Tafsir Surah Baqarah Ayat 23-39 (Perlantikan manusia sebagai khalifah)

Ayat 23: Allah ajar kita cara untuk taat kepadaNya selepas kita terima tauhid.

وَإِن كُنتُم في رَيبٍ مِمّا نَزَّلنا عَلىٰ عَبدِنا فَأتوا بِسورَةٍ مِن مِثلِهِ وَادعوا شُهَداءَكُم مِن دونِ اللَّهِ إِن كُنتُم صادِقينَ

Sahih International

And if you are in doubt about what We have sent down upon Our Servant [Muhammad], then produce a surah the like thereof and call upon your witnesses other than Allah , if you should be truthful.

Malay

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا

Dan sekiranya kamu ragu-ragu tentang Quran yang Kami turunkan ke atas hamba Kami,

Allah mulakan dengan perkataan وَإِن كُنتُم في رَيبٍ Dan kalau kamu ada menaruh syak – kerana Nabi Muhammad itu nampak macam manusia biasa sahaja. Mungkin ada yang susah nak terima apa yang disampaikan oleh baginda kerana baginda nampak biasa sahaja. Musyrikin Mekah mengejek Nabi dengan mengatakan Nabi Muhammad itu sama sahaja macam mereka, duduk hidup dan makan minum macam mereka sahaja. Banyak ayat-ayat yang disebut dalam Quran bagaimana Musyrikin Mekah menolak Nabi Muhammad kerana sama macam manusia lain sahaja. Keraguan itu telah dibisikkan oleh syaitan kepada mereka. Macam masyarakat kita lah juga, kalau ada orang yang nampak luar biasa sikit, boleh buat perkara ajaib, ramai yang percaya kepada guru-guru sesat itu.

Mereka nampak Nabi itu macam manusia biasa sahaja. Tetapi tentulah Allah menurunkan seorang pendakwah yang sama sahaja dengan manusia yang hendak disampaikan dakwah itu.
Maka, hasil dari bisikan syaitan, mereka telah ragu-ragu kepada Nabi. Takkan makhluk lain pula nak dijadikan contoh kepada manusia? Kerana kalau malaikat yang dijadikan pendakwah kepada manusia, tentu manusia akan kata, mereka tidak boleh ikut malaikat-malaikat itu kerana malaikat tidak ada nafsu. Jadi, memang selayaknya yang diutus untuk menyampaikan dakwah kepada manusia adalah manusia juga.

Penerimaan kepada Nabi Muhammad adalah perkara pertama yang perlu diterima oleh masyarakat sebelum dapat menerima tauhid. Maka, hal Nabi hendaklah dijelaskan dengan betul. Kerana, apabila boleh terima Nabi Muhammad sebagai Rasul, barulah ajaran agama boleh diterima.

 فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ

maka kamu bawalah satu surah yang seperti Quran

Sebelum kita dapat menerima seseorang sebagai layak untuk melakukan sesuatu, kita kenalah melihat bukti kelayakan seseorang itu bukan? Sebagai contoh, untuk kita berubat dengan seorang doktor, kenalah kita lihat sijil kelayakan dia, bukan? Dan kita nak pastikan yang sijil dia itu adalah sijil yang asli.

Jadi, bagaimana kita nak tahu yang Nabi itu adalah sebenar-benar Nabi? Maka, Allah beri hujjahNya dalam ayat ini. Sekiranya kamu ragu dengan apa yang disampaikan oleh Nabi itu, maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu. Sekurang-kurangnya tiga ayat kerana sependek-pendek ayat dalam satu surah adalah tiga ayat. Ini adalah ayat cabaran dari Allah.

Musyrikin Mekah ada dua tuduhan terhadap Quran:
1. Quran itu adalah rekaan dari Nabi Muhammad sendiri. Atau,
2. Nabi Muhammad dapat Quran itu dari orang lain, yang mereka kata Nabi Muhammad belajar dengan orang itu.

Allah cabar mereka, kalau tak percaya, maka buatlah Quran itu kalau kamu mampu. Kerana kalau kamu kata Nabi Muhammad yang manusia itu boleh buat Quran, maka tentunya kamu manusia yang lebih pandai dari segi bahasa, boleh buat satu surah dari Quran juga, bukan?

Cabaran yang diberi kepada mereka adalah untuk buat ayat-ayat macam Quran dengan menggunakan ketinggian bahasa. Kerana bahasa Quran bukanlah bahasa yang biasa. Salah satunya adalah, Allah boleh buat ayat-ayat hukum dalam bentuk sastera. Ini memang hebat dan tidak mampu dilakukan oleh manusia. Lihatlah kalau kita baca buku undang-undang, ianya dalam nada tegas sahaja. Dan kalau tulisan sastera pula, ianya tidak ada undang-undang di dalamnya.

Dan banyak lagi mukjizat Quran yang dikaji oleh ulama zaman berzaman sampai sekarang. Bidang ini dikenali sebagai i’jazul Quran. Jadi, cubalah buat satu surah sahaja yang sama dengan Quran itu kalau kamu tidak percaya yang Quran itu dari Allah.

 وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ

dan kamu panggillah sekutu-sekutu kamu;

Iaitu panggillah orang-orang yang mahir dari kalangan kamu.

Allah sebut lagi, kalau kamu sendiri tak mampu buat, maka panggillah sesiapa sahaja yang kamu rasa boleh tolong kamu. شُهَداءَكُم dalam ayat ini adalah sembahan-sembahan mereka yang mereka rasa boleh tolong mereka. Kerana kalau perkara yang susah, tentulah mereka memerlukan pertolongan.

مِنْ دُونِ اللَّهِ

selain dari Allah

Kerana kamu puja selain dari Allah, maka kau mintalah pertolongan kepada sembahan-sembahan kamu yang selain Allah itu.

 إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

sekiranya kamu benar;

Ayat ini adalah cabaran dari Allah kepada manusia yang masih tidak percaya. Masih tidak percaya selepas diberikan dakwah kepada mereka. Tidaklah cabaran ini diberikan terus kepada orang yang kita mula-mula nak dakwah. Kita kenalah memberikan ajaran-ajaran dari Quran dulu. Janganlah kita jumpa orang kafir, kita terus suruh dia buat satu surah dari Quran pula. Dia kenal Quran pun tidak. Kitalah yang kena kenalkan Quran kepada dia.

Ini adalah satu cabaran yang hebat. Selalunya kalau manusia yang tulis buku, mereka tidak berani berkata begitu, sebab mereka tahu tentulah ada salah silap dalam penulisannya. Tapi kerana ini datangnya dari Allah, maka Allah tahu yang Quran itu adalah satu yang sempurna dan tidak akan ada yang dapat menandinginya.

Cabaran ini sebenarnya telah disahut oleh orang Kafir. Mereka telah cuba mengadakan ayat-ayat Quran. Tapi sebenarnya ia langsung tidak sama. Ia boleh menipu orang yang tidak tahu tentang Quran. Tapi kepada mereka yang tahu betapa indahnya bahasa Quran, mereka akan dapat nampak bahawa apa yang mereka buat itu tidak sama langsung dengan Quran.


Ayat 24: Ayat ini adalah dalam bentuk takhwif ukhrawi – menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak.

فَإِن لَم تَفعَلوا وَلَن تَفعَلوا فَاتَّقُوا النّارَ الَّتي وَقودُهَا النّاسُ وَالحِجارَةُ ۖ أُعِدَّت لِلكافِرينَ

Sahih International

But if you do not – and you will never be able to – then fear the Fire, whose fuel is men and stones, prepared for the disbelievers.

Malay

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.

فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا

Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukannya;

Perkataan ‘لَمْ’ dalam ayat ini bermakna perkara yang sudah lepas. Ini bermakna, orang-orang kafir itu telah cuba untuk membuat ayat Quran untuk menandingi Quran.

وَلَنْ تَفْعَلُوا

dan tak mungkin selama-lamanya kamu dapat melakukannya;

Tapi cubaan mereka itu tidak berjaya. Kerana bahasa Quran bukanlah bahasa manusia biasa, tapi ianya adalah Kalam Allah. Allah kata: وَلَن تَفعَلوا – kamu tidak akan mampu buat sampai bila-bila kerana ianya adalah Kalam Allah. Kerana perkataan لَن itu bermaksud ‘tidak sampai bila-bila’. 

Ayat cabaran dan amaran ini sepatutnya sudah cukup untuk mematahkan hujah orang-orang kafir yang tidak percaya dengan Quran. Kalau kita berdebat dengan orang-orang kafir sekarang pun, sepatutnya kita gunakan hujah ini sahaja. Tapi malangnya, kerana ramai tak belajar tafsir Quran, maka mereka tidak boleh nak berhujah dengan orang kafir. Lihatlah bagaimana para sahabat yang boleh sebar agama Islam ke seluruh dunia dengan berbekalkan Quran sahaja. Kalau kita faham Quran seperti mereka, kita pun boleh buat usaha sebegitu juga.

فَاتَّقُوا النَّارَ

maka takutlah kamu akan api neraka;

Allah berfirman lagi, kalau kamu tidak boleh buat, dan masih lagi degil untuk menerima Quran, maka ingatlah yang kamu akan diazab di neraka nanti. Ini adalah ayat amaran yang keras yang diberikan kepada Musyrikin Mekah.

Allah juga suruh mereka supaya bersedia dengan apa yang mereka ada untuk menyelamatkan diri mereka dari api neraka. Apa-apa sahaja yang mereka boleh usaha untuk selamatkan diri mereka nanti, gunalah kalau boleh. Kerana Allah dah suruh mereka takut kepada Allah dah dalam ayat ini. Kerana sebelum ini diajak takut kepada Allah, mereka tak mahu. Sekarang bersedialah kamu untuk api neraka itu.

وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu;

Apa salah batu kena bakar sekali dalam neraka? Ini adalah kerana mereka yang menyembah selain Allah akan dimasukkan dengan apa yang mereka sembah itu. Kerana mereka sembah batu, maka mereka akan dimasukkan sekali dengan batu yang mereka sembah itu. Supaya bila mereka lihat batu itu pun kena bakar sekali dengan mereka, habislah harapan mereka. Kerana batu yang mereka sembah pun kena bakar, apatah lagi mereka? 

أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

yang disedikan khas untuk orang-orang kafir;

Makna perkataan ‘kafir’ itu diambil dari kata asal ‘kafara’ yang bermaksud ‘dalam tanah’. Orang kafir itu sebenarnya menyembunyikan iman yang sebenarnya telah ada dalam diri mereka. Allah telah letakkan fitrah keimanan dalam diri setiap insan, tapi orang-orang kafir tidak mahu mengeluarkannya. Mereka menyembunyikan fitrah keimanan itu dalam diri mereka.

Ayat ini juga menunjukkan bahawa neraka dan begitu juga syurga, telah ada sekarang ini. Sedang menunggu sahaja siapa yang akan masuk ke dalamnya. Ini menolak pendapat mereka yang mengatakan yang syurga dan neraka hanya akan dijadikan selepas Kiamat nanti.


Ayat 25: Ini adalah ayat tabshir – berita gembira. Berita gembira kepada orang-orang beriman. Apabila kita sudah terima Allah yang Maha Esa, dan terima Nabi Muhammad sebagai Rasul, dan kita terima cara hidup yang diredhai oleh Allah, kita akan berjaya.

وَبَشِّرِ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّالِحاتِ أَنَّ لَهُم جَنّاتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهارُ ۖ كُلَّما رُزِقوا مِنها مِن ثَمَرَةٍ رِزقًا ۙ قالوا هٰذَا الَّذي رُزِقنا مِن قَبلُ ۖ وَأُتوا بِهِ مُتَشابِهًا ۖ وَلَهُم فيها أَزواجٌ مُطَهَّرَةٌ ۖ وَهُم فيها خالِدونَ

Sahih International

And give good tidings to those who believe and do righteous deeds that they will have gardens [in Paradise] beneath which rivers flow. Whenever they are provided with a provision of fruit therefrom, they will say, “This is what we were provided with before.” And it is given to them in likeness. And they will have therein purified spouses, and they will abide therein eternally.

Malay

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

وَبَشِّرِ الَّذِينَ آمَنُوا 

Dan berilah berita gembira kepada orang beriman sempurna,

Iaitu mereka yang tidak buat syirik kepada Allah. Itulah yang bermaksud beriman sempurna, kerana kalau beriman sahaja tidak cukup. Kerana ada yang beriman dengan Allah, tapi dalam masa yang sama, dia beriman kepada entiti selain Allah juga. Mereka sangka yang ada entiti selain Allah yang ada kuasa Allah walaupun tidak selengkap kuasa Allah. Itu maksudnya iman mereka tidak sempurna.

Dalam ayat ini, Allah suruh Nabi Muhammad yang beritahu kepada orang yang beriman itu. Allah tak terus berikan sendiri berita gembira itu. Ini adalah kerana orang yang beriman, kena juga percaya kepada Nabi Muhammad. Tidak boleh hanya percaya kepada Allah sahaja. Tambahan pula Quran yang disampaikan ini disampaikan dari mulut Nabi kepada kita. Kalau kita tak percaya Nabi, macam mana boleh kita nak percaya Quran dan Allah? Sedangkan kita tidak melihat Allah. Maka, keimanan itu adalah bukan hanya percaya kepada Allah, tapi memerlukan kita percaya kepada Nabi Muhammad juga. Jadi, dalam ayat ini juga adalah konsep Risalah juga yang disampaikan.

وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ

dan beramal soleh

Iaitu dengan melakukan amalan sepertimana yang diajar oleh Nabi. Allah mengkhususkan dalam ayat ini, bukan setakat ‘beriman’ sahaja, tapi kenalah buat amalan yang baik – amal soleh. Dan amalan yang soleh dan baik itu adalah apa yang diajar dan dibuat oleh Nabi. Bukan yang kita reka sendiri.

Amalan yang diterima hanyalah amalan yang soleh. Bukan ‘amalan’ sahaja, tapi ‘amalan yang soleh’. Iaitu amalan yang menepati seperti yang diajar oleh Nabi. Oleh itu, kalau amalan itu adalah amalan bidaah seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita sekarang, ianya tidak diterima.

Kalau Allah sebut ‘orang-orang yang beriman’ sahaja, ia mungkin masuk orang-orang yang beriman sedikit sahaja, atau orang munafik, sebab mereka pun mengaku beriman juga. Jadi, Allah masukkan sekali dengan satu lagi syarat – beramal soleh.

 أَنَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

sesungguhnya bagi mereka itu kebun-kebun Syurga yang mengalir di bawahnya, anak-anak sungai;

Allah sebut ‘sungai-sungai’ mengalir di bawah syurga. Kenapa? Manusia memang sukakan air. Kalau sekarang pun, kalau rumah itu jenis yang oceanview, harganya akan mahal. Itu adalah kawasan perumahan yang paling mahal. Sebab naluri manusia memang suka kepada air. Yang lagi mahal adalah rumah yang di bawahnya adalah air. Allah beri perumpamaan kepada manusia bahawa kalau mereka beriman sempurna, mereka akan diberikan dengan rumah yang sebegini hebat. Naluri manusia memang hendakkan tempat tinggal yang baik. Selagi tidak ada rumah, selagi itu mereka rasa tidak lengkap. Ramai yang sanggup berhutang bertahun-tahun asalkan mereka ada rumah yang mereka boleh kata itu adalah rumah mereka sendiri.

Allah nak kata bahawa Dia boleh bagi rumah yang paling baik sekali kepada mereka. Tidak ada rumah yang lagi baik dari tempat tinggal yang Allah akan berikan ini. Tambahan pula, pendengar ayat ini yang awalnya adalah para sahabat yang telah berkorban meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka di Mekah untuk berhijrah ke Madinah. Allah nak sejukkan hati mereka dengan mengatakan bahawa mereka akan diberikan rumah yang lagi baik dari yang mereka tinggalkan itu. Pengorbanan mereka tidak sia-sia.

كُلَّمَا رُزِقُوا مِنْهَا مِنْ ثَمَرَةٍ رِزْقًا

Setiap kali mereka diberi daripada buah-buah syurga sebagai rezeki;

Di syurga nanti, bermacam-macam buah mereka boleh dapat. Bukan hanya buah yang mereka pernah lihat di dunia, tapi buahan yang mereka tidak pernah lihat pun mereka akan dapat juga nanti.

قَالُوا هَٰذَا الَّذِي رُزِقْنَا مِنْ قَبْلُ

mereka berkata: ini adalah buah yang pernah diberi kepada kami

Mereka kata rezeki itu pernah diberi dahulu kepada mereka. Ada dua kemungkinan: samada diberi semasa di dunia dahulu atau telah diberikan di akhirat sebelum itu.

Oleh itu, mungkin penghuni syurga diberi sesuatu yang nampak macam sama dengan apa yang ada semasa di dunia. Mungkin nampak macam durian, tapi tentunya rasa yang lain. Ianya nampak sama, tapi rasanya lebih sedap lagi dari buah durian dunia.

Atau, kalau yang dimaksudkan adalah benda sama seperti yang pernah diterima sebelum itu di akhirat, maknanya mereka dah pernah makan. Iaitu ianya yang mempunyai rupa yang sama, tapi rasa sudah berlainan. Kerana ianya bertambah sedap lagi.

Kata-kata mereka ini bukan nak menunjukkan bahawa apabila mereka nampak buah itu, mereka rasa tak suka sebab dapat buah yang sama. Tidak begitu. Mereka suka apabila nampak buah itu lagi. Sebab mereka dah pernah makan, dan mereka tahu buah itu sedap sangat. Bukankah pernah kita makan sesuatu yang kita ingat makanan itu sedap, dan apabila kita jumpa lagi, kita nak makan lagi sebab kita masih ingat kesedapan makanan itu? Tentu ada. Beginilah perasaan mereka.

وَأُتُوا بِهِ مُتَشَابِهًا

yang serupa diantara satu sama lain;

Buah itu nampak macam sama dengan buah yang mereka pernah rasa dulu. Dan mereka ingat memang buah itu sedap. Tapi, buah-buah yang mereka makan berubah-ubah menuju kepada kesempurnaan. Ianya lagi sedap dari apa yang mereka pernah makan dulu. Nampak sahaja sama. Kemudian nanti, mereka akan diberikan dengan buah yang nampak sama. Waktu itu pun mereka ingat sedap lagi, macam yang mereka pernah makan, tapi ianya akan jadi lagi sedap lagi. Masya Allah, semoga kita dapat menikmati kenikmatan itu nanti.

Begitu juga dengan orang yang duduk dalam syurga itu sendiri, mereka semakin lama semakin cantik. Semua perkara semakin sedap, semakin wangi dan sebagainya. Tidak akan jemu-jemu, sampai bila-bila.

 

وَلَهُمْ فِيهَا أَزْوَاجٌ مُطَهَّرَةٌ

Dan bagi mereka itu pasangan yang suci bersih;

Rumah tidak lengkap jikalau tidak ada pasangan. Berkenaan tempat tinggal dan makanan telah disebut dengan hebat tadi. Sekarang, Allah sebut yang Allah tambah kehidupan yang hebat itu dengan pasangan hidup.

Iaitu pasangan yang tidak ada perasaan hasad dengki, cemburu, riak dan sebagainya. Tuhan dah buang belaka perasaan yang tidak elok itu. Pasangan itu suci dari segi perangai, percakapan mereka dan sebagainya. Tidak ada najis keluar dari mereka. Dalam syurga, tidak akan ada yang buang najis. Makan banyak mana pun, tidak perlu pergi ke tandas untuk buang air. Ianya akan keluar sebagai peluh dan peluh itu berbau sedap.

Oleh itu, pasangan yang diberikan adalah yang suci bersih. Iaitu suci bersih dari segi fizikal dan dari segi akhlak. Tidak ada kekotoran apa-apa macam pasangan yang di dunia. Dan bukan itu sahaja, akhlaknya pun amat molek sekali. Kerana di dunia, ada orang yang cantik tapi perangai tak molek. Tapi di syurga nanti, penghuni syurga akan diberi pasangan yang molek fizikalnya dan molek akhlaknya.

 وَهُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Mereka duduk dalam syurga kekal buat selama-lamanya;

Kalau duduk sebentar pun tak hebat. Kerana nikmat yang tidak kekal bukanlah nikmat sebenarnya. Syurga tidak macam kehidupan di dunia kerana kita tinggal untuk beberapa waktu sahaja. Tetapi kehidupan di syurga akan berkekalan sampai bila-bila. Penghuninya akan mengecapi kenikmatan selama-lamanya.

Kalau di dunia, kita tidak boleh kata kita akan dapat tinggal di sesuatu tempat itu sampai bila-bila. Sesiapa pun tidak boleh kata begitu. Kerana belum tentu lagi. Berapa banyak manusia yang ingat mereka akan tinggal terus di sesuatu negara, tapi terpaksa meninggalkan negara yang mereka sayangi kerana peperangan dan sebagainya?

Allah beri jaminan bahawa tempat tinggal mereka di Syurga itu nanti adalah yang kekal abadi. Semoga kita semua menjadi ahli Syurga hendaknya. Mereka akan hidup bergembira dalam keredhaan Allah. Semoga Allah memilih kita untuk memasuki syurga dan tinggal selama-lamanya di sana. Ameen.

Baqarah 21-25


Ayat 26: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran kedua. Kesamaran pertama, mereka tidak yakin yang Quran itu dari Allah. Maka Allah cabar mereka untuk buat surah yang sama dengan Quran. Maka, tentunya mereka tidak boleh buat.

Ini pula adalah kesamaran kedua. Manusia, apabila mereka tidak boleh lawan dengan menggunakan hujah, mereka mula akan menghina. Mereka beri gelaran untuk menghina dan memberi aib. Ini datang dari bisikan syaitan. Ini adalah sifat manusia yang mudah termakan dengan bisikan syaitan.

Selepas tidak dapat mendatangkan surah yang sama macam Quran, puak kafir Mekah telah kritik Quran. Kata mereka ada kekurangan dalam Quran. Tapi hujah mereka itu amat lemah sekali.

Sama macam puak bidaah sekarang, apabila kita berhujah dengan mereka, kita katakan kepada mereka yang dalil itu kenalah yang sahih dan sarih. Janganlah pakai ambil sahaja dalil yang tidak kena. ‘Sahih’ itu adalah yang sungguh Nabi ada kata. ‘Sarih’ pula bermaksud ‘jelas’. Selalunya, puak bidaah akan keluarkan hadis yang tidak sahih. Dan kadang-kadang puak bidaah akan keluarkan dalil yang memang sahih dari Nabi tapi tidak sesuai dikaitkan dengan perbincangan dan perdebatan. Sebagai contoh, kalau berbincang tentang puasa, kenalah hadis yang dibawa memang berkenaan dengan puasa. Janganlah hadis tentang solat dipusing kepada hujah puasa pula. Oleh itu, kita kena ingat, hanya dalil yang sahih dan sarih sahaja yang boleh digunakan sebagai dalil.

Dan kalau perbincangan tentang akidah, kena pakai dalil yang qat’ie. Maka, kalau pakai hadis, kena pakai hadis yang statusnya ‘masyhur’ atau mutawatir. Kalau ‘khabar wahid’, kena tengok dulu, samada boleh pakai atau tidak. Boleh dipakai kalau dikuatkan dengan dalil-dalil yang lain. Ini adalah kerana kita nak jaga kesucian agama. Kalau hal akidah, kita kena amat berjaga-jaga. Agama Islam ini bukan agama sebarangan, ianya adalah agama yang hebat. Maka, untuk mendapat dalil yang sahih dan sarih itu, kenalah datang belajar.

Maka, orang yang degil akan menggunakan kata-kata yang buruk apabila mereka tidak ada hujah. Mereka nak burukkan juga perkara yang benar supaya ditolak oleh manusia yang lain. Mereka nak jatuhkan juga orang lain. Mereka akan burukkan individu yang beri hujah itu. Jadi ayat ini adalah kritikan mereka yang jahil untuk mencela Quran.

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, samada Musyrikin Mekah atau Yahudi. Memang mereka tak boleh lawan hujah-hujah kuat yang diberikan oleh Allah. Maka Musyrikin Mekah yang kehabisan idea telah pergi ke Madinah (yang bernama Yathrib waktu itu) untuk berjumpa dengan pendita-pendita Yahudi sebab nak cari hujah untuk lawan Nabi Muhammad. Tujuan mereka hanyalah nak kalahkan Nabi. Bukannya nak cari kebenaran. Apabila mereka jumpa ahli kitab, ahli kitab mengambil kesempatan atas mereka. Ahli Kitab nampak ini adalah peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam.

Kita kena sedar yang ada jenis ulama dalam dunia yang boleh beri fatwa ikut apa yang kita hendak. Sebagai contoh, katakanlah kita ada satu permasalahan agama. Ada seorang ustaz dah beri hukum yang ianya adalah haram. Tapi ada yang tak puas hati. Maka ada yang cari ustaz-ustaz lain yang boleh beri hujah yang lain, sebagaimana yang dia hendak. Mereka boleh dapatkan dari sumber-sumber yang entah dari mana. Begitulah pendeta Yahudi dulu. Kalau umat yang mahu keputusan sesuatu hukum, mereka akan cari manakah pendeta yang boleh beri hukum macam mana yang dia hendak. Maka pendeta itulah yang akan diberikan bayaran upah.

Dalam kes ini, apabila Musyrikin Mekah datang bertemu pendeta Yahudi itu, mereka nampak ruang untuk ambil peluang untuk menjatuhkan Islam. Sebab mereka tahu yang Musyrikin Mekah itu adalah jenis tidak ada kitab dan jahil. Mereka boleh cakap apa sahaja dan akan dipercayai oleh Musyrikin Mekah itu. Maka, mereka buatlah kajian tentang ayat-ayat Qur’an yang Nabi sampaikan itu. Mereka kata dalam ayat-ayat itu ada perumpamaan tentang lalat, lebah, labah-labah dan nyamuk. Mereka pun beritahu kepada Musyrikin Mekah yang datang itu, tidak layak kalau Kalam Allah menggunakan perumpamaan yang remeh temeh macam itu. Maka Yahudi kata, Quran itu bukanlah Kalam Allah. Maka Musyrikin Mekah itu bawa balik apa yang diberitahu oleh Yahudi itu dan jaja kisah itu di Mekah. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan Nabi Muhammad. Inilah nasib orang jahil yang tiada neraca nak bandingkan mana benar dan mana salah. Mereka pakai kata orang sahaja dan terima bulat-bulat walaupun hujah yang diberikan itu tidak kuat. Maka berpeluanglah Yahudi untuk cuba menjatuhkan Islam melalui penduduk Mekah. Ini adalah satu pendapat yang mengatakan Musyrikin Mekah telah pergi berjumpa dengan Yahudi di Yathrib.

Ataupun mungkin juga Musyrikin Mekah sendiri dengar ayat-ayat Qur’an tentang perumpamaan itu dan mereka kritik terus sebab mereka memang nak tolak.

۞ إِنَّ اللَّهَ لا يَستَحيي أَن يَضرِبَ مَثَلًا ما بَعوضَةً فَما فَوقَها ۚ فَأَمَّا الَّذينَ آمَنوا فَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّهِم ۖ وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا ۘ يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا وَيَهدي بِهِ كَثيرًا ۚ وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفاسِقينَ

 Sahih International

Indeed, Allah is not timid to present an example – that of a mosquito or what is smaller than it. And those who have believed know that it is the truth from their Lord. But as for those who disbelieve, they say, “What did Allah intend by this as an example?” He misleads many thereby and guides many thereby. And He misleads not except the defiantly disobedient,

Malay

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya). Kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik;

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي

Bahawasanya Allah tidak malu 

Allah tidak malu untuk menyatakan kebenaran, walau bagaimana cara pun untuk menyampaikannya.

أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا

untuk membuat contoh misalan

Maka Allah jawap dalam ayat ini. Allah tak malu nak pakai bandingan-bandingan itu supaya bandingan itu dapat memberi hidayah kepada manusia dan memberi kesan kepada pemahaman manusia.

 مَا بَعُوضَةً

seperti nyamuk

Allah juga ada menggunakan contoh-contoh binatang kecil yang lain seperti lalat. Dimanakah Allah gunakan lalat sebagai perumpamaan? Untuk tunjuk betapa lemahnya sembahan mereka itu sampai tidak boleh nak halau lalat yang singgah padanya. Allah nak tunjuk begitu bodohnya mereka.

Labah-labah pula dijadikan sebagai perumpamaan lemahnya pergantungan mereka kepada sembahan mereka yang selain Allah. Ianya seperti sarang labah-labah, malah lebih teruk lagi.

فَمَا فَوْقَهَا

atau lebih kecil dari itu;

Allah tak malu, sebab semua itu Dia yang cipta. Manusia tidak boleh cipta sayap nyamuk pun. Memang ada lagi yang lebih kecil dari nyamuk. Hadis Nabi tentang sebelah sayap. Iaitu lebih kecil lagi daripada keseluruhan badan.

Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam pernah bersabda, “Seandainya dunia ini sama nilainya dengan sayap nyamuk di sisi Allah, niscaya Ia tidak akan memberikan minuman dari dunia itu kepada orang kafir, meskipun hanya seteguk air” (HR. Tirmidzi. Syeikh Albani menshahihkan hadis ini).

فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا

Maka orang-orang yang beriman sempurna;

Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik.

فَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّهِمْ

mereka tahu bahawasanya contoh-contoh ini adalah benar dari Tuhan mereka;

Kerana mereka beriman, mereka terima bahawa perumpamaan itu dari Allah. Walaupun mereka mungkin tidak faham dengan perumpaan itu. Kerana untuk memahami sesuatu misalan yang dibuat oleh Allah, memerlukan intelek dan pengajian juga. Kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah. Dan kadang-kadang perumpaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Tapi walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah itu, tapi dia terima bahawa itu adalah dari Allah. Mereka terima seadanya.

وَأَمَّا الَّذِينَ كَفَرُوا فَيَقُولُونَ

Dan adapun orang-orang kafir, mereka berkata:

Orang kafir akan ada sahaja benda yang mereka tidak puas hati dan mereka akan cari perkara yang mereka rasa seperti tidak kena.

مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلًا

apa yang Allah inginkan dengan contoh-contoh kecil seperti ini? 

Orang yang baca Quran ini ada jenis. Ada yang baca untuk mencari kebenaran, maka mereka akan mendapat maklumat yang akan menguatkan iman mereka ; dan ada yang membaca Quran sebab nak tolak, maka mereka akan berjumpa dengan sesuatu yang dia rasa sebagai hujah untuk tidak menerima Qur’an itu.

Kalau belajar Qur’an untuk tolak, maka seseorang itu akan sesat. Tapi kalau baca sebab nak faham dan nak ikut, Allah akan beri hidayah kepada orang itu.

يُضِلُّ بِهِ كَثِيرًا

Dengan Quran itu boleh menyesatkan kebanyakan manusia;

Samada dimaksudkan dengan perumpaan itu, atau dengan Quran sendiri boleh menyebabkan orang sesat. Kerana mereka tidak beriman. Ada orang yang tidak belajar tafsir Quran dengan benar, maka mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Mereka cuba nak faham sendiri dan fahaman itu salah. Ataupun mereka diajar oleh guru yang tidak juga belajar Quran, jadi mereka akan tersesat. Itulah bahayanya kalau faham Quran bukan dengan cara pemahaman para sahabat dan salafussoleh.

وَيَهْدِي بِهِ كَثِيرًا

Dan dengan Quran juga boleh memberi hidayat kepada ramai manusia

Kalau hendak mencari kebenaran, orang yang baca Quran akan berjumpa dengan kebenaran itu.

وَمَا يُضِلُّ بِهِ

Tetapi tidaklah Allah menyesatkan dengan Quran itu 

Tujuan Quran bukanlah untuk menyesatkan manusia tapi ada yang menggunakan Quran untuk menyesatkan orang lain dan ada yang baca Quran dan faham sendiri sampai mereka dapat fahaman yang salah. Inilah bahayanya kalau tidak belajar dengan betul.

إِلَّا الْفَاسِقِينَ

melainkan orang yang buat fasik sahaja;

Contoh: kita dulu baca terjemahan Quran juga, tapi tak faham, baru sekarang baru jelas apakah yang hendak disampaikan oleh Quran. Mungkin dulu yang kita faham itu salah.

Kalau kita jadikan Quran itu sebagai apa yang kita faham dulu, maka kita akan jumpa juga dalam Quran. Contohnya, kita hendak mencari dalil untuk mengatakan boleh zikir ramai-ramai, kita boleh jumpa – walaupun itu adalah pemahaman yang salah. Ini adalah jenis orang yang buat dulu, baru cari dalil – ini cara yang salah.

Tapi kalau kita nak cari kebenaran, Allah akan tunjukkan kebenaran kepada kita. Orang yang sesat itu kerana ayat Quran yang mereka baca itu mereka nak turut kehendak dia.

Yang sedihnya, ada guru yang tak belajar tafsir, tapi mengajar tafsir pula. Hasilnya, tafsir yang mereka berikan itu tidak benar. Maka, maklumat yang didapati oleh anak murid mereka tidak benar. Maka akan berterusan kejahilan dalam masyarakat sebab yang mengajar tafsir pun tak belajar lagi.

Allah tidak akan menyesatkan dengan Qur’an itu, melainkan orang yang fasik. Iaitu yang memang nak tolak Qur’an. Fasik itu bermaksud keluar dari taat. Iaitu mereka yang tak mahu nak ikut wahyu.


Ayat 27: Siapakah orang yang fasik itu?

الَّذينَ يَنقُضونَ عَهدَ اللَّهِ مِن بَعدِ ميثاقِهِ وَيَقطَعونَ ما أَمَرَ اللَّهُ بِهِ أَن يوصَلَ وَيُفسِدونَ فِي الأَرضِ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Sahih International

Who break the covenant of Allah after contracting it and sever that which Allah has ordered to be joined and cause corruption on earth. It is those who are the losers.

Malay

(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.

الَّذِينَ يَنْقُضُونَ عَهْدَ اللَّهِ

Orang-orang yang merombak perjanjian dengan Allah

Ayat ini ditujukan kepada Yahudi dan Musyrikin Mekah.

Mereka merobohkan perjanjian untuk menegakkan agama tauhid. Atau, mereka dah janji nak ikut keseluruhan agama, tapi kemudian mereka terima sebahagian dan tolak sebahagian.

مِنْ بَعْدِ مِيثَاقِهِ

selepas mereka mengambil perjanjian itu;

Perjanjian antara Allah dengan mereka adalah mereka telah mengucap ‘la ilaha illa Allah’, Muhammadur Rasulullah. Itulah perjanjian kita dengan Allah. Mengaku untuk puja dan sembah Allah sahaja, dan Nabi Muhammad itu kita mengaku sebagai rasul kita. Kalau syahadah orang Yahudi, mereka akan kata bahawa Nabi mereka adalah rasul mereka: contohnya, yang pada zaman Nabi Musa akan kata: Musa Rasulullah. Dan seterusnya.

Tapi malangnya, ada yang cipta sendiri syariat ugama  yang tidak pernah diajar oleh Allah atau Nabi. Itulah amalan yang dinamakan bidaah. Itu dipanggil mereka-reka syariat agama sendiri kerana Nabi tidak pernah ajar. Kalau bukan yang dari Nabi ajar, maknanya itu kita buat ugama sendiri. Itulah kenapa berat sekali kalau kita buat amalan bidaah. Bukanlah kesalahan itu kesalahan yang ringan seperti yang disangka oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia ini.

Setiap kali melakukan amalan yang bukan dari syariat Islam yang diajar oleh Nabi, setiap kali itu Allah akan memberikan hijab kepada mereka. Akhir sekali, sampai kepada satu tahap dimana terkunci mati hati mereka.

Selain dari syahadah yang kita telah lakukan, ada satu lagi perjanjian yang kita telah buat dengan Allah sebelum kita lahir ke dunia ini lagi. Semasa kita di alam roh lagi, Allah telah mengambil perjanjian dengan kita. Iaitu apabila Allah berkata: “alastu birabbikum?” – bukankah Aku Tuhan kamu semua? – kita telah mengaku bahawa Allah itu adalah Tuhan kita sebelum kita lahir ke dunia lagi.

وَيَقْطَعُونَ مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ

dan mereka memutuskan suruhan Allah;

Allah suruh buat lain, mereka buat lain. Yang Allah tak suruh, mereka buat pula. Contohnya, mereka buat amalan bidaah. Amalan itu tidak pernah Nabi ajar. Siap beri pahala lagi – kalau zikir begini, dapat sekian banyak pahala dan sebagainya – padahal tidak ada dalil.  Yang boleh beritahu apakah pahala atas sesuatu amalan itu hanyalah Allah dan Nabi sahaja. Jadi, kalau mereka sendiri yang cakap pahala sekian-sekian banyak, maka mereka telah ambil tugas Nabi – itu adalah dosa yang amat besar. Macam-macam zikir yang direka oleh manusia. Contohnya mereka kata kalau zikir fi kulli lamhatin, pahalanya sebesar langit dan bumi. Berapa banyakkah umat Islam di Malaysia ini yang mengamalkan zikir yang sesat ini? – amat banyak sekali. Kadang-kadang yang mengamalkan amalan zikir itu, tak tahu pun amalan itu datang daripada mana, siapakah yang mula-mula membuat amalan itu. Yang pastinya, amalan itu bukan datang dari Nabi. Kalau bukan datang dari Nabi, maka ianya tertolak. Langsung tidak ada pahala.

Ayat ini juga bermaksud mereka memutuskan silaturrahim, iaitu apa yang Allah taala suruh kita sambungkan.

أَنْ يُوصَلَ

untuk disambung;

Iaitu untuk menyambungkan silaturrahim dan persahabatan Islam.

Pertamanya, ada yang kata perhubungan silaturrahim ini adalah antara ummah. Maka, orang yang memutuskan hubungan silaturrahim itu tidak kisah apakah yang berlaku kepada saudara seislam kita di negara lain.

Keduanya, hubungan antara keluarga kita sendiri. Kita boleh lihat bahawa orang-orang fasik itu ada masalah dalam keluarga mereka. Mereka berkelahi sesama mereka, sesama adik-beradik, ibubapa dan sebagainya.

Ketiganya, memutuskan antara Quran dan Nabi. Mereka terima Quran, tapi mereka tidak terima Nabi Muhammad. Dari zaman Nabi lagi, sudah ada orang yang bersikap begini. Apabila sesuatu hukum diturunkan, mereka akan tanya: “Ini dari Allah atau dari Nabi?”. Padahal, apa sahaja yang Nabi sebut adalah dari Allah. Maka, pada zaman sekarang, sudah timbul banyak kumpulan yang tidak menerima hadis Nabi lagi. Kononnya mereka hanya menerima Quran sahaja. Itu adalah kumpulan-kumpulan yang sesat.

وَيُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ

Dan mereka berbuat kerosakan di muka bumi

Mereka melakukan kerosakan dengan melakukan amalan-amalan yang di luar syariat. Iaitu amalan yang bukan agama tapi mereka kata ianya adalah agama. Juga boleh bermaksud mereka yang melakukan amalan-amalan yang telah mansukh dalam agama. Sebagai contoh, syariat agama lain sebelum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad, telah dimansukhkan dengan turunkan Quran. Mereka juga melakukan maksiat dalam perkara agama.

أُولَٰئِكَ

Orang-orang yang seperti itu

Yang mempunyai sifat-sifat yang disebut di atas.

هُمُ الْخَاسِرُونَ

adalah mereka yang paling rugi sekali;

Mereka rugi sampai akhirat.

Kalau kita lihat, yang berbuat kerosakan di dunia itu akan menyusahkan orang lain. Tapi Allah kata dalam ayat ini, mereka yang berbuat kerosakan itulah yang rugi. Ini adalah kerana, balasan yang mereka akan dapat di akhirat nanti adalah lagi teruk dari kerosakan yang mereka lakukan semasa di dunia.


Ayat 28: Ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Mekah dan tidak termasuk orang Yahudi.

كَيفَ تَكفُرونَ بِاللَّهِ وَكُنتُم أَمواتًا فَأَحياكُم ۖ ثُمَّ يُميتُكُم ثُمَّ يُحييكُم ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

Sahih International

How can you disbelieve in Allah when you were lifeless and He brought you to life; then He will cause you to die, then He will bring you [back] to life, and then to Him you will be returned.

Malay

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ

Bagaimana kamu boleh kufur dengan Allah?;

Allah tanya macam mana lagi kita boleh kufur? Kenapakah manusia boleh kufur? Padahal Allah lah yang menjadikan mereka.

وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا

sedangkan kamu dulu tidak ada pun;

Maksudnya mati, tidak pernah wujud

فَأَحْيَاكُمْ

Kemudian Allah menghidupkan kamu

Allah lahirkan kita dalam dunia ini.

ثُمَّ يُمِيتُكُمْ

kemudian Allah mematikan kamu

Setelah menjalani kehidupan di dunia, apabila sampai ajal, akan matilah kita semua.

 ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

kemudian menghidupkan kamu semula

Kita akan dihidupkan semula dan akan dikumpul di Mahsyar

ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

dan kamu akan kembali akan jumpa Dia

Kita akan dihadapkan kepada Allah untuk menghadapi perbicaraan di Mahsyar.

Maknanya kita dua kali mati dan dua kali hidup. Ayat ini memberi ringkasan hidup manusia. Dari tidak ada kepada ada – kemudian mati – kemudian akan dihidupkan kembali.

Ini adalah dalil aqli tentang Qudrat. Dalil aqli anfusi. Iaitu Allah suruh lihat pada diri kita sendiri.

Musyrikin Mekah bukan tolak Allah, tapi tolak tauhid kepada Allah. Kerana mereka kenal yang Allah itu Tuhan.


Ayat 29: Ini adalah ayat dalil kenapakah kita kena puja dan sembah Allah sahaja. Ini adalah dalil aqli afaqi. Allah bukan sahaja menjadikan diri kita sahaja seperti yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, tapi Allah juga menjadikan segala alam ini. Iaitu apa sahaja di permukaan bumi.

هُوَ الَّذي خَلَقَ لَكُم ما فِي الأَرضِ جَميعًا ثُمَّ استَوىٰ إِلَى السَّماءِ فَسَوّاهُنَّ سَبعَ سَماواتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Sahih International

It is He who created for you all of that which is on the earth. Then He directed Himself to the heaven, [His being above all creation], and made them seven heavens, and He is Knowing of all things.

Malay

Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

 

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Dialah Dzat yang menciptakan untuk kamu semua yang ada di bumi;

Allah telah jadikan bumi ini rata untuk kita boleh diami di dalamnya, rumput untuk makanan binatang ternak, walaupun kita tak makan rumput itu, tapi kita pula makan binatang. Allah juga telah cipta udara untuk kita, pokok dan sebagainya. Terlalu banyak yang telah diciptakan untuk kita. Semuanya diciptakan untuk kita. Bukan untuk orang Islam sahaja, tapi semua manusia.

Syurga juga telah dijadikan untuk kita. Untuk orang yang beriman. Dunia ini perlu dijadikan sebagai landasan untuk pulang ke syurga.

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ

kemudian Dia fokus kepada langit pula;

Ini adalah ayat mutasyaabihaat. Kita tidak tahu apakah maknanya. Seperti juga kita tidak tahu makna alif, lam, mim di awal surah Baqarah ini, begitu juga kita tidak tahu makna ayat ini.

فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ

Dan Allah ciptakan langit itu pula dalam tujuh lapis;

Ianya bukan bermaksud ‘berkeping-keping’, tapi ‘berkubah’. Dalam bentuk sfera. Langit pertama meliputi dunia, langit kedua meliputi langit pertama, akhirnya langit ketujuh meliputi langit keenam. Akhirnya, Arash meliputi semua sekali. Dan Allah bersemayam atas Arash – macam mana Allah bersemayam, kita tak tahu. Dan kita tidak perlu tahu pun.

وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dan Dia terhadap segala sesuatu itu, Maha Mengetahui;

Allah nak beritahu bahawa hanya Dialah yang Maha Tahu. Kita tak perlu ambil tahu perkara yang kita tak perlu ambil tahu. Kita tidak akan capai tahap untuk tahu. Sedangkan apa yang ada di dunia ini pun kita tidak dapat tahu semuanya, apatah lagi untuk mengetahui tentang apa yang ada di langit dan di Arash. Kita hanya perlu tahu bahawa Allah lah yang Maha Mengetahui. Allah nak ajar kepada kita yang baca Qur’an ini, yang Allah ada Qudrat yang sempurna dan juga ilmu yang sempurna.

Baqarah 26-29


Ayat 30: Dalam ayat ini, Allah hendak kita tahu sejarah kita, asal salasilah kita, kedudukan dan kelebihan yang ada pada kita sebagai manusia.

Keduanya, ayat ini adalah peringatan dari Allah yang Allah telah beri darjat yang tinggi kepada kita. Tetapi kalau kita tidak laksanakan tugas kita seperti yang Allah kehendaki, Allah boleh jatuhkan kedudukan kita itu. Kalau kita tidak beringat dan berjaga-jaga, kita boleh ditewaskan oleh orang yang lebih rendah darjatnya dari kita.

Ketiga, manusia dikira berjaya dan selamat jikalau mengikuti arahan Allah semasa di dunia. Dan arahan ada itu ada dua: arahan suruhan dan arahan larangan. Kalau tak ikut, kita tidak selamat.

Dan Allah hendak mengingatkan kita yang syaitan akan datang dan hasut manusia. Pertamanya, dia akan hasut supaya manusia tidak faham arahan Allah itu. Kalau tak tahu, macam mana nak taat? Maka syaitan tak beri manusia belajar wahyu Allah.

Kalau manusia itu pula sudah faham, syaitan tidak akan putus asa. Syaitan akan hasut supaya manusia tidak ikut arahan itu, sebaliknya dia akan suruh kita ikut nafsu dan akal kita yang lemah. Maka manusia ada yang tewas dengan hasutan ini. Maka Allah nak ingatkan kita supaya jangan terpedaya dengan syaitan.

Selagi manusia tidak belajar dan menerima wahyu, manusia akan sentiasa berbalah sesama sendiri. Kerana ini adalah sifat asal manusia. Kerana setiap manusia mempunyai nafsu, perasaan dan akal yang berlainan. Kerana itu kalau kita bergantung kepada diri kita sahaja, kita tidak akan bersatu. Hanya dengan keinginan untuk ikut wahyulah baru manusia akan bersatu.

Malangnya ada yang silap belajar tafsir, atau baca sendiri Qur’an tanpa belajar, maka dia akan silap faham tentang maksud ayat ini. Kerana banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang menyebabkan perselisihan faham kalau tidak belajar dengan betul. Jadi kena belajar yang sahih. Antaranya banyak dimasukkan kisah israiliyat dalam kitab-kitab tafsir. Sepatutnya tidak dimasukkan kerana tidak perlu dan ianya boleh mengelirukan.

Selain itu, kita kena tengok kemahiran manusia dalam sesuatu perkara. Ada yang mahir hadis, ada yang mahir fekah dan ada yang mahir dalam ilmu tafsir. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat, kita kena rujuk tafsir kepada mereka yang mahir dalam ilmu tafsir. Jarang ada seseorang yang mahir dalam semua perkara agama. Amat menyedihkan kerana negara kita ini tidak mementingkan pengajaran tafsir menyebabkan masyarakat ramai yang jahil tentang Quran.

Baik, kembali kepada tafsir ayat ini. Allah hendak kita tahu yang kita adalah makhluk yang mulia dan terbaik. Dalilnya, malaikat disuruh sujud kepada kita. Kenapa malaikat kena sujud kepada manusia? Kerana manusia ada satu kelebihan. Apakah kelebihan itu? Adakah kerana amal kita yang banyak? Kalau kerana amal kita, kita tidak akan dapat mencapai tahap amal Ibadat malaikat. Ada malaikat yang sujud tak bangkit bangkit sampai bila-bila. Oleh itu, tentunya kerana kelebihan yang lain.

Sebenarnya, malaikat dan jin disuruh sujud kepada manusia kerana kelebihan ilmu. Itu sahaja. Inilah yang Allah beritahu dalam Qur’an. Ada bahagian dalam diri kita yang berhak menerima ilmu yang tidak ada pada malaikat dan tidak ada pada malaikat dan jin. Ianya seumpama chip dalam komputer yang ada kemampuan untuk dimasukkan ilmu ke dalamnya.

وَإِذ قالَ رَبُّكَ لِلمَلائِكَةِ إِنّي جاعِلٌ فِي الأَرضِ خَليفَةً ۖ قالوا أَتَجعَلُ فيها مَن يُفسِدُ فيها وَيَسفِكُ الدِّماءَ وَنَحنُ نُسَبِّحُ بِحَمدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قالَ إِنّي أَعلَمُ ما لا تَعلَمونَ

Sahih International

And [mention, O Muhammad], when your Lord said to the angels, “Indeed, I will make upon the earth a successive authority.” They said, “Will You place upon it one who causes corruption therein and sheds blood, while we declare Your praise and sanctify You?” Allah said, “Indeed, I know that which you do not know.”

Malay

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ

Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat;

Dalam ayat ini, Allah sedang berkata-kata dengan para malaikat.Allah beritahu kepada para malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di mukabumi. Ada orang yang salah faham dengan ayat ini. Mereka kata, apabila Allah nak jadikan Nabi Adam, Allah bermesyuarat dulu dengan malaikat. Sebenarnya, Allah tidak perlu tanya malaikat pun. Tidak perlu mesyuarat dengan malaikat. Salah kalau kita kata begitu.

Dalam ayat ini Allah berfirman memberitahu malaikat yang Dia hendak menjadikan Khalifah di bumi. Bukanlah Allah tanya pendapat malaikat pula. Maka jangan kita salah faham. Kerana ada pula silap dengan kata Allah mesyuarat dengan malaikat. Kononnya mereka nak kata yang mesyuarat itu amat penting sampaikan Allah bermesyuarat dulu dengan malaikat sebelum menjadi kan Adam. Itu fahaman yang salah. Pendapat sebegitu akan mencacatkan sifat ketuhanan dan orang yang berkata begitu, sebenarnya dia ada masalah akidah.

Manusia memanglah kena bermesyuarat sebab manusia tidak sempurna. Manusia tidak tahu segala-galanya, maka kena tanya pendapat orang lain juga. Macam Nabi pun disuruh bermesyuarat dengan para sahabat dalam perkara yang bukan wahyu. Sebab Nabi sebagai seorang manusia, ada kelemahan tetapi Allah tidak ada kelemahan langsung. Maka jangan kata Allah mesyuarat dengan malaikat apabila Allah hendak menjadikan Nabi Adam.

Ayat sebelum ini telah disebutkan bahawa Allah telah menjadikan manusia dari tiada kepada ada. Maka, dalam ayat ini, Allah menceritakan bahawa makhluk pertama yang dicipta adalah Adam.

إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Sesungguhnya Aku akan jadikan di mukabumi satu khalifah;

Maksud ‘khalifah’ disini adalah: manusia yang silih berganti. Apabila mati, diganti oleh manusia lain. Bergilir-gilir hidup dan mati. Allah dah ada keputusan nak buat manusia dah dari awal lagi. Dia hanya beritahu sahaja kepada malaikat. Waktu itu Allah belum buat lagi. Tapi bukanlah Allah hendak tanya pendapat malaikat samada boleh buat atau tidak.

Banyak orang yang faham bahawa maksud ‘khalifah’ itu adalah sebagai khalifah kepada Allah. Ini salah kerana Allah tidak memerlukan penggantiNya di dunia ini.

Agama Yahudi dan Kristian juga percaya bahawa makhluk manusia yang pertama dijadikan adalah Adam. Tapi ada perbezaan antara fahaman kita dan mereka. Kita percaya bahawa Nabi Adam memang dijadikan untuk tinggal di dunia. Memang asalnya dia tinggal di Syurga, tapi Allah telah takdirkan bahawa dia akan tinggal di dunia. Tapi, agama Kristian pula percaya bahawa Nabi Adam telah ‘dibuang’ dari syurga. Ini pendapat yang kurang tepat.

Jadi, Allah beritahu malaikat yang Dia akan menjadikan makhluk yang silih berganti yang menegakkan hukumNya di dunia dan ikut perintah Allah. Dan kemudian Allah beri peluang kepada para malaikat untuk beritahu apa pendapat mereka tentang makhluk yang akan dijadikan itu. Kerana kalau kritik selepas Allah jadikan, mereka akan binasa. Tapi, kalau beritahu sebelum dijadikan, masih boleh lagi. Sekali lagi, ini bukannya Allah bermesyuarat dengan malaikat, tidak. Sebab Allah tetap akan buat juga makhluk itu.

قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا

Malaikat berkata: patutkah Kamu menjadikan makhluk yang akan merosakkan bumi

Malaikat tanya: patutkan Allah hendak menjadikan makhluk di bumi yang akan buat syirik kepadaNya? Kerana ‘berbuat kerosakan’ itu bermaksud berbuat syirik kepada Allah. Boleh juga membawa maksud membuat huru-hara di mukabumi.

Setelah diberi peluang, barulah malaikat beri pandangan mereka. Mereka kata kenapa nak jadikan makhluk lagi yang akan berbuat kerosakan di dunia – maknanya tidak menegakkan hukum Tuhan. Ini adalah bahagian hablu minallah (hubungan dengan Allah).

وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ

dan makhluk itu akan menumpahkan darah? 

Dan mereka itu nanti berbalah sesama sendiri sampai menumpahkan darah. Ini pula adalah bahagian hablu minannas (hubungan sesama manusia).

Soalan: macam mana malaikat boleh tahu yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah? Sedangkan makhluk itu tidak ada lagi. Tak sesuai kalau malaikat yang suci berbuat tohmanan pula. Mereka tahu, kerana sebelum dunia dihuni oleh manusia, ianya telah dihuni oleh golongan jin. Ini kita tahu dari hadis yang menceritakannya. Merekalah dulu yang duduk di dunia dan setelah berbuat kerosakan dan menumpahkan darah, mereka telah dihalau ke tengah laut dan ke tengah hutan. Kerana malaikat pernah tengok jin, mereka telah qiyas yang makhluk yang baru ini pun akan berperangai sebegitu juga. Itu adalah andaian mereka. Jadi, malaikat agak, apabila dibuat makhluk yang diuji dengan nafsu, seperti manusia dan jin, maka akan ada pertumpahan darah dan berbuat syirik kepada Allah. Dan Allah telah beri peluang kepada mereka untuk beri pandangan. Tidak dikira derhaka lagi kalau begitu.

Soalan lagi: Kenapa Allah minta pandangan malaikat? Kerana Allah nak beritahu kita yang Allah tak mahu perangai berbuat kerosakan dan menumpahkan darah seperti yang dilakukan oleh golongan jin itu. Allah nak beritahu kepada kita dengan cara begini – dimasukkan dalam Quran. Maklumat telah diberitahu kepada kita. Dengan soal jawap Allah dan malaikat, kita boleh tahu.

وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ

sedangkan kami senantiasa bertasbih dengan memujiMu

Maknanya, dua-dua bahagian akan dilanggar. Sedangkan kalau nak makhluk yang memuja dan taat kepada Allah, mereka dah ada dah untuk terus memujiNya.

 وَنُقَدِّسُ لَكَ

dan menyucikan namaMu.

Malaikat membandingkan perbuatan mereka dan manusia. Malaikat akan bertasbih dan bertahmid, sedangkan manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah. Satu contoh dalam bentuk perbuatan (berbuat kerosakan dan menumpahkan darah), dan satu lagi adalah dalam bentuk sebutan (tasbih dan tahmid).

Kalau difikirkan dan dilihat, nampak macam perbandingan itu tidak sempurna. Kalau nak bandingkan sesuatu, ianya mestilah dalam perbandingan yang sama – perbuatan dengan perbuatan dan sebutan dengan sebutan. Ini bermakna, bertasbih dan bertahmid itu bukan hanya sebutan di mulut, tetapi adalah jenis amalan perbuatan. Kalau tak faham, itulah sebabnya ada manusia yang berzikir kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, mereka berbuat syirik dan menumpahkan darah.

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Allah berfirman: Sesungguhnya Aku tahu apa yang engkau tidak tahu;

Apabila malaikat jawap begitu, Allah jawap dengan bahasa tegas, yang Dia Maha Mengetahui apa yang malaikat tak tahu. Itu hanya andaian malaikat sahaja dan Allah Maha Tahu dan Allah akan tunjuk yang manusia ada keistimewaan yang malaikat tidak ada.

Maka jangan tanya lagi. Memang ada manusia yang akan berbuat kerosakan di dunia dan menumpahkan darah. Tapi Allah nak cakap bahawa malaikat tak tahu bahawa akan ada di kalangan manusia yang tidak sebegitu. Ada manusia yang akan beriman sempurna dan tidak melakukan syirik kepada Allah.


Ayat 31: Ayat ini setelah Adam dijadikan. Allah terus cerita kejadian selepas dijadikan dan tidak disebutkan kisah kejadian Adam itu. Kerana Quran bukanlah buku sejarah yang ikut kronologi. Ada disebut dalam hadis bagaimana Nabi Adam dijadikan.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسماءَ كُلَّها ثُمَّ عَرَضَهُم عَلَى المَلائِكَةِ فَقالَ أَنبِئوني بِأَسماءِ هٰؤُلاءِ إِن كُنتُم صادِقينَ

Sahih International

And He taught Adam the names – all of them. Then He showed them to the angels and said, “Inform Me of the names of these, if you are truthful.”

Malay

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

 

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Dan Allah mengajar Nabi Adam nama-nama benda semua sekali;

Apabila sudah dijadikan benda-benda, Allah ajar nama benda-benda. Setiap benda akan ada namanya. Maka Allah ajar nama-nama benda itu. Segala benda, periuk, sendok, gelas, pokok, batu dan sebagainya. Allah beri keistimewaan kepada Adam, boleh kenal benda dan boleh ingat nama. Allah sendiri yang mengajar kepada Adam.

Jadi diajarkan kepada Nabi Adam nama-nama benda itu dan kegunaannya kepada manusia. Seperti pokok yang segala macam, cara untuk menanamnya dan lain-lain lagi. Ini bermakna, ilmu tentang dunia pun dari Allah juga. Kita semua bergantung ilmu dari Allah. Ini penting diberitahu kerana ada yang kata memang ilmu syariat agama dari Allah tapi ilmu keduniaan datang dari manusia sendiri. Tapi dalam ayat ini, kita dapat tahu bahawa ilmu dunia pun dari Allah juga.

Ada juga yang mengatakan bahawa ilmu yang dimaksudkan adalah Adam diberikan dengan potensi untuk mengetahui. Bukanlah dia diberikan dengan pengetahuan tentang semua benda.

ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ

kemudian dibentangkan benda-benda itu kepada malaikat;

Allah tunjukkan barang-barang itu kepada para malaikat.

فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَٰؤُلَاءِ

kemudian dikatakan kepada malaikat: beritahu kepadaKu nama benda-benda ini

Setelah diajar, Allah bentangkan benda-benda itu kepada malaikat supaya malaikat boleh sebut nama benda-benda itu. Allah soal malaikat untuk sebut nama benda-benda itu.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

sekiranya kamu benar. 

Sekiranya mereka benar seperti yang mereka dakwa yang makhluk yang diciptakan itu akan jadi seperti makhluk yang sudah pergi.


Ayat 32: Malaikat adalah sejenis makhluk yang tak makan, tak minum, tak tidur dan sebagainya. Maka, mereka tidak perlu kepada benda-benda itu. Maka Allah tidak mengajar tentang benda-benda itu kepada mereka.

قالوا سُبحانَكَ لا عِلمَ لَنا إِلّا ما عَلَّمتَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ

Sahih International

They said, “Exalted are You; we have no knowledge except what You have taught us. Indeed, it is You who is the Knowing, the Wise.”

Malay

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

 

قَالُوا سُبْحَانَكَ

Malaikat jawab: Maha Suci Kamu, Tuhan

Subhanallah – Maha Suci Engkau daripada jahil. Kami sahaja yang jahil, tapi Engkau tidak. Kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkau sahaja yang Maha Mengetahui.

لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا

Tidaklah ada pengetahuan pada kami melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami;

Malaikat tengok benda-benda itu tapi tak boleh nak sebut namanya.

Mungkin ada yang kata, mana adil kalau begitu – ajar nama benda-benda kepada Nabi Adam dan kemudian tanya beliau, dengan tanya kepada malaikat tanpa diajar nama-nama benda itu. Ini bukan isu adil atau tidak. Allah beri ilmu kepada Nabi Adam dan kerana itu ada kelebihan kepada baginda. Allah boleh beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Itu hak Allah.

Ada juga yang kata Allah ajar juga nama benda-benda itu kepada malaikat, tapi mereka tidak boleh nak ingat. Kerana manusia seperti ada Chip untuk membolehkan kita mengingati dalam jangka yang lama. Ini pandangan kedua, dan dua-dua pendapat boleh pakai.

إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana

Allah yang Maha Tahu segala-galanya, ilmu Allah tidak terbatas.

Al Hakim maksudnya Maha Bijaksana. Maha Bijaksana Engkau yang buat keputusan manakah pengetahuan yang diketahui oleh satu makhluk dan tidak yang lainnya.

Ayat ini hendak mengatakan, kalau tidak kerana kurnia Allah untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa. Samada ilmu tentang agama, atau ilmu tentang kehidupan juga.


Ayat 33: Selepas bercakap dengan para malaikat, Allah kembali berfirman kepada Nabi Adam.

Kejadian Nabi Adam secara ringkas: Jibrail disuruh mengambil bermacam jenis tanah dari seluruh pelusuk bumi dibawa ke langit untuk dijadikan Nabi Adam. Nabi Adam dicipta dengan kalimah: Kun Fayakun. Tiada emak dan tiada bapa.

قالَ يا آدَمُ أَنبِئهُم بِأَسمائِهِم ۖ فَلَمّا أَنبَأَهُم بِأَسمائِهِم قالَ أَلَم أَقُل لَكُم إِنّي أَعلَمُ غَيبَ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَأَعلَمُ ما تُبدونَ وَما كُنتُم تَكتُمونَ

Sahih International

He said, “O Adam, inform them of their names.” And when he had informed them of their names, He said, “Did I not tell you that I know the unseen [aspects] of the heavens and the earth? And I know what you reveal and what you have concealed.”

Malay

Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

 

قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

Allah berkata kepada Nabi Adam: Ceritalah kepada mereka nama-nama benda itu;

Setelah para malaikat tidak tahu apakah nama benda-benda itu, Allah suruh Nabi Adam pula yang beritahu.

فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

Tatkala Nabi Adam menceritakan kepada mereka nama benda-benda itu;

Huruf ‘fa’ dalam ayat ini menunjukkan Adam terus jawap. Tidak perlu fikir lama. Sebab baginda memang sudah tahu. Allah telah berikan kelebihan ilmu kepada Nabi Adam. 

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Allah berkata: Tidakkah aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui apa yang ghaib yang berada di tujuh langit dan tujuh bumi

Yang tahu segala perkara ghaib hanya Allah taala sahaja. Maka, jangan kita kata ada makhluk lain yang tahu ilmu ghaib.

وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ

dan Aku Maha Mengetahui apa yang kamu nyatakan

Apa yang malaikat sebut, Allah tahu. Iaitu malaikat telah berkata yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah.

وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

dan apa yang kamu sembunyikan;

Allah juga tahu apa yang disembunyikan. Samada malaikat atau apa-apa sahaja yang mahu sembunyi, Allah pasti tahu.

Persoalan di sini adalah, kenapa Allah kata ‘apa yang kamu sembunyikan’?. Takkan malaikat hendak sorok dari Allah pula. Jadi ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah Iblis. Kerana Iblis waktu itu adalah berada dalam kalangan malaikat. Dia lah yang menyembunyikan sesuatu. Malaikat yang lain pun tidak tahu apakah yang disimpan oleh Iblis waktu itu. Iblis sebenarnya dari kalangan jin dan sesama jin, Iblis kata Allah tidak akan buat makhluk yang lebih mulia dari mereka. Itulah yang disembunyikan oleh golongan jin. Tapi Allah tahu juga. Sama sahaja samada luahkan atau tidak, Allah tahu.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa manusia lebih mulia dari malaikat dan jin kerana ilmu. Kelebihan itu kerana ilmu, bukan kerana amal. Jadi kalau tiada ilmu, tiadalah kelebihan kepada kita. Maka kita kenalah prihatin kepada kelebihan kita ini. Maka, tahulah kita bahawa asal salasilah kita ini adalah hebat.

Dan ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Makrifah. Iaitu ilmu tentang tauhid kepada Allah. Inilah ilmu yang terpenting sekali yang dengannya akan menyebabkan Allah akan masukkan hambaNya ke dalam syurga.


Ayat 34:

وَإِذ قُلنا لِلمَلائِكَةِ اسجُدوا لِآدَمَ فَسَجَدوا إِلّا إِبليسَ أَبىٰ وَاستَكبَرَ وَكانَ مِنَ الكافِرينَ

Sahih International

And [mention] when We said to the angels, “Prostrate before Adam”; so they prostrated, except for Iblees. He refused and was arrogant and became of the disbelievers.

Malay

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ

Maka ketika dititahkan kepada malaikat: sujudlah kamu kepada Adam,

Allah perintah malaikat dan jin untuk sujud kepada Nabi Adam.

فَسَجَدُوا

semua sekali sujud 

Bagaimana cara sujud adalah khilaf di kalangan ulama. Imam Jalalain kata, ianya hanya sekadar tunduk hormat sahaja, bukan macam sujud meletakkan dahi atas bumi macam dalam solat. Kerana sujud macam dalam solat itu hanya khusus antara hamba dan Allah sahaja. Pendapat ini kuat. Tapi ada juga ulama yang kata sujud yang seperti sujud dalam solat. Allahu a’lam.

إِلَّا إِبْلِيسَ

kecuali Iblis;

Semua malaikat sujud tetapi tidak Iblis. Perkataan ‘Iblis’ itu maksudnya ‘putus asa dari rahmat’. Sampai bila-bila dia tidak akan dapat rahmat kerana dia pernah derhaka kepada Allah. Makhluk yang paling kecewa untuk duduk dalam syurga.

Bukanlah ayat ini mengatakan yang Iblis itu malaikat. Tapi kerana Iblis itu sudah lama beribadat kepada Allah, dia telah diletakkan bersama dengan para malaikat yang lain.

أَبَىٰ

dia enggan;

Perkataan ini bermaksud – tidak mahu mengikut arahan orang yang ada kuasa atas kita. Kadang-kadang ada kawan minta tolong dengan kita, tapi kita enggan – tapi itu adalah enggan bukan kepada orang yang berkuasa atas kita.

Keengganan Iblis itu adalah dosa besar kerana enggan menurut perintah Allah.

وَاسْتَكْبَرَ

dan dia sombong;

Kenapa enggan? Kerana sombong dalam hati. Kerana rasa dia besar. Sepatutnya dia taat sahaja kepada Allah. Dia fikir dia lebih mulia sebab dia dijadikan dari api dan lebih mulia dari makhluk yang dijadikan dari tanah. Api duduk di atas dan tanah duduk di bawah. Maka, dia fikir dia lebih mulia. Maknanya dia guna akal untuk tolak wahyu. Allah ajar kepada kita, yang guna akal tolak wahyu telah menjadi Iblis, maka kalau kita pun guna akal tolak wahyu, jadi iblis lah juga.

Iblis juga sombong kerana dia telah lama hidup dan telah lama beribadat kepada Allah. Jadi dia rasa dia lebih layak dari Adam. Kerana padanya, Adam baru sahaja dijadikan dan tidak buat ibadat lagi pun.

Apakah yang Iblis hendak? Dia sebenarnya hendakkan pangkat. Tapi bukan pangkat yang tinggi pun. Kita sebagai manusia selalunya berebut pangkat pemimpin, pangkat tinggi dalam kerajaan dan sebagainya. Tapi apa yang diberikan kepada Adam adalah pangkat menjadi ‘hamba’ kepada Allah. Itu adalah pangkat dalam agama juga. Ini bermakna, itu pun ada juga hendak. Bukan setakat pangkat yang tinggi sahaja. Jadi, kita boleh lihat bagaimana dalam masyarakat, ada yang berebut pangkat untuk jadi imam surau, berebut hendak menjadi siak masjid, atau jadi ahli jawatankuasa dalam surau. Pangkat dalam agama pun ada orang yang berebut. Jadi, berhati-hatilah. Kalau kita pun macam itu, maka kita telah mengikuti perangai Iblis.

وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Maka jadilah dia dari kalangan yang kafir;

Maknanya, iblis telah melakukan dua kesalahan: enggan untuk taat dan sombong. Kita pun ada juga bersifat begitu. Ada orang yang apabila diajak belajar tentang tauhid, enggan terima kerana sombong tak mahu belajar. Mereka sombong kerana ingat mereka telah tahu.

Allah hendak mengatakan bahawa Iblis itu telah kafir sebelum disuruh sujud kepada Adam lagi. Kerana perkataan yang digunakan adalah ‘كَانَ’, iaitu bermaksud yang telah lepas. Cuma dia menyembunyikan kekafirannya itu.

Dalam ayat dalam surah lain nanti, kita akan belajar bagaimana Iblis telah memberi alasan kenapa dia tidak mahu sujud kepada Adam. Dia kata kerana dia telah dijadikan dari api dan Adam dari tanah. Dia telah menggunakan logik untuk memberi alasan kepada keengganannya menurut perintah itu. Jadi, kalau kita pun pakai alasan yang kita sangka sebagai logik, tapi menolak arahan Allah, maka kita pun telah mengikuti jejak langkah iblis.

Baqarah 30-34


Ayat 35:

وَقُلنا يا آدَمُ اسكُن أَنتَ وَزَوجُكَ الجَنَّةَ وَكُلا مِنها رَغَدًا حَيثُ شِئتُما وَلا تَقرَبا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكونا مِنَ الظّالِمينَ

Sahih International

And We said, “O Adam, dwell, you and your wife, in Paradise and eat therefrom in [ease and] abundance from wherever you will. But do not approach this tree, lest you be among the wrongdoers.”

Malay

Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

 

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ

Maka dititahkan kepada Nabi Adam: Tinggallah kamu dan pasangan kamu dalam syurga;

Allah beri izin kepada Nabi Adam untuk tinggal dalam syurga.

Perkataan ‘سكن’ yang digunakan itu pun sudah bermaksud bahawa Nabi Adam dan Hawa tidak akan tinggal lama di Syurga itu. Kerana makna perkataan itu dalam bahasa Arab adalah untuk tinggal sekejap sahaja dan akan meneruskan perjalanan ke tempat lain.

Dalam dalam ayat 30 Surah Baqarah ini pun Allah telah berfirman kepada malaikat bahawa Dia hendak menjadikan khalifah di bumi. Maka, memang tempat Adam adalah di bumi, bukan terus duduk di Syurga.

Allah bercakap terus kepada Nabi Adam kerana dia adalah ketua keluarga. Ketua keluarga dalam sesuatu keluarga itu adalah lelaki.

وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا

dan kedua-dua kamu makanlah dengan penuh selera;

Nak makan seberapa banyak pun, makanlah. Nak guna apa, gunalah. Tidak ada sekatan.

حَيْثُ شِئْتُمَا

dimana sahaja kamu ingini;

Maknanya, buatlah apa yang kamu berdua nak buat, tapi ada syarat:

وَلَا تَقْرَبَا هَٰذِهِ الشَّجَرَةَ

Jangan kamu hampiri pokok ini;

Ingat, nama pokok itu bukanlah ‘Pokok Khuldi’, tapi ianya adalah sejenis pokok. Tidak ada dalam nas yang sahih yang menyebut nama pokok itu. Yang kata nama pokok itu Pokok Khuldi, adalah Iblis, jadi kita tak boleh pakai nama itu. Ada mufassirin yang kata pokok gandum, tapi tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Allah titahkan dua perkara: titah suruhan dan titah larangan. Titah suruhan itu luas tapi titah larangan itu satu sahaja. Iaitu jangan dekati satu pokok. Pokok apa kita tak tahu. Nabi tak beritahu dan sahabat pun tak tanya. Kita pun tak perlu nak tahu.

Oleh itu, satu sahaja larangan. Mudah sangat dah sepatutnya, kalau dikirakan. Yang lain buatlah apa nak buat. Arahan yang umum dan satu larangan. Tapi perangai manusia, yang dilarang itulah yang mereka nak buat. Kadang-kadang bukan mereka nak buat pun, tapi kerana bisikan syaitan yang dengki kepada manusia.

Allah nak beritahu dalam ayat yang syariat Allah itu mudah sahaja. Yang jadi berat itu adalah apabila manusia reka sendiri benda yang tidak disuruh dalam syarak. Iaitu yang menambah nambah perkara yang bidaah yang kemudian menyusahkan manusia.

فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

maka kamu berdua akan jadi orang yang zalim;

Selepas Allah beritahu larangan, Allah beritahu juga akan terjadi kalau mereka langgar juga larangan itu, mereka akan dikira sebagai orang yang zalim. Ini adalah ancaman dari Allah.  Mereka akan dikira sebagai zalim kerana melanggar perintah dan akan masuk neraka.


Ayat 36: Allah memperkenalkan pihak ketiga yang menyebabkan pecah belah.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطانُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

Sahih International

But Satan caused them to slip out of it and removed them from that [condition] in which they had been. And We said, “Go down, [all of you], as enemies to one another, and you will have upon the earth a place of settlement and provision for a time.”

Malay

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

 

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan daripada syurga;

Dalam surah lain, diceritakan bahawa semasa Iblis disuruh sujud, Nabi Adam belum lagi dijadikan atau baru sahaja dijadikan. Bila disuruh sujud, Iblis tidak mahu. Apabila ditanya kenapa dia tak mahu sujud, Iblis jawab kerana Allah jadikan Nabi Adam dari tanah dan dia (Iblis) Allah jadikan dari api. Tanah adalah jenis bahan yang duduk dibawah dan api jenis yang duduk di atas. Oleh itu, dia rasa dia lebih tinggi kedudukannya. Dan dia telah dijadikan dulu lagi dan sudah banyak buat ibadat. Padahal Nabi Adam belum buat ibadat lagi. Dia rasa dia lebih baik. Iblis telah jadi sombong. Maka, Allah halau Iblis dari syurga. Apabila dihalau, Iblis kata kerana dia dihalau, dia akan sesatkan seluruh anak cucu Adam. Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk dalam neraka bersama dengannya. Dibenarkan oleh Allah untuk Iblis goda anak cucu Adam.

Allah berikan alat perhubungan antara Adam dan Iblis. Jadi, walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam, kerana dia telah dikeluarkan dari syurga, tapi Nabi Adam kenal Iblis. Kerana telah diberitahu kepada Adam bahawa Iblis adalah musuh mereka berdua. Telah diberitahu semasa mereka berdua ada dalam syurga lagi. Iblis minta supaya dia dibenarkan menggoda Nabi Adam dan anak cucunya sehingga hari dibangkitkan nanti. Maknanya, dia tak mahu mati. Allah berikan tempoh kepadanya. Tapi syaitan hanya boleh goda manusia yang sama perangai dengan dia sahaja. Kalau yang berpegang kemas dengan ajaran tauhid, dia tidak boleh goda.

Syaitan telah hubungi Nabi Adam menceritakan bagaimana dia kena halau dari syurga. Dia nasihat kepada Nabi Adam supaya jangan jadi macam dia. Kononnya dia nak nasihat kepada Nabi Adam cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah suruh Adam makan pokok yang terlarang itu. Tapi Nabi Adam kata dia tidak boleh makan pokok itu. Sebab Adam ingat lagi bahawa Allah telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah juga telah sekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia kena halau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya tipuan dari Iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan Iblis itu bertalu-talu, maka Nabi Adam telah termakan pujukan Syaitan. Iblis kata, kalau Nabi Adam makan pokok itu, dia akan jadi macam malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Dan dia kata lagi, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukan Dia kata ‘jangan makan’. Maka, Nabi Adam akhirnya telah makan pokok larangan itu. Bila dia makan, dia pun suruh Hawa makan juga. Takut nanti kalau Hawa tak makan, mereka akan berpisah. Tapi dalam tafsir lain, dikatakan bahawa Iblis goda Hawa dan Hawalah yang menyebabkan Nabi Adam makan. Itu adalah fitnah kepada Hawa. Sampai memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Quran, dikatakan Nabi Adamlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawa dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata dari kata Eve itulah datangnya kata evil – kejahatan. Kerana kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan.

Bila makan, maka pakaian mereka tertanggal dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan. Mereka telah mengambil daun dari pokok-pokok dalam Syurga untuk menutup tubuh mereka.

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya; 

Allah kata ‘jangan’, dia kata boleh. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan pusing mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh.

Syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam dari syurga. Dia bukannya suruh Nabi Adam buat salah tapi dia pujuk. Dia kata larangan dari Allah itu adalah kerana kalau Nabi Adam makan, Nabi Adam akan kekal di syurga. Syaitan kata Allah tak bagi makan pokok itu sebab Allah nak keluarkan Nabi Adam dari syurga. Dan kalau Nabi Adam tak makan, memang akan terkeluarlah dia nanti. Dan syaitan sampai namakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam sampai Nabi Adam termakan. Akhirnya syaitan berjaya menghalalkan yang haram.

Syaitan akan sentiasa hendak menggelongsorkan manusia dari ikut syariat. Lalu bagaimana kita nak lawan dengan syaitan kerana kita tak nampak mereka? Allah ajar dalam ayat ini yang kalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitanlah itu. Syaitan tidak suka wahyu ditegakkan. Allah beri peringatan jangan kita terjadi macam tok nenek dulu.

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Dari bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’. Tapi dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang kata, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan Iblis.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Apabila mereka ada zuriat nanti, keturunan mereka akan jadi musuh sesama sendiri. Jadi musuh sebahagian yang lain. Iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia. Kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan pun berlainan. Ianya membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan.

Orang yang hak akan dimusuhi oleh orang yang batil. Dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada.

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara; 

Duduk sekejap sahaja. Akan pergi ke tempat selama-lamanya.

 وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Tapi barang itu tidak penting. Macam kain buruk kita buat lap meja, ianya digunakan, tapi tidaklah ianya satu benda yang penting. Inilah hakikat dunia. Ianya hanya untuk keperluan kita sahaja. Oleh itu, jangan kita jadi materialistik sampai dunia itu masuk ke dalam hati kita. Ianya hanyalah keperluan sahaja.

Kita adalah anak cucu Nabi Adam yang tidak bersalah makan pokok itu. Tapi kita duduk di dunia. Kerana dalam ayat ini, ianya adalah perintah dari Allah untuk kita tinggal di dunia.


Ayat 37: Allah nak ingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan ikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa. Kerana lupa, dan kerana lupa itulah yang menyebabkan terkeluar dari syurga. Dan lupa itu pula disebabkan oleh syaitan. Kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa. Lebih-lebih lagi lupa tentang syariat.

Kesilapan lupa tidak sama dengan perbuatan yang sengaja. Lain hukuman kalau lupa dan sengaja. Kerana iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tapi sengaja tak mahu sujud kerana degil. Tapi Nabi Adam makan pokok itu kerana lupa. Maka, kerana silapnya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.

Maka, apabila Nabi Adam sedar yang dia telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah taala. Baginda adalah bapa kepada sekalian manusia dan akalnya amat hebat dan waras. Dikatakan bahawa akal Nabi Adam itu lebih hebat dari seratus umatnya. Dengan akalnya itu, baginda telah memohon keampunan kepada Allah dengan lafaz yang berbagai-bagai bentuk ucapan, doa dan istighfar. Dengan harapan yang tinggi untuk merayu kepada Allah supaya Allah sayang dia balik dan ampunkan segala dosanya. Tapi Allah tidak pandang sikit pun doa-doa dari Nabi Adam itu. Maknanya, perkataan yang terbit dari akal manusia tidak diterima.

فَتَلَقّىٰ آدَمُ مِن رَبِّهِ كَلِماتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

Sahih International

Then Adam received from his Lord [some] words, and He accepted his repentance. Indeed, it is He who is the Accepting of repentance, the Merciful.

Malay

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

 

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ

Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya,

Akhir sekali, Allah ajar sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepadaNya. Allah hendak mengajar bahawa syariat tetap syariat. Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal kena tunduk kepada wahyu.

Hanya apabila Adam belajar doa dari wahyu ilahi, barulah Allah menerima doa ampun Nabi Adam itu. Nabi menerima beberapa kalimat istighfar. Barulah Allah menerima taubatnya. Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah dalam hal apa pun, adabnya adalah kita cari dulu doa yang Nabi ajar. Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Kalau ada, maka pakailah doa itu dan guna. In sha Allah, ianya lebih baik dari doa yang reka sendiri. Boleh doa yang kita reka, tapi yang sebaik-baiknya, kita cari dulu. Banyak doa yang Nabi dah ajar kepada umatnya. Macam-macam doa yang sesuai digunakan.

Nabi Adam telah turun ke dunia, ada riwayat yang mengatakan selama 300 tahun baru berjumpa dengan Hawa. Mereka turun bukan tempat yang sama. Hawa turun di Sri Lanka dan Nabi Adam turun di Afrika. Masing-masing mendengar suara masing-masing tapi tidak tahu di mana. Keadaan kawasan yang hampir serupa antara dua tempat itu.

Dalam masa yang sama, Adam telah memohon ampun diatas kesalahan yang telah dilakukannya. Lama baru diterima taubat Nabi Adam. Mengikut riwayat hadis, kalau dicampurkan separuh anak cucu Nabi Adam semua sekali kecerdikan mereka, baru sama dengan kecerdikan Nabi Adam. Maka, walaupun Nabi Adam seorang yang cerdik, sudah biasa hidup di syurga dan tinggal bersama para malaikat, tetapi apabila dia telah bertaubat menggunakan lafaz bahasa yang dia tahu, tidak diterima taubat itu. Sentiasa dia bertaubat, tapi tidak diterima. Dalam waktu itu, dia telah duduk di dalam keadaan yang payah. Bayangkan dia telah pernah tinggal di syurga dulu, tapi sekarang terpaksa hidup mencari makan sendiri. Dua dunia yang amat berbeza. Dia seperti duduk dalam penjara kalau dibandingkan dengan kehidupan dia dahulu.

Sehinggalah Allah mengajar kalimah taubat untuk digunakan Nabi Adam barulah diterima taubatnya. Doanya adalah seperti apa yang termaktub dalam 7:23

7:23

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Maka, sesiapa yang kena bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang jatuh bala itu adalah kerana dia ada salah dengan Tuhan. Oleh itu, dia kena minta ampun kepada Allah dan sebaik-baik doa taubat adalah seperti yang diajar oleh Allah.

 

فَتَابَ عَلَيْهِ

maka diterima taubat Nabi Adam;

Maknanya, kalau kita berdoa, kena ikut apa yang Tuhan suruh. Tak boleh reka-reka. Sebaik-baik doa adalah doa yang telah diajar oleh Allah dan Nabi. Kalau kita tidak tahu, bolehlah kita buat setakat lafaz kita yang kita biasa.

 إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Allah taala itu sifatNya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan

Ada dua sifat Allah yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan. Maksudnya, Allah suka menerima taubat hambaNya. Apabila Allah telah terima taubat hambaNya itu, Dia tidak akan menyusahkan hambaNya itu selama-lamanya di akhirat. Itulah sifat Rahim Allah.


Ayat 38: 

قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sahih International

We said, “Go down from it, all of you. And when guidance comes to you from Me, whoever follows My guidance – there will be no fear concerning them, nor will they grieve.

Malay

Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

 

قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا

Turunlah kamu semua dari syurga ini;

Sebelum ini adalah titah secara ringkas. Ini adalah titah dengan lebih lengkap. Arahan turun kali kedua ini dalam bentuk yang lembut. Supaya manusia dapat pengajaran.

جَمِيعًا

semua sekali;

Maknanya, kamu dan isteri kamu dan zuriat-zuriat kamu sekali.

Ada arahan yang diberikan kepada orang lain, yang dia tidak buat lagi. Ini dinamakan amrun ijaadi.
Tapi ada arahan yang diberikan kepada orang yang memang dia sudah buat dah. Ini dinamakan amrun ibqa’ie – maksudnya, teruskan lakukan apa yang sedang dilakukan. Macam arahan dalam ayat ini, juga ditujukan kepada kita, tapi kita memang sudah duduk di dunia ini pun. Maksudnya, ‘teruskan duduk di dunia’.

Di sini Allah hendak memberitahu kita apakah ilat yang menyebabkan manusia kena duduk di dunia juga. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja. Memang Allah hendak menetapkan manusia tinggal di dunia. Manusia memang kena duduk di dunia dahulu. Semua anak Nabi Adam kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian.

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى

Maka sekiranya datang kepada kamu dari Aku, petunjuk;

Manusia nanti akan bermusuh antara manusia seperti telah disebutkan sebelum ini. Allah akan hantar Nabi untuk bawa petunjuk.

Allah kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu dari ‘Aku’. Maknanya, kena pastikan bahawa petunjuk itu dari Allah – dari Quran dan dari sunnah Nabi. Bukan dari yang lain. Ini menunjukkan bahawa akan ada petunjuk yang dari dua sumber itu. Kerana banyak orang Islam yang mengambil petunjuk dari sumber lain seperti tradisi turun temurun yang dibawa oleh tok nenek mereka. Itu bukan petunjuk dari Allah. Maka kita kena biasakan diri kita dengan petunjuk yang sahih. Jangan pakai ambil sahaja.

Kita kena sentiasa peka dan bertanya dari manakah sesuatu amalan itu datang. Adakah dari Allah atau dari sumber yang lain. Kita kena pastikan yang ianya sahih.

فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ

Sesiapa yang mengikuti petunjuk itu;

Perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk ‘mufrad’ – seorang. Kerana kadang-kadang kita sahaja yang menerima hidayah dalam lingkungan keluarga kita. Kadang-kadang kita rasa kita keseorangan. Tapi selepas itu dalam ayat ini juga, Allah bertukar menggunakan perkataan ‘عَلَيْهِمْ’ – dalam bentuk jamak. Ini bermakna, walaupun kita mula keseorangan, kemudian Allah akan beri kawan-kawan di dalam perjuangan menjalankan kehidupan yang berlandaskan iman yang benar. Kalau kita tidak dapat kawan dalam dunia ini, Allah akan beri kawan itu semasa di akhirat nanti. Maka, janganlah takut kalau kita rasa macam kita seorang sahaja yang menerima jalan sunnah ini. Tidak ramai yang sanggup mengambil jalan yang sealiran dengan Quran dan sunnah.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

maka tidak ada ketakutan atas mereka;

Tidak ada ketakutan untuk mereka itu, samada di dunia atau di akhirat. Allah sebut ‘takut’ dahulu, kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia. Kalau nak dibandingkan dengan kesedihan. Takut adalah berkenaan perkara yang akan datang dan kesedihan adalah tentang perkara yang telah lalu. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi.

Apabila dikatakan ‘la khaufun’, itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘la khaufa’ yang sepatutnya digunakan. Sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalanraya kerana kita takut kemalangan. Dan macam-macam lagi. Dan di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah nanti. Kerana kita tidak pasti apakah kita akan selamat atau tidak. Kita takut untuk masuk ke dalam neraka. Tapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman. Kerana kita tahu bahawa Allah akan melindungi kita.

Ada beza kalau kita kata: ‘takut kepada sesuatu’ dan ‘tidak ada ketakutan padanya’ – seperti yang digunakan dalam ayat ini. Untuk lebih memahami maknanya, bayangkan anak kita yang masih bayi, bermain dengan seekor ular. Bayi itu tidak takut kepada ular itu kerana dia tidak faham apa yang ular itu boleh buat kepadanya. Tapi kita ‘takut’ apa yang akan terjadi kepada bayi itu. Kita takut untuknya kerana kita sayang kepadanya. Dalam ayat ini, apabila Allah berkata ‘Tidak ada ketakutan atas mereka’, ia bermakna tidak ada apa yang perlu ditakutkan tentang orang itu. Kerana dia telah memegang hidayah yang Allah telah berikan kepadanya, maka dia adalah antara orang-orang yang selamat.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

dan mereka tidak berdukacita lagi;

Ini bermaksud, seorang yang beriman tidak akan sedih. Ramai orang fikir bahawa kalau mengamalkan Islam dengan baik, mereka tidak akan dapat bergembira di dunia ini. Macam-macam mereka tidak boleh buat kerana Islam melarangnya. Tapi ayat ini hendak mengatakan orang-orang Islam yang beriman tidak akan bersedih. Kerana mereka akan rasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah berikan kepada mereka dan mereka redha dengan apa yang Allah suruh mereka lakukan.

Sebenarnya, mereka-mereka yang mencari kegembiraan kehidupan di dunia ini tidak gembira sebenarnya. Kerana mereka melawan kehendak naluri fitrah mereka yang mahukan kehidupan Islam. Kerana dalam diri mereka, sebenarnya mereka hendakkan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam, tapi mereka telah mematikan perasaan fitrah itu. Contohnya, mereka yang berparti sampai tidak ingatkan diri itu, apabila mereka sedar dari mabuk itu, mereka akan rasa sedih. Mereka akan rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan. Cuma mereka buat tak tahu sahaja. 

Tidak ada apa yang hendak disedihkan oleh orang beriman. Kalau kita diberikan ujian, kita tahu ujian itu adalah dari Allah. Ianya baik untuk kita kerana ianya akan menaikkan darjat untuk kita. Kalau kita sakit, itu sebenarnya akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu. Kalau kita berperang dan kita kalah, atau kita mati, kita akan mati syahid. Dalam keadaan manapun, kita akan mendapat kebaikan.

Ujian dunia ada dua jenis: ada yang jenis dugaan – kita ditimpa kemalangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya. Satu lagi ujian yang mungkin lebih bahaya lagi adalah ujian ‘kesenangan hidup’. Apabila kita senang, kita lagi senang untuk lupa Allah. Sebab kalau dalam keadaan susah, kita selalu ingat Allah. Tapi apabila senang, susah nak ingat Allah. Apabila senang, kadang-kadang susah hendak bersyukur kepada Allah.

Apabila Allah mengatakan bahawa orang-orang beriman ‘tidak akan sedih’, ianya juga hendak menyatakan bahawa akan ada orang lain yang akan bersedih. Mereka akan bersedih dan menyesal apabila hari Kiamat kelak. Mereka akan sedih kerana mengenangkan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Mereka akan bersedih kerana mereka tidak menurut hidayah yang Allah telah sampaikan.

Kalau anak cucu Nabi Adam nak balik ke syurga, kena ikut nasihat. Kalau datang wahyu hidayat, manusia akan jadi dua golongan. Sesiapa yang sanggup ikut nasihat, tidak akan berlaku ketakutan ke atas mereka tentang akhirat kerana mereka akan dimasukkan ke syurga. Dan tidak akan berdukacita lagi kerana kena tinggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja. خَوفٌ untuk benda yang akan berlaku di masa hadapan, manakala حزَن untuk perkara yang sudah lepas.


Ayat 39: Ini pula kepada makhluk yang degil. Engkar dengan hidayah. Dan benda yang benar, mereka kata ianya dusta. Mereka akan jadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Bukan tinggal sekejap tapi kekal di neraka buat selama-lamanya.

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِآياتِنا أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

Sahih International

And those who disbelieve and deny Our signs – those will be companions of the Fire; they will abide therein eternally.”

Malay

Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

 

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

Dan orang-orang yang kafir:

Iaitu mereka engkar dengan Quran dan buat syirik kepada Allah,

وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

dan mendustakan ayat-ayat Kami

Apabila sampai wahyu Allah kepada mereka, mereka kata itu adalah dusta, mereka tidak mahu terima.

أُولَٰئِكَ

mereka-mereka yang bersifat seperti itu 

yang kufur dan menolak wahyu Allah,

أَصْحَابُ النَّارِ

adalah pemilik-pemilik neraka sebenar;

Pemilik sebenar tidak sama dengan orang mukmin yang masuk neraka. Kerana ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Tapi mereka akhirnya akan keluar dari neraka. Orang mukmin itu adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik kepada Allah. Ada orang yang namanya Islam yang juga melakukan syirik kepada Allah. Mereka itu akan kekal dalam neraka. Walaupun semasa mereka di dunia, mereka itu orang Islam.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

mereka kekal di dalamnya;

Mereka tidak akan dapat keluar dari neraka. Walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku Islam. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka pun. 

Baqarah 35-39

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya


Rujukan: 

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Mualana Hadi

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 002: al-Baqarah and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s