudah siap masak dah. Maknanya, mereka tidak perlu berusaha untuk mencari makanan.

Tapi makanan-makanan itu diberi dengan syarat, jangan simpan untuk esok. Kerana esok, mereka akan dapat makanan yang lain pula. Allah telah janjikan bahawa esok mereka akan dapat lagi apa yang diberikan itu. Allah nak ajar mereka supaya bergantung dan percaya kepada rezeki dari Allah. Tapi akhirnya, mereka nak simpan juga. Kerana mereka tak percaya rezeki dari Allah. Mereka takut kalau-kalau esok tak dapat makanan lagi. Kesannya, daging yang mereka simpan itu telah menjadi busuk. Selepas kejadian itu, semua daging yang manusia simpan beberapa lama sahaja, akan jadi busuk. Sebelum kesalahan yang telah dilakukan oleh Bani Israil ini, daging memang akan tahan lama, tidak busuk-busuk. Kita pun terkesan sekali dengan kesalahan yang dilakukan oleh Bani Israil itu. Ini ada disebut dalam Kitab Sahih Bukhari.

Untuk minuman, mereka dapat dari air hujan. Anak-anak mereka lahir siap dengan pakaian dan pakaian itu membesar sekali sama dengan badan mereka yang membesar. Sampai begitu sekali Allah mudahkan kehidupan mereka.

Ada tafsir lain yang mengatakan bahawa Manna itu adalah gandum dan Salwa itu adalah jenis burung yang jinak yang senang ditangkap. Jadi Allah telah memberikan dua sumber makanan yang penting kepada mereka untuk kehidupan mereka: gandum mewakili karbohidrat dan daging burung membekalkan protein kepada mereka.

كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ

Makanlah dari makanan yang baik-baik;

Allah mengingatkan mereka bahawa Allah telah memberikan makanan yang baik kepada mereka. Maka makanlah makanan yang baik-baik itu. Ayat ini juga mengingatkan kepada kita: Allah telah beri rezeki yang baik dan halal kepada kita, maka makanlah yang baik dan halal itu. Jangan mencari makanan dan rezeki yang haram.

Satu lagi pengajaran kepada kita adalah: Apa sahaja yang Allah berikan, tentulah baik.

مَا رَزَقْنَاكُمْ

yang telah Kami rezekikan kepada kamu;

Ayat ini mengandungi hukum yang perlu kita ambiltahu: jikalau Allah telah suruh kita makan makanan yang halal, tapi kita tak makan sebab dikatakan ‘pantang’, itu adalah kufur kepada Allah. Iaitu kita mengharamkan yang Allah telah halalkan. Kecualilah kalau doktor telah larang makan. Atau kita tidak lalu nak makan kerana tidak kena dengan selera kita, itu tidak apa. Tapi ada juga yang mengatakan pantang kalau makan sesuatu makanan yang Allah telah halalkan. Contohnya, apabila orang dalam ‘pantang bersalin’, orang perempuan dilarang untuk makan ayam. Padahal, kalau dalam masyarakat Cina, mereka disuruh untuk makan ayam seekor sehari selepas bersalin – kerana memberi kekuatan kepada tubuh mereka. Jadi, apabila Allah menghalalkan ayam dan kita mengharamkan dalam waktu ‘tertentu’, maka itu adalah perbuatan kufur.

Mengharamkan benda yang Allah telah halalkan, bermakna kita mengambil kerja Tuhan. Kerana yang boleh mengharamkan, hanyalah Allah sahaja. Orang yang menyuruh itu, dan kita ikut, orang itu seumpaman tuhan kita.

وَمَا ظَلَمُونَا

Dan tidaklah mereka menganiaya Kami;

Allah tidak terkesan langsung dengan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan. Allah tidak perlukan ketaatan kita. Tidak kurang darjat Allah kalau tiada sesiapa pun yang menyembahNya. Sebaliknya, kitalah yang memerlukan Allah redha kepada kita. Untuk mendapat redha Allah, hendaklah kita mengikut arahanNya.

وَلَٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

tapi merekalah dulu menzalimi diri mereka sendiri;

Mereka telah menzalimi diri mereka sendiri di dunia dulu, dengan melakukan perbuatan syirik.

Baqarah 49-57


Ayat 58: Ini adalah ayat berkenaan suruhan Allah untuk mereka masuk ke dalam kota. Susunan cerita dalam Quran tidaklah mengikut kronologi kejadian semasa zaman itu. Kadang-kadang merujuk kepada kisah di padang pasir, dan sekarang kembali kepada kisah di luar kota pula. Ini adalah kerana apa yang hendak disampaikan oleh Quran adalah pengajaran kepada manusia, bukannya sejarah atau buku cerita.

Ayat 58-59 ini menceritakan hukuman yang dikenakan kepada tok nenek puak Yahudi yang ada di Madinah. Ada dua hukuman yang dikenakan kepada mereka. Allah hendak ceritakan kepada anak cucu mereka yang duduk di Madinah bagaimana sifat tok nenek mereka dahulu.

Kata-kata dalam ayat ini adalah tentang anak-anak puak Bani Israil yang sesat di Padang Tih. Bapa-bapa mereka ramai yang telah mati. Bapa-bapa mereka adalah golongan yang menolak arahan Allah dan Nabi Musa kepada mereka untuk berperang sebelum masuk ke dalam Kota Palestin.

Selama mereka di Padang Tih, mereka telah diberikan makanan dari langit, Manna dan Salwa dan air diberikan apabila Nabi Musa mengetuk batu dengan tongkat. Tapi mereka dah jemu dah makan makanan yang Allah dah beri.

وَإِذ قُلنَا ادخُلوا هٰذِهِ القَريَةَ فَكُلوا مِنها حَيثُ شِئتُم رَغَدًا وَادخُلُوا البابَ سُجَّدًا وَقولوا حِطَّةٌ نَغفِر لَكُم خَطاياكُم ۚ وَسَنَزيدُ المُحسِنينَ

Sahih International

And [recall] when We said, “Enter this city and eat from it wherever you will in [ease and] abundance, and enter the gate bowing humbly and say, ‘Relieve us of our burdens.’ We will [then] forgive your sins for you, and We will increase the doers of good [in goodness and reward].”

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya Kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

وَإِذْ قُلْنَا

Dan ingatlah ketika Kami berfirman:

Alah berfirman kepada golongan anak-anak Yahudi yang sesat di Padang Tih.

ادْخُلُوا هَٰذِهِ الْقَرْيَةَ

Masuklah kamu ke dalam bandar

Bandar yang dimaksudkan adalah Bandar Baitulmaqdis di Palestin; selepas mereka sesat selama 40 tahun di padang pasir itu, mereka dititahkan untuk memasuki bandar itu. Ada juga yang kata nama bandar itu adalah ‘Jericho’.

Ada kisah sebelum kisah kisah yang disebut di dalam ayat ini. Di dalam bandar itu ada kaum yang gagah, pahlawan. Mereka itu telah berbuat banyak kerosakan. Maka Allah telah memerintahkan mereka untuk berperang dengan mereka. Dan selepas dikalahkan mereka itu, Bani Israil boleh duduk di bandar itu. Jikalau mereka menyerang kaum yang ada dalam bandar itu, Allah akan memberikan kemenangan kepada mereka.

Tapi mereka tak mahu. Dalam surah lain ada dikisahkan bagaimana mereka suruh Nabi Musa dan Allah yang lawan sendiri. Selepas mereka tidak menurut perintah itulah yang menyebabkan mereka telah disesatkan di padang pasir selama 40 tahun itu. Kisah itu telah disebutkan dalam ayat sebelum ini. Begitulah, kisah dalam Quran tidak semestinya dalam bentuk susunan bilakah kejadian itu terjadi.

Selepas kematian Nabi Musa dan selepas Nabi lain diangkat (Yusha’ bin Noon), selepas generasi baru lahir, dan selepas mereka melihat kepayahan mereka hidup di padang pasir sekian lama, barulah mereka mahu untuk masuk menentang penduduk bandar itu. Dan selepas mereka mahu berperang, Allah telah memberikan kejayaan kepada mereka.

Quran tak perlu berikan maklumat yang banyak tentang sejarah Bani Israil ini. Tidak perlu disebutkan bilakah kejadian itu terjadi dan dimanakah ianya terjadi. Memang mereka mengetahui dengan mendalam sejarah mereka. Mereka amat berbangga dengan sejarah mereka. Maka, Allah tidak perlu sebut banyak – Allah suruh mereka ingat kembali sahaja.

Lagipun, Quran tidak mementingkan sejarah. Apa yang hendak disampaikan adalah pengajaran yang boleh diambil dari sesuatu kisah itu.

فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ

Maka makanlah dimana sahaja yang kamu hendak;

رَغَدًا

dengan penuh selera;

Maknanya, makanlah banyak mana pun, sepuas-puasnya, tidak ada sekatan. Kata-kata yang sama kita telah baca apabila Allah berkata perkara yang sama kepada Adam dan Hawa dalam ayat 35 sebelum ini. Sekali lagi kata-kata yang sama telah dikatakan kepada Bani Israil.

وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا

Dan masuklah kamu dalam pintu kota itu dalam keadaan sujud;

Inilah syarat untuk mereka yang dikenakan oleh Allah. Seperti juga ada syarat kepada Nabi Adam dan Hawa semasa di Syurga, iaitu tidak boleh makan pokok larangan, begitu juga kepada Bani Israil, syarat yang dikenakan adalah masuk ke dalam kota itu dalam keadaan tunduk. Iaitu kalau mereka menunggang kuda, mereka hendaklah tundukkan kepala mereka – sampai rapat kepala mereka dengan tengkuk kuda itu. Tapi sebaliknya, mereka masuk dengan keadaan mengesot dengan punggung masuk dahulu. Patutnya masuk dengan tunduk lagi mudah, bukan? Tapi mereka tidak buat begitu. Mereka buat tidak seperti yang disuruh.

وَقُولُوا حِطَّةٌ

Dan kamu katalah: “permohonan kami adalah pengampunan dosa”;

Maknanya adalah istighfar – memohon ampun kepada Allah. Itulah syarat yang dikenakan kepada mereka – masuk dalam keadaan sujud sambil menyebut حِطَّةٌ.

Maksud perkataan itu asalnya adalah ‘menurunkan beban yang dibawa’ – mereka ada banyak dosa bebanan yang mereka tanggung. Maka mereka diajar untuk memohon keampunan kepada Allah. Sebagaimana Nabi Adam diajar bagaimana cara memohon keampunan kepada Allah, mereka juga telah diajar sendiri oleh Allah bagaimana nak mohon ampun. Beruntung sekali mereka, nak mohon ampun pun Allah dah ajar sekali. Macam-macam kelebihan mereka dapat. Mereka sahaja tidak mahu menghargainya.

نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ

Kami akan ampunkan dosa kamu;

Allah dah cakap: kalau mereka buat macam yang disuruh itu, Dia akan mengampunkan dosa mereka. Cuma ikut sahaja apa yang telah disuruh.

وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ

dan Kami akan tambah kepada sesiapa yang berbuat baik;

Allah akan tambah darjat mereka yang melakukan kebaikan. Allah akan tambah dengan balasan-balasan lain kalau mereka buat begitu. 


Ayat 59: Ayat diatas adalah apa yang disuruh mereka buat. Tapi apa sebaliknya yang mereka buat?

فَبَدَّلَ الَّذينَ ظَلَموا قَولًا غَيرَ الَّذي قيلَ لَهُم فَأَنزَلنا عَلَى الَّذينَ ظَلَموا رِجزًا مِنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

Sahih International

But those who wronged changed [those words] to a statement other than that which had been said to them, so We sent down upon those who wronged, a punishment from the sky because they were defiantly disobeying.

Malay

Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah Kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu, bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka).

فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka diubah oleh orang-orang yang zalim itu

Lain yang mereka disuruh buat, lain apa yang mereka buat.

قَوْلًا

perkataan;

mereka ubah dengan kata: habbatun fi sya’rani – bermaksud: biji gandum dalam tepung. Ataupun ada yang kata mereka menukar perkataan itu jadi: hinthah – Satu perkataan yang tidak ada makna apa-apa.

غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ

bukan dari perkataan yang mereka disuruh katakan;

Mereka mengulang-ulang menyebut perkatan itu. Ini adalah satu perbuatan mengejek.

Berdosa besar apabila menukar perkataan yang Allah telah pilihkan. Oleh itu, apabila ada di kalangan orang Islam menukar perkataan Allah, maka mereka telah membuat satu kesalahan. Contohnya, mereka telah mengubah perkataan ‘istawa’ yang telah berada dalam Quran. Mereka mengatakan bahawa perkataan itu bermaksud ‘istawla’ – memerintah. Itu juga adalah satu satu perbuatan mengubah perkataan Allah.

فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا

Maka Kami timpakan keatas orang-orang yang zalim itu

Allah murka dengan apa yang mereka lakukan dan Allah beri balasan yang buruk. Inilah salah satu dari dua hukuman yang dimaksudkan dalam kumpulan ayat-ayat ini.

رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ

bala dari langit;

Bala yang dimaksud di sini adalah panyakit taun. Ramai yang mati kerana ditimpa penyakit taun itu. Ada juga yang kata penyakit yang dikenakan kepada mereka adalah bahagian dalam badan mereka dikeluarkan. Sampaikan kulit mereka seperti tersiat. Allahu a’lam.

بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ

Dengan sebab mereka berbuat fasik.

Balasan yang dikenakan kepada mereka adalah kerana kefasikan mereka itu. Padahal mereka ini adalah anak cucu kepada tok nenek mereka yang telah menyembah patung anak lembu. Yang menyembah patung anak lembu itu semuanya telah kena bunuh. Tapi mereka yang disuruh masuk ke kota itu masih lagi tidak mengambil pelajaran. Mereka ini telah sesat di padang pasir selama 40 tahun. Mereka telah diberi kelebihan makan makanan dari syurga. Itu adalah satu nikmat dan keajaiban yang sepatutnya menguatkan iman mereka. Tapi masih lagi mereka berbuat zalim dan berbuat fasik.

Perkataan yang digunakan dalam ini: يَفْسُقُونَ adalah dalam bentuk present tense: menunjukkan mereka masih lagi berbuat fasik. Perkataan كَانُوا bermaksud yang sudah lepas. Bermakna, mereka dahulu berbuat fasik, dan sekarang pun mereka masih berbuat fasik lagi.

Mereka telah diberikan peluang untuk membersihkan dosa mereka dengan menyebut-nyebut perkataan yang Allah telah ajar kepada mereka supaya Allah ampunkan dosa mereka. Ingatlah bagaimana apabila Nabi Adam diajar kalimat untuk digunakan untuk memohon ampun, Allah telah berkenan mengampunkan kesalahannya. Tapi apabila diberikan perkataan untuk memohon ampun kepada Bani Israil, mereka telah mengejek perkataan itu dengan menukarnya kepada perkataan yang lain.

Maka patut sangatlah azab yang dikenakan kepada mereka.


Ayat 60: Ini adalah jasa kelapan yang Allah ingatkan kepada mereka.

۞ وَإِذِ استَسقىٰ موسىٰ لِقَومِهِ فَقُلنَا اضرِب بِعَصاكَ الحَجَرَ ۖ فَانفَجَرَت مِنهُ اثنَتا عَشرَةَ عَينًا ۖ قَد عَلِمَ كُلُّ أُناسٍ مَشرَبَهُم ۖ كُلوا وَاشرَبوا مِن رِزقِ اللهِ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

Sahih International

And [recall] when Moses prayed for water for his people, so We said, “Strike with your staff the stone.” And there gushed forth from it twelve springs, and every people knew its watering place. “Eat and drink from the provision of Allah , and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya, maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air; sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan minumlah kamu dari rezeki Allah itu, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi”.

وَإِذِ اسْتَسْقَىٰ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ

Dan ingatlah ketika Nabi Musa memohon air untuk kaumnya;

Ini adalah kisah di padang pasir semula. Sebelum ini kita telah diberitahu bahawa mereka telah diberikan dengan teduhan awan dan juga makanan Manna dan Salwa. Jadi dengan adanya air, ianya melengkapkan makanan mereka. Dalam ayat ini, menunjukkan Nabi Musa sendiri yang memohon kepada Allah setelah diminta oleh kaumnya.

فَقُلْنَا اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْحَجَرَ

Kami berkata: Maka pukullah batu itu dengan tongkat kamu;

Iaitu Nabi Musa disuruh memukul mana-mana batu. Pukul pun sekali sahaja, tidaklah kuat sampaikan pecahkan batu itu, tidak. Kita tak perlu cari batu jenis apa. Ada orang yang taksub sangat sampai nak cari batu jenis apa sebab nak buat cincin. Tidak penting batu apakah yang telah dipukul oleh Nabi Musa itu. Bukan itu yang hendak disampaikan.

Banyak kali kisah tongkat Nabi Musa ini disebut dalam Quran. Tidaklah perlu kita hendak mencari jenis apakah tongkat itu dibuat. Sebab bukan tongkat itu yang ada kuasa. Setiap kali ianya digunakan oleh Nabi Musa dalam Quran, Allah yang suruh dia gunakan – contohnya, Allah suruh Nabi Musa ketuk pada Laut Merah, Allah yang suruh Nabi Musa ketuk pada batu dan Allah yang suruh Nabi Musa baling tongkat itu yang kemudiannya jadi ular. Kalau Allah yang suruh Nabi Musa ketuk, barulah menjadi mukjizat itu. Kalau Nabi Musa ketuk sendiri, tidak akan terjadi apa-apa. Itu bermakna, bukan tongkat itu yang ada kuasa.

فَانْفَجَرَتْ مِنْهُ

Maka terpancarlah dari batu itu;

Apabila Nabi Musa yang memohon kepada Allah, air yang keluar itu memancar dengan banyak. Dalam ayat lain (7:160), ada juga dikisahkan air yang memancar keluar dari batu itu. Tapi dalam ayat itu, perkataan yang digunakan menunjukkan air yang keluar tidak memancar dengan banyak. Ini adalah kerana Bani Israil selepas itu telah banyak melakukan kesalahan, maka air itu semakin berkurang. Tambahan pula, dalam ayat dari Surah Baqarah ini, Allah sedang menceritakan nikmat yang dikurniakan olehNya kepada Bani Israil, maka lebih sesuai digunakan perkataan yang menunjukkan nikmat yang diberikan kepada mereka itu dalam bentuk yang banyak.

اثْنَتَا عَشْرَةَ عَيْنًا

12 mataair;

Selepas diketuk batu itu, terpancar 12 mataair untuk setiap kaum Bani Israil. Ini adalah kerana kaum Bani Israil terdiri dari 12 puak. Satu dari anak cucu Nabi Yusuf, satu dari anak cucu Bunyamin dan ada sepuluh lagi keturunan adik beradik anak Nabi Yaakob yang lain. Puak-puak ini hanya mahu minum dengan puak mereka sahaja. Mereka tak boleh campur. Mereka adalah jenis kaum yang berpecah belah. Memang semasa Firaun memerintah mereka, Firaun telah menggunakan konsep pemerintahan ‘Pecah dan Perintah’ supaya Bani Israil tidak dapat bersatu menentangnya.

Tambahan pula, air adalah satu sumber kehidupan yang penting. Manusia boleh berperang disebabkan sumber air. Allah tahu, kalau tidak dibahagikan begitu, mereka akan berkelahi. Maka Allah telah memberi satu pancutan air kepada setiap puak dalam Bani Israil itu.

Dalam riwayat lain, dikatakan bahawa semasa laut Merah dibelah, pun terdapat 12 jalan.

قَدْ عَلِمَ كُلُّ أُنَاسٍ مَشْرَبَهُمْ

Maka tahulah setiap puak itu tempat minum masing-masing;

Mereka tidak perlu berebut-rebut.

كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللهِ

Makanlah, minumlah dari rezeki Allah;

Nikmatilah rezeki yang Allah telah berikan itu.

وَلَا تَعْثَوْا فِي الْأَرْضِ مُفْسِدِينَ

Dan janganlah kamu bertebaran di mukabumi berbuat kerosakan;

Kerosakan disini adalah berbuat syirik kepada Allah. Contohnya, mengharamkan yang halal dan mengharamkan yang halal. Juga bermaksud jangan melanggar hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah.

Perkataan تَعْثَوْا yang digunakan adalah bermaksud kerosakan yang disebabkan oleh propaganda. Iaitu merosakkan fikiran manusia dengan idea-idea yang jahat. Ini kita boleh lihat ianya dilakukan oleh puak Yahudi zaman sekarang pun.

Kata مُفْسِدِينَ membawa erti orang yang menyebabkan orang lain juga berbuat kerosakan. Sudahlah mereka berbuat kerosakan, tapi disebabkan mereka dah buat, ada orang lain yang akan ikut dan akan lebih banyak kerosakan lagi.


Ayat 61: Ini adalah ayat yang menceritakan hukuman kedua yang diberikan kepada mereka. Ayat ini adalah merujuk kepada anak-anak mereka yang menyembah patung anak sapi. Mereka sekarang sudah dewasa. Sudah berkahwin dan beranak semasa mereka sesat di padang pasir. Ini sebelum mereka masuk ke dalam Kota.

وَإِذ قُلتُم يا موسىٰ لَن نَصبِرَ عَلىٰ طَعامٍ واحِدٍ فَادعُ لَنا رَبَّكَ يُخرِج لَنا مِمّا تُنبِتُ الأَرضُ مِن بَقلِها وَقِثّائِها وَفومِها وَعَدَسِها وَبَصَلِها ۖ قالَ أَتَستَبدِلونَ الَّذي هُوَ أَدنىٰ بِالَّذي هُوَ خَيرٌ ۚ اهبِطوا مِصرًا فَإِنَّ لَكُم ما سَأَلتُم ۗ وَضُرِبَت عَلَيهِمُ الذِّلَّةُ وَالمَسكَنَةُ وَباءوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ ۗ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم كانوا يَكفُرونَ بِآياتِ اللهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ الحَقِّ ۗ ذٰلِكَ بِما عَصَوا وَكانوا يَعتَدونَ

Sahih International

And [recall] when you said, “O Moses, we can never endure one [kind of] food. So call upon your Lord to bring forth for us from the earth its green herbs and its cucumbers and its garlic and its lentils and its onions.” [Moses] said, “Would you exchange what is better for what is less? Go into [any] settlement and indeed, you will have what you have asked.” And they were covered with humiliation and poverty and returned with anger from Allah [upon them]. That was because they [repeatedly] disbelieved in the signs of Allah and killed the prophets without right. That was because they disobeyed and were [habitually] transgressing.

Malay

Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.

وَإِذْ قُلْتُمْ

Dan ingatlah ketika kamu berkata:

‘Kamu’ disini adalah anak cucu Bani Israil yang menyembah patung anak lembu itu. Iaitu mereka yang sedang sesat di padang pasir.

يَا مُوسَىٰ لَنْ نَصْبِرَ عَلَىٰ طَعَامٍ وَاحِدٍ

“Wahai Musa, kami tidak sabar dengan satu jenis makanan sahaja”;

Mereka dah bosan dengan makanan dari syurga dah. Dah tak suka makan Manna dan Salwa. Mereka teringin nak makan makanan yang lain.

فَادْعُ لَنَا رَبَّكَ

“Maka tolonglah doa untuk kami kepada Tuhan kamu”;

Lihatlah bagaimana mereka kata ‘kepada Tuhan kamu’. Mereka tak kata pun “Tuhan kami”.

Mereka minta Nabi Musa yang doakan untuk mereka kerana mereka tahu, kalau mereka yang doa, mereka tidak akan dapat. Kerana mereka tahu mereka banyak dosa kepada Allah.

يُخْرِجْ لَنَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ

“Supaya Dia mengeluarkan untuk kami daripada tumbuhan-tumbuhan bumi”;

مِنْ بَقْلِهَا

“Daripada sayur”,

وَقِثَّائِهَا

“dan labu”,

وَفُومِهَا

“dan bawang putih”,

وَعَدَسِهَا

“dan kacang dal”,

وَبَصَلِهَا

“dan bawang merah”.

Mereka tidak pernah lihat dan rasa pun benda-benda itu kerana mereka hanya hidup di padang pasir sahaja dari sejak mereka lahir. Mereka membesar di padang pasir. Tapi mereka mendengar cerita-cerita tentang makanan-makanan itu dari tok nenek mereka yang pernah memakan benda-benda itu. Maka, dari cerita-cerita yang mereka dengar itu, mereka teringin untuk makan segala makanan-makanan itu.

Atau mungkin memang mereka adalah orang-orang yang pernah tinggal di Mesir dulu. Iaitu semasa mereka ditindas oleh Firaun. Mereka rindukan kehidupan mereka semasa di Mesir. Walaupun mereka dulu ditindas, tiada kuasa dan diperah oleh Firaun. Apabila mereka meminta makanan yang mereka biasa makan semasa di Mesir, itu menunjukkan mereka rindu kepada kehidupan yang dulu. Katakanlah ada orang yang pernah tinggal di penjara dan dia kata dia rindu makanan penjara, dia bukan rindu makanan penjara sebenarnya. Tapi dia rindu kehidupan semasa di penjara.

Mereka tidak menghargai segala pemberian yang Allah berikan kepada mereka dari Manna dan Salwa itu. Mereka lebih inginkan kehidupan semasa mereka ditindas oleh Firaun dulu. Mereka tidak menghargai bagaimana Allah menyelamatkan mereka dan memerdekakan mereka dari cengkaman Firaun. Apakah mereka hadapi semasa mereka di Mesir dulu:

1. Mereka dimalukan. Kehidupan sebagai hamba abdi yang amat memalukan. Apabila mereka terpaksa menghambakan diri kepada selain dari Allah adalah kehidupan tidak bermakna.

2. Kelemahan. Tidak ada kuasa langsung. Mereka tidak dapat membuat keputusan langsung tentang diri mereka dan negara mereka sendiri.

3. Penindasan. Mereka tidak dapat menyelamatkan diri mereka atau keluarga mereka dari ditindas. Keluarga Firaun telah banyak membunuh, merogol dan memalukan Bani Israil.

Walaupun dengan semua kelemahan-kelemahan itu, mereka masih lagi mahukan kehidupan sebegitu. Kerana pada mereka, kehidupan seperti itu lebih mudah.

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Musa berkata: “Apakah kamu nak ganti benda yang rendah dengan sesuatu yang lebih baik?”;

Nabi Musa menempelak kaumnya dalam ayat ini. Allah telah beri mereka makanan dari syurga tapi mereka nak ganti dengan makanan yang lain. Padahal mereka bukan pernah makan pun makanan-makanan yang mereka minta itu. Nabi Musa tak sampaikan permintaan mereka itu kepada Allah kerana itu adalah permintaan yang mengarut.

Tentulah makanan Manna dan Salwa itu lebih tinggi dan lebih baik lagi kerana ianya datang dari Allah. Kalaupun ianya tidak sedap, tapi ia masih lagi lebih tinggi kerana ianya adalah makanan dari langit. Ianya adalah makanan kemerdekaan.

اهْبِطُوا مِصْرًا

Musa berkata: “Pergilah kamu ke bandar”;

Perkataan اهْبِطُوا yang digunakan bermaksud ‘turun dari tempat tinggi ke tempat rendah’. Perkataan yang sama digunakan oleh Allah apabila memberi arahan kepada Adam untuk turun ke dunia (Ayat 36). Bermakna, Nabi Musa nak beritahu mereka bahawa mereka sebenarnya minta turun dari kedudukan yang tinggi ke kedudukan yang rendah.

Perkataan مِصْرًا dalam ayat ini bukanlah bermakna ‘Negeri Mesir’ tapi bermaksud kota lain. Kalau Negeri Mesir, perkataan yang digunakan adalah ‘Misra’, bukan ‘misran’. Nabi Musa menggunakan perkataan yang hampir sama sebagai cara untuk perli mereka. Dia nak kata bahawa apa yang mereka cari itu seperti apa yang mereka dapat dulu di Negeri Mesir. Memang mereka boleh dapat apa yang mereka minta itu tapi itu adalah kehidupan kehambaan semasa mereka di Mesir dulu. Nabi Musa seperti berkata kepada mereka: “pergilah kamu kepada negara Mesir yang lain pula”. Pergilah kamu kembali kepada kehidupan penuh kehambaan kembali. Nabi Musa perli mereka: kamu nak duduk dalam kehambaan lagikah?

Penggunaan perkataan di dalam Qur’an memang mengandungi makna yang tinggi. Padahal kalau nak gunakan maksud ‘pekan’, ‘bandar’, ‘tempat tinggal’, ada lagi kalimah lain yang boleh digunakan seperti baladan, qaryatan atau ardan. Tapi Allah gunakan kalimah misran yang berbunyi lebih kurang sama dengan Mesir.

Ataupun maksud baginda: Kalau nak juga, kamu pergilah ke negeri lain. Dan negeri yang dimaksudkan adalah Palestine. Nabi Musa kata yang dia tidak akan doa kepada Allah apa yang mereka minta itu. Cuma Nabi Musa arahkan sahaja mereka untuk pergi ke Palestin mengikut wahyu dari Allah. Ada juga tafsir lain yang mengatakan yang ‘misra’ yang dimaksudkan adalah negeri lain, bukan bermaksud Palestin.

فَإِنَّ لَكُمْ مَا سَأَلْتُمْ

“Di situ, kamu akan dapat apa yang kamu minta itu”;

Kerana mereka hendakkan makanan-makanan itulah yang menyebabkan mereka masuk juga ke dalam kota itu.

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ

Dan ditimpa keatas mereka suatu kehinaan;

Kerana mereka tolak apa yang Tuhan beri dan mahukan benda yang lain, maka Allah timpakan keatas mereka kehinaan. Inilah hukuman yang dimaksudkan. Kehinaan yang mereka terima adalah manusia tidak pandang mulia kepada bangsa Yahudi dari dulu sampai sekarang. Iaitu mereka menjadi bangsa yang tidak dihargai dan dihormati. Inilah pada pandangan kaca mata manusia kepada mereka pada zaman sekarang pun. Sentiasa mereka terpaksa menumpang tempat orang lain. Satu dunia kutuk mereka tapi mereka buat biasa sahaja. Walaupun mereka adalah satu bangsa yang amat cerdik. Tapi mereka dipandang hina oleh penduduk dunia.

Mereka minta makanan-makanan yang mereka pernah dapat dulu di Mesir. Tapi dulu mereka duduk dalam kehinaan semasa di Mesir dulu kerana mereka jadi hamba kepada bangsa Qibti. Tapi kerana permintaan mereka yang tidak patut itu, mereka boleh dapat kehinaan lain pula.

وَالْمَسْكَنَةُ

Dan kemiskinan;

Dan mereka hilang semangat (maskanah) untuk menghayati agama.

Boleh juga bermaksud kemiskinan atau kelemahan. Mereka terpaksa minta pertolongan orang lain walaupun mereka kaya. Contohnya sekarang, mereka kena minta tolong kepada Amerika. Walaupun mereka kaya dan cerdik.

Kehinaan dan kelemahan adalah apa yang mereka lalui semasa di Mesir dibawah penindasan Firaun dulu. Maka kerana mereka telah degil, maka Allah kembalikan mereka macam itu balik. Ini adalah kerana permintaan mereka yang tidak patut. Allah dah keluarkan mereka dari kesusahan dulu semasa di Mesir, maka Allah kenakan balik kesusahan kepada mereka.

وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللهِ

Dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan dari Allah.

Mereka akan kembali ke akhirat nanti dengan kemurkaan dari Allah. Apakah yang lebih teruk dari kemurkaan dari Allah? Dulu mereka ditindas oleh Firaun. Tapi sekarang mereka lagi teruk – mendapat kemurkaan dari Allah. Dalam sejarah dunia, sepanjang zaman mereka telah ditindas oleh kerajaan Byzantines, Ethiopia, Assyrians, Rome dan banyak lagi. Allah menerangkan kenapakah mereka sampai jadi macam itu dalam bahagian ayat ini seterusnya:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللهِ

Yang demikian itu adalah kerana mereka dulu kufur dengan ayat-ayat Allah; 

Lafz ‘ayat’ dalam ayat ini boleh juga digunakan untuk membawa maksud mukjizat-mukjizat yang mereka telah banyak lihat. Walaupun mereka telah banyak melihat keajaiban mukjizat, tapi mereka masih lagi tidak mahu beriman.

وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ

Dan kerana mereka membunuh para-para Nabi tanpa alasan yang benar;

Contoh alasan yang benar, kalau ada, adalah jikalau nabi-nabi itu membunuh orang. Tapi tentulah tidak ada. Dosa membunuh nabi adalah sebesar-besar dosa. Begitu juga jikalau membunuh para penyeru tauhid. Dikatakan bangsa Yahudi telah membunuh beribu nabi.

Kita perlu melihat apakah perbuatan Bani Israil itu kerana takut kalau kita pun mengikut juga perbuatan mereka. Kita hendaklah belajar dari kesilapan mereka. Nabi pernah kata bahawa ada antara orang Islam yang akan mengikut jejak langkah mereka. Walaupun kita dah tak boleh nak bunuh Nabi lagi kerana Nabi sudah tidak ada, tapi ada kerajaan Islam yang membunuh ulama-ulama mereka yang tidak sebulu dengan pemerintahan mereka. Kalau tak bunuh pun ulama-ulama itu, banyak ulama-ulama yang mendapat layanan buruk dari kerajaan Islam.

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad, Bani Israil adalah orang Islam yang sesat. Begitulah kita sekarang. Ramai antara kita tidak tahu tentang agama. Sudah jadi macam bani Israil dah sebenarnya.

Kenapa mereka jadi begitu? Allah terangkan seterusnya:

ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

Yang demikian itu adalah kerana mereka derhaka dan melampaui batas

Mereka tidak mahu ikut nasihat. Mereka tidak mahu menerima hidayah dan petunjuk. Mereka nak buat ikut nafsu mereka sendiri. Mereka melanggar batas-batas yang Allah telah tetapkan kepada mereka.

Semua yang mereka lakukan itu berasal dari sifat mereka yang menderhakai – tidak buat apa yang disuruh.

Dan mereka selalu buat perkara yang dilarang. Yang disuruh tak buat, yang dilarang pula yang mereka buat. Lama kelamaan, Nabi mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh. Lama kelamaan, ayat Allah pun mereka sanggup putar belit

Inilah perangai Yahudi sebenar yang Allah sampaikan kepada bangsa Arab yang mulanya sangka mereka itu hebat, tapi rupanya mereka amat teruk. Allah nak mereka berhenti dari menjadikan Yahudi itu sebagai tempat rujukan.

Baqarah 58-61


Ayat 62:

Ayat ini adalah sebagai penutup kepada kisah-kisah golongan Yahudi yang telah disebut sebelum ini. Sebelum ini Allah telah beri ayat-ayat pujuk kepada mereka. Telah disebut lapan jasa dan dua jenis hukuman yang diberikan, semoga dengan itu dapat mengingatkan mereka dan membawa mereka kepada jalan agama Islam yang sebenar.

Ayat ini adalah penutup kepada bahagian ayat-ayat itu. Allah memberitahu dalam ayat ini yang Allah taala tidak memilih bangsa. Bagi Allah sama sahaja semua bangsa. Asalkan sanggup beriman dan melakukan amal soleh (amalan ikut sunnah), mereka akan diberikan ganjaran pahala di sisiNya. Mereka tidak akan takut dan dukacita. Ada empat golongan yang disebut dalam ayat ini:

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالنَّصارىٰ وَالصّابِئينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صالِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Indeed, those who believed and those who were Jews or Christians or Sabeans [before Prophet Muhammad] – those [among them] who believed in Allah and the Last Day and did righteousness – will have their reward with their Lord, and no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang yang beriman sempurna;

Iaitu yang beriman seperti sahabat-sahabat Nabi

وَالَّذِينَ هَادُوا

Dan pengikut-pengikut Nabi Musa:

Orang yang ikut ajaran Yahudi. ‘Yahudi’ adalah nisbah kepada agama, dan nisbah bagi puak mereka adalah ‘Bani Israil’.

وَالنَّصَارَىٰ

Dan pengikut-pengikut Nabi Isa:

Golongan yang berfahaman Nasara, iaitu umat yang mengikut Nabi Isa.

وَالصَّابِئِينَ

Dan Pengikut Nabi Ibrahim;

Asalnya mereka adalah pengikut Nabi Ibrahim tapi lama kelamaan selepas itu mereka telah sesat dan telah menyembah benda lain seperti bulan bintang dan lain-lain lagi.

مَنْ آمَنَ بِاللهِ

Sesiapa lagi yang beriman kepada Allah;

Bagi Allah, semua golongan itu sama sahaja. Bukan penting dari kumpulan mana pun datangnya mereka. Walaupun bukan dari golongan yang empat ini pun, kalau mereka beriman dan beramal soleh, mereka akan dapat pahala. Yang penting adalah beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dua iman ini adalah sebagai wakil kepada semua jenis iman.

Orang-orang selain dari Islam juga ada kata mereka percaya kepada Allah juga. Tapi adakah kepercayaan mereka itu diterima? Tidak, kerana pemahaman mereka tentang Allah tidak sama seperti yang Allah hendak. Contohnya, ada yang percaya Tuhan ada anak. Maka itu adalah faham yang salah. Oleh itu, walaupun mereka kata mereka percaya dengan Allah, tapi kerana fahaman mereka salah, fahaman mereka itu tidak diterima.

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat;

Ada juga orang-orang kafir percaya kepada hari akhirat. Tapi kepercayaan mereka lain dengan apa yang Islam faham. Lain dengan apa yang Allah kehendaki. Maka kepercayaan mereka tentang hari akhirat pun tidak boleh diterima.

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan berbuat amal soleh;

Dan satu syarat lagi, kena buat amal soleh. Iaitu amalan yang ikut kepada syariat masing-masing. Kalau umat Nabi Musa, maknanya kena beramal dengan Taurat sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Kalau zaman Nabi Isa, kena ikut cara Nabi Isa beramal. Kalau zaman sekarang, kena ikut cara Nabi Muhammad. Tidak kira asalnya dia agama apapun. Apabila Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, semua syariat lain terbatal.

Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh? Amal soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah dan Rasul. Bukan amalan reka sendiri. Bukan amalan bidaah – walaupun ‘bidaah hasanah’ seperti dakwaan sesetengah golongan kita. Kepercayaan mereka tentang amal soleh adalah salah sama sekali kerana mereka tidak belajar. Atau mereka belajar dengan guru yang sesat. Guru mereka sendiri tidak belajar.

Jadi ada tiga kriteria yang disebutkan dalam ayat ini:

1. Beriman kepada Allah

2. Beriman kepada Hari Akhirat

3. Beramal dari amalan yang soleh.

Susunan agama adalah begini: kalau kita percaya kepada Allah, maka kita akan percaya kepada Hari Akhirat. Kalau kita percaya kepada Hari Akhirat, maka kita akan senang untuk beramal soleh. Kalau ianya terbalik, ia tidak akan terjadi – Kalau kita tidak beramal soleh, bermakna kita sebenarnya tidak percaya kepada Hari Akhirat. Dan kalau kita tidak percaya kepada Hari Akhirat, bermakna kita tidak percaya kepada Allah.

Kalau kita percaya adanya Tuhan, tentulah kita akan percaya bahawa Tuhan itu adalah sempurna. Tentulah Tuhan itu Maha Adil. Lihatlah dunia kita sekarang, adakah ianya adil? Tentu tidak. Contohnya, banyak manusia yang telah berbuat kerosakan tapi mereka terselamat di dunia dari terkena hukum. Adakah ini adil? Tentu tidak.

Jadi kalau kita percaya bahawa Tuhan itu adil, maka kita akan percaya bahawa makhluk di dunia ini akan diadili di suatu masa nanti selepas kematian mereka – Hari Akhirat. Semua makhluk akan dibalas bertepatan dengan perbuatan mereka di dunia.

Kalau kita sudah percaya tentang adanya Hari Akhirat, tentunya kita hendak selamat di sana bukan? Maka tentulah kita akan beramal dengan amalan yang soleh.

Walaupun ayat ini tidak menyebut beriman kepada Rasul, tapi mereka yang tak percaya kepada ayat-ayat Allah adalah tidak percaya kepada Rasul. Kerana Rasul lah yang membawa ayat-ayat dari Allah. Bagaimana mungkin kita boleh percaya kepada ayat-ayat Allah tanpa terlebih dahulu percaya kepada Nabi?

Ada juga yang menggunakan ayat ini dengan mengatakan bahawa mereka-mereka yang telah melakukan tiga perkara itu – beriman dengan Allah, Hari Akhirat dan beramal soleh – akan masuk neraka. Ini juga adalah pendapat yang salah. Kerana banyak lagi yang kita kena buat. Allah telah sebut di dalam ayat yang lain, bagaimana Allah telah menempelak mereka yang memegang sebahagian dari Kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita sebenarnya kena memegang keseluruhan dari Kitab Quran ini. Tidak boleh ambil sedikit-sedikit sahaja. Tidak boleh beramal dengan sebahagian sahaja. Kita kena amalkan semuanya sekali. Jadi, jangan baca ayat-ayat ini sahaja. Kena dibaca dengan ayat-ayat yang lain juga – kena baca semua sekali ayat Quran 30 juzuk, baru dapat pemahaman yang penuh.

فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ

maka bagi mereka pahala dari sisi Tuhan mereka

Allah tidak memandang kepada keturunan dan bangsa. Kalau mereka melakukan kebaikan, Allah akan balas dengan pahala dan kebaikan.

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan bagi mereka tidak ada rasa takut atas mereka

Ini merujuk kepada keadaan mereka di akhirat kelak. Mereka tidak akan takut menghadapi Hari Akhirat.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidak ada dukacita;

Mereka tidak akan berasa dukacita nak tinggalkan dunia kerana arah tujuan mereka adalah kepada lebih baik dari dunia. Memang manusia selalunya bersedih untuk meninggalkan dunia. Tetapi mengenangkan yang dia akan pergi ke syurga, mereka akan rasa senang hati nak tinggalkan dunia ini.

Mereka juga tidak akan bersedih walaupun kalau suami mereka masuk neraka, isteri mereka masuk neraka, adik beradik, ibubapa mereka. Ini adalah kerana Syurga adalah tempat menikmati nikmat dari Allah. Kalau kita teringat tentang ahli keluarga kita yang tidak masuk syurga, tentulah tidak sempurna nikmat itu, kerana ada kesedihan dalam hati. Maka, Allah akan lupakan mereka dari dalam fikiran kita supaya kita boleh menikmat kesenangan di syurga.

Bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang orang Yahudi dan Nasrani akan masuk syurga. Ia mengatakan bahawa walaupun mereka dulunya adalah bukan beragama Islam, tapi apabila mereka masuk Islam dan melakukan amal soleh, mereka juga akan masuk syurga. Tapi mereka hendaklah masuk Islam dahulu. Jangan salah faham dengan ayat ini. Sebab ada yang salah faham sampai ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani juga boleh masuk syurga. Itu salah faham dengan ayat Quran kerana tidak belajar dan baca faham sendiri sahaja. Itulah bahayanya kalau faham Quran dan Hadis tidak sama dengan faham sahabat dan salafus soleh.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa mereka-mereka yang berada sebelum zaman Nabi Muhammad pun akan masuk syurga juga kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria itu. Iaitu mereka-mereka yang beragama Yahudi, Nasrani dan Sabean sebelum kedatangan Nabi Muhammad juga akan masuk syurga jikalau mereka beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal soleh. Dan jika mereka menjalankan tuntutan agama mereka. Kerana sebelum kedatangan Nabi Muhammad, syariat mereka adalah mengikut Nabi-nabi mereka.

Bukanlah pemahaman kita macam faham Kristian sekarang. Kristian kata Nabi Isa mati untuk menghapuskan dosa mereka. Mereka kata sesiapa yang menerima Nabi Isa sebagai ‘Anak Tuhan’ akan dibersihkan mereka dari dosa mereka. Tapi apabila ditanya kepada mereka, bagaimana dengan orang-orang yang lahir sebelum Nabi Isa lahir? Kasihanlah mereka sebab mereka tak sempat nak bertemu dengan Nabi Isa. Mereka kenal Nabi Isa pun tidak, macam mana mereka nak mengaku baginda anak Tuhan? Orang-orang Kristian bungkam tidak dapat jawab soalan ini. Dalam ayat ini, Allah hendak mengatakan orang yang baik sebelum Nabi Muhammad datang pun ada peluang untuk masuk syurga juga asalkan mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi mereka. Bukanlah hanya orang yang datang selepas Nabi Muhammad sahaja yang akan masuk syurga. Kita tidak akan ada masalah nak jawap macam orang Kristian yang tidak dapat jawab soalan mudah itu.

Jadi, ayat ini adalah penutup kepada bahagian pertama tentang orang-orang Yahudi. Allah hendak beritau: segala sifat buruk yang kamu lakukan dulu, Allah marah bukan kerana keturunan kamu. Kalau kamu beriman dan beramal soleh, kamu juga akan mendapat kebaikan yang dijanjikan Allah.


Ayat 63: Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah.

Mereka itu ada perangai buruk yang Allah nak ceritakan kepada semua. Allah nak ceritakan, pertamanya kepada orang Arab Madinah. Kerana merekalah yang mula-mula terima Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu takkan menceritakan kesilapan tok nenek mereka. Oleh kerana Arab Madinah tak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah bongkarkan kisah mereka. Dah dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu. Kalau tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.
1. Tawalli anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum
2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tapi mereka yang susahkan.
3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tapi hari sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.
Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba itu haram. Tapi dengan helah yang dilakukan, riba yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama dah jadi lain lah. Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Dan begitu juga ada ulama dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

 

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [O Children of Israel, to abide by the Torah] and We raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that perhaps you may become righteous.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan. Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan Qur’an. Ianya untuk mengingatkan mereka yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tapi kenapa Allah mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu. Kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Sebab itulah Allah tekankan dalam ayat ini. Maka jangan ambil lewa tentang perjanjian itu. Penjelasan tentang apakah perjanjian itu ada dalam Surah al-A’raf. Seperti ada hubungan antara Surah Baqarah dan Surah A’raf.

Peringatan kepada Bani Israil zaman Nabi itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Jangan kita sangka yang itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah letakkan dalam Quran, bermakna ianya juga untuk perhatian kita juga.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tapi mereka telah engkar dan kerana itu Allah telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah nak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila dah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur ini atas mereka.

Bukit Thur telah diangkat atas mereka kerana mereka engkar kepada Musa. Mereka engkar apabila mereka kata 70 orang wakil yang mengikut Nabi Musa ke atas bukit itu telah bersekongkol dengan Nabi Musa. 70 orang wakil itu telah dimatikan kerana mereka telah minta untuk melihat Allah secara zahir. Selepas mereka dimatikan, mereka telah dihidupkan. Selepas dihidupkan, tentulah mereka telah percaya kepada Nabi Musa. Bila mereka turun ke bawah bukit bertemu dengan kaum mereka, mereka telah menceritakan segalanya kepada Bani Israil yang dibawah. Tapi kaum mereka yang lain, masih tidak mahu percaya. Mereka kata wakil-wakil itu telah bersekongkol pula dengan Nabi Musa. Mereka kata Nabi Musa telah rasuah wakil-wakil itu.

Ada juga yang kata memang terangkat bukit Thursina atas kepada mereka terawang-awang. Dan ada yang kata ianya hanya bergegar dan jatuh sahaja.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tapi mereka tidak menerimanya dengan serius. Kerana itulah Allah telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh. Allah jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Kerana kalau sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian.

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Arahan untuk ‘ingat’ disini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat. Bukan sahaja belajar, tapi lepas belajar, kena mengajar. Kena amalkan yang telah dipelajar itu. Kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tapi kena juga ingatkan kepada orang lain juga.

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar Quran juga. Bukan hanya mengajar ‘baca’ Quran, tapi mengajar tafsir Quran.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah kata ‘mudah-mudahan’, ianya bermaksud: pasti. Maknanya, kalau kita pegang Quran dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa.


Ayat 64:

ثُمَّ تَوَلَّيتُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۖ فَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ لَكُنتُم مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

Then you turned away after that. And if not for the favor of Allah upon you and His mercy, you would have been among the losers.

Malay

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kemudian kamu berpaling juga selepas perjanjian itu;

Kerana sudah diangkat Bukit Thur atas mereka, maka mereka bersetuju untuk beramal dengan kitab Taurat kerana ketakutan melihat apa yang Allah buat itu. Dan Allah tidak hempap mereka dengannya. Tetapi selepas itu mereka tetap berpaling dari mengamalkannya.

Dua-dua golongan dari Bani Israil berpaling dari perjanjian itu: yang sezaman dengan Nabi Musa dan Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad. Kita kena ingat, walaupun perjanjian itu tidak diambil dengan mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad, tapi mereka tahu tentang perjanjian itu. Dan mereka tertakluk juga dengan perjanjian itu. Dan mereka kenal Nabi Muhammad sebenarnya. Mereka tahu Nabi Muhammad adalah Rasul yang sebenarnya. Tapi mereka masih lagi berpaling.

فَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ

Kalau tidaklah kerana kurnian Allah taala atas kamu;

Iaitu melambatkan dijatuhkan azab. Apabila buat syirik kepada Allah dan derhaka kepada Allah, Allah tidak matikan terus, tidak terus beri azab kepada mereka. Allah biarkan dahulu. Itu adalah kurnia sebab beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Tapi ada juga dari masyarakat kita kata, Tuhan berkenan dengan perbuatan salah yang mereka buat itu, sebab itu tidak beri azab. Mereka guna alasan – kalau Allah tak suka, tentu Allah dah beri azab kepada mereka. Padahal, sebenarnya Allah tak beri azab terus kerana Allah memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan bertaubat.

Allah ada juga beri azab sikit-sikit kepada mereka. Tapi Allah tidak beri azab yang sampai menghapuskan terus keturunan mereka seperti yang terjadi kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Perkataan فَضْلُ bermaksud sesuatu pemberian yang lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jikalau seseorang minta satu benda, tapi kita beri kepadanya tiga benda. Allah banyak memberi kurniaan kepada kita. Kurniaan Allah kepada mereka adalah mereka telah diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka juga telah diberikan Rasul dan Nabi yang banyak. Jadi Allah hendak beritahu kepada mereka, kalau tidak kerana kurniaaNya kepada mereka, maka mereka akan jadi orang yang sesat. Maka mereka kenalah ikut Nabi Muhammad.

وَرَحْمَتُهُ

dan suatu rahmat dariNya,

Rahmat itu maksudnya dikekalkan kitab Taurat dengan mereka. Allah tidak tarik nikmat Kitab itu dari mereka.

لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

nescaya kamu pasti akan jadi dari golongan yang paling rugi

Kalau tidak kerana rahmat Allah atas mereka, tentulah mereka akan rugi apabila mereka mati nanti; selagi tak mati, tak rugi lagi. Tunggulah azab di neraka kelak.


Ayat 65: Keburukan kedua mereka adalah helah mereka dalam syariat.

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خاسِئينَ

Sahih International

And you had already known about those who transgressed among you concerning the sabbath, and We said to them, “Be apes, despised.”

Malay

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ

Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas dari antara kamu;

Allah mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh. Allah hendak mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.

فِي السَّبْتِ

pada hari sabtu;

Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas Nabi Musa. Ianya berlaku di zaman Nabi Daud. Mereka telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada dalam surah Al A’raf. Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak buat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat. Masak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka. Alhamdulillah kita tak kena syariat macam itu, walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tapi kita masih lagi boleh buat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.

Jadi, mereka memang tidak boleh buat kerja pada hari sabtu. Tapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari sabtu. Mereka tak sabar. Jadi, mereka telah buat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, seperti mereka menipu Allah.

Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandingan. Kerana ianya adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Tapi ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Itu pun boleh dikira menipu Allah juga.

فَقُلْنَا لَهُمْ

Maka Kami titah kepada mereka:

كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Jadilah kamu kera yang hina dina;

Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera selama tiga hari. Memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera. Selepas tiga hari, mereka mati. Tapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang jadi kera itu telah mati selepas tiga hari.

Ada yang buat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Yang pasti, mereka yang buat salah itu telah jadi kera. Tapi khilaf di kalangan ulama, samada mereka yang tengok tidak menegur itu jadi kerana juga atau tidak. Yang pasti juga, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Kerana kera adalah binatang yang tidak kisah tentang halal haram. Seperti mereka juga. Tapi kisah ini tidak boleh dipakai kerana ianya adalah kisah israiliyat. Sedangkan ada hadis Nabi beritahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah jadikan sebegini supaya menjadi pengajaran kepada yahudi yang lain. Allahu a’lam.


Ayat 66:

فَجَعَلناها نَكالًا لِما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِلمُتَّقينَ

Sahih International

And We made it a deterrent punishment for those who were present and those who succeeded [them] and a lesson for those who fear Allah .

Malay

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا

Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan

لِمَا بَيْنَ يَدَيْهَا

bagi orang yang ada pada masa itu;

Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah kepada mereka itu.

وَمَا خَلْفَهَا

dan orang-orang yang akan datang kemudian

Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tapi mereka-mereka yang selepas itu juga.

وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.

Kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ianya adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Baqarah Ayat 49 – 66 (Tentang Orang Yahudi)

  1. Pingback: Tafsir Surah Zumar 53 – 67 | Tafsirsunnah's Blog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s