Tafsir Surah Yaasin Ayat 65 – 70 (Nabi tidak pandai bersyair)

Ayat 65:

اليَومَ نَختِمُ عَلىٰ أَفوٰهِهِم وَتُكَلِّمُنا أَيديهِم وَتَشهَدُ أَرجُلُهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

 Sahih International

That Day, We will seal over their mouths, and their hands will speak to Us, and their feet will testify about what they used to earn.

Malay

Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

 

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَٰهِهِمْ

Pada hari ini (di Mahsyar), Kami akan kunci mulut mereka;

Manusia tak boleh nak bercakap apa dah pada hari itu. Orang-orang kafir dan munafik akan cuba mengatakan bahawa mereka tidak buat kesalahan-kesalahan yang dihadapkan kepada mereka. Mereka akan sentiasa mengambil peluang untuk menipu walaupun di hadapan Allah taala. Maka Allah akan menutup mulut lisan mereka.

Dalam ayat sebelum ini, Allah berkata terus dengan mereka. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak bercakap lagi dengan mereka, tapi membahasakan diri mereka sebagai pihak ketiga. Ini kerana mereka telah masuk ke dalam neraka. Allah dah tak mahu bercakap dengan mereka.

 

وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ

maka berkata kedua-dua tangan mereka; 

Apabila mulut mereka ditutup, maka anggota badan pula yang akan bercakap menjadi saksi atas perbuatan tuannya. Tangan akan jadi pendakwaraya pula kepada tuannya. Tuannya nanti akan marah kepada tangan kenapa cakap kepada Allah. Tangan akan kata bahawa pada hari itu Allah memberi kebenaran kepada mereka untuk berkata-kata. Bukan tangan mereka sahaja yang akan berkata, malah pendengaran, penglihatan dan kulit mereka juga akan berkata-kata.

 

وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ

dan menjadi saksi kaki-kaki mereka; 

Yang berkata adalah tangan, dan kaki akan menjadi saksi bagi apa yang dikatakan oleh tangan itu. Tangan cakap dan kaki kata: ya betul-betul.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Terhadap apa yang dulu mereka lakukan;

Mereka akan terpaksa mengaku semua. Tak boleh nak elak lagi dah kerana memang anggota badan mereka itu terlibat dalam perbuatan tuannya itu. Semasa di dunia, mereka telah melakukan banyak perkara yang salah dari segi akidah dan amalan, maka mereka akan mendapat balasan yang amat buruk atas perbuatan mereka itu.

Lihatlah apa yang mereka telah buat kepada Nabi Muhammad. Mereka telah mentertawakan Nabi Muhammad apabila ahli keluarga baginda mati. Mereka menolak dakwah baginda mentah-mentah. Mereka tidak membenarkan Nabi berdakwah. Dan macam-macam lagi perkara buruk mereka telah buat. Golongan  musyrikin dan munafik memang akan cari jalan untuk menidakkan kesalahan yang mereka telah lakukan. Seperti yang disebut dalam satu hadis:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ya’qub ibnu Ibrahim, telah menceritakan kepada kami Ibnu Aliyyah, telah menceritakan kepada kami Yunus ibnu Ubaid, dari Humaid ibnu Hilal yang mengatakan bahwa Abu Burdah pernah mengatakan bahwa Abu Musa Al-Asy’ari r.a. telah berkata bahwa kelak di hari kiamat orang mukmin dipanggil untuk menjalani perhitungan amal perbuatan. Lalu Tuhannya menampakkan kepadanya semua amal perbuatannya antara Dia dan orang mukmin itu. Maka orang mukmin itu mengakuinya dan mengatakan, “Benar, ya Tuhanku, aku telah melakukan anu dan anu dan anu.” Maka Allah Swt. mengampuni semua dosanya dan menutupi sebagian darinya. Tiada seorang makhluk pun yang melihat dosa-dosa tersebut barang sedikit pun, dan yang tampak hanyalah kebaikan-kebaikannya saja, sehingga orang mukmin itu menginginkan andaikata semua manusia melihatnya. Dan orang kafir serta orang munafik dipanggil untuk menjalani hisab amal perbuatannya, maka Tuhannya membeberkan kepadanya semua amal perbuatannya. Tetapi ia mengingkarinya dan berkata, “Ya Tuhanku, demi Keagungan-Mu, sesungguhnya malaikat ini telah mencatat pada buku amalku hal-hal yang tidak aku kerjakan.” Maka malaikat pencatat amal perbuatan berkata kepadanya, “Bukankah kamu telah melakukan anu di hari anu di tempat anu?” Ia menjawab, “Tidak, demi keagungan-Mu, ya Tuhanku, aku tidak melakukannya.” Apabila ia mengingkari semuanya itu, maka Allah Swt. membungkam mulutnya. Abu Musa Al-Asy’ari r.a. melanjutkan, bahwa sesungguhnya ia menduga anggota tubuhnya yang mula-mula berbicara ialah paha kanannya. Kemudian Abu Musa Al-Asy’ari membaca firman-Nya: Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan. (Yasin: 65)


 

Ayat 66: Takhwif duniawi.

وَلَو نَشاءُ لَطَمَسنا عَلىٰ أَعيُنِهِم فَاستَبَقُوا الصِّرٰطَ فَأَنّىٰ يُبصِرونَ

 Sahih International

And if We willed, We could have obliterated their eyes, and they would race to [find] the path, and how could they see?

Malay

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

 

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami butakan mata mereka;

Allah boleh sahaja butakan mata mereka semasa mereka di mukabumi lagi sebagai balasan atas kesalahan besar yang mereka telah lakukan.

Perkataan طَمَسْ itu bermaksud ‘memadam sesuatu’. Seperti kalau kita tulis dengan pensel, dan kita cuba nak padam dengan pemadam getah. Walaupun kita telah padam, tapi akan ada kesannya lagi. Begitulah Allah boleh buat kepada mata mereka yang telah menolak dan mengejek-ngejek Nabi Muhammad.

 

فَاسْتَبَقُوا الصِّرٰطَ

Mereka akan berlumba-lumba mencari jalan kebenaran;

Mereka cuba untuk cari jalan, tetapi mereka tidak akan jumpa kebenaran itu kerana mereka telah dibutakan matahati mereka.

 

فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ

Macam mana lagi mereka dapat melihat;

Mereka sudah tidak dapat melihat dalil bukti dari Allah taala. Mereka tak nampak dalil bukti walaupun apabila mereka diberitahu. Kadang-kadang orang lain yang ada bersama mereka dapat faham, tapi mereka sendiri tak faham. Itu adalah kerana matahati mereka telah dibutakan. Ini dinamakan ‘khatmul qalbi’ (penutupan hati) kerana mereka telah sampai ke peringkat kufur peringkat ke-empat. 


 

Ayat 67:

وَلَو نَشاءُ لَمَسَخنٰهُم عَلىٰ مَكانَتِهِم فَمَا استَطٰعوا مُضِيًّا وَلا يَرجِعونَ

 Sahih International

And if We willed, We could have deformed them, [paralyzing them] in their places so they would not be able to proceed, nor could they return.

Malay

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

 

وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنٰهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ

Kalau Kami kehendaki, Kami boleh tukar rupa mereka di atas tempat mereka berada;

Allah boleh mengubah keadaan mereka jadi kera atau babi, sebagai contoh, kerana kesalahan besar yang telah lakukan. Allah boleh lakukan, tapi Allah tak buat. Allah boleh sahaja jadikan mereka kera, babi, batu atau apa sahaja.

Ada dua kali Allah menceritakan bagaimana Allah merubah kejadian manusia dalam Qur’an, satu pada zaman Nabi Daud, kaumnya menjadi kera kerana kena sumpah, iaitu orang-orang yang memukat ikan pada hari Sabtu. Patutnya tidak boleh bekerja menangkap ikan pada hari tu. Kerana syariat orang Yahudi waktu itu mereka tidak boleh bekerja pada hari Sabtu. Tapi mereka telah buat helah untuk bagi boleh juga. Mereka tak tahan nafsu untuk menangkap ikan, sebab ikan-ikan banyak pada hari Sabtu pula. Mereka tahan pukat pada hari Jumaat dan mereka angkat pukat itu pada hari Ahad. Allah ubah kejadian mereka menjadi kera kerana mereka nak tipu Tuhan. Kononnya, mereka nak berhujah bahawa mereka tak bekerja hari Sabtu itu. Mereka ingat mereka pandai, sampai mereka nak tipu Tuhan.

Macam kita juga, dah tahu majlis perkahwinan yang ada bersanding itu tidak boleh dihadiri, kita buat helah dengan datang awal atau datang lambat (sebelum atau selepas majlis persandingan). Konon macam kita tak tahu ada sanding. Dah memang tak boleh pergi, sepatutnya kita jangan pergi langsung, samada awal atau lambat. Tidak boleh kita berada dalam majlis yang ada kemungkaran kepada Allah. Kalau pergi juga, sama seperti kita mengunjungi kuil orang Hindu.

Satu lagi pada zaman Yahudi, ada yang ditukar menjadi babi. Dalam dua-dua kejadian ini, mereka yang ditukar itu mati dalam masa tiga hari selepas ditukar. Sesiapa yang melawat mereka selepas ditukar akan melihat memang mereka menjadi babi dan menjadi kera.

Tuhan boleh buat macam tu. Tapi Allah cakap dalam ayat ini: “Kalau Kami mahu”. Bermakna, Allah tidak semestinya buat walaupun Allah boleh buat.

 

فَمَا اسْتَطٰعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ

Maka tidak mampu mereka ke depan dan tidak mampu kembali ke belakang;

Apabila Allah dah tukar fizikal mereka, mereka tidak boleh jadi manusia semula. Mereka akan mati sahaja selepas itu (selepas tiga hari).

Dalam ayat ini, Allah memberi ancaman kepada mereka untuk mengambil perhatian. Allah nak beritahu bahawa Dia boleh buat semua itu, kalau mereka masih lagi berdegil dan menentang Nabi. Tapi Allah tak terus buat kerana Allah masih lagi memberi peluang kepada mereka.

Lihatlah rahmat Allah memberitahu kita tentang perkara ini. Kalau kita pun menolak dakwah dari mereka yang membawa ajaran Islam yang benar, Allah pun boleh jadikan kita macam itu juga.


 

Ayat 68:

وَمَن نُّعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ

Sahih International

And he to whom We grant long life We reverse in creation; so will they not understand?

Malay

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

 

وَمَنْ نُّعَمِّرْهُ

Dan sekiranya Kami melanjutkan usia seseorang itu,

Ada orang yang Allah telah beri usia yang panjang. Bukan semua boleh jadi tua.

نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ

nescaya Kami akan kembalikan dia kepada kejadian asal;

Perkataan نَكِّسْ bermaksud menterbalikkan sesuatu. Apabila usia dah panjang sangat, orang itu boleh jadi macam budak balik. Mungkin kena pakai lampin balik, kena suap makan kepadanya, sudah tak berapa ingat dan sebagainya. Mungkin juga sudah tidak boleh bercakap dan kena dimandikan seperti budak kecil, bukan?

Begitulah perjalanan hidup manusia. Allah hendak mengingatkan manusia bahawa dunia ini bukanlah tempat tinggal yang kekal. Yang kekal adalah alam akhirat. Keadaan diri kita pun tidak kekal. Dalam ayat 39 Allah sudah beri perumpamaan:

وَالقَمَرَ قَدَّرناهُ مَنازِلَ حَتّىٰ عادَ كَالعُرجونِ القَديمِ

Dan telah Kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah, sehingga (setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang tua.

Sepertimana bulan kembali menjadi bulan sabit di hujung bulan, maka begitulah manusia – dia akan kembali jadi seperti budak-budak kembali ke hujung usianya kalau dia sempat jadi tua. Juga disebut dalam ayat yang lain:

{وَمِنْكُمْ مَنْ يُرَدُّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْلا يَعْلَمَ مِنْ بَعْدِ عِلْمٍ شَيْئًا}

dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (lanjut dan nyanyuk) supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya. (An-Nahl: 70)

Mereka yang menolak Islam, mereka buat begitu kerana mereka berbangga dengan apa yang mereka ada. Mereka ada kekayaan dan mereka ada kesihatan dan kekuatan mereka. Kadang-kadang apabila seseorang itu ada kelebihan, fikiran mereka telah dikelabui. Tapi Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka ada itu tidak lama. Apabila mereka dah semakin tua, mereka tidak dapat mengelak dari jadi lemah, dari segi jasad mereka dan juga fikiran mereka.

Kaitan dengan dua ayat sebelum ini: Allah kata Allah boleh ubah kejadian manusia. Tapi Allah tak buat. Apa yang Allah buat adalah mengubah keadaan manusia itu sedikit demi sedikit. Ini memang terjadi sekarang ini pun. Setiap hari kita akan lihat bagaimana seseorang yang dulunya gagah dan kuat, tapi akhirnya apabila dah tua, mereka jadi lemah. Kalau dahulunya mereka boleh bercakap dengan kuat dan berbangga dengan apa yang mereka ada, apabila dah tua, mereka akan jadi lemah dan banyak senyap sahaja.

 

أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Mengapa mereka tidak mahu memikirkan?

Iaitu memikirkan bahawa Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja, kepada sesiapa sahaja, bila-bila masa sahaja. 

Ayat ini juga sebagai dalil kehidupan selepas kematian. Seperti kita telah belajar sebelum ini, musyrikin Mekah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka akan dihidupkan balik selepas mereka mati. Tapi Allah mengingatkan mereka bahawa Allah boleh buat apa sahaja. Dan Allah telah mengubah keadaan manusia pun. Kalau Allah boleh mengubah manusia dari kuat kepada lemah, Allah juga boleh mengubah manusia dari keadaan mati kepada keadaan hidup kembali.

Dari sejarah Islam, kita dapat tahu bagaimana Allah telah lakukan kepada Abu Lahab. Dia seorang yang amat sombong. Dia mempunyai rupa paras yang molek. Sebab itulah namanya pun Abu Lahab. Tapi akhirnya dia telah dimalukan. Akhir hidupnya dia telah dikunci dalam bilik kerana badannya jadi reput dan busuk sampaikan keluarganya tidak tahan. Apabila dia mati, keluarga dia terpaksa upah orang lain untuk buang jasadnya di padang pasir. Tak ditanam pun – hanya dibiarkan untuk dimakan oleh binatang sahaja. Semua itu adalah peringatan kepada kita semua.


 

Ayat 69:

وَما عَلَّمنٰهُ الشِّعرَ وَما يَنبَغي لَهُ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ وَقُرآنٌ مُّبينٌ

 Sahih International

And We did not give Prophet Muhammad, knowledge of poetry, nor is it befitting for him. It is not but a message and a clear Qur’an

Malay

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

 

وَمَا عَلَّمْنٰهُ الشِّعْرَ

Dan tidaklah Kami ajar kepadanya (Nabi Muhammad) itu syair, 

Allah beritahu yang Allah tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad SAW, seperti yang dituduh oleh musyrikin Mekah. Mereka kata Qur’an yang baginda baca itu adalah syair sahaja, tidak lebih dari itu.

Allah mengaitkan DiriNya yang mengajar dalam ayat ini. Allah hendak menekankan bahawa kalau Nabi Muhammad ada ilmu apa-apa pun, ianya mestilah dari Allah sendiri. Tapi Allah kata Dia tak ajar syair kepada Nabi. Jadi memang Nabi Muhammad tidak boleh bersyair. Kerana ada riwayat yang mengatakan yang baginda pernah bersyair tapi terbalik kalimah yang baginda baca.

Selain dari syair, Orientalis cuba untuk mengaitkan ilmu-ilmu yang ada pada Nabi Muhammad itu dicedok dari agama-agama lain. Tapi kalau dikaji dengan sebenarnya, Nabi tidak pernah belajar atau mengambail ilmu Islam itu dari mana-mana sumber selain dari Allah. Ini boleh dikaji dari sejarah hidup Nabi.

 

وَمَا يَنْبَغِي لَهُ

dan tidaklah patut dia (Nabi Muhammad) belajar syair;

Hujah ini disebut di sini sebab ada yang kata Qur’an itu hanya syair sahaja, tidak lebih dari itu. Mereka kata Nabi Muhammad itu seorang penyair pula. Itu adalah antara hujjah-hujjah batil mereka untuk menentang Qur’an.

Sa’id ibnu Abu Urwah telah meriwayatkan dari Qatadah, bahwa pernah ditanyakan kepada Siti Aisyah r.a., “Apakah dahulu Rasulullah Saw. pernah mengutip sesuatu dari bait syair?” Siti Aisyah r.a. menjawab bahawa syair merupakan perkataan yang paling tidak disukai oleh baginda. Hanya saja baginda pernah mengutip bait syair saudaraku dari Bani Qais, maka baginda menjadikannya terbalik, yang awal diakhirkan dan yang akhir diawalkan. Lalu Abu Bakar r.a. berkata, “Bukan begitu, wahai Rasulullah Saw.” maka baginda Saw. bersabda:

“إني وَاللَّهِ مَا أَنَا بِشَاعِرٍ وَلَا يَنْبَغِي لِي”

Sesungguhnya aku, demi Allah, bukanlah seorang penyair, dan bersyair itu tidak layak bagiku.

Akan tetapi, ada syair yang disyariatkan, iaitu sindiran-sindiran terhadap orang-orang Musyrik yang dilantunkan oleh para ahli syair Islam, seperti Hassan bin Tsabit, Kaab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan orang-orang semisal mereka.

Tidak layak Qur’an disamakan dengan syair. Syair tidak akan setanding dengan Qur’an. Terdapat beberapa perbezaan antara syair dan Qur’an:

1. Syair mementingkan lenggok bahasa sahaja. Kerana tujuan syair adalah untuk menggembirakan manusia yang membacanya. Tapi Qur’an mementingkan mesej yang hendak disampaikan di dalamnya.

2. Syair boleh tersilap. Kadang-kadang ia berkata tentang suatu perkara dan dalam bait yang lain, ia berlawanan dengan kata-kata sebelumnya. Qur’an tidak mungkin begitu. Qur’an sentiasa tepat dan tidak ada percanggahan antara ayat-ayatnya.

3. Pencinta syair tidak semestinya orang yang ada tujuan dalam hidup. Kalau kita lihat kepada pencinta syair, kebanyakannya adalah pemuzik-pemuzik dan penyair-penyair yang mereka sendiri tidak tahu apakah yang mereka perjuangkan. Mereka selalunya adalah orang yang hanya mahu bergembira sahaja dalam hidup mereka. Tapi pencinta Qur’an adalah mereka yang cintakan Allah dan cintakan kebenaran. Mereka mempunyai tujuan hidup yang tepat sepertimana yang digariskan dalam Qur’an.

Kita tidak perlu kepada syair. Oleh itu, tidak perlu kita menyusun doa kita kepada Allah sehingga hilang keikhlasan dalam doa kita itu. Kita seperti membaca satu sajak yang telah ditulis tapi bukan dari hati kita. Seeloknya kita membaca doa yang benar-benar dari hati kita. Walaupun ianya tidak tersusun, tapi kalau ianya ikhlas dari hati kita, ianya lebih disukai oleh Allah.

Sama macam kita dengar ceramah atau khutbah jumaat yang dibaca dari teks ucapan. Ianya tidak menarik langsung. Ucapan yang tidak menggunakan teks ucapan lagi bagus. Oleh itu, apabila kita berdakwah, cuma keluarkan apa yang ada dalam hati kita. Jangan hiraukan tentang kata-kata yang kita gunakan. Pastinya ianya adalah kata-kata dari hati kita sendiri.

Jadi, kalau Qur’an itu bukan syair, apakah ia?

 

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ

Sesungguhnya Qur’an itu tidak lain dan tidak bukan adalah pemberi peringatan

Perkataan yang digunakan adalah ذِكْرٌ. Bukan الذِكْرٌ. Oleh itu, ianya adalah dalam bentuk umum (nakirah). Ianya adalah untuk memberitahu kita bahawa banyak benda yang Qur’an itu ingatkan kita, bukan satu sahaja. Antaranya tentang realiti kehidupan, fitrah manusia, mengingatkan kita tentang sejarah silam umat-umat terdahulu, peringatan tentang apakah kesannya kalau kita engkar kepada Allah, dan macam-macam lagi.

 

وَقُرْآنٌ مُّبِينٌ

dan bacaan yang jelas nyata;

Qur’an itu adalah wahyu dalam Bahasa Arab yang jelas nyata, yang tidak boleh ditiru oleh manusia.

Qur’an itu jelas nyata kepada mereka yang belajar tafsir Qur’an. Maknanya, apabila kita belajar tafsir Qur’an, kita akan tahu mana perbuatan salah yang kita buat. Sebab telah jelas nyata kepada kita kerana telah diterangkan dengan nyata di dalam Qur’an. Yang tidak jelas adalah kepada orang yang tidak belajar tafsir Qur’an sahaja. Qur’an itu jelas memberi peringatan kepada mereka yang mahu merenungkan maknanya dan mentaddabur ayat-ayatnya (memikirkan tentangnya secara mendalam).


 

Ayat 70: Apakah tujuan Qur’an itu?

لِيُنذِرَ مَن كانَ حَيًّا وَيَحِقَّ القَولُ عَلَى الكٰفِرينَ

Sahih International

To warn whoever is alive and justify the word against the disbelievers.

Malay

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

 

لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا

Supaya memberi ancaman kepada sesiapa yang hatinya hidup; 

Ada orang yang hatinya mati dan kerana itu mereka tak mahu terima ajaran tauhid. Hanya mereka yang hatinya hidup sahaja yang sanggup menerima ajaran tauhid. Hatinya hidup kerana hatinya hendak mencari kebenaran. Dan dengan belajar tafsir Qur’an, imannya semakin kuat. Semakin hidup hatinya dalam keimanan. Kerana itulah Qur’an ini hanya boleh diterima oleh orang yang berakal waras.

Kenapa ramai orang yang tidak dilahirkan Islam tapi akhirnya mereka memeluk agama Islam? Itu adalah kerana hati mereka hidup dan mahu mencari kebenaran. Apabila mereka mengkaji Islam dan Qur’an, mereka akan mendapati kebenaran ada dalam Islam dan Qur’an. Sebab itulah mereka memeluk agama Islam.

Tapi ada orang yang hatinya mati, walaupun dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam, tapi mereka tidak endahkan Qur’an, mereka tidak memahaminya dan kerana itu mereka langgar arahan-arahan dan ajaran di dalamnya. Ini kerana mereka tidak mahu kebenaran. Mereka telah diberi banyak pilihan tapi tidak mahu menerima ajakan Tauhid. Malah mereka menolak dakwah tauhid yang disampaikan kepada mereka. Kepada orang-orang sebegini, apakah nasib mereka nanti?:

 

وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكٰفِرِينَ

Dan sudah tetaplah keputusan azab kepada orang orang kafir;

Allah telah tetapkan bahawa kepada mereka yang engkar kepada ajakan Tauhid, tolak Qur’an, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka. Dimana mereka akan diazab dengan sekeras-kerasnya. Qur’an itu adalah rahmat bagi orang-orang yang beriman dan hujjah bagi orang-orang yang kafir. Apabila di akhirat nanti, mereka akan kata bahawa dakwah tidak sampai kepada mereka, dan sebab itu mereka sesat. Allah akan mengingatkan mereka bahawa Qur’an itu telah diturunkan kepada mereka lama dah, mereka sahaja yang tidak ambil peduli.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan: 

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s