Tafsir Surah Baqarah Ayat 40 – 43 (Muqaddimah Tentang Yahudi)

Pengenalan:

Dari ayat 40 Surah Baqarah hingga ke hujung Juzuk Pertama, adalah berkenaan orang Yahudi. Jadi ayat ini dan seterusnya adalah khitab kepada Bani Israil. Sebelum ini khitab secara umum kepada manusia. Mereka ini mendapat khitab yang khusus kerana mereka golongan yang ada kitab wahyu. Memang ada lagi bangsa lain yang dapat kitab wahyu tapi yang paling masyhur adalah Bani Israil. Mereka mendapat Kitab Taurat, Zabur dan Injil. Memang mereka dapat banyak kitab kalau dibandingkan dengan golongan lain. Yang bangsa lain ada juga dapat kitab tapi tak masyhur. Tapi walaupun mereka dapat kitab wahyu, masalahnya mereka sendiri tidak ikut kitab itu. Majoriti dari golongan mereka yang tidak ikut kitab.

Maka Allah nak ingatkan kepada kita jangan jadi seperti mereka. Kerana kita pun ada kitab Qur’an tapi tak ikut juga, bukan? Maka jangan buat malu – masyhur sahaja umat Islam ada Qur’an tapi tak pakai pun. Tahu baca sahaja tapi tidak tahu apa yang Allah sampaikan dalam Qur’an itu. Jadi sama sahaja dengan orang-orang Yahudi itu.

Jadi teguran ini adalah kepada orang Yahudi dan para pendita mereka. Ianya berkenaan soalan yang mereka tanya kepada Nabi dan jawapan kepada mereka. Ianya hendak memperkenalkan kita kepada sifat-sifat orang Yahudi. Kerana ditakuti kita pun ada sifat-sifat mereka. Allah menceritakan tentang mereka supaya kita boleh mengambil pengajaran dari kisah mereka. Bukan hanya suka-suka sahaja Allah menceritakan tentang mereka. Bukanlah tujuan kita belajar tentang mereka itu hanya untuk menunjukkan kepada kita betapa teruknya perangai mereka.

Kenalah berlapang dada jikalau kita ada sifat-sifat Yahudi. Jangan kita salahkan ayat-ayat Quran ini dan tafsir ini pula. Kerana mungkin dalam kita belajar tafsir ini, ada antara sifat-sifat itu yang sama dengan kita. Atau ada antara guru kita yang ada sifat para pendita Yahudi. Maka, kalau begitu, kenalah kita berhati-hati dengan guru-guru seperti itu dan meninggalkan mereka kerana kalau kita terus ikut mereka, maka kita akan kerugian.

Ayat 40-123 ditujukan kepada ahli Kitab. Lebih-lebih kepada mereka yang duduk sekitar kota Madinah yang tinggal bersama dengan Nabi Muhammad. Mereka sebenarnya adalah penghalang besar kepada dakwah Islam. Jadi kena dijelaskan dengan sejelas-jelasnya tentang mereka.

Untuk memahami ayat-ayat ini, kita kena faham sejarah waktu itu dahulu. Orang Arab Madinah sebenarnya sebelum masuk Islam, mereka sudah ada guru yang menjadi tempat rujukan mereka, iaitu golongan Yahudi. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja guru mereka dalam hal-hal agama, tapi puak-puak Yahudi itu juga adalah majikan mereka. Dan mereka banyak berhutang dengan puak-puak Yahudi itu. Puak-puak Yahudi itu bukan sahaja kaya tapi mereka juga ada ilmu agama. Orang Arab kebanyakannya jahil dan miskin walaupun mereka adalah majoriti penduduk Yathrib (nama Madinah sebelum ditukar oleh Nabi Muhammad). Oleh itu, Yahudi sangat berpengaruh di Madinah.

Orang Arab Madinah terdiri dari banyak puak dan suka berperang sesama mereka. Puak yang utama adalah Aus dan Khazraj. Dua puak ini ada hubungan dengan Puak Yahudi yang berlainan. Puak Aus berkawan dengan Yahudi Bani Quraizah. Sementara Puak Khazraj pula berhubungan dengan puak Bani Nadhir. Puak-puak Yahudi itu menjadi penaung kepada puak Arab masing-masing. Maka apabila puak Arab itu berbalah dan berperang, maka puak Yahudi Quraizah dan Nadhir pun ikut bermusuhan sesama mereka. Sampai kepada tahap berbunuhan sesama Yahudi. Ini semua adalah sebelum kedatangan Nabi lagi.

Apabila puak-puak Arab itu sudah ada penaung dan majikan, maka apabila datang orang luar, mereka susah nak terima orang luar. Mereka lebih percaya kepada puak Yahudi yang telah menjadi tempat rujukan mereka selama ini. Kalau dengar sesuatu yang tidak biasa mereka dengar, mereka akan rujuk tok guru mereka dari kalangan Yahudi.

Yahudi itu pun bukannya ikut amalan agama mereka pun. Kalau amalan yang susah dan payah pada fikiran mereka, mereka akan ubah supaya mudah untuk mereka. Kalau kitab mereka sendiri pun mereka susah nak amalkan, tambahan lagilah kalau kitab yang lain yang diturunkan kepada Nabi selain dari bani Israil. Dan kitab itu pula memperkatakan perkara yang sama iaitu melawan hawa nafsu, tentulah mereka akan tolak, kerana mereka tidak suka.

Maka apabila ditanyakan kepada puak Yahudi itu tentang ayat-ayat Qur’an, mereka akan tafsir ikut hawa nafsu mereka. Maka orang Arab itu akan ragu-ragu untuk menerima ajaran Nabi Muhammad apabila mendengar apa yang disampaikan oleh orang-orang Yahudi itu. Maka, kalau tidak diceritakan dan dijelaskan perangai Yahudi sebenar, susahlah orang Arab untuk menerima Islam semua sekali.

Ayat-ayat tentang perangai Yahudi ini diturunkan awal-awal lagi semasa Nabi baru sampai ke Madinah. Supaya masyarakat Arab Madinah boleh kenal sifat tipu, tamak, tukar teks agama, dan lain-lain kesalahan dan keburukan orang Yahudi yang selama ini mereka jadikan sebagai tempat rujuk mereka. Mereka juga golongan yang paling kuat makan riba kerana mereka yang amalkan sistem riba.

Tujuan Allah beritahu tentang mereka adalah supaya orang Islam sudah tidak bergantung dan percaya kepada golongan Yahudi. Dan supaya terima Islam 100%.

Qur’an bukan nak cerita tentang Yahudi itu sahaja. Mungkin ada bangsa lain yang berperangai Yahudi. Dalam kalangan kita pun ada yang berperangai begitu. Kita jangan lupa yang ada kalangan orang-orang Yahudi itu yang baik seperti Abdullah bin Salam dan lain-lain lagi. Ada segelintir golongan Yahudi yang jujur dan mereka telah masuk Islam. Tapi majoriti dari mereka tidak.

Allah juga sebut tentang golongan munafikin dalam surah Baqarah ini kerana ada golongan munafikin dalam bangsa Yahudi juga.Pecahan pembahagian sifat-sifat golongan Yahudi yang akan disampaikan dalam ayat-ayat seterusnya ini:

1. Golongan pertama disebut dalam ayat 40-62. Iaitu golongan Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah SAW di Madinah.
2. Golongan kedua disebut dalam ayat 63-74. Iaitu golongan Yahudi yang dahulu.
3. Golongan ketiga disebut dalam ayat 75-85
4. Golongan keempat dalam ayat 86.
5. Golongan kelima disebut dalam 87-88
6. Golongan keenam disebut dalam 89-91
7. Golongan ketujuh disebut dalam 92-93

Dan dalam ayat 94-123 disebut tentang kesamaran-kesamaran dan teguran Allah tentang Yahudi.

Dan dalam ayat 124 Allah menceritakan tentang asas umat Nabi Muhammad. Asasnya adalah millah Nabi Ibrahim dan bukannya Islam itu asasnya dari agama Yahudi. Umat Nabi Muhammad ini lahir dari doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Dalam keturunan Nabi Ibrahim, ada anaknya yang bernama Nabi Ishak. Dan dari Nabi Ishaklah datangnya keturunan bani Israil. Tapi susun galur umat Islam akhir zaman ini adalah dari doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Maka, tahulah bangsa Arab yang mereka pun keturunan Nabi juga. Kalau sebelumnya itu memang sangka mereka golongan kerdil, maka tidaklah lagi mereka rasa rendah diri. Allah nak beritahu kepada bangsa Arab yang mereka jangan rasa yang bangsa Yahudi itu sahaja yang hebat. Kalau bangsa Arab pun menjalankan tugas agama, jaga agama, isi diri dengan wahyu, mereka boleh jadi lebih hebat lagi dari bangsa Yahudi. Kerana mereka bangsa Arab telah dipilih untuk jadi pengikut Nabi akhir zaman. Allah nak beri kesedaran kepada mereka tentang perkara itu. Allah telah pilih mereka sebagai sahabat yang mulia kerana mereka majoriti dari kalangan sahabat Nabi. Sampaikan sesiapa sahaja, termasuk Yahudi, kena ikut Nabi yang yang datangnya dari Arab. Dan para sahabat yang berbangsa Arab itu juga kena dijadikan ikutan. Sampaikan Nabi sudah beritahu yang khalifah dunia kenalah dari bangsa Quraish, iaitu bangsa Arab. Kalau bangsa lain yang tadbir, porak perandalah dunia ini.


 

Ayat 40: Yahudi jenis yang pertama.

يٰبني إِسراءيلَ اذكُروا نِعمَتِيَ الَّتي أَنعَمتُ عَلَيكُم وَأَوفوا بِعَهدي أوفِ بِعَهدِكُم وَإِيّٰيَ فَارهَبونِ

Sahih International

O Children of Israel, remember My favor which I have bestowed upon you and fulfill My covenant [upon you] that I will fulfill your covenant [from Me], and be afraid of [only] Me.

Malay

Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

 

يٰبَنِي إِسْرَاءيلَ

Wahai Bani Israil;

Sekarang Allah hendak memberikan contoh kepada kita tentang mereka yang tidak mengikut hidayah agama iaitu Bani Israil. Mereka ini telah mendapat agama sebelum kita. Tapi mereka telah meninggalkan agama. Maka kita kena jadikan mereka sebagai pengajaran buat kita.

Dalam ayat ini, Allah sedang bercakap dengan Bani Israil yang sedang bersama dengan Nabi Muhammad. Allah mengingatkan mereka. Pertamanya, Allah mengingatkan mereka tentang nikmat yang mereka telah perolehi.

Allah seru mereka dengan bahasa manja, sebab nak pujuk mereka kembali ke pangkal jalan. Allah kaitkan mereka dengan keturunan mereka dalam nisbah agama (kaitkan dengan agama mereka). Ini kerana hendak melembutkan hati mereka. Macam kalau kita nak pujuk anak cucu Tok Kenali yang amalkan ajaran jauh dari agama, maka kita panggil mereka: “wahai anak cucu Tok Kenali…”

Ini adalah Yahudi jenis yang pertama. Ayat ini adalah titah yang khusus kepada Bani Israil. Dan Bani Israil ini ada dua jenis: yang awam dan yang ada ilmu (pendita). Kalau disebut dalam Quran ‘Ahlul Kitab’, ia merangkumi semua orang, samada yang berilmu atau yang jahil. Tetapi, kalau dalam ayat itu menyebut ‘mereka yang diberikan kitab’, ini khusus merujuk kepada ulama dari kalangan Yahudi.

Ayat ini berbentuk pujukan kepada ahli kitab untuk kembali kepada syariat. Dalam bahasa Yahudi, ‘isra’ bermaksud hamba dan ‘il’ bermaksud Allah. Maka, perkataan ‘Israil’, maksudnya ‘Hamba Allah’. Ini seperti yang diberitahu oleh Ibn Abbas. Dan Israil ini juga adalah gelaran (laqab) bagi Nabi Yaakob. Dari anaknya yang 12 orang itulah jadi Bani Israil (Anak-anak Israil).

 

اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ

Ingatlah nikmat-nikmatKu;

Allah nak ingat mereka semula dengan segala nikmat rohani dan nikmat jasmani yang Allah telah berikan kepada mereka. Ada ramai dari kalangan mereka yang Allah jadikan Nabi (nikmat rohani) dan ramai yang jadi pemimpin yang kaya raya (nikmat jasmani). Maka Allah nak kenangkan nikmat-nikmat itu kepada mereka.

Allah mengingatkan Bani Israil di zaman Nabi Muhammad tentang nikmat-nikmat yang pernah diberikan kepada mereka. Banyak juga yang disebut dalam Qur’an sebagai contoh: mereka diselamatkan dari cengkaman Firaun; mereka diberi makan manna dan salwa; dan macam-macam lagi. Begitulah cara berdakwah. Mulakan dengan mengingatkan manusia tentang nikmat-nikmat yang mereka telah dapat. Kena ingatkan mereka untuk kenang jasa – maka kenanglah jasa Allah dalam beri nikmat kepada mereka, maka kenalah taat kepada Allah.

 

الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ

yang Aku telah berikan nikmat itu kepada kamu;

Dalam surah Fatihah, kita telah meminta supaya diberikan ‘nikmat’. Jadi Allah nak kata dalam ayat ini bahawa Bani Israil ini sudah mendapat nikmat itu dahulu. Tapi bagaimanakah mereka telah buat dengan nikmat yang mereka ada itu?

Kita pun sedang mendapat nikmat dari Allah. Sebagaimana Bani Israil telah mendapat agama dan Kitab Taurat, kita umat Nabi Muhammad juga telah mendapat Quran. Tapi kalau kita bertindak kepada Quran itu sama macam mereka bertindak kepada Taurat, kita pun boleh jadi macam mereka juga nanti. Maka, kenalah kita beringat dan berjaga-jaga dengan nikmat (dunia dan akhirat) yang Allah telah berikan kepada kita ini.

 

وَأَوْفُوا بِعَهْدِي

dan penuhilah janji kamu denganKu,

Digunakan kalimah ahdu dalam ayat ini kerana memang ada dalam Kitab Taurat maka digunakan lafaz yang sama. Allah gunakan bahasa yang mereka dah biasa.

Dan tunaikanlah janji untuk taat kepada hukum Allah. Lebih-lebih lagi, janji untuk mentauhidkan Allah. Mereka sebenarnya kena pakai balik hukum dari kitab Taurat yang asli.

Antara janji yang mereka kena penuhi adalah janji untuk ikut Nabi Akhir Zaman. Mereka sudah lama tahu tentang kedatangan Nabi Akhir Zaman itu. Mereka memang menunggu-nunggu (kerana itu keturunan mereka dahulu berhijrah ke Yathrib kerana nak tunggu Nabi Akhir Zaman itu kerana mereka tahu dari kitab mereka yang baginda akan datang ke situ). Maka bila Nabi dah datang, hendaklah mereka taat dan ikut kepada baginda.

 

أُوفِ بِعَهْدِكُمْ

nescaya Aku akan memenuhi perjanjianKu dengan kamu;

Allah akan memenuhi perjanjianNya jikalau kita memenuhi janji kita denganNya, antaranya Allah akan memasukkan manusia yang taat ke dalam Syurga. Dan kalau Bani Israil memenuhi janji mereka, Allah akan memenuhi janjiNya untuk mengekalkan nikmat kepada mereka.

 

وَإِيَّٰيَ فَارْهَبُونِ

Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa takut.

Allah ingatkan mereka bahawa hanya kepada Allah sahaja mereka kena takut. Kalimah فَارْهَبُونِ dari ر ي ب yang bermaksud ‘takut’. Tapi takut ada banyak jenis. Kalimah ر ي ب bermaksud ‘takut untuk mengecewakan seseorang’. Sebagai contoh, ada orang yang kita hormati, maka kita takut untuk buat sesuatu yang boleh mengecewakan orang itu kerana kita hormat dia. Lebih-lebih lagi kepada Allah.

Dari kalimah ر ي ب inilah pendita mereka digelar sebagai ‘rahib’.

Mereka diingatkan supaya takut kepada Allah supaya mereka ikut mana yang benar. Telah berleluasa atau telah diketahui yang ajaran agama mereka adalah agama yang telah diubahsuai. Apabila ajaran yang telah dipakai oleh orang ramai bukan agama yang asal, maka orang yang nak amal yang asal pula jadi takut. Maka, sebab itu Allah sebut sebenarnya mereka kena takut dengan Allah, bukan dengan orang lain. Biarlah orang kata apa pun, yang penting kena ikut ajaran yang asli. Jangan takut dengan manusia, tapi takutlah dengan Allah.

Samalah juga dengan keadaan kita sekarang. Amalan masyarakat kita banyak yang bidaah, bukan dari ajaran asal Islam. Tapi ianya amat berleluasa sekali, sampaikan mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kembali kepada ajaran Quran dan sunnah pula yang susah nak amalkan. Orang-orang yang amalkan bidaah itu pula yang pandang serong mereka yang hendak mengamalkan sunnah, kerana amalan sunnah pula yang nampak pelik sebab jarang diamalkan dalam masyarakat. Ramai dari kalangan orang yang sudah mula berjinak dengan sunnah, mengamalkan sunnah dalam keadaan bersembunyi. Mereka takut nak tegur orang-orang yang mengamalkan bidaah, kerana takut dipandang serong dan dikutuk dan macam-macam lagi. Mereka takut disisih dari keluarga dan masyarakat mereka. Kepada mereka, kita ingatkan seperti dalam ayat ini, supaya jangan takut dengan apa yang orang lain kata, tapi takut kepada Allah.


 

Ayat 41:

وَءآمِنوا بِما أَنزَلتُ مُصَدِّقًا لِمّا مَعَكُم وَلا تَكونوا أَوَّلَ كافِرٍ بِهِ ۖ وَلا تَشتَروا بِئآيٰتي ثَمَنًا قَليلًا وَإِيّايَ فَاتَّقونِ

Sahih International

And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me.

Malay

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.

 

وَآمِنُوا بِمَا أَنْزَلْتُ

Dan berimanlah dengan apa yang Aku turunkan kepada kamu;

Mereka kena beriman dengan Qur’an sekarang. Bukan kembali kepada Taurat pula. Tak boleh nak baiki balik Taurat itu dan kembali kepadanya kerana syariat Taurat sudah mansukh. Mereka kena pakai Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Sekarang mereka diajak beriman kepada Qur’an. Kerana apabila Qur’an dah diturunkan, mereka kena beriman dengan Qur’an.

Dan untuk beriman dengan Qur’an, hendaklah mereka beriman dengan Nabi Muhammad, kerana Qur’an itu diturunkan melalui Nabi Muhammad. Tidak boleh hendak percaya kepada Qur’an tanpa percaya kepada Nabi. Ini penting kerana zaman sekarang, ada yang hendak percaya kepada Qur’an tapi tak mahu terima Nabi Muhammad. Padahal, macam mana nak percaya Qur’an tanpa Nabi?

Yahudi dan Nasrani, mereka kata mereka percaya kepada Allah. Tapi mereka tak mahu terima Nabi. Itu adalah salah. Kerana untuk percaya kepada Allah, kita perlu juga percaya kepada Nabi Muhammad juga.

 

مُصَدِّقًا لِمَا مَعَكُمْ

yang membenarkan apa yang ada dengan kamu;

Quran itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat. Mereka telah ada kitab Taurat di tangan mereka. Dan Quran itu membenarkan apa yang ada dalam Kitab Taurat itu. Ada persamaan ajaran yang ada dalam Taurat dan Quran. Dan sekarang, mereka kena tinggalkan Taurat dan mengambil Quran sebagai Kitab pedoman yang baru.

Quran itu membenarkan isi tauhid yang ada dalam kitab Taurat dan injil. Kerana memang serupa apa yang disampaikan berkenaan akidah. Akidah tauhid tidak bertukar dari dulu sampai sekarang. Sama sahaja yang dibawakan oleh setiap Nabi.

Antara yang yang dibenarkan dalam Taurat itu adalah tentang kedatangan Nabi. Mereka telah tahu bahawa akan datang Nabi akhir zaman. Dan Nabi itu akan berada di Madinah. Sebab itulah mereka telah siap menunggu di Madinah. Jadi, mereka telah tahu dah tentang kedatangan Nabi yang baru itu. Cuma mereka tidak boleh terima Nabi Muhammad kerana Nabi Muhammad datang dari bangsa Arab.

 

وَلَا تَكُونُوا أَوَّلَ كَافِرٍ بِهِ

Dan janganlah kamu jadi orang yang pertama-tama engkar dengannya;

Allah berpesan kepada mereka supaya jangan yang jadi mula-mula engkar dengan Quran. Kerana akibat bila mereka engkar, pengikut-pengikut mereka akan jadi kufur juga. Bila jadi begitu, mereka akan terima akibat kufur mereka dan pengikut-pengikut mereka itu. Mereka bukan tanggung dosa diri mereka, tapi dosa pengikut-pengikut mereka sekali. Orang Yahudi sekarang tidak menerima Islam kerana mereka lihat apa yang tidak diterima oleh puak Yahudi zaman mereka. Mereka lihat orang Yahudi itu duduk dengan Nabi tapi tidak beriman, mereka sangka tentu ada apa-apa yang tidak kena dengan Islam sampaikan tok nenek mereka dahulu tidak masuk Islam.

Jadi, ada pendita Yahudi yang menghalang pengikutnya dari belajar dengan Nabi Muhammad.

Kita pula, sebagai contoh, akan jadi begitu juga jika kita sekat orang dari belajar tafsir Quran. Maka, orang yang tak belajar tafsir itu akan berdosa kerana mereka tidak tahu tentang agama. Orang yang menyekat mereka juga akan mendapat dosa yang sama dengan mereka yang tidak belajar itu kerana kesalahan menyekat mereka dari belajar. Kalau sepuluh orang yang kita sekat, maka gandaan dosa kepada kita adalah sepuluh juga.

Begitu juga orang yang menyebar, akan mendapat pahala orang yang ikut saranan mereka itu juga. Oleh itu, kita galakkan manusia untuk belajar tafsir.

Kenapa mereka diingatkan jangan jadi yang pertama sekali engkar? Bukankah yang pertama engkar kepada Nabi Muhammad adalah Quraish? Yang dimaksudkan pertama-tama adalah: janganlah mereka yang berada di depan sekali yang engkar. Patutnya mereka sebagai kaum yang telah menerima agama sebelum ini, sepatutnya tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah ajaran agama yang benar. Kalau Quraish engkar, kita boleh faham juga kerana mereka tidak pernah menerima agama dari langit. Sudah lama Nabi Ismail meninggalkan mereka, jadi mereka sudah jauh dari agama. Tapi kalau Yahudi, mereka sepatutnya masih lagi memegang pegangan agama.

Ini adalah sifat pertama orang Yahudi. Mereka engkar dengan Quran dan tak benarkan pengikut mereka belajar Quran.

 

وَلَا تَشْتَرُوا بِئآيَٰتِي

Dan jangan kamu jual ayat-ayat Kami

Jangan kamu tukar dengan tolak ayat Quran untuk upahan dan habuan dunia yang sedikit. Jual beli itu bermaksud ‘tukar’. Tukar ayat Quran dengan habuan benda atau pengaruh. Mereka fikirkan periuk nasi dan perut mereka. Mereka takut kedudukan mereka jatuh dan makan minum mereka tergendala dan pengaruh dalam masyarakat akan hilang. Mereka takut masyarakat sudah tidak hormat. Walaupun mereka tahu yang wahyu Nabi bawa itu benar.

 

ثَمَنًا قَلِيلًا

dengan upah yang sikit;

Maknanya, jangan tukar ayat-ayat Allah dengan upah yang sedikit. Contohnya, macam zaman sekarang, ada yang mengambil upah untuk mengajar ayat-ayat Quran. Ada yang mengambil upah untuk membaca ayat-ayat Quran.

image

Allah buka rahsia orang Yahudi dalam ayat ini. Mereka sebenarnya telah tahu tentang kedatangan dan kebenaran Nabi Muhammad. Tapi mereka telah sorok kebenaran itu. Mereka takut mereka hilang kedudukan. Waktu itu mereka ada kedudukan yang menyebabkan mereka boleh monopoli agama. Apa-apa sahaja yang mereka kata, akan diterima oleh anak murid dan pengikut mereka. Ini kerana mereka menjadi sumber rujukan dari masyarakat. Mereka mendapat upah dari ilmu yang mereka ada itu. Mereka takut kalau kebenaran diketahui, mereka tidak dipandang orang lagi.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa akan ada sahaja manusia yang memakai topeng agama akan memutar belitkan agama supaya kedudukan mereka terpelihara. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran supaya mereka masih lagi dipandang tinggi oleh masyarakat. Dan mereka boleh cari makan dengan agama. Mereka akan hanya menceritakan kepada manusia perkara-perkara yang menyedapkan hati manusia sahaja. Mereka tidak mengingatkan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan masyarakat kerana takut kalau mereka cerita, masyarakat tak sanggup dengar dan masyarakat tidak datang kepada mereka lagi. Apabila masyarakat sudah tak cari mereka, mereka akan hilang punca pendapatan. Contohnya, masyarakat dah tak panggil mereka lagi untuk beri kuliah agama, mereka tak dipanggil lagi untuk baca doa selamat, masyarakat tak panggil mereka lagi untuk jadi ketua baca tahlil dalam Majlis Tahlil dan macam-macam lagi. Kerana itu semua adalah punca pendapatan mereka. Mereka menjual agama sebenarnya tu. Dengan harga yang sedikit. Kerana apa sahaja upah yang mereka dapat itu adalah amat murah kalau dibandingkan dengan nilai agama yang besar. Sanggup mereka buat macam itu. Semoga kita diselamatkan dari orang-orang yang sebegitu.

Hasilnya, masyarakat tidak tahu bahawa apa yang mereka faham dan amalkan adalah salah, dan mereka terus bergelumang di dalam kesalahan itu. Mereka ingat mereka dah benar, sebab guru mereka tak tegur pun apa yang mereka lakukan itu.

Ini adalah sifat kedua Yahudi, iaitu mereka menjual ayat-ayat Allah.

 

وَإِيَّٰيَ فَاتَّقُونِ

Dan hanya kepadaKu sahajalah kamu bertaqwa;

Mereka diajak takut kepada Allah. Hendaklah takut kepada Allah sahaja. Jangan hirau kepada kata-kata dan ancaman manusia. Ini penting kerana ada yang takut dengan manusia lain, sampaikan tak berani nak sampaikan ajaran dari ayat-ayat Qur’an.

Hendaklah kita bertaqwa kepada Allah dengan jaga hukum yang Allah telah sampaikan kepada kita. Kepada Akulah hendaknya kamu takut. Takut di sini maksudnya dengan melakukan amalan. Ikutlah Nabi Muhammad. Takut dengan jadi orang bertaqwa. Beza takut yang mula-mula – farhabun.


 

Ayat 42: Ini adalah sifat ketiga Pendita Yahudi. Sifat pertama adalah menyekat pengikut mereka dari berjumpa dengan Nabi. Yang kedua, mereka mengambil upah mengajar agama.

Allah keluarkan lagi rahsia kejahatan Yahudi. Orang Islam yang perangai Yahudi pun macam inilah sifat mereka. Segala perkara yang Allah sebut dalam Quran, ada dalam kalangan manusia. Kerana Quran ini adalah panduan sampai Kiamat. Yang pertama kita kena lakukan adalah periksa diri kita dengan sifat-sifat Yahudi itu. Kita periksa samada kita ada sifat-sifat itu. Dan apabila sampaikan kepada orang lain, orang lain itu pun akan periksa dirinya sendiri.

وَلا تَلبِسُوا الحَقَّ بِالبٰطِلِ وَتَكتُمُوا الحَقَّ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Sahih International

And do not mix the truth with falsehood or conceal the truth while you know [it].

Malay

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

 

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ

Jangan kamu campur adukkan yang haq dengan yang batil;

Ini adalah larangan Allah supaya jangan campurkan yang benar dengan yang salah. Yang mudah-mudah kamu amal, tapi yang lainnya kamu tukar. Kamu ganti dengan amalan yang kamu reka sendiri – itulah yang bathil. Jadi amalan mereka ada yang dari Taurat, tapi ada yang ringan yang mereka reka sendiri.

Contohnya adalah apa yang diamalkan dalam masyarakat kita dalam upacara tahnik (belah mulut budak yang baru lahir). Memasukkan kurma atau buah yang manis ke dalam mulut bayi. Ianya memang sunnah dilakukan. Apa yang Nabi ajar adalah menggunakan buah kurma. Yang ditambah oleh orang kita adalah menggunakan gula batu dengan harapan supaya budak itu nanti ‘manis mulut’nya. Supaya kalau perempuan, mudah dapat suami, dan kalau lelaki, senang dapat kerja. Ini adalah perbuatan yang syirik. Kerana mereka percaya bahawa akan dapat kelebihan-kelebihan itu kalau dibuat.

Ada juga yang menggunakan garam buku supaya mulut budak itu ‘masin’. Supaya anak itu akan jadi tok guru, tok wali dan sebagainya. Padahal, nak jadi guru kena belajar Quran dan Hadis. Dan macam-macam lagi yang digunakan oleh masyarakat kita. Ada yang guna asam keping, ada yang guna cincin emas, cincin perak dan sebagainya lagi. Inilah yang dinamakan ‘mencampurkan yang benar dengan yang salah’. Melakukan tahnik itu dah betul dah, tapi dicampur pula dengan perbuatan yang salah. Perbuatan ini dinamakan talbis. Iaitu mencampurkan yang benar dengan yang salah.

Satu lagi contoh: memberi orang makan di rumah kita adalah digalakkan dalam Islam. Tapi mengadakan upacara bidaah seperti bacaan Doa Selamat dan Majlis Tahlil, itu adalah tidak benar. Itu pun dikira mencampur adukkan yang benar dengan yang salah.

Dalam pengajaran pula, ada yang menyelitkan benda yang salah dalam ajaran mereka. Yang bukan datangnya dari agama Islam, tapi dari pendapat-pendapat manusia, kitab dan sebagainya. Mereka memang ada menceritakan kebenaran dari Quran dan Sunnah, tapi ada juga yang mereka selitkan yang bukan dari Islam. Ini pun dipanggil mencampuradukkan haq dan batil.

 

وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ

Kamu sembunyikan yang benar

Kamu sembunyikan yang haq itu daripada diajar kepada orang. Sedangkan kamu tahu yang kamu telah sembunyikan. Iaitu apabila mengajar Taurat, apabila sampai kepada yang syariat yang payah, mereka tafsir dengan tafsir yang mereka buat sendiri. Mereka tak ubah matan teks Taurat itu, tapi apa yang mereka syarah itu yang mereka reka sendiri. Mereka campur adukkan yang benar dan yang salah.

Perkara inilah yang terjadi kepada ulama-ulama Su’ – ulama-ulama jahat. Mereka tak tukar matan Quran, tapi mereka takwil dan tafsir dengan makna yang lain. Sedangkan maknanya bercanggah dengan ayat-ayat Quran. Mereka buat ikut apa yang mereka hendak. Mereka sembunyikan yang benar. Ini adalah amat jahat sekali.

Anak murid pula memang takut nak tegur tok guru. Apa sahaja yang guru beritahu, mereka sangka ianya benar belaka, maka mereka akan terima sahaja. Itulah dikatakan yang العوام كالأنعام (orang awam macam binatang ternak). Maknanya mereka akan ikut sahaja. Dan ini amat bahaya. Asalnya kesalahan yang dilakukan oleh guru agama sahaja, tapi bila dipanjangkan oleh pengikut yang jahil, maka ia jadi berleluasa.

Sampai sekarang ada masjid yang siap dipesan kepada ustaz (oleh AJK Masjid) supaya jangan sembang tentang perkara ini dan itu. Contohnya tentang bidaah, jangan sentuh. Maknanya dia suruh sembunyikan kebenaran. Disuruh ajar perkara-perkara yang tidak menimbulkan kontroversi sahaja. Kalau ajar juga, alamatnya pendeklah masa ustaz itu di masjid itu kerana tidak akan dijemput lagi.

Ini adalah bisikan dari syaitan. Apabila tidak dibenarkan beritahu yang benar, maka lama-lama memang masyarakat akan terus jadi jahil. Mereka yang kata begitu dan ustaz yang ikut cakap AJK Masjid itu tak sedar mereka itu sendiri dah ada perangai Yahudi. Ini teruk kerana kita pun tahu yang Yahudi kena laknat, maka takkan kita pun nak kena laknat juga?

 

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Dan kamu menyembunyikan yang benar; Pendita Yahudi itu tahu yang apa yang mereka amalkan itu adalah salah. Ini sama macam ustaz kita yang tahu mana-mana amalan syirik dan bidaah yang diamalkan masyarakat kerana mereka belajar. Tapi mereka sanggup sembunyikan.

Sebagai contoh, tok guru itu sebenarnya tahu yang sebetulnya tahnik itu menggunakan buah kurma sahaja tapi dia biarkan sahaja orang nak buat macam-macam lagi perkara tambahan, kerana dia nak dapat upah yang sedikit. Sebab mereka akan dapat upah kalau mereka melakukan upacara tahnik itu. Kalau mereka tegur, mereka takut nanti masyarakat dah tak panggil mereka jadi ketua acara majlis itu lagi. Jadi, kalau ada tok guru yang melakukan sebegini, maknanya mereka sudah menjadi seperti Pendita Yahudi. Mereka mempunyai sifat-sifat Pendita Yahudi.

Ada juga guru ugama yang apabila mengajar tentang ugama, mereka tidak menceritakan sepenuhnya tentang kesalahan-kesalahan masyarakat. Takut nanti ada yang terasa.

Ataupun ada yang tidak membacakan tentang kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh golongan Ahli Kitab sebab mereka hendak menunjukkan kononnya Islam itu liberal – agama Islam sama sahaja dengan agama lain yang mementingkan kebaikan. Mereka takut kalau dibacakan ayat-ayat itu, takut orang bukan Islam nampak Islam ini hanya hendak menyalahkan orang lain sahaja. Padahal ayat-ayat itu ada dalam Quran. Kalau mereka tak cerita, itu menunjukkan mereka menyembunyikan kebenaran. Itu adalah jenis orang yang takut dengan orang kafir.

Ada juga yang benci sangat kepada orang bukan Islam sampai mereka hanya menekankan ayat-ayat memerangi orang kafir. Mereka tidak baca pula ayat-ayat yang menekankan keamanan dan berbaik dengan orang-orang bukan Islam. Ini adalah hasil dari perasaan benci kepada orang bukan Islam.

Dalam Islam, tidak boleh ada dua perasaan itu. Tidak boleh perbuatan dan pengajaran kita didorong oleh takut dan marah. Kita kena jujur dengan Quran. Jangan kita sembunyikan ayat-ayat Quran. Kalau diajar dengan betul, tidak ada apa yang hendak kita takutkan dengan ayat-ayat Quran itu. Semua ayat Quran adalah berguna dan perlu disampaikan kepada manusia.


 

Ayat 43: Ayat ini adalah sebagai rawatan/penawar kepada kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan. Dalam agama, kalau tidak cinta Allah, sebaliknya cinta kepada dunia, tidak akan pergi ke mana. Agama memerlukan hubungan yang rapat dengan Tuhan. Barulah akan terima segala arahan. Kalau jauh dengan Allah, baru sanggup nak tinggalkan arahan. Kalau rapat dengan Allah, tentu tidak berani nak meninggalkan arahan Allah.

Oleh kerana itu, Allah nak rawati Ahli Kitab untuk kembali kepada ajaran Taurat yang sebenar dengan mengadakan hubungan rapat dengan Allah. Barulah hukum yang payah pun mereka akan sanggup buat kerana ianya adalah arahan ‘kekasih’.

وَأَقيمُوا الصَّلَوٰةَ وَءآتُوا الزَّكَوٰةَ وَاركَعوا مَعَ الرّٰكِعينَ

Sahih International

And establish prayer and give zakah and bow with those who bow [in worship and obedience].

Malay

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

 

وَأَقِيمُوا الصَّلَوٰةَ

Dan hendaklah kamu mendirikan sembahyang;

Kena baiki hubbul jah (cinta kepada kedudukan). Caranya adalah dengan hinakan diri depan Allah taala dengan melakukan solat. Mengaku hina dina depan Allah. Maka, falsafah solat itu adalah: tinggikan Allah dan hinakan diri kita. Kena bersungguh dalam melakukannya. Kalau tidak faham, maka tidaklah rasa diri hina dan Allah itu tinggi.

Maka kerana kepentingan solat itu, maka Bani Israil itu diajak untuk kembali taat kepada Allah dengan melakukan solat. Kalau sebelum ini mereka telah pernah mencampuradukkan yang haq dan batil, maka berhentilah dari buat kesalahan itu.

Allah beri arahan kepada mereka semua, hendaklah dirikan solat. Kerana ianya adalah amalan yang boleh merapatkan hamba dan Allah. Solat adalah ibadat terbaik untuk merapatkan diri dengan Allah. Kerana apabila kita sudah takbir, kita tidak dibenarkan buat perkara lain – tidak boleh bercakap, tidak boleh makan, tidak boleh ingat selain Allah. Tidak sama dengan ibadat puasa, haji dan sebagainya – masih boleh buat macam-macam hal lagi. Sambil tawaf pun ada bercakap dalam telefon lagi, masih ambil gambar lagi. Dan tawaf itu masih sah lagi. Tapi tidak dengan solat – kena tawajuh kepada Allah dari mula sambil habis. Celaka kalau dalam solat tapi tidak ingat kepada Allah – ini mafhum dari ayat Quran. Oleh itu, untuk memperbaiki hubungan dengan Allah, tidak ada amalan yang sehebat solat.

 

وَآتُوا الزَّكَوٰةَ

Dan mengeluarkan zakat;

Dan tunaikanlah zakat. Ini adalah titah supaya tidak zalim dengan orang lain. Ini termasuk dalam perkara adat – hubungan sesama manusia. Kalau solat tadi, hubungan dengan Allah.

Mengeluarkan zakat dapat menyelesaikan masalah hubbul maal (cinta harta benda). Kerana cinta harta jugalah yang menyebabkan berselerak habis umat Islam. Maka kena tunaikan zakat yang dapat mengurangkan rasa cinta kepada harta itu. Maka kena infak dan zakat. Jadikan orang lain sebagai tempat memberi dan ambil pahala bagi kita. Kita telah ambil harta dari Allah dan kita kena beri kepada orang lain, kerana ada bahagian orang lain dalam harta kita. Ianya bukan sepenuhnya harta kita. Allah beri kita harta yang lebih supaya kita boleh salurkan kepada orang lain.

Asal zakat adalah kasihan belas kepada orang lain, kerana kita beri harta yang kita cari sendiri kepada orang lain. Memang kita sayang harta kita, tapi dengan cara itu boleh mengeratkan hubungan kita dengan orang lain. Dengan bermodalkan amalan zakat ini, hubungan sesama manusia akan terjaga. Kalau tidak ada belas kasihan kepada orang lain, tidak ada harapan untuk manusia lagi. Oleh kerana itu, Allah syariatkan zakat kepada manusia. Inilah yang sekurang-kurangnya yang kena lakukan. Ia mewakili segala perbuatan baik kepada orang lain.

Paling kurang sekali dalam hubungan sesama manusia, kita jangan buat zalim atau menyusahkan kepada orang lain. Iaitu jangan disebabkan kita, orang lain jadi susah. Yang paling baik adalah kita susah untuk senangkan orang lain. Dan di tengah-tengah, kita sama-sama senang.

 

وَارْكَعُوا مَعَ الرَّٰكِعِينَ

Dan rukuklah bersama dengan orang yang rukuk;

Ayat ini mengajak ahli Kitab untuk bersama-sama mendirikan solat dengan orang Islam yang lain. Dalam ibadat mereka pun ada mendirikan solat juga sebenarnya, cuma sebab dah banyak perubahan, ramai mereka yang sudah tidak buat lagi. Dalam ayat ini, mereka masih lagi diberi peluang untuk kembali bersama dengan orang Islam. Mereka masih lagi diajak untuk menerima Nabi Muhammad sebab baginda adalah Rasul mereka juga.

Ini adalah rawatan kepada penyakit hasad dengki. Iaitu perasaan tidak suka ada orang yang lebih dari kita. Maka kena rukuk dengan orang lain. Supaya semasa berjemaah itu kita dapat rasakan yang diri sama dengan orang lain. Walaupun dah jadi khalifah pun, tapi jangan angkat diri kerana mereka masih solat bersama dengan orang lain juga. Macam khalifah ur raasyidin, mereka masih boleh ditegur oleh manusia biasa.  Ini adalah kerana mereka anggap diri mereka sama dengan umat lain. Maka solat berjemaah dapat menghalang seseorang itu dari merasa diri lebih dari orang lain.

Allah kata hendaklah kamu rukuk bersama orang lain yang rukuk. Ini maksudnya kena duduk berjemaah dengan orang lain. Jangan duduk seorang diri tapi hendaklah bermasyarakat. Dan kalau bermasyarakat dalam bentuk ibadat, itulah yang terbaik sekali. Ianya sesuatu yang perlu dilakukan dulu. Kalau tidak baik bermasyarakat dalam ibadat, jangan harap yang bermasyarakat di luar jadi baik. Jadi, kena mulakan dengan bermasyarakat dalam ibadat – duduk dalam saf berjemaah dan ikut kepada imam. Kalau ini tidak boleh, seseorang tidak mungkin bermasyarakat dengan baik. Masyarakat akan jadi teruk kalau tidak datang solat berjemaah. Inilah cara Allah ajar manusia.

Dalam amalan Yahudi, tidak ada amalan rukuk – solat mereka hanya ada qiyam dan sujud sahaja. Jadi, dalam ayat ini, mereka diajar untuk belajar rukuk seperti umat akhir zaman. Maksudnya, mereka kena hidup berjemaah dengan kalangan Nabi Muhammad. Mereka sudah kena ikut syariat Nabi Muhammad. Barulah mereka akan selamat kalau mereka buat begitu. Kalau duduk dengan puak Yahudi sahaja, tidak akan jadi.

Satu lagi pengajaran adalah sembahyang itu kena buat di masjid. Tidak boleh buat di rumah. Tapi malangnya, telah diajar kepada kita oleh guru yang salah, boleh pula solat di rumah bersama anak dan isteri. Mereka kata buat macam itu dah dapat pahala 27 darjat. Padahal, orang perempuan kalau solat di rumah sudah boleh dapat 27 darjat dengan solat sendiri. Iaitu sama dengan pahala orang lelaki yang solat di masjid.

Adakah Allah tidak adil dengan beri kelebihan kepada perempuan? Tidak sama sekali. Keadaan orang perempuan tidak sama dengan orang lelaki. Peluang perempuan untuk beribadat memang kurang, sebab mereka sibuk dengan urusan jaga anak dan sebagainya, maka Allah ganti kekurangan itu dengan memberi pahala yang banyak kepada mereka dalam membuat ibadat yang sedikit. Mereka dapat pahala dengan buat kerja rumah dan sebagainya. Tuhan itu Maha Adil. Tapi itu adalah untuk perempuan. Kepada lelaki, mereka wajib untuk solat berjemaah di masjid atau di surau.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s