Tafsir Surah Yaasin Ayat 48 – 54 (Bangkit dari kubur)

Ayat 48: Disambung lagi menceritakan mereka yang musyrik dan menolak wahyu Allah ini. Apakah lagi yang mereka kata?

وَيَقولونَ مَتىٰ هٰذَا الوَعدُ إِن كُنتُم صادِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they say, “When is this promise, if you should be truthful?”

(MELAYU)

Dan mereka berkata: “Bilakah (terjadinya) janji ini (hari berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?”.

 

وَيَقُولُونَ

Dan mereka berkata;

Yang berkata itu adalah orang-orang orang musyrik. Mereka akan berkata begini apabila mereka bertambah kufur. Mereka berkata dengan sombongnya kepada Nabi dan pendakwah.

Perkataan يَقُولُونَ adalah dalam present tense, bermaksud ianya telah berlaku dan sedang berlaku. Memang ada orang yang bercakap macam ini lagi pun sekarang. Maka kalau ada yang kata begini zaman sekarang pun memang tak hairan kerana Qur’an dah sentuh tentang perkara ini.

 

مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

bilakah akan berlaku janji ini?;

Apakah janji yang dimaksudkan itu? Ianya adalah janji bahawa mereka yang engkar dengan wahyu dan agama itu akan kena azab. Atau mereka yang menyembah berhala itu akan masuk neraka. Mereka mengejek dengan mengatakan tidak ada pun bala datang kepada mereka yang menyembah berhala itu atau semasa mereka berbuat perkara syirik itu.

 

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Jika benar kamu orang-orang yang benar?

Mereka kata sekiranya para pendakwah itu benar dalam dakwaan mereka yang mengatakan orang yang engkar akan masuk neraka, mana dia azab itu? – itulah kata-kata nista mereka. Memang berlagak sungguh mereka dan berani sungguh mereka cakap begitu. Dalam ayat lain disebutkan melalui firman-Nya:

{يَسْتَعْجِلُ بِهَا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِهَا}

Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan. (Asy-Syura: 18)

Mereka berkata: “Kami dah lama engkar dah ni, tapi tak datang pun azab.” Seperti apa yang dilakukan oleh orang Musyrikin Mekah, dimana mereka tawaf Kaabah dalam keadaan telanjang tapi tak jadi apa-apa. Mereka sembah berhala tapi tidak sakit perut atau apa-apa pun. Jadi mereka sangka, benarlah apa yang mereka lakukan itu. Kalau tidak benar, takkan Allah biarkan tanpa lakukan apa-apa kepada mereka. Mereka letak berhala di kawasan Kaabah, pun tak jadi apa-apa pun. Maka apabila tidak kena apa-apa balasan, mereka sangka Tuhan membenarkan apa yang mereka lakukan itu.

Dan di zaman sekarang ni, orang Islam menggunakan dalil yang sama. Semua guru buat, takkan semua nak masuk neraka, kata mereka. Sampai ada yang berkata, orang Hindu boleh berjalan atas api, takkan mereka salah. Mereka yang akidah dah sesat akan jadi orang yang bodoh habis.

Mereka mencabar Nabi untuk menurunkan bala kepada mereka. Inilah perangai kaum Musyrikin. Jadi kalau ada yang berani mencabar penyebar agama untuk menurunkan bala, bermakna mereka itu sama macam Musyrikin.

Ayat macam ini selalu ditanya oleh orang-orang Kafir seperti yang disebut dalam Qur’an. Kaum yang engkar seperti Kaum Aad dan Tsamud juga bertanya sebegitu juga. Mereka berani minta kerana mereka tidak percaya dengan ancaman.

Maka, kenapakah orang yang engkar dan berbuat zalim di dunia tidak dikenakan hukuman semasa di dunia? Jawapan itu ada dalam ayat yang lain. Kita semua ini dalam ujian semasa di dunia ini. Dalam tempoh ujian ini, kita boleh berbuat apa sahaja, tapi Allah tidak akan terus beri azab kepada kita semasa di dunia ini. Ini adalah kerana Allah telah berjanji pada DiriNya untuk melewat-lewatkan azab. Selagi dalam ujian, mereka boleh berbuat apa sahaja mereka hendak. Seperti kita juga semasa dalam ujian di sekolah. Hanya apabila sudah selesai peperiksaan barulah dikenakan hukuman sebab gagal dalam peperiksaan.

Tapi ada pengecualian yang Allah berikan kepada umat-umat yang dahulu seperti Kaum Nabi Musa, Saleh, Syuaib, Nuh dan lain-lain. Mereka terus dikenakan azab semasa di dunia lagi. Itu adalah kerana mereka hendak membunuh Rasul mereka. Apabila terjadi begitu, Nabi-Nabi telah mengangkat doa supaya Allah menolong mereka dan Allah terus turunkan bala kepada kaum mereka.

Bala yang diturunkan akan menghancurkan seluruh baka kaum itu, tak tinggal sedikit pun, kecuali orang yang beriman yang Allah selamatkan dengan mengeluarkan mereka dahulu sebelum azab diturunkan. Selagi umat mereka belum ancam bunuh, mereka akan selamat selama di dunia. Allah hanya akan azab mereka apabila mereka mati nanti.

Begitu juga kalau ada yang mengancam hendak membunuh penyebar ugama, Allah akan turunkan azab terus.


 

Ayat 49: Jawap syikayah. Tadi disebut tentang mereka yang tidak percaya, sekarang Allah ceritakan tentang Hari Kiamat itu.

ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They do not await except one blast1 which will seize them while they are disputing.

  • Literally, “cry” or “shriek,” meaning the first blast of the Horn which will strike dead every living thing on the earth without warning.

(MELAYU)

Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.

 

مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Tidaklah mereka tunggu melainkan satu tempikan sahaja;

Iaitu tempikan tiupan sangkakala dari Israfil. Malaikat Israfil akan tiup sekali sahaja, bukan ‘pet pet pet’ banyak kali. Langit akan pecah dan apabila nampak sahaja langit menjadi merah, maka matilah semua orang. Tidak sempat berbuat apa-apa. Dari hadis Nabi, Israfil itu sudah bersedia dengan sangkakala itu dimulutnya, menunggu arahan Allah sahaja untuk meniupnya.

Lihatlah perkataan صَيْحَةً pernah digunakan dalam surah Yaasin sebelum ini. Ianya adalah satu suara pekikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepada mereka yang mendengarnya.

 

تَأْخُذُهُمْ

yang akan menimpa mereka;

Tempikan yang akan menyebabkan kematian mereka.

 

وَهُمْ يَخِصِّمُونَ

sedang mereka sedang bertengkar-tengkar;

Waktu itu mereka sedang bertengkar tentang bilakah akan terjadinya kiamat. Kalau zaman sekarang, memang ada yang mengkaji tentang bumi dan para saintis sedang bertengkar tentang bilakah kehancuran dunia akan berlaku.

Waktu mereka bertengkar itu, mereka sudah tahu bahawa kiamat akan berlaku dan mereka sudah yakin ianya hampir tapi mereka tidak tahu bilakah akan terjadinya dengan tepat.

Atau mereka sedang bertengkar tentang kehidupan masing-masing. Tentang perniagaan dan sebagainya. Mereka sibuk dengan hal dunia dan perkara remeh temeh.


 

Ayat 50: Gambaran orang yang akan mati su’ul khotimah. Mereka yang tidak buat persiapan untuk akhirat.

فَلا يَستَطيعونَ تَوصِيَةً وَلا إِلىٰ أَهلِهِم يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And they will not be able [to give] any instruction, nor to their people can they return.

(MELAYU)

lalu mereka tidak kuasa membuat suatu wasiatpun dan tidak (pula) dapat kembali kepada keluarganya.

 

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً

Tidaklah mereka mampu untuk berpesan;

Kejadian kiamat itu tiba-tiba sampaikan tak sempat nak bagi pesan apa-apa lagi – nak hantar SMS kepada sesiapa pun tak boleh. Tak sempat nak beritahu kepada sesiapa dah waktu itu. Mereka akan mati dengan serta merta apabila tiupan sangkakala berbunyi. Ada ibu yang mengandung terkeluar anaknya dari kandungan kerana terkejut. Ada ibu yang mengendong anak akan membuang anaknya kerana takutkan kejadian kiamat. Langit akan terbelah dan nampak api yang merah menyala turun dari langit. Bumi tak sempat nak hancur, semuanya akan mati.

Makhluk akan mati dalam salah satu dari tiga cara:

  1. Malaikat Maut cabut nyawa.
  2. Mati dengan tiupan sangkakala.
  3. Mati dengan perintah Allah. Apabila ditiupkan sangkakala, semua makhluk akan mati, kecuali lapan malaikat yang angkat Arash dan empat malaikat besar. Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail. Allah perintah mereka mati satu persatu. Dimatikan Malaikat Maut oleh Allah. Akhirnya, akan tinggal hanya Israfil dan Allah sahaja. Allah akan tanya Israfil, “siapa lagi yang hidup?” Allah tanya itu bukan Dia tak tahu. Saja nak tanya. Israfil jawap: ana wa anta (aku dan Engkau ya Allah). Allah kata: “mati kamu Israfil!” Maka Israfil mati dengan perintah Allah. Perintah Tuhan ini pernah berlaku di dunia. Mati hidup semula pun pernah terjadi iaitu kepada golongan Yahudi yang minta melihat Allah pada zaman Nabi Musa. Semua ada dicatit dalam Qur’an.

Dalam Zumar:68 ada ditafsirkan ayat ini:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللهُ

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya);

Pada hari ditiupkan sangkakala, mati semua makhluk di tujuh langit dan tujuh bumi, melainkan sesiapa yang Allah kehendaki; maknanya, ada yang tidak mati, termasuk Israfil. Dalam hadis, dikatakan 12 malaikat tidak mati. Mereka kemudian diperintah mati oleh Allah.

 

وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ

Dan tidak sempat kembali kepada keluarga masing masing;

Kejadian itu berlaku dengan amat cepat sampaikan kalau duduk luar rumah nak masuk rumah pun tak sempat. Jadi tak sempat nak pesan kepada ahli keluarga sendiri. Ini adalah gambaran orang yang tidak buat persiapan tentang akhirat. Kalau orang yang rapat dengan wahyu, mereka telah buat persiapan untuk menghadapi akhirat.

Kenapakah segalanya dihancurkan? Kerana dunia adalah ibarat tiang-tiang sokongan yang digunakan untuk membina rumah. Apabila rumah dah siap, maka tiang-tiang itu akan dibuang. Begitu juga dunia adalah sebagai tempat ujian kepada makhluk telah habis gunanya. Sekarang nak dibicarakan makhluk semua sekali dan akan dimasukkan makhluk samada ke neraka atau ke syurga.

Kita kena ingat mati. Sentiasa memikirkan bahawa esok kita boleh mati. Nescaya kalau buat begitu, iman kita akan meningkat. Kita tidak berani nak buat benda-benda yang salah dan berdosa. Dan kita akan berhati-hati dalam amalan dan perbuatan kita. Kerana kita takut kalau kita ditanya tentangnya. Kerana kalau tidak bersedia, akan jadi macam orang yang disebut dalam ayat ini. Tinggalkan apa yang perlu tinggal, buat apa yang perlu buat. Dan kalaulah tidak mampu nak buat lagi, maka teruslah minta ampun siap-siap.


 

Ayat 51: Ini adalah bahagian ketiga dalam surah Yaasin ini. Bahagian pertama membincangkan tentang Risalah. Bahagian kedua membincangkan tentang Tauhid. Dan sekarang bahagian ketiga membincangkan tentang Hari Akhirat.

Sebelum ini telah disebut tentang Tiupan Sangkakala pertama, ini adalah tiupan kedua.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَإِذا هُم مِّنَ الأَجداثِ إِلىٰ رَبِّهِم يَنسِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Horn will be blown;1 and at once from the graves to their Lord they will hasten.

  • For the second time, signaling the Resurrection.

(MELAYU)

Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.

 

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiupkan sangkakala;

Ini adalah tiupan sangkakala yang kedua. Israfil akan dihidupkan semula untuk meniupkan sangkakala sekali lagi. Sangkakala ditiupkan kali pertama untuk mematikan semua makhluk. Tiupan Sangkakala yang kedua ini ditiup untuk menghidupkan balik makhluk. Ini disebut dalam bahagian kedua dari ayat Zumar:68 itu

ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ

Kemudian ditiupkan sangkakala kedua, maka tiba-tiba mereka bangun berdiri menunggu perbicaraan.

Perkataan نُفِخَ (ditiupkan) itu dalam past tense, walaupun ianya belum terjadi lagi. Ini adalah sebagai isyarat hendak mengatakan bahawa kejadian pasti akan berlaku.

 

فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ

Maka tiap-tiap mereka keluar dari kubur masing-masing;

Iaitu kubur di Alam Barzakh. Kalau tidak ada kubur pun, mereka tetap akan dibangkitkan.

Kata هُمْ (mereka) dalam ayat ini merujuk kepada mereka yang engkar kepada dakwah Nabi Muhammad.

Perkataan الْأَجْدَاثِ adalah ‘kubur’ tapi bukan kubur yang biasa. Ianya adalah kubur yang terlalu lama, sampai orang tak tahu tentang kubur itu. Orang tak kisah tentang kubur itu. Ini adalah kerana orang-orang yang sombong sangka bahawa mereka adalah orang yang penting dan ada kedudukan. Tapi Allah nak cakap bahawa mereka akan dilupai langsung. Tidak ada sesiapa yang ingat kepada mereka. Selalunya kalau kubur orang-orang yang penting akan dijaga orang, tapi tidak berlaku kepada kubur mereka. Mereka sangka mereka penting, tapi sebenarnya mereka akan jadi orang yang hina. Perkataan الْأَجْدَاثِ digunakan untuk menghina mereka.

Dikatakan semuanya akan bangun seperti cendawan tumbuh masa pagi. Semua malaikat, jin dan manusia akan bangkit tiba-tiba. Berapa ramai? Bayangkan bangun serentak semua makhluk yang dicipta dari permulaan alam hingga ke sebelum waktu hampir terjadinya kiamat. Semuanya akan bangun dalam suasana gelap. Mahsyar adalah satu tempat yang ada matahari yang sebatu tingginya dari kepala kita. Maka kita sebenarnya akan bergerak dari tempat bangkit yang tiada matahari ke tempat yang ada matahari. Dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Malaikat arahkan semua bergerak macam polis nanti.

 

إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Mereka akan bergerak dengan cepat kepada Pencipta mereka.

Perkataan يَنْسِلُونَ bermaksud ‘bergerak dengan cepat’. Ianya merujuk kepada keadaan seseorang yang bergerak turun dari atas bukit. Orang sebegini akan bergerak dengan cepat dan mereka tidak ada pilihan lain dari bergerak ke hadapan. Mereka tentunya sudah tahu apa yang mereka akan terima – azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Tentunya mereka tidak mahu bergerak ke hadapan. Tapi mereka tidak ada pilihan lain.

Oleh itu, kalimah يَنْسِلُونَ ertinya berjalan dengan cepat, sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{يَوْمَ يَخْرُجُونَ مِنَ الأجْدَاثِ سِرَاعًا كَأَنَّهُمْ إِلَى نُصُبٍ يُوفِضُونَ}

(yaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia). (Al-Ma’arij: 43)

Orang yang beriman, akan keluar dari anggota wuduknya cahaya yang menyuluh. Yang buat syirik akan sibuk meminta-minta lampu. “Tunggu! tunggu!”, mereka akan laungkan kepada orang beriman.

Mereka-mereka yang muqarrabin (dekat dengan Allah) akan dibawa ke Mahsyar dengan menaiki kenderaan seumpama jet eksekutif. Dibawa ke Mahsyar dengan segala kesenangan. Akan dibawa berseorangan sahaja. Tak bawa orang lain walaupun ruang kosong dalam kenderaan itu banyak lagi. Lepas tu ada yang akan naik kenderaan yang kurang sikit kualitinya dan seterusnya semakin kurang kualiti. Ini akan ikut tingkatan mereka. Tapi yang pentingnya, mereka masih naik kenderaan. Akhir sekali, akan ada yang pergi dengan berjalan kaki. Ada pula yang merangkak. Ada yang dengan lutut. Ada yang menyulur macam ular. Ada yang berjalan dengan muka mereka. Semua itu bergantung kepada amalan manusia itu semasa di dunia.

Semua sekali apabila sampai di Mahsyar, akan duduk berlutut di hadapan Tuhan. Dalam keadaan tunduk tak berani nak angkat muka. Ini ada diceritakan dalam Sajdah:12

وَلَو تَرىٰ إِذِ المُجرِمونَ ناكِسو رُءوسِهِم عِندَ رَبِّهِم رَبَّنا أَبصَرنا وَسَمِعنا فَارجِعنا نَعمَل صالِحًا إِنّا موقِنونَ

Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.

Waktu itulah baru mereka nak buat amalan. Kalau dapat balik ke dunia, mereka nak buat amalan lebih baik dari Nabi sendiri beramal. Mereka memang beriman benar dah waktu itu tapi iman mereka sia-sia sahaja waktu itu. Iman tidak dikira apabila sudah mati.

Allah jawap dalam ayat seterusnya:

وَلَو شِئنا لَآتَينا كُلَّ نَفسٍ هُداها وَلٰكِن حَقَّ القَولُ مِنّي لَأَملَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الجِنَّةِ وَالنّاسِ أَجمَعينَ

Dan kalau Kami menghendaki nescaya Kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk, akan tetapi telah tetaplah perkataan dari pada-Ku: “Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama”.

Allah beritahu yang Dia boleh sahaja bagi hidayat kepada semua manusia, semua manusia dan jin beriman belaka, tapi sudah tetap keputusanNya untuk memenuhkan neraka dengan manusia dan jin. Maksudnya memang akan ada sahaja yang akan masuk neraka. Maka mereka tidak dibenarkan pulang, maka kenalah mereka rasakan azab yang mereka dulu ejek-ejek. Rasalah azab kerana mereka tidak kisah hal ugama pun masa di dunia dulu.


 

Ayat 52: Apa kata mereka semasa mereka dikeluarkan dari kubur itu?

قالوا يٰوَيلَنا مَن بَعَثَنا مِن مَّرقَدِنا ۜ ۗ هٰذا ما وَعَدَ الرَّحمٰنُ وَصَدَقَ المُرسَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They will say, “O woe to us! Who has raised us up from our sleeping place?” [The reply will be], “This is what the Most Merciful had promised, and the messengers told the truth.”

(MELAYU)

Mereka berkata: “Aduhai celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat-tidur kami (kubur)?”. Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul(Nya).

 

قَالُوا

Mereka berkata;

Yang berkata adalah orang-orang kafir atau musyrikin yang engkar kepada dakwah. Ini semasa mereka dikeluarkan dari kubur dan dikerah untuk bergerak ke Mahsyar.

 

يَا وَيْلَنَا

alangkah celakanya kami;

Mereka menyesali keadaan diri mereka sungguh waktu itu. Mereka dah tahu yang mereka akan celaka. Mereka dah tahu yang nasib mereka akan malang.

 

مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَ

Siapakah yang mengejutkan kami dari tempat tidur kami ini?;

Kata مَرْقَدِنَ diambil dari kata رقَدِ raqada yang bermaksud ‘tidur-tidur ayam’. Tidur jenis yang tidak lena, tapi ianya adalah tidur yang sedap. Kalau orang gerakkan kita dari tidur sebegitu, kita akan marah. Kerana tengah sedap tidur, ada orang gerak pun. Dan gerak pula dengan cara keras, tentulah marah.

Mereka rasa dulu semasa mereka dalam kubur, ianya macam tidur sahaja. Mereka lupa bahawa mereka dulu berada di alam barzakh. Ini tidaklah menidakkan azab dalam kubur. Jangan kita sangka yang mereka tidur sahaja selama dalam kubur itu. Kerana azab kubur adalah benar. Tapi kerana azab yang mereka akan alami selepas itu amat teruk, ia akan membuatkan mereka rasa azab yang mereka terima dalam kubur itu macam sedang tidur sahaja. Kerana itulah mereka dah mengeluh. Dalam ayat lain disebut tentang perkara ini:

{وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرَ سَاعَةٍ كَذَلِكَ كَانُوا يُؤْفَكُونَ وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالإيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ}

Dan pada hari terjadinya kiamat, bersumpahlah orang-orang yang berdosa, bahawa mereka tidak berdiam (dalam kubur) melainkan sesaat saja. Seperti demikianlah mereka selalu dipalingkan (dari kebenaran). Dan berkata orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan (kepada orang-orang yang kafir).”Sesungguhnya kamu telah berdiam (dalam kubur) menurut ketetapan Allah, sampai hari berbangkit; maka inilah hari berbangkit itu, tetapi kamu selalu tidak meyakininya).” (Ar-Rum: 55-56)

Pertanyaan mereka itu tadi dijawap oleh: samada malaikat atau orang beriman:

 

هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ

inilah dia hari yang dijanjikan oleh Tuhan Rahman;

Kalimat ini dikatakan kepada mereka. Samada dikatakan oleh malaikat atau oleh orang mukmin. Inilah hari perbicaaan di Mahsyar. Dulu dah diberitahu kepada kamu semasa kamu di dunia dulu. Dulu kamu tak percaya, bukan? Nah sekarang ia sudah ada di depan mata kamu.

Sekali lagi perkataan الرَّحْمَٰنُ digunakan untuk merujuk kepada Allah. Banyak kali sifat الرَّحْمَٰنُ disebut dalam surah Yaasin ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita tentang segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah itu. Allah nak kenangkan dengan jasa – maka taatlah kepada Allah.

Dalam potongan ayat ini, bukanlah orang yang dibangkitkan itu yang berkata, tapi sudah yang lain – iaitu malaikat yang berkata. Tapi Allah tidaklah sebutkan satu persatu, siapa yang bercakap (malaikatkah yang bercakap, atau manusia itu bercakap) kerana Allah menggunakan kaedah ‘iijaaz’ – iaitu memendekkan ayat Qur’an tapi dengan memberi makna yang tinggi. Kita akan dapat tahu apabila kita belajar tafsir. Memang kalau kita baca novel zaman sekarang, ia akan tulis: “Ahmad berkata:” atau “Guru berkata:” dan memang ini mudah, tapi ia akan jadi panjang.

 

وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ

Maka benarlah kata Rasul;

Memang Rasul dan para pendakwah sebelum ini telah memberitahu bahawa Hari Kebangkitan ini pasti akan berlaku.

Cuba bayangkan keadaan masa itu. Bayangkan kita sedang memandu di lebuhraya, tiba-tiba seluruh polis dan JPJ dengan kenderaan dipasang semua lampu. Semua mereka beratur di tepi jalan. Agak-agaknya kita nak lari laju tak? Bayangkan pula lagi keadaan alam akhirat nanti, dengan malaikat berpusing di atas kita semua sekali. Waktu itu kita akan nampak rupa sebenar para malaikat termasuk Jibrail yang dikatakan sayapnya sahaja 600 bilangannya dan malaikat-malaikat yang lain. Semuanya kita akan nampak. Syaitan dan jin pun kita nampak. Tak takut lagikah waktu itu? Dan Tuhan akan keluarkan sifat Jalal (lembut) dan Jamal (keras) Dia. Sampaikan semua Nabi-Nabi pun dalam ketakutan juga. Adakah kita berani kita nak cakap pada masa itu? Tidak akan ada sesiapa yang berani masa tu. Kita semua akan senyap duduk dalam takut.

Boleh jadi juga, perkataan itu dikatakan sendiri oleh mereka. Mereka baru mengaku bahawa apa yang telah disampaikan oleh Nabi, Rasul dan pendakwah itu adalah benar.


 

Ayat 53:

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وٰحِدَةً فَإِذا هُم جَميعٌ لَّدَينا مُحضَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It will not be but one blast, and at once they are all brought present before Us.

(MELAYU)

Tidak adalah teriakan itu selain sekali teriakan saja, maka tiba-tiba mereka semua dikumpulkan kepada Kami.

 

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Sesungguhnya tempikan sangkakala itu tidak lain hanya sekali pekikan sahaja;

Sekali laung sahaja, bukan macam Cina jual suratkhabar: pet, pet, pet.

Sekali lagi perkataan صَيْحَةً digunakan dalam ayat ini. Ayat ini menunjukkan begitu mudahnya Allah hendak mengambil nyawa kita. Tak payah nak susah-susah buat proses yang berbagai-bagai. Dengan sekali tempik sahaja, semua akan dihidupkan semula.

 

فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ

maka tiba-tiba mereka kesemua sekali kehadapan Kami akan dihadapkan.

Semua sekali makhluk akan dibawa mengadap Allah. Waktu itu kita semua akan dibicarakan. Apa sahaja perbuatan kita di dunia ini nanti akan dikira. Seperti juga pengiraan akauntan yang menjaga keluar masuk wang syarikat, kita semua akan dikeluarkan dengan segala perbuatan kita selama di dunia. Malah, pengiraan di mahkamah Allah lebih ketat lagi. Kalau kita dapat mendalami pemahaman bahawa apa sahaja perbuatan kita di dunia akan diambil kira, maka kita akan lebih berhati-hati dalam segala amalan kita. Ingatlah tentang kisah Saidina Umar r.a. dengan anak penjual susu. Begitulah seorang yang beriman, walaupun manusia tidak nampak, mereka sedar bahawa Allah sentiasa memerhatikan segala perbuatan kita.

Tidaklah dapat dibayangkan kejadian di Mahsyar itu kelak. Ianya sudah tentu satu keadaan yang mengerikan jikalau kita adalah orang yang banyak dosa. Maka moleklah kalau kita berdoa kepada Allah setiap hari: Ya Allah, engkau akan memanggil kami untuk menghadap kamu di Mahsyar nanti. Semoga kami dijauhkan dari kemurkaanMu pada hari itu.


 

Ayat 54:

فَاليَومَ لا تُظلَمُ نَفسٌ شَيئًا وَلا تُجزَونَ إِلّا ما كُنتُم تَعمَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So today [i.e., the Day of Judgement] no soul will be wronged at all, and you will not be recompensed except for what you used to do.

(MELAYU)

Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikitpun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan.

 

فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا

Maka pada hari itu, tidak akan dizalimi sesiapa pun, sedikitpun.

Apabila dihadapkan di hadapan Allah, maka rekod amalan kita akan diperiksa dan Allah akan mengadili dengan adil sekali. Allah tidak pernah dan tidak akan zalim terhadap hambaNya.

Apabila Allah menggunakan perkataan فَالْيَوْمَ, Allah hendak suruh kita membayangkan suasana pada hari itu. Dimana kita semua akan beratur di Mahsyar dan kita akan dibentangkan dengan kitab amalan kita. Allah hendak memberikan satu perasaan dalam hati kita bahawa hari itu adalah dekat. Bayangkan seolah-olah kita kita seperti telah ada di sana. Supaya kita ada perasaan takut supaya kita seterusnya dapat menjaga agama kita. Tentang dekatnya hari itu, Allah telah sebut dalam Anbiya:1

اقتَرَبَ لِلنّاسِ حِسابُهُم وَهُم في غَفلَةٍ مُعرِضونَ

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).

 

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kamu tidak akan dibalas melainkan apa yang kamu lakukan sahaja;

Kita akan dibalas dengan perbuatan yang kita buat sahaja. Bermakna, kalau amalan itu orang lain yang buat, kita itu tidak dapat pahala dari amalan itu. Ini bermakna, kita tidak boleh nak sedekah pahala amalan kepada orang lain. Kecuali kalau seseorang itu mengajar dan anak murid dia buat amalan yang baik itu, yang mengajar pun akan dapat pahala juga. Pahala itu pula sama dengan pahala dengan orang yang melakukannya, tak dikurangkan sikit pun. Kerana itu tidak ada orang yang ada pahala lebih besar dari Abu Bakr selain dari Nabi Muhammad. Kerana dialah yang mula-mula masuk Islam dan banyak orang yang dia masukkan ke dalam Islam. Setiap amalan baik orang Islam, Abu Bakr akan dapat sahamnya.

Yang mengajar ilmu salah pula, dia akan dapat dosa setiap kali anak murid dia melakukannya kesalahan itu. Kita mohon berlindung dari mengajar yang salah kepada orang lain. Maka berhati-hatilah dalam mengajar. Jangan kita mengajar sesuatu yang tiada dalil dari sumber Qur’an dan Hadis.

Ini semua adalah kejadian sebelum manusia dimasukkan ke dalam syurga atau neraka. Sebelum keputusan dibuat, rekod amalan akan dibentang dan diperiksa. Maka segala amalan akan keluar, segala saksi akan dipanggil dan keadilan akan dijalankan. Mahkamah Allah akan menimbang semua perkara dan selepas itu barulah dibuat keputusan samada untuk masuk ke dalam neraka atau ke dalam syurga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s