Tafsir Surah Baqarah Ayat 62 – 66 (Yahudi suka buat helah)

Ayat 62:

Ayat ini adalah sebagai penutup kepada kisah-kisah golongan Yahudi yang telah disebut sebelum ini. Sebelum ini Allah telah beri ayat-ayat pujuk kepada mereka. Telah disebut lapan jasa dan dua jenis hukuman yang diberikan, semoga dengan itu dapat mengingatkan mereka dan membawa mereka kepada jalan agama Islam yang sebenar.

Ayat ini adalah penutup kepada bahagian ayat-ayat itu. Allah memberitahu dalam ayat ini yang Allah taala tidak memilih bangsa. Bagi Allah sama sahaja semua bangsa. Asalkan sanggup beriman dan melakukan amal soleh (amalan ikut sunnah), mereka akan diberikan ganjaran pahala di sisiNya. Mereka tidak akan takut dan dukacita. Ada empat golongan yang disebut dalam ayat ini:

إِنَّ الَّذينَ آمَنوا وَالَّذينَ هادوا وَالنَّصارىٰ وَالصّابِئينَ مَن آمَنَ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ وَعَمِلَ صالِحًا فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

Indeed, those who believed and those who were Jews or Christians or Sabeans [before Prophet Muhammad] – those [among them] who believed in Allah and the Last Day and did righteousness – will have their reward with their Lord, and no fear will there be concerning them, nor will they grieve.

Malay

Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا

Sesungguhnya orang yang beriman sempurna;

Iaitu yang beriman seperti sahabat-sahabat Nabi

وَالَّذِينَ هَادُوا

Dan pengikut-pengikut Nabi Musa:

Orang yang ikut ajaran Yahudi. ‘Yahudi’ adalah nisbah kepada agama, dan nisbah bagi puak mereka adalah ‘Bani Israil’.

وَالنَّصَارَىٰ

Dan pengikut-pengikut Nabi Isa:

Golongan yang berfahaman Nasara, iaitu umat yang mengikut Nabi Isa.

وَالصَّابِئِينَ

Dan Pengikut Nabi Ibrahim;

Asalnya mereka adalah pengikut Nabi Ibrahim tapi lama kelamaan selepas itu mereka telah sesat dan telah menyembah benda lain seperti bulan bintang dan lain-lain lagi.

مَنْ آمَنَ بِاللهِ

Sesiapa lagi yang beriman kepada Allah;

Bagi Allah, semua golongan itu sama sahaja. Bukan penting dari kumpulan mana pun datangnya mereka. Walaupun bukan dari golongan yang empat ini pun, kalau mereka beriman dan beramal soleh, mereka akan dapat pahala. Yang penting adalah beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dua iman ini adalah sebagai wakil kepada semua jenis iman.

Orang-orang selain dari Islam juga ada kata mereka percaya kepada Allah juga. Tapi adakah kepercayaan mereka itu diterima? Tidak, kerana pemahaman mereka tentang Allah tidak sama seperti yang Allah hendak. Contohnya, ada yang percaya Tuhan ada anak. Maka itu adalah faham yang salah. Oleh itu, walaupun mereka kata mereka percaya dengan Allah, tapi kerana fahaman mereka salah, fahaman mereka itu tidak diterima.

وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

dan beriman kepada hari akhirat;

Ada juga orang-orang kafir percaya kepada hari akhirat. Tapi kepercayaan mereka lain dengan apa yang Islam faham. Lain dengan apa yang Allah kehendaki. Maka kepercayaan mereka tentang hari akhirat pun tidak boleh diterima.

وَعَمِلَ صَالِحًا

dan berbuat amal soleh;

Dan satu syarat lagi, kena buat amal soleh. Iaitu amalan yang ikut kepada syariat masing-masing. Kalau umat Nabi Musa, maknanya kena beramal dengan Taurat sebelum kedatangan Nabi Muhammad. Kalau zaman Nabi Isa, kena ikut cara Nabi Isa beramal. Kalau zaman sekarang, kena ikut cara Nabi Muhammad. Tidak kira asalnya dia agama apapun. Apabila Nabi Muhammad telah diangkat menjadi Rasul, semua syariat lain terbatal.

Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh? Amal soleh adalah amalan yang diajar oleh Allah dan Rasul. Bukan amalan reka sendiri. Bukan amalan bidaah – walaupun ‘bidaah hasanah’ seperti dakwaan sesetengah golongan kita. Kepercayaan mereka tentang amal soleh adalah salah sama sekali kerana mereka tidak belajar. Atau mereka belajar dengan guru yang sesat. Guru mereka sendiri tidak belajar.

Jadi ada tiga kriteria yang disebutkan dalam ayat ini:

1. Beriman kepada Allah

2. Beriman kepada Hari Akhirat

3. Beramal dari amalan yang soleh.

Susunan agama adalah begini: kalau kita percaya kepada Allah, maka kita akan percaya kepada Hari Akhirat. Kalau kita percaya kepada Hari Akhirat, maka kita akan senang untuk beramal soleh. Kalau ianya terbalik, ia tidak akan terjadi – Kalau kita tidak beramal soleh, bermakna kita sebenarnya tidak percaya kepada Hari Akhirat. Dan kalau kita tidak percaya kepada Hari Akhirat, bermakna kita tidak percaya kepada Allah.

Kalau kita percaya adanya Tuhan, tentulah kita akan percaya bahawa Tuhan itu adalah sempurna. Tentulah Tuhan itu Maha Adil. Lihatlah dunia kita sekarang, adakah ianya adil? Tentu tidak. Contohnya, banyak manusia yang telah berbuat kerosakan tapi mereka terselamat di dunia dari terkena hukum. Adakah ini adil? Tentu tidak.

Jadi kalau kita percaya bahawa Tuhan itu adil, maka kita akan percaya bahawa makhluk di dunia ini akan diadili di suatu masa nanti selepas kematian mereka – Hari Akhirat. Semua makhluk akan dibalas bertepatan dengan perbuatan mereka di dunia.

Kalau kita sudah percaya tentang adanya Hari Akhirat, tentunya kita hendak selamat di sana bukan? Maka tentulah kita akan beramal dengan amalan yang soleh.

Walaupun ayat ini tidak menyebut beriman kepada Rasul, tapi mereka yang tak percaya kepada ayat-ayat Allah adalah tidak percaya kepada Rasul. Kerana Rasul lah yang membawa ayat-ayat dari Allah. Bagaimana mungkin kita boleh percaya kepada ayat-ayat Allah tanpa terlebih dahulu percaya kepada Nabi?

Ada juga yang menggunakan ayat ini dengan mengatakan bahawa mereka-mereka yang telah melakukan tiga perkara itu – beriman dengan Allah, Hari Akhirat dan beramal soleh – akan masuk syurga. Ini juga adalah pendapat yang salah. Kerana banyak lagi yang kita kena buat. Allah telah sebut di dalam ayat yang lain, bagaimana Allah telah menempelak mereka yang memegang sebahagian dari Kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Kita sebenarnya kena memegang keseluruhan dari Kitab Quran ini. Tidak boleh ambil sedikit-sedikit sahaja. Tidak boleh beramal dengan sebahagian sahaja. Kita kena amalkan semuanya sekali. Jadi, jangan baca ayat-ayat ini sahaja. Kena dibaca dengan ayat-ayat yang lain juga – kena baca semua sekali ayat Quran 30 juzuk, baru dapat pemahaman yang penuh.

فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ

maka bagi mereka pahala dari sisi Tuhan mereka

Allah tidak memandang kepada keturunan dan bangsa. Kalau mereka melakukan kebaikan, Allah akan balas dengan pahala dan kebaikan.

وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

dan bagi mereka tidak ada rasa takut atas mereka

Ini merujuk kepada keadaan mereka di akhirat kelak. Mereka tidak akan takut menghadapi Hari Akhirat.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan tidak ada dukacita;

Mereka tidak akan berasa dukacita nak tinggalkan dunia kerana arah tujuan mereka adalah kepada lebih baik dari dunia. Memang manusia selalunya bersedih untuk meninggalkan dunia. Tetapi mengenangkan yang dia akan pergi ke syurga, mereka akan rasa senang hati nak tinggalkan dunia ini.

Mereka juga tidak akan bersedih walaupun kalau suami mereka masuk neraka, isteri mereka masuk neraka, adik beradik, ibubapa mereka. Ini adalah kerana Syurga adalah tempat menikmati nikmat dari Allah. Kalau kita teringat tentang ahli keluarga kita yang tidak masuk syurga, tentulah tidak sempurna nikmat itu, kerana ada kesedihan dalam hati. Maka, Allah akan lupakan mereka dari dalam fikiran kita supaya kita boleh menikmati kesenangan di syurga.

Bukanlah ayat ini hendak mengatakan yang orang Yahudi dan Nasrani akan masuk syurga. Ia mengatakan bahawa walaupun mereka dulunya adalah bukan beragama Islam, tapi apabila mereka masuk Islam dan melakukan amal soleh, mereka juga akan masuk syurga. Tapi mereka hendaklah masuk Islam dahulu. Jangan salah faham dengan ayat ini. Sebab ada yang salah faham sampai ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani juga boleh masuk syurga. Itu salah faham dengan ayat Quran kerana tidak belajar dan baca faham sendiri sahaja. Itulah bahayanya kalau faham Quran dan Hadis tidak sama dengan faham sahabat dan salafus soleh.

Ayat ini juga hendak mengatakan bahawa mereka-mereka yang berada sebelum zaman Nabi Muhammad pun akan masuk syurga juga kalau mereka memenuhi kriteria-kriteria itu. Iaitu mereka-mereka yang beragama Yahudi, Nasrani dan Sabean sebelum kedatangan Nabi Muhammad juga akan masuk syurga jikalau mereka beriman dengan Allah dan Hari Akhirat dan beramal soleh. Dan jika mereka menjalankan tuntutan agama mereka. Kerana sebelum kedatangan Nabi Muhammad, syariat mereka adalah mengikut Nabi-nabi mereka.

Bukanlah pemahaman kita macam faham Kristian sekarang. Kristian kata Nabi Isa mati untuk menghapuskan dosa mereka. Mereka kata sesiapa yang menerima Nabi Isa sebagai ‘Anak Tuhan’ akan dibersihkan mereka dari dosa mereka. Tapi apabila ditanya kepada mereka, bagaimana dengan orang-orang yang lahir sebelum Nabi Isa lahir? Kasihanlah mereka sebab mereka tak sempat nak bertemu dengan Nabi Isa. Mereka kenal Nabi Isa pun tidak, macam mana mereka nak mengaku baginda anak Tuhan? Orang-orang Kristian bungkam tidak dapat jawab soalan ini. Dalam ayat ini, Allah hendak mengatakan orang yang baik sebelum Nabi Muhammad datang pun ada peluang untuk masuk syurga juga asalkan mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi mereka. Bukanlah hanya orang yang datang selepas Nabi Muhammad sahaja yang akan masuk syurga. Kita tidak akan ada masalah nak jawap macam orang Kristian yang tidak dapat jawab soalan mudah itu.

Jadi, ayat ini adalah penutup kepada bahagian pertama tentang orang-orang Yahudi. Allah hendak beritau: segala sifat buruk yang kamu lakukan dulu, Allah marah bukan kerana keturunan kamu. Kalau kamu beriman dan beramal soleh, kamu juga akan mendapat kebaikan yang dijanjikan Allah.


Ayat 63: Ini jenis kedua golongan Yahudi. Mereka itu datuk nenek kepada Yahudi yang hidup zaman Nabi di Madinah. Sekarang cucu cicit merekalah yang duduk di Madinah.

Mereka itu ada perangai buruk yang Allah nak ceritakan kepada semua. Allah nak ceritakan, pertamanya kepada orang Arab Madinah. Kerana merekalah yang mula-mula terima Qur’an dan mereka yang berdepan dengan golongan Yahudi itu. Kalau Yahudi di Madinah waktu itu, mereka tentu takkan menceritakan kesilapan tok nenek mereka. Oleh kerana Arab Madinah tak tahu kisah ini, mereka sangka yang golongan Yahudi itu adalah golongan suci yang tidak boleh dipersalahkan. Mereka nampak Yahudi itu macam puak-puak wali sahaja. Maka Allah bongkarkan kisah mereka. Dah dengar kisah ini, fikirkanlah bagaimana hubungan mereka dengan golongan Yahudi itu. Kalau tok nenek mereka berperangai macam itu, ada kemungkinan cucu cicit mereka pun ada perangai macam itu juga. Maka, hendaklah diketahui yang golongan Yahudi itu tidaklah baik sangat.

Kita akan baca tiga keburukan mereka.
1. Tawalli anil Ahkam. Berpaling dari beramal dengan hukum
2. Banyak soal tentang hukum Tuhan. Benda senang tapi mereka yang susahkan.
3. Suka buat helah dalam beramal dalam hukum Tuhan. Ini kisah mereka menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka tidak boleh menangkap ikan pada hari ibadat, iaitu hari Sabtu. Tapi hari Sabtu itulah Allah beri ujian dengan ikan keluar dengan banyak. Maka, mereka buat helah dengan tahan pukat pada hari Jumaat dan angkat pada hari Ahad. Mereka kata mereka hanya tangkap ikan hari Ahad sahaja.
Begitulah masyarakat kita sekarang pun buat helah juga. Sebagai contoh, riba itu haram. Tapi dengan helah yang dilakukan, riba yang haram boleh jadi halal juga. Cuma nama dah jadi lain lah. Maka helah sebegitu adalah sifat Yahudi. Dan begitu juga ada ulama dalam Islam yang buat helah dalam hal syariat. Mereka pusing dalil-dalil syariat sampaikan yang haram boleh jadi halal. Mereka pun ikut sifat Yahudi.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاذكُروا ما فيهِ لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Sahih International

And [recall] when We took your covenant, [O Children of Israel, to abide by the Torah] and We raised over you the mount, [saying], “Take what We have given you with determination and remember what is in it that perhaps you may become righteous.”

Malay

Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah perangai pertama iaitu berpaling dari syariat. Perkataan مِيثَاقَ dalam ayat ini sebenarnya ada juga dalam Taurat. Allah gunakan lafaz yang sama supaya mereka tidak ada alasan untuk mengatakan yang ianya adalah perkara yang berlainan. Lafaz عهد juga ada lafaz yang sama dalam Taurat dan Qur’an. Ianya untuk mengingatkan mereka yang mereka telah berjanji akan berpegang dengan syariat dalam Taurat.

Oleh itu, ini adalah perjanjian dengan tok nenek mereka di zaman Nabi Musa. Perjanjian itu adalah antara tok nenek Bani Israil yang dahulu, tapi kenapa Allah mengingatkan Bani Israil zaman Nabi Muhammad pula? Ini adalah kerana mereka adalah satu bangsa. Mereka pun tahu tentang perjanjian itu. Kerana mereka memang berbangga dengan sejarah mereka. Oleh itu, mereka ambil tahu apa yang terjadi dalam sejarah mereka.

Kata مِيثَاقَ bermaksud perjanjian yang ada tanggungjawab yang berat di dalamnya. Sebab itulah Allah tekankan dalam ayat ini. Maka jangan ambil lewa tentang perjanjian itu. Penjelasan tentang apakah perjanjian itu ada dalam Surah al-A’raf. Seperti ada hubungan antara Surah Baqarah dan Surah A’raf.

Peringatan kepada Bani Israil zaman Nabi itu adalah juga peringatan kepada kita juga. Jangan kita sangka yang itu adalah untuk bangsa Yahudi sahaja. Apabila Allah letakkan dalam Quran, bermakna ianya juga untuk perhatian kita juga.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

Dan Kami angkat bukit Thur atas kepala kamu;

Tapi mereka telah engkar dan kerana itu Allah telah mengangkat Bukit Thur atas mereka. Allah nak hempap mereka kalau mereka tidak mahu beramal dengan Taurat. Dulu mereka beri alasan tidak ada kitab. Sekarang bila dah ada, mereka tidak mahu beramal pula. Sampai Allah angkat Bukit Thur ini atas mereka.

Bukit Thur telah diangkat atas mereka kerana mereka engkar kepada Musa. Mereka engkar apabila mereka kata 70 orang wakil yang mengikut Nabi Musa ke atas bukit itu telah bersekongkol dengan Nabi Musa. 70 orang wakil itu telah dimatikan kerana mereka telah minta untuk melihat Allah secara zahir. Selepas mereka dimatikan, mereka telah dihidupkan. Selepas dihidupkan, tentulah mereka telah percaya kepada Nabi Musa. Bila mereka turun ke bawah bukit bertemu dengan kaum mereka, mereka telah menceritakan segalanya kepada Bani Israil yang dibawah. Tapi kaum mereka yang lain, masih tidak mahu percaya. Mereka kata wakil-wakil itu telah bersekongkol pula dengan Nabi Musa. Mereka kata Nabi Musa telah rasuah wakil-wakil itu.

Ada juga yang kata memang terangkat bukit Thursina atas kepada mereka terawang-awang. Dan ada yang kata ianya hanya bergegar dan jatuh sahaja.

Apabila bumi bergegar dengan kuat, tentulah kita akan pegang sesuatu. Apa yang kita hendak pegang?

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ

Allah berkata: Peganglah sungguh-sungguh apa yang Kami telah beri kepada kamu;

Mereka diarahkan untuk beramal sungguh-sungguh dengan kitab Taurat itu dan jangan main-main. Mereka telah terima Nabi Musa itu tapi mereka tidak menerimanya dengan serius. Kerana itulah Allah telah angkat Bukit Thursina atas mereka untuk menakutkan kepada mereka. Sebagai penekanan kepada mereka untuk menerima Nabi Musa dan syariat bersungguh-sungguh. Allah jadikan satu perkara yang hebat dan besar untuk menyedarkan mereka. Kerana kalau sesuatu yang besar berlaku, tentulah manusia memberi perhatian.

وَاذْكُرُوا مَا فِيهِ

dan ingatlah apa yang ada dalam Taurat itu;

Arahan untuk ‘ingat’ di sini bermaksud: belajarlah. Dan kena sentiasa muzakarah sesama mereka. Belajar ilmu yang ada dalam kitab Taurat. Bukan sahaja belajar, tapi lepas belajar, kena mengajar. Kena amalkan yang telah dipelajari itu. Kerana makna ‘zikr’ bukan hanya ingat, tapi kena juga ingatkan kepada orang lain juga.

Maka, kita pun kena belajar dan mengajar Quran juga. Bukan hanya mengajar ‘baca’ Quran, tapi mengajar tafsir Quran.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu akan bertakwa;

Apabila Allah kata ‘mudah-mudahan’, ianya bermaksud: pasti. Maknanya, kalau kita pegang Quran dengan belajar dan mengajar, kita akan pasti mendapat takwa.


Ayat 64:

ثُمَّ تَوَلَّيتُم مِن بَعدِ ذٰلِكَ ۖ فَلَولا فَضلُ اللهِ عَلَيكُم وَرَحمَتُهُ لَكُنتُم مِنَ الخاسِرينَ

Sahih International

Then you turned away after that. And if not for the favor of Allah upon you and His mercy, you would have been among the losers.

Malay

Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu (tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.

ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ

Kemudian kamu berpaling juga selepas perjanjian itu;

Kerana sudah diangkat Bukit Thur atas mereka, maka mereka bersetuju untuk beramal dengan kitab Taurat kerana ketakutan melihat apa yang Allah buat itu. Dan Allah tidak hempap mereka dengannya. Tetapi selepas itu mereka tetap berpaling dari mengamalkannya.

Dua-dua golongan dari Bani Israil berpaling dari perjanjian itu: yang sezaman dengan Nabi Musa dan Bani Israil pada zaman Nabi Muhammad. Kita kena ingat, walaupun perjanjian itu tidak diambil dengan mereka yang hidup di zaman Nabi Muhammad, tapi mereka tahu tentang perjanjian itu. Dan mereka tertakluk juga dengan perjanjian itu. Dan mereka kenal Nabi Muhammad sebenarnya. Mereka tahu Nabi Muhammad adalah Rasul yang sebenarnya. Tapi mereka masih lagi berpaling.

فَلَوْلَا فَضْلُ اللهِ عَلَيْكُمْ

Kalau tidaklah kerana kurnian Allah taala atas kamu;

Iaitu melambatkan dijatuhkan azab. Apabila buat syirik kepada Allah dan derhaka kepada Allah, Allah tidak matikan terus, tidak terus beri azab kepada mereka. Allah biarkan dahulu. Itu adalah kurnia sebab beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Tapi ada juga dari masyarakat kita kata, Tuhan berkenan dengan perbuatan salah yang mereka buat itu, sebab itu tidak beri azab. Mereka guna alasan – kalau Allah tak suka, tentu Allah dah beri azab kepada mereka. Padahal, sebenarnya Allah tak beri azab terus kerana Allah memberi peluang kepada mereka untuk berfikir dan bertaubat.

Allah ada juga beri azab sikit-sikit kepada mereka. Tapi Allah tidak beri azab yang sampai menghapuskan terus keturunan mereka seperti yang terjadi kepada Kaum Aad dan Tsamud.

Perkataan فَضْلُ bermaksud sesuatu pemberian yang lebih dari yang sepatutnya. Sebagai contoh, jikalau seseorang minta satu benda, tapi kita beri kepadanya tiga benda. Allah banyak memberi kurniaan kepada kita. Kurniaan Allah kepada mereka adalah mereka telah diampunkan dosa-dosa mereka dan mereka juga telah diberikan Rasul dan Nabi yang banyak. Jadi Allah hendak beritahu kepada mereka, kalau tidak kerana kurniaanNya kepada mereka, maka mereka akan jadi orang yang sesat. Maka mereka kenalah ikut Nabi Muhammad.

وَرَحْمَتُهُ

dan suatu rahmat dariNya,

Rahmat itu maksudnya dikekalkan kitab Taurat dengan mereka. Allah tidak tarik nikmat Kitab itu dari mereka.

لَكُنْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ

nescaya kamu pasti akan jadi dari golongan yang paling rugi

Kalau tidak kerana rahmat Allah atas mereka, tentulah mereka akan rugi apabila mereka mati nanti; selagi tak mati, tak rugi lagi. Tunggulah azab di neraka kelak.


Ayat 65: Keburukan kedua mereka adalah helah mereka dalam syariat.

وَلَقَد عَلِمتُمُ الَّذينَ اعتَدَوا مِنكُم فِي السَّبتِ فَقُلنا لَهُم كونوا قِرَدَةً خاسِئينَ

Sahih International

And you had already known about those who transgressed among you concerning the sabbath, and We said to them, “Be apes, despised.”

Malay

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

وَلَقَدْ عَلِمْتُمُ الَّذِينَ اعْتَدَوْا مِنْكُمْ

Dan sesungguhnya kamu tahu orang-orang yang melampaui batas dari antara kamu;

Allah mengingatkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh tok nenek mereka dahulu. Memang mereka tahu sejarah apa yang terjadi zaman dahulu. Mereka memang belajar sejarah bangsa mereka dengan bersungguh-sungguh. Allah hendak mengingatkan mereka tentang apakah yang terjadi kepada mereka yang melanggar perjanjian.

فِي السَّبْتِ

pada hari Sabtu;

Ini adalah cerita tentang Yahudi selepas Nabi Musa. Ianya berlaku di zaman Nabi Daud. Mereka telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Kisah ini ada dalam Surah Al A’raf (Ayat 163). Mereka telah diperintahkan oleh Tuhan untuk tidak buat apa-apa kerja pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari untuk mereka beribadat. Masak pun tidak boleh. Kerana itu adalah hari besar mereka. Alhamdulillah kita tak kena syariat macam itu, walaupun hari besar kita adalah hari Jumaat, tapi kita masih lagi boleh buat kerja. Cuma kena pergi solat Jumaat selama dua jam sahaja.

Jadi, mereka memang tidak boleh buat kerja pada hari sabtu. Dalam Injil ada disebut yang mereka memasak pun tidak boleh. Tapi ikan-ikan telah timbul dengan banyak di lautan pada hari sabtu. Mereka tak sabar. Jadi, mereka telah buat jerat pada hari Jumaat supaya ikan-ikan masuk dalam jerat pada hari Sabtu. Dan mereka angkat ikan-ikan itu pada hari Ahad. Mereka menggunakan alasan bahawa mereka tidak bekerja pada hari Sabtu itu. Apabila mereka buat begitu, seperti mereka menipu Allah.

Sama juga macam kita yang cuba hendak menipu Allah. Contohnya, kita tidak boleh pergi ke kenduri kahwin yang ada persandingan. Kerana ianya adalah perbuatan syirik – menyerupai amalan penganut Hindu menyembah dewa mereka. Tapi ada juga yang pergi ke majlis sebegitu dengan mengatakan mereka tak tengok majlis sanding itu, mereka hanya makan sahaja. Itu pun boleh dikira menipu Allah juga.

فَقُلْنَا لَهُمْ

Maka Kami titah kepada mereka:

Ini adalah titah dalam bentuk azab kepada mereka.

كُونُوا قِرَدَةً خَاسِئِينَ

Jadilah kamu kera yang hina dina;

Oleh kerana kesalahan mereka itu, mereka telah ditukar menjadi kera selama tiga hari. Memang mereka menjadi kera betul, bukan perangai mereka sahaja macam kera. Selepas tiga hari, mereka mati. Tapi, ada pula yang mengambil dari cerita ini untuk mengatakan yang manusia dijadikan dari kera pula. Ini tidak masuk akal kerana semua mereka yang jadi kera itu telah mati selepas tiga hari.

Ada yang buat kesalahan ini dan ada yang tengok sahaja. Ada juga yang menegur perbuatan mereka itu. Kerana selalu tegur, golongan yang melihat sahaja pun marah kepada golongan yang menegur itu. Yang pasti, mereka yang buat salah itu telah jadi kera. Tapi khilaf di kalangan ulama, samada mereka yang tengok tidak menegur itu jadi kerana juga atau tidak. Yang pasti juga, mereka yang menegur itu selamat dari ditukar menjadi kera. Mereka badan sahaja jadi kera, tapi akal mereka masih akal manusia.

Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan mereka berperangai seperti kera dan bukanlah ditukar sampai menjadi kera. Kerana kera adalah binatang yang tidak kisah tentang halal haram. Seperti mereka juga. Tapi kisah ini tidak boleh dipakai kerana ianya adalah kisah israiliyat. Sedangkan ada hadis Nabi beritahu yang mana-mana manusia yang ditukar menjadi makhluk lain, mereka hanya hidup tiga hari sahaja. Jadi mereka itu tidak ada baka sebenarnya. Allah jadikan sebegini supaya menjadi pengajaran kepada yahudi yang lain. Allahu a’lam.


Ayat 66:

فَجَعَلناها نَكالًا لِما بَينَ يَدَيها وَما خَلفَها وَمَوعِظَةً لِلمُتَّقينَ

Sahih International

And We made it a deterrent punishment for those who were present and those who succeeded [them] and a lesson for those who fear Allah .

Malay

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

فَجَعَلْنَاهَا نَكَالًا

Maka Kami jadikan seksaan kepada mereka itu sebagai satu peringatan

Kalimah نكل bermaksud sesuatu yang melarikan, menjauhkan. Maka penukaran kepada kera itu menjadi satu tauladan supaya manusia selepas itu akan menjauhkan diri dari melakukan kesalahan yang sama.

لِمَا بَيْنَ يَدَيْهَا

bagi orang yang ada pada masa itu;

Mereka yang melakukan kesalahan dan telah ditukar kepada kera itu tinggal berdekatan dengan laut – kerana kesalahan mereka itu menangkap ikan. Bermakna, kerja mereka adalah sebagai nelayan. Jadi, manusia selalunya akan lalu berdekatan dengan laluan air, maka ramailah yang boleh melihat takdir Allah kepada mereka itu.

وَمَا خَلْفَهَا

dan orang-orang yang akan datang kemudian

Bukan mereka yang hidup sezaman dengan mereka yang ditukar sahaja yang boleh mengambil pengajaran, tapi mereka-mereka yang selepas itu juga.

وَمَوْعِظَةً لِلْمُتَّقِينَ

dan sebagai satu nasihat yang amat berguna kepada-orang orang yang bertaqwa.

Kalau kita bertaqwa, kita juga akan mengambil pengajaran ini sebagai nasihat yang penting untuk kita. Janganlah kita menggunakan helah dalam agama. Ianya adalah satu perbuatan yang amat buruk sekali.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 30 Oktober 2017


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

One Response to Tafsir Surah Baqarah Ayat 62 – 66 (Yahudi suka buat helah)

  1. Pingback: Tafsir Surah Zumar 53 – 67 | Tafsirsunnah's Blog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s