Tafsir Surah Yaasin Ayat 59-74

 

Surah 36. Ya Seen, Verse 59: Dalam ayat sebelum ini, Allah menceritakan bagaimana Allah akan berjumpa dengan penghuni Syurga dan memberi salam kepada mereka. Sekarang kita beralih pula kepada nasib penghuni Neraka.

Ayat ini dipanggil ayat takhwif ukhrawi, ianya adalah ayat penakutan dari Allah kepada orang orang yang ingkar, tentang apa yang akan terjadi di akhirat kelak. Allah bersungut diatas kemungkaran yang mereka telah perbuat.

وَامتازُوا اليَومَ أَيُّهَا المُجرِمونَ

Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): “Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).

 

وَامْتَازُوا الْيَوْمَ

Berpisahlah kamu hari ini;

Iaitu berpisah daripada golongan orang yang beriman. Ini adalah tayangan tentang kejadian pada hari Kebangkitan nanti. Yang berkata itu samada Allah atau malaikat.

Perkataan وَامْتَازُوا diambil dari kata dasar ‘imtiyaz’ yang bermaksud memisahkan sesuatu dari benda yang banyak. Contohnya kita mencari sekam dalam beras dan memisahkan antara beras yang elok dengan beras yang tidak elok.

Dalam dunia, manusia bercampur-campur menjalani kehidupan sehari-hari. Kalau kita lihat semua orang, kita tidak dapat pastikan samada mereka beriman atau tidak. Tapi begitulah manusia, berjenis-jenis perangai dan akidah mereka. Ada antara mereka yang beriman sungguh dan ada antara mereka yang ada masalah pada akidah mereka. Oleh kerana ianya adalah perbuatan hati, kita tidak dapat pastikan dengan memandang mereka.

Mungkin mereka orang yang berjaya dalam dunia ini. Mereka diberikan kekayaan oleh Allah. Tapi jangan kita ingat kehidupan kita hanya di dunia sahaja. Allah boleh ambil nyawa kita dengan tiba-tiba.

Ayat ini menceritakan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka di akhirat kelak. Sekali lagi Allah menggunakan perkataan الْيَوْمَ (hari ini). Allah menggunakan perkataan ini untuk mengajak kita membayangkan keadaan di Mahsyar nanti. Kita semua ramai-ramai akan berada di sana. Kita tidak pasti bagaimana dengan nasib kita. Bayangkan dalam ramai-ramai itu, kita antara orang yang disuruh untuk memisahkan diri kita dari orang yang beriman. Alangkah ruginya waktu itu. Tidak ada penyesalan yang lebih besar dari penyesalan pada waktu itu.

 

أَيُّهَا الْمُجْرِمُونَ

wahai orang yang banyak berdosa,

Orang Islam apabila di Mahsyar itu akan duduk sekali ramai-ramai. Yang kafir tak masuk mahkamah pun. Mereka terus masuk neraka tak keluar-keluar lagi dah. Yang dipisah hanya orang beriman, iaitu orang-orang tidak melakukan syirik tetapi ada dosa. Samada dosa kecil atau besar. Tauhid dia dah betul dah. Dia akan dimasukkan dalam kumpulan orang Islam dulu. Orang-orang Islam akan terbahagi kepada tiga golongan: Muqarrabin, mukmin (yang menerima buku amalan pada tangan kanan) dan yang ketiga adalah orang Islam yang berdosa banyak. Yang golongan ketiga yang banyak dosa itu akan dimasukkan ke dalam neraka dulu. Ketiga-tiga jenis ini akan mendapat syafaat dari Nabi. Pertama, akan mendapat syafaat supaya perbicaraan dicepatkan. Kemudian, yang berdosa pun akan mendapat syafaat dari Nabi kalau dosanya tak banyak. Tuhan akan beri kebenaran Nabi untuk bagi syafaat itu sebelum mereka masuk neraka. Kalau dosanya banyak, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dulu untuk menerima azab. Setelah sekian lama, Nabi Muhammad akan dibenarkan untuk mengeluarkan mereka. Masalahnya, kita tak tahu berapa lama akan berada dalam neraka. Mungkin beratus tahun, mungkin beribu atau berjuta tahun. Janganlah kita ingat kita sebagai orang Islam akan tinggal sekejap sahaja dalam neraka. Takutlah kepada neraka itu. Kita sepatutnya tidak mahu nak lihat, dengar, cium bau neraka sedikit pun. Kita nak terus masuk ke dalam syurga.

Ada satu lagi golongan yang disebut di dalam surah Al a’raf. Ini adalah golongan yang tidak masuk syurga dan tidak masuk neraka. Ini akan diterangkan dalam surah al-A’raf nanti. Tapi orang muslim yang banyak dosa, akan masuk neraka dulu. Yang masuk neraka akan dapat dua kali syafaat. Iaitu mula-mula akan diberikan kepada yang dosa sikit. Kita mestilah memasang azam tak nak satu saat pun masuk neraka. Jangan biar diri kita masuk neraka. Dalam masa yang sama, kita minta juga nak masuk syurga Tuhan. Minta betul-betul dengan Dia. Jangan kita buruk sangka dengan Allah. Jangan kita rasa kita tak layak untuk masuk dalam syurga. Itu pun dah kira syirik. Ada yang bersangka buruk dengan Allah, padahal Dia tidak begitu. Dia boleh ampun dosa sesiapa sahaja yang minta ampun padaNya.

Allah akan bahagikan orang Islam yang banyak dosa dan asingkan dari orang mukmin. Mereka yang banyak dosa itu dipanggil الْمُجْرِمُونَ Mujrimin. Akan dikira amalannya, amanahnya samada dia jaga atau tidak, hutangnya dan segalanya, mungkin 30 ribu tahun kena masuk neraka sebagai contoh. Kita pun tidak tahu perkiraan Allah bagaimana. Nabi akan sujud di Arash dan minta syafaat untuk kali kedua. Orang itu dah jadi arang dah. Macam dah mati, tapi tidak mati lagi. Apabila dia sampai ke syurga, ahli syurga akan basuh ahli neraka itu dengan air dari syurga. Barulah boleh tumbuh balik badan dia. Tapi dah hitam dah mukanya. Maka Tuhan akan tambah nur kepadanya, baru dia nampak elok. Kemudian dia akan isytihar dia dari neraka pada orang ramai dengan rasa bangga. Dia bangga kerana dia telah berjaya lepas dari neraka.

Selepas itu dalam masa yang lama lagi barulah ada lagi saki baki umat Islam yang ada saki baki iman sebesar zarah yang akan dikeluarkan mereka dari neraka. Ini kerana Nabi akan memohon syafaat dari Allah lagi untuk mengeluarkan mereka.

Ada satu telaga di Mahsyar yang dinamakan Telaga Kauthar. Ianya mengandungi air yang akan diberikan sebagai air minuman kepada orang Mukmin. Semoga kita diantara orang yang diberi minum air Telaga Kauthar itu. Sebab yang menjadi ahli bidaah tidak akan diberi minum air dari Telaga Kauthar itu. Nabi akan memanggil-manggil mereka untuk minum dari Telaga Kautsar itu kerana Nabi kenal mereka sebagai orang Islam dari cahaya pada anggota wudu’ mereka, tetapi malaikat akan memberitahu Nabi bahawa mereka tidak layak dan Nabi akan menghalau mereka nanti. Kerana Nabi akan diberitahu: “Kamu tidak tahu apa yang mereka buat selepas kamu tiada.” Merekalah yang telah mereka-reka ugama dengan kata Tuhan nak bagi pahala pada amalan rekaan mereka itu. Itu sebenarnya termasuk dalam perbuatan yang syirik. Bagaimana pula perbuatan bidaah boleh dikatakan sebagai syirik? Ianya adalah perbuatan yang syirik kerana mereka mengambil kerja Nabi dan kerja Tuhan. Sepatutnya kerja memberitahu amalan ibadat adalah kerja Allah dan kerja Nabi. Dan yang boleh memberitahu pahala pada sesuatu perbuatan amalan ibadat hanya Allah dan Nabi sahaja. Tapi apabila mereka mencipta amalan baru, mereka telah mengambil kerja Allah dan Nabi. Selepas mereka cipta amalan ibadat baru, mereka kata pula kalau buat amalan ibadat itu, pembuatnya akan dapat sekian banyak pahala; itu pun dikira mengambil tugas Nabi. Kita ingat perbuatan bidaah itu perkara kecil sahaja, tapi kesannya adalah besar. Ramai yang tidak perasan tentang bagaimana membuat amalan bidaah adalah salah satu perbuatan syirik. Semoga dengan penerangan ini, kita tidak lagi melakukan perbuatan bidaah walau satu pun. Kita berdoa kepada Allah semoga memberitahu kepada kita manakah amalan ibadat kita yang salah supaya kita boleh tinggalkan.

Lihatlah bagaimana Allah telah memberikan peringatan kepada kita. Allah telah memberi berbagai-bagai peringatan kepada kita. Tidaklah Allah terus memasukkan kita ke dalam neraka. Allah tidak zalim. Dia telah memberikan Rasul, Kitab Quran dan guru-guru untuk mengajar kepada kita tentang agama. Jikalau kita termasuk dalam golongan orang yang berdosa nanti, bukanlah salah Allah. Ianya adalah salah kita sendiri yang tidak mengambil peringatan.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 60:

۞ أَلَم أَعهَد إِلَيكُم يا بَني آدَمَ أَن لا تَعبُدُوا الشَّيطانَ ۖ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Sahih International

Did I not enjoin upon you, O children of Adam, that you not worship Satan – [for] indeed, he is to you a clear enemy –

 

Malay

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ

Bukankah Aku telah titahkan kepada kamu wahai anak cucu Adam

Allah mengingatkan kita dengan perjanjian kita denganNya semasa alam roh.

 

أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ

jangan sekali-kali kamu puja/sembah syaitan.

Tentulah kita tidak pernah berniat hendak menyembah syaitan. Tapi perkataan sembah itu juga bermaksud ‘menghambakan’ diri kepada syaitan. Iaitu apa yang syaitan suruh kita buat, kita ikut. Itulah maksudnya.

 

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Sesungguhnya ia adalah musuh kamu yang nyata;

Iblis sendiri sudah mengaku dia adalah musuh kita seperti yang telah disebut dalam Quran di dalam ayat yang lain. Dia telah berjanji dengan Tuhan nak keluarkan anak cucu Adam dari syurga. Dia telah berikrar akan menyesatkan manusia. Dia akan menggunakan berbagai-bagai cara untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam. Tapi Allah berfirman yang dia tidak boleh sesatkan orang yang beriman.

Adakah kita sembah syaitan? Kita rasa kita tak pernah pun sembah syaitan. Memang tidak, tapi bisikan dia kita ikut. ‘Puja’ syaitan maksudnya ikut bisikan syaitan. Apa sahaja dalil yang bukan dari Quran, hadith atau perbuatan dari sahabat, dalil itu dipanggil dalil hawa nafsu. Contohnya, apabila kita beri nasihat kepada mereka bahawa amalan yang mereka belajar dari guru mereka adalah amalan yang salah, mereka akan berkata: “takkan tok guru tu nak masuk neraka.” Atau mereka kata: “Takkan Allah tak beri pahala sedangkan kita buat benda yang baik.” Dan banyak lagi hujah-hujah yang bukan datang dari dalil Quran dan hadis. Hawa nafsu itu sebenarnya adalah dari bisikan syaitan. Hasilnya, manusia buat perkara yang bukan diambil dari sunnah. 

Jangan kita sempitkan makna تَعْبُدُوا dengan makna ‘sembah’ sahaja. Ia diambil dari perkataan عبد yang bermaksud ‘menghambakan diri’. Jadi kalau kita ikut bisikan syaitan, itu sudah bermaksud kita menghambakan diri kita kepadanya.

Siapakah syaitan itu? Syaitan itu adalah anak cucu Iblis sepertimana kita manusia adalah anak cucu Nabi Adam. Iblis sudah berjanji di hadapan Allah untuk menyesatkan anak Adam. Kalau anak Adam itu seorang yang kuat melakukan ibadat, dia akan kempen orang itu untuk buat syirik dalam ibadat: Maka manusia sudah syirik dalam ibadat seperti seru tok wali, seru Nabi, malaikat dan sebagainya. Kalau dia seorang yang minat jihad, dia akan menyesatkan orang itu dalam perkara jihad, contohnya ambil ilmu kebal supaya musuh tetak tak lut. Jadi nak dapat ilmu itu, seseorang itu kena bela jin. Untuk bela jin atau supaya jin berdamping dengan mereka, mereka perlu buat perkara syirik dahulu. Contohnya, mereka beri salam kepada malaikat, Nabi dan sebagainya. Apabila beri salam sahaja kepada malaikat, Nabi dan wali, jin akan datang dan berdamping dengan dia. Kerana semua salam itu tidak sampai kepada malaikat, Nabi dan wali itu. Itu adalah perbuatan menyeru kepada yang tidak ada. Malaikat bukan ditugaskan untuk berkhidmat kepada kita; Nabi sudah mati semuanya, mereka tidak hidup di dunia ini lagi; begitu juga dengan wali-wali itu semua. Mereka semuanya sudah mati. Bagaimana yang sudah mati boleh mendengar salam yang kita berikan kepada mereka? Yang Maha Mendengar adalah Allah. Allah sahaja yang boleh mendengar segala percakapan kita. Oleh itu, apabila kita beri salam kepada mereka dan kita kata mereka boleh dengar, maka kita sebenarnya mengatakan bahawa Nabi dan wali-wali itu ada kuasa Tuhan. Itu adalah satu perbuatan syirik. Tidak ada dalil yang mengajar kita untuk beri salam kepada malaikat, Nabi dan wali-wali. Itu semua adalah rekaan dari guru-guru yang telah dibisikkan ajaran itu oleh syaitan-syaitan yang mahu menyesatkan manusia.

Yang diajar kepada kita hanyalah memberi salam kepada penghuni kubur. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu. Jangan kita ambil dalil itu untuk mengatakan orang dalam kubur boleh mendengar percakapan kita. Sampai ada yang bermohon kepada ahli kubur seperti puak Barelvi dan ajaran tarekat yang melawat kuburan dan meminta pertolongan kepada orang dalam kubur. Mereka mungkin tidak memohon kepada penghuni kubur itu. Tapi mereka menggunakan penghuni kubur itu sebagai perantara antara mereka dan Allah. Itu semua adalah kerana mereka rasa bahawa menggunakan perantaraan (tawasul) dalam berdoa itu adalah baik. Kerana mereka telah diajar oleh syaitan bahawa itulah cara yang baik untuk berdoa. Mereka telah ditipu oleh syaitan.

Syaitan-syaitan itu amat pandai menipu kita. Salah satunya dengan mengganggu kita dengan merasuk manusia. Jin selalunya akan rasuk manusia, supaya manusia pergi jumpa bomoh. Bomoh akan baca macam-macam mentera kononnya untuk halau syaitan, padahal kita orang Islam disuruh baca ayat Kursi untuk halau syaitan. Tapi kita pula percaya beras kunyit atau apa-apa yang digunakan oleh bomoh itulah yang menyebabkan hantu lari. Jin syaitan sebenarnya tak terkesan pun dengan beras kunyit dan sebagainya itu sebab dia makhluk jenis lain. Tapi mereka akan buat olok-olok menggelepar dan kononnya keluar dari manusia yang kena rasuk. Dan apabila kita percaya benda-benda seperti itu boleh menghalau jin syaitan, itu sudah syirik. Iblis sebenarnya nak kita masuk neraka sekali dengan dia. Kalau menjadi pun perbuatan bomoh-bomoh itu menghalau jin yang merasuk, itu adalah kerana mereka telah bersekongkol sesama mereka: kalau sesiapa pakai benda-benda macam tu, mereka akan olok-olok keluar. Mereka akan cuba memesongkan aqidah kita. Apabila akidah kita sudah terpesong, maka kerja mereka sudah selesai, maka mereka pun keluar dari orang yang dirasuk itu. Syaitan hendak kita mensyirikkan manusia dengan mengatakan bomoh itu dan bomoh ini hebat sampai boleh menyembuhkan mereka. Padahal, Allah lah yang menyembuhkan manusia, bukan makhluk. Tapi masyarakat kita suka berjumpa dengan bomoh dan dukun dan apabila mereka ditakdirkan oleh Allah untuk sihat, mereka akan kata: “hebat bomoh/dukun/ustaz tu, dah baik dah aku ni.”

Asalnya sebelum kelahiran Nabi, jin boleh terbang ke langit dan boleh mencuri-curi dengar perbualan malaikat. Malaikat apabila mendapat berita dari langit, mereka akan bercakap-cakap sesama mereka. Jin akan curi-curi mendengar perbualan malaikat itu. Dan mereka gunakan apa yang mereka dengar dari perbualan malaikat itu untuk menipu manusia. Tapi kemudian mereka sudah tidak boleh lagi selepas Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi. Sebab sudah ada malaikat penjaga langit. Jikalau mereka cuba untuk mencuri dengar perbualan malaikat, malaikat-malaikat penjaga langit itu akan baling mereka dengan bebola api. Jin yang kena bebola api itu akan jadi gila atau mati. Yang gila dipanggil hantu raya dan sebagainya. Hantu yang dinamakan Langsuir rupa mereka sebegitu sebab mereka telah kena baling dengan bebola api dan kena pada perut. Hantu-hantu itu sebenarnya adalah jin-jin yang dah gila dan mereng, tapi masih lagi nak tipu manusia. Mana yang kena baling bebola api dengan tepat, akan mati. Kalau yang kena sipi-sipi itu yang jadi muka huduh tu. Ini ada disebut dalam Quran.

Jin sebenarnya takut kepada manusia. Mereka pernah bertanya kepada Tuhan di manakah mereka akan duduk setelah manusia mengambil tempat mereka? Tuhan kata mereka kena duduk di hutan, lautan, bukit dan padang-padang. Maka tempat yang ramai jin, kita panggil bunian. Banyaklah pula kepercayaan salah kita tentang bunian ini pula. Ada kalangan masyarakat Islam kita yang minta tolong kepada bunian-bunian itu. Padahal semua itu adalah bangsa jin belaka. Semua itu boleh memesongkan akidah. Memang ada jin yang Islam tapi tak ramai. Macam juga kita, banyak yang kafir daripada yang Islam. Jin-jin yang Islam itu menjalani kehidupan mereka sendiri – mereka tidak ada kena mengena dengan manusia.

Jadi dalam dunia ini ada dua jenis makhluk sahaja: manusia atau jin. Maka Tuhan kata dalam ayat ini supaya kamu jangan sembah syaitan. Jadi kena faham siapakah mereka. Jin kafir itu adalah syaitan. Semuanya kafir belaka. Termasuk yang dipanggil ‘saka’ yang menyebabkan orang yang membelanya tak boleh mati. Nak buang saka mudah sahaja. Iaitu ajar kepada sesiapa yang ada saka itu, siapa Tuhan, apa itu Quran, apa syurga dan neraka. Kalau percaya, ajar kepada dia kalimah syahadah. Dan kita cakap kepada dia: “Buang jin kamu dengan bacaan bismillahirrahmanirrahim“. Kalau ada yang kata tidak boleh buang jin dan saka dalam badan, macam mana tok sami yang banyak bela jin? Boleh pula dia masuk Islam. Cara nak buang adalah dengan kalimah syahadah. Bukan dengan bomoh. Kalau tak perbetulkan akidah kita, memang saka itu tak akan keluar. Selagi akidah rosak, selagi itu saka itu akan ada dalam badan.

Syaitan menggoda manusia sebab dia telah berjanji nak sesatkan manusia. Kalau seorang itu orang yang melakukan syirik, syaitan akan kempen dia supaya kuat ibadat dan supaya tak belajar dah. Dia akan disibukkan dengan buat ibadah sahaja dan dia sangka dia telah terpimpin. Syaitan tak mahu dia belajar agama, sebab kalau dia belajar, dia akan tahu apa yang dia buat selama ini adalah salah. Jadi, untuk mengelakkan dia dari tahu kesalahan yang dia telah buat, dia akan digoda oleh syaitan untuk buat ibadat banyak lagi. Memang ibadat itu penting, tapi yang lebih penting adalah buat ibadat dengan ilmu. Biar ibadat kita sikit, tapi biarlah kita buat ibadat yang sudah pasti diambil dari ajaran Nabi.

Syaitan itu adalah musuh kita yang nyata. Di akhirat nanti, Iblis sendiri akan berkhutbah. Iblis akan berkata bahawa dia cuma mencadangkan sahaja kepada kita untuk jadi sesat. Dia akan kata, manusialah yang bersalah kerana mengikutnya. Waktu itu penyesalan tidak berguna lagi.

 


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 61: Apakah suruhan Allah kepada kita sebenarnya? Jawapan ini adalah dalam ini.

وَأَنِ اعبُدوني ۚ هٰذا صِراطٌ مُستَقيمٌ

 Sahih International

And that you worship [only] Me; This is the straight path.

Malay

“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.

وَأَنِ اعْبُدُونِي

Sesungguhnya, sembahlah Aku sahaja;

Kita kena sembah, puja, ibadat dan doa hanya kepada Allah sahaja. Pemujaan selain dari Allah tidak boleh. Cara-cara penyembahan agama lain pun kita tidak bolah pakai. Jadi, bahan-bahan pemujaan agama lain, seperti limau, epal dan sebagainya kita tidak boleh makan. Lebih haram dari makan babi kalau kita makan. Adakah kita buat perkara yang sama? Kita pun ada juga letak makanan macam tu, seperti kita letak pulut kuning, ayam golek dan sebagainya depan pelamin. Itu pun dikira bahan pemujaan. Kita pun ada masukkan dalam mulut pengantin macam juga orang kafir letakkan makanan pemujaan ke mulut berhala. Kita renjis pengantin sama sahaja dengan orang Hindu yang merenjis berhala mereka. Kita baling bunga rampai kepada pengantin sama macam agama lain juga.

Kalau kita pernah buat macam itu sebelum ini, maka bertaubatlah kepada Allah taala atas kesalahan kita dulu yang kita tak tahu salah. Allah sanggup untuk ampunkan segala dosa kita asalkan kita minta ampun kepadaNya. Dan jangan buat lagi. Dan jangan pergi ke majlis yang macam itu lagi. Kerana itu adalah majlis yang syirik kepada Allah. Kembalilah kepada agama yang benar. Janganlah kerana kita hendak menjaga hati orang, sanggup kita menggadai akidah kita. Sepatutnya kita jangan raikan, supaya mereka tahu bahawa apa yang mereka perbuat itu salah. Ianya bukan senang sebab dah merebak perbuatan itu dari dulu sampai sekarang. Kita kena bagi mesej kepada mereka-mereka yang buat perkara syirik macam itu bahawa kita tidak akan bersekongkol bersama mereka.

Allah hendak kita menghambakan diri kepadaNya sahaja. Seorang hamba itu akan ikut kata tuannya. Begitulah kita dengan Allah. Hendaklah kita ikut segala suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Itulah yang dinamakan Jalan Yang Lurus.

 

 هَٰذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ

Inilah jalan yang lurus; inilah tafsir ayat dari surah al-Fatihah yang kita baca hari-hari:

1:6

Setiap kali solat kita memohon kepada Allah supaya “tunjukilah kami jalan yang lurus“. Maka apakah jalan yang lurus itu? Jawapannya ada dalam ayat Yaasin ini. Iaitu: Sembah, ibadat, puja, doa *hanya* kepada Allah sahaja. Tidak boleh sembah dan puja kepada yang lain. Sembah sultan pun tidak boleh. Puja keris keramat pun tidak boleh. Jangan kita ingat sembah berhala sahaja tidak boleh. Sebab ramai yang rasa itu sahaja penyembahan yang salah, mereka ingat mereka tak buat penyembahan yang salah. Padahal banyak orang kita yang buat juga benda-benda yang salah kerana mereka tidak tahu.

Jangan kita tiru cara pemujaan orang kafir. Kita pun biasa lihat orang Hindu merenjis patung dewa mereka. Kita juga biasa melihat orang Kristian merenjis air ‘holy water’ kepada penganut mereka. Jadi kenapa kita nak renjis kapal apabila rasmikan kapal? Kenapa kita nak kena jumpa bomoh/ustaz untuk renjis kereta kita yang baru beli? Kenapa ada renjis apabila orang bersanding? Itu semua adalah perbuatan kufur kepada Allah. Kita semua tahu bahawa itu semua adalah cara penyembahan orang kafir, tapi kenapa ramai orang kita masih ikut juga lagi cara-cara itu?

Apabila berdoa, berdoalah terus kepada Allah. Jangan gunakan perantaraan untuk bacakan doa untuk pihak kita. Macam sami Hindu dan paderi Kristian yang bacakan doa untuk pengikut mereka. Oleh itu, jangan kita pergi kepada guru atau ustaz untuk mendoakan kepada Allah bagi pihak kita. Itu adalah amalan dan perbuatan orang kafir kerana mereka ingat Allah tidak mendengar doa mereka kalau mereka doa sendiri. Oleh itu, mereka minta tolong kepada orang yang mereka sangka rapat dengan Allah untuk doakan untuk mereka. Ketahuilah, itu adalah perbuatan ‘tawasul’ dan tawasul dalam Islam adalah perbuatan yang dilarang. Hendaklah juga kita merendahkan diri kepadaNya dan bersyukur kepadaNya.

Kalau kita dah buat semua perkara itu, apa kita perlu buat? Berhenti buat dan bertaubatlah kepada Allah dari kesalahan yang kita telah buat dahulu. Belajarlah cara-cara berdoa yang betul. Masalah dengan orang kita adalah, mereka tidak tahu cara berdoa. Sebab itu mereka ‘outsource’ perbuatan doa itu kepada orang lain.

Allah menggunakan perkataan هَٰذَا (inilah) untuk menunjukkan bahawa jalan yang lurus adalah dekat. Ianya senang untuk dilalui. Bukannya jauh. Ianya adalah senang kerana ianya telah ada dalam fitrah kita. Apabila kita dilahirkan, telah dimasukkan dalam diri kita natural instinct untuk beribadat kepada Allah. Apabila kita menentang Allahlah yang melawan kepada fitrah itu. Asalkan kita mahu belajar. Islam lah agama yang mudah kalau nak dibandingkan dengan agama lain.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 62:

وَلَقَد أَضَلَّ مِنكُم جِبِلًّا كَثيرًا ۖ أَفَلَم تَكونوا تَعقِلونَ

 Sahih International

And he had already led astray from among you much of creation, so did you not use reason?

Malay

“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنْكُمْ جِبِلًّا كَثِيرًا

Sesungguhnya syaitan telah menyesatkan kebanyakan dari kalangan kamu;

Memang kerja syaitan itu menyesatkan manusia. Nabi bersabda dalam satu hadis Qudsi: Allah berfirman: “wahai Adam, keluarkanlah 999 dari setiap seribu manusia dan humbankan ke dalam neraka!” Satu sahaja daripada 1000 manusia yang akan dimasukkan ke dalam syurga. Berdoalah supaya kita sebahagian dari yang masuk dalam syurga.

Perkataan جِبِلًّا diambil dari kata dasar ‘jabal’ yang bermaksud: gunung. Bermakna, ramai sangat yang tidak beriman sampaikan diibaratkan mereka seperti menggunung.

Telah disebut dalam surah Yaasin juga dalam ayat ke 7 bahawa memang kebanyakan umat Nabi Muhammad akan masuk neraka.

36:7

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

 

أَفَلَمْ تَكُونُوا تَعْقِلُونَ

Kenapa kamu tak berfikir?;

Kenapa kamu tidak berfikir bahawasanya Syaitan itu adalah musuh kamu yang sebenarnya. Jikalau kita buat sesuatu ibadat yang bukan dari dalil Quran atau hadis, itu datangnya dari bisikan syaitan. Jangan belajar dengan sesiapa yang memberikan dalil guru-guru yang lain. Atau mereka memberikan dalil dari kitab-kitab. Sepatutnya dia kena kata amalan ibadah itu diambil dari hadis Nabi atau Quran.

Masalahnya, ramai yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Mereka tidak pernah memikirkan samada perbuatan yang mereka lakukan itu adalah benar atau salah. Mereka hanya mengikut-ikut sahaja. Mereka hanya bersangka-sangka sahaja. Padahal, kadang-kadang mereka itu adalah orang-orang yang terpelajar, yang bijak-bijak. Keraja sebagai peguam, guru, engineer dan sebagainya. Mereka pandai dalam hal dunia, tapi hal akhirat, mereka lupakan sahaja. Mereka ambil mudah. Kenapa jadi begini? Pertamanya, kerana hidayah itu milik Allah. Dia berikan kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Keduanya, walaupun mereka orang yang bijak dan pandai, tapi mereka tidak menggunakan kepandaian mereka dalam hal agama. Dalam hal dunia, mereka kaji sedalam-dalamnya, tapi tidak dalam hal agama. Untuk hal dunia, mereka belajar tinggi-tinggi sampai peringkat universiti, malah sampai ke peringkat PHD. Tapi hal agama, mereka ambil enteng sahaja. Apabila sudah tua, barulah berjinak-jinak dengan surau dan masjid. Waktu itu sudah terlambat. Padahal, kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Kehidupan di akhirat lah yang kekal abadi.

 


Surah 36. Ya Seen, Verse 63: Inilah hukuman yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar kepada Allah.

هٰذِهِ جَهَنَّمُ الَّتي كُنتُم توعَدونَ

 Sahih International

This is the Hellfire which you were promised.

Malay

“Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

 

Inilah dia neraka jahanam yang telah diancamkan kepada kamu;

Iaitu dijanjikan akan dimasukkan ke dalamnya sekiranya kamu melakukan perbuatan syirik kepada Allah. Tapi kamu sekarang akan masuk ke dalamnya kerana kamu tidak mahu percaya dahulu.

Allah bercakap dengan ahli syurga ketika itu. Perkataan هَٰذِهِ digunakan, menunjukkan betapa dekatnya neraka waktu itu.

Perkataan جَهَنَّمُ adalah nama khas yang diberikan kepada neraka.

Kalau sembah syaitan, akhirnya akan masuk neraka. Kalau bisikan dia menyebabkan seseorang sampai melakukan syirik, dia takkan keluar dari neraka. Mazhab Hanbali kata kalau tinggal satu sembahyang pun dah keluar Islam dah. Mazhab Syafie pula kata, orang yang tak sembahyang hendaklah dibunuh. Itu baru tinggal sembahyang, apatah lagi kalau perbuatan itu adalah syirik?


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 64:

اصلَوهَا اليَومَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ

 Sahih International

[Enter to] burn therein today for what you used to deny.”

Malay

“Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”

اصْلَوْهَا الْيَوْمَ

Masuklah kamu ke dalam neraka pada hari ini

Perkataan اصْلَوْ adalah kata khas yang digunakan untuk membawa maksud ‘masuk dalam api’. Samada ahli neraka itu masuk sendiri atau mereka dimasukkan ke dalam neraka oleh malaikat. Bayangkan, ada manusia yang akan masuk sendiri ke dalam neraka walaupun mereka tahu itu adalah api yang menyala. Kerana mereka tidak ada pilihan lain. Apabila Allah arahkan, mereka kena patuh.

Sekali lagi perkataan الْيَوْمَ digunakan – untuk menyuruh kita membayangkan keadaan pada hari itu adalah dekat sahaja. Tidak jauh.

 

بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

dengan sebab kamu dulu kufur;

Iaitu kufur kepada ajakan tauhid semasa hidup di dunia. Ilmu tauhidlah yang patut diajar kepada umat Islam sekarang. Iaitu tauhid berdasarkan Quran dan Sunnah Nabi. Tapi malangnya, kalau ada yang mengajak kepada kebenaran, macam-macam tohmahan akan dikeluarkan, antaranya mereka akan kata kita Puak Wahabi dan sebagainya. Macam-macam mereka akan cakap.

Ayat ini hendak mengatakan bahawa mereka masuk neraka itu adalah disebabkan oleh diri mereka sendiri. Mereka kufur dengan Allah. Mereka engkar. Mereka tidak boleh salahkan orang lain. Mungkin semasa mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka akan membantah kenapa mereka dimasukkan ke dalamnya. Waktu itu akan dikatakan kepada mereka: ‘dengan sebab kamu dulu kufur’.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 65:

اليَومَ نَختِمُ عَلىٰ أَفواهِهِم وَتُكَلِّمُنا أَيديهِم وَتَشهَدُ أَرجُلُهُم بِما كانوا يَكسِبونَ

 Sahih International

That Day, We will seal over their mouths, and their hands will speak to Us, and their feet will testify about what they used to earn.

Malay

Pada waktu itu Kami meterikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰ أَفْوَاهِهِمْ

Pada hari ini (di Mahsyar), Kami akan kunci mulut mereka;

Manusia tak boleh nak bercakap apa dah pada hari itu. Orang-orang kafir dan munafik akan cuba mengatakan bahawa mereka tidak buat kesalahan-kesalahan yang dihadapkan kepada mereka. Mereka akan sentiasa mengambil peluang untuk menipu walaupun di hadapan Allah taala. Maka Allah akan menutup mulut lisan mereka.

Dalam ayat sebelum ini, Allah berkata terus dengan mereka. Tapi dalam ayat ini, Allah tidak bercakap dengan mereka, tapi membahasakan diri mereka sebagai pihak ketiga. Ini kerana mereka telah masuk ke dalam neraka. Allah dah tak mahu bercakap dengan mereka.

 

وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ

maka berkata kedua-dua tangan mereka; 

Tangan kita akan jadi pendakwaraya pula kepada kita. Tuannya nanti akan marah kepada tangan kenapa cakap kepada Allah. Tangan akan kata bahawa pada hari itu Allah memberi kebenaran kepada mereka untuk berkata-kata. Bukan tangan mereka sahaja yang akan berkata. Pendengaran, penglihatan dan kulit mereka juga akan berkata-kata.

 

وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ

dan menjadi saksi kaki-kaki mereka; 

Yang berkata adalah tangan, dan kaki akan menjadi saksi bagi apa yang dikatakan oleh tangan itu.

 

بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Terhadap apa yang dulu mereka lakukan;

Mereka akan terpaksa mengaku semua. Tak boleh nak elak lagi dah. Kerana memang anggota badan mereka itu terlibat dalam perbuatan tuannya itu. Semasa di dunia, mereka telah berkata buruk kepada pada Rasul dan pendakwah, tapi apabila di akhirat kelak, mereka akan mendapat balasan yang amat buruk atas perbuatan mereka itu.

Lihatlah apa yang mereka telah buat kepada Nabi Muhammad. Mereka telah mentertawakan Nabi Muhammad apabila ahli keluarga baginda mati. Mereka menolak dakwah baginda mentah-mentah. Mereka tidak membenarkan Nabi berdakwah. Dan macam-macam lagi perkara buruk mereka telah buat.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 66:

وَلَو نَشاءُ لَطَمَسنا عَلىٰ أَعيُنِهِم فَاستَبَقُوا الصِّراطَ فَأَنّىٰ يُبصِرونَ

 Sahih International

And if We willed, We could have obliterated their eyes, and they would race to [find] the path, and how could they see?

Malay

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

 

وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَىٰ أَعْيُنِهِمْ

Kalau Kami kehendaki, nescaya Kami butakan mata mereka;

Allah boleh sahaja butakan mata mereka semasa mereka di mukabumi lagi.

Perkataan طَمَسْ itu bermaksud ‘memadan sesuatu’. Seperti kalau kita tulis dengan pensel, dan kita cuba nak padam dengan pemadam getah. Walaupun kita telah padam, tapi akan ada kesannya lagi. Begitulah Allah boleh buat kepada mata mereka yang telah menolak dan mengejek-ngejek Nabi Muhammad.

 

 فَاسْتَبَقُوا الصِّرَاطَ

Mereka akan berlumba-lumba mencari jalan kebenaran;

Tttapi mereka tidak akan jumpa kebenaran itu kerana mereka telah dibutakan matahati mereka.

 

فَأَنَّىٰ يُبْصِرُونَ

Macam mana lagi mereka dapat melihat;

mereka sudah tidak dapat melihat dalil bukti dari Allah taala. Mereka tak nampak dalil bukti apabila mereka diberitahu. Kadang-kadang orang lain yang ada bersama mereka dapat faham, tapi mereka sendiri tak faham. Itu adalah kerana matahati mereka telah dibutakan. 

لَطَمَسْنَا: we obliterated

فَاسْتَبَقُوا: they would race


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 67:

وَلَو نَشاءُ لَمَسَخناهُم عَلىٰ مَكانَتِهِم فَمَا استَطاعوا مُضِيًّا وَلا يَرجِعونَ

 Sahih International

And if We willed, We could have deformed them, [paralyzing them] in their places so they would not be able to proceed, nor could they return.

Malay

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

وَلَوْ نَشَاءُ لَمَسَخْنَاهُمْ عَلَىٰ مَكَانَتِهِمْ

Kalau Kami kehendaki, Kami boleh ubah rupa mereka di atas tempat mereka berada;

Allah boleh mengubah keadaan mereka jadi kera atau babi, sebagai contoh.

Ada dua kali Allah menceritakan bagaimana Allah merubah kejadian manusia dalam Quran, satu pada zaman Nabi Daud, kaumnya menjadi kera kerana kena sumpah, iaitu orang-orang yang memukat ikan pada hari sabtu. Patutnya tidak boleh bekerja menangkap ikan pada hari tu. Kerana hukum orang Yahudi waktu itu mereka tidak boleh bekerja pada hari sabtu. Tapi mereka telah menipu. Mereka tak tahan nafsu untuk menangkap ikan sebab ikan-ikan banyak pada hari Sabtu pula. Mereka tahan pukat pada hari Sabtu dan mereka angkat pukat itu pada hari Ahad. Lebih kurang seramai 70 orang Allah tukar jadi kera kerana Allah murka kepada mereka. Kerana mereka nak tipu Tuhan. Kononnya, mereka nak berhujah bahawa mereka tak bekerja hari Sabtu itu. Mereka ingat mereka pandai, sampai mereka nak tipu Tuhan.

Macam kita juga, dah tahu majlis perkahwinan yang ada bersanding itu tidak boleh, kita tipu Allah dengan kita datang awal atau datang lambat. Konon macam kita tak tahu ada sanding. Dah memang tak boleh pergi, sepatutnya kita jangan pergi langsung, samada awal atau lambat. Tidak boleh kita berada dalam majlis yang ada kemungkaran kepada Allah. Kalau pergi juga, sama seperti kita mengunjungi kuil orang Hindu.

Satu lagi pada zaman Yahudi, ada yang ditukar menjadi babi. Dalam dua-dua kejadian ini, mereka yang ditukar itu mati dalam masa tiga hari selepas ditukar. Sesiapa yang melawat mereka selepas ditukar akan melihat memang mereka menjadi babi dan menjadi kera. Tuhan boleh buat macam tu. Tapi Allah cakap dalam ayat ini: “Kalau Kami mahu”. Bermakna, Allah tidak buat.

 

فَمَا اسْتَطَاعُوا مُضِيًّا وَلَا يَرْجِعُونَ

Maka tidak mampu mereka ke depan dan tidak mampu kembali ke belakang;

Tak boleh jadi manusia semula kalau Allah telah tukarkan kejadian mereka. Dalam ayat ini, Allah memberi ancaman kepada mereka untuk mengambil perhatian. Allah nak beritahu bahawa Dia boleh buat semua itu, kalau mereka masih lagi berdegil dan menentang Nabi. Allah masih lagi memberi peluang kepada mereka.

Lihatlah rahmat Allah memberitahu kita tentang perkara ini. Kalau kita pun menolak dakwah dari mereka membawa ajaran Islam yang benar, Allah pun boleh jadikan kita macam itu juga.
لَمَسَخْنَاهُمْ: we would have transformed them.

مُضِيًّا: proceed


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 68:

وَمَن نُعَمِّرهُ نُنَكِّسهُ فِي الخَلقِ ۖ أَفَلا يَعقِلونَ

Sahih International

And he to whom We grant long life We reverse in creation; so will they not understand?

Malay

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

وَمَنْ نُعَمِّرْهُ

Dan sekiranya Kami melanjutkan usia seseorang itu,

 

نُنَكِّسْهُ فِي الْخَلْقِ

nescaya Kami akan kembalikan dia kepada kejadian asal;

Dah jadi macam budak balik. Orang yang tua boleh jadi macam budak balik. Kena pakai lampin balik, kena suap makan kepadanya, sudah tak berapa ingat dan sebagainya. Sudah tidak boleh bercakap. Kena dimandikan seperti budak balik.

Perkataan نَكِّسْ bermaksud menterbalikkan sesuatu.

Allah hendak mengingatkan manusia bahawa dunia ini bukanlah tempat tinggal yang kekal. Yang kekal adalah alam akhirat.

Mereka yang menolak Islam yang benar buat begitu kerana mereka berbangga dengan apa yang mereka ada. Mereka ada kekayaan dan mereka ada kesihatan dan kekuatan mereka. Mereka bangga dengan apa yang mereka ada. Kadang-kadang apabila seseorang itu ada kelebihan, fikiran mereka telah dikelabui. Tapi Allah mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka ada itu tidak lama. Apabila mereka dah semakin tua, mereka tidak dapat mengelak dari jadi lemah, dari segi jasad mereka dan juga fikiran mereka.

Kaitan dengan dua ayat sebelum ini: Allah kata Allah boleh ubah kejadian manusia. Tapi Allah tak buat. Apa yang Allah buat adalah mengubah keadaan manusia itu sedikit demi sedikit. Ini memang terjadi sekarang ini pun. Setiap hari kita akan lihat bagaimana seseorang yang dulunya gagah dan kuat, tapi akhirnya apabila dah tua, mereka jadi lemah. Kalau dahulunya mereka boleh bercakap dengan kuat dan berbangga dengan apa yang mereka ada, apabila dah tua, mereka akan jadi lemah dan banyak senyap sahaja.

 

أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Mengapa mereka tidak mahu memikirkan?

Memikirkan bahawa Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja, kepada sesiapa sahaja, bila-bila masa sahaja. 

Ayat ini juga sebagai dalil kehidupan selepas kematian. Seperti kita telah belajar sebelum ini, musyrikin Mekah tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka akan dihidupkan balik selepas mereka mati. Tapi Allah mengingatkan mereka bahawa Allah boleh buat apa sahaja. Dan Allah telah mengubah keadaan manusia. Kalau Allah boleh mengubah manusia dari kuat kepada lemah, Allah juga boleh mengubah manusia dari keadaan mati kepada keadaan hidup kembali.

Dari sejarah kita dapat tahu bagaimana Allah telah lakukan kepada Abu Lahab. Dia seorang yang amat sombong. Dia mempunyai rupa paras yang molek. Sebab itulah namanya pun Abu Lahab. Tapi akhirnya dia telah dimalukan. Akhir hidupnya dia telah dikunci dalam bilik kerana badannya jadi reput dan busuk sampaikan keluarganya tidak tahan. Apabila dia mati, keluarga terpaksa upah orang lain untuk buang jasadnya di padang pasir. Tak ditanam pun – hanya dibiarkan untuk dimakan oleh binatang sahaja. Semua itu adalah peringatan kepada kita semua.

نُنَكِّسْهُ: we reverse


Surah 36. Ya Seen, Verse 69:

وَما عَلَّمناهُ الشِّعرَ وَما يَنبَغي لَهُ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ وَقُرآنٌ مُبينٌ

 Sahih International

And We did not give Prophet Muhammad, knowledge of poetry, nor is it befitting for him. It is not but a message and a clear Qur’an

Malay

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

وَمَا عَلَّمْنَاهُ الشِّعْرَ

Dan tidaklah Kami ajar kepadanya (Nabi Muhammad) itu syair, 

Allah kata Allah tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad. Allah mengaitkan DiriNya dalam ayat ini. Allah hendak menekankan bahawa kalau Nabi Muhammad ada ilmu apa-apa pun, ianya mestilah dari Allah sendiri. Tapi Allah kata Dia tak ajar syair kepada Nabi.

Selain dari syair, Orientalis cuba untuk mengaitkan ilmu-ilmu yang ada pada Nabi Muhammad itu dicedok dari agama-agama lain. Tapi kalau dikaji dengan sebenarnya, Nabi tidak pernah belajar atau mengambail ilmu Islam itu dari mana-mana sumber selain dari Allah. Ini boleh dikaji dari sejarah hidup Nabi.

 

وَمَا يَنْبَغِي لَهُ

dan tidaklah patut dia (Nabi Muhammad) belajar syair;

Sebab ada yang kata Quran itu syair. Mereka kata Nabi Muhammad itu seorang penyair pula. Itu adalah antara hujjah-hujjah batil mereka untuk menentang Quran. Memang sebelum menjadi Nabi, baginda ada menghafal beberapa syair. Tapi bila dah diangkat menjadi Nabi, dan baginda cuba ingat balik, bacaan syair baginda jadi terbalik. Sedangkan baginda terkenal sebagai seorang yang kuat ingatan.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Abu Naufal berkata, aku bertanya kepada Aisyah: “Apakah Rasulullah SAW mengusai syair?” Maka beliau menjawap, “Syair adalah kalimat yang paling dibencinya.”

Akan tetapi, ada syair yang disyariatkan, iaitu sindiran-sindiran terhadap orang-orang Musyrik yang dilantunkan oleh para ahli syair Islam, seperti Hassan bin Tsabit, Kaab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan orang-orang semisal mereka.

Tidak layak Quran disamakan dengan syair. Syair tidak akan setanding dengan Quran. Terdapat beberapa perbezaan antara syair dan Quran:

1. Syair mementingkan lenggok bahasa sahaja. Kerana tujuan syair adalah untuk menggembirakan manusia yang membacanya. Tapi Quran mementingkan mesej yang hendak disampaikan di dalamnya.

2. Syair boleh tersilap. Kadang-kadang ia berkata tentang suatu perkara dan dalam bait yang lain, ia berlawanan dengan kata-kata sebelumnya. Quran tidak begitu. Quran sentiasa tepat dan tidak ada percanggahan antara ayat-ayatnya.

3. Pencinta syair tidak semestinya orang yang ada tujuan dalam hidup. Kalau kita lihat kepada pencinta syair, kebanyakannya adalah pemuzik-pemuzik dan penyair-penyair yang mereka sendiri tidak tahu apakah yang mereka perjuangkan. Mereka selalunya adalah orang yang hanya mahu bergembira sahaja dalam hidup mereka. Tapi pencinta Quran adalah mereka yang cintakan Allah dan cintakan kebenaran. Mereka mempunyai tujuan hidup yang tepat sepertimana yang digariskan dalam Quran.

Kita tidak perlu kepada syair. Oleh itu, tidak perlu kita menyusun doa kita kepada Allah sehingga hilang keikhlasan dalam doa kita itu. Kita seperti membaca satu sajak yang telah ditulis tapi bukan dari hati kita. Seeloknya kita membaca doa yang benar-benar dari hati kita. Walaupun ianya tidak tersusun, tapi kalau ianya ikhlas dari hati kita, ianya lebih disukai oleh Allah.

Sama macam kita dengar ceramah atau khutbah jumaat yang dibaca dari teks ucapan. Ianya tidak menarik langsung. Ucapan yang tidak menggunakan teks ucapan lagi bagus. Oleh itu, apabila kita berdakwah, cuma keluarkan apa yang ada dalam hati kita. Jangan hiraukan tentang kata-kata yang kita gunakan. Pastinya ianya adalah kata-kata dari hati kita sendiri.

Jadi, kalau Quran itu bukan syair, apakah ia?

 

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ

Sesungguhnya Quran itu tidak lain dan tidak bukan adalah pemberi peringatan

Perkataan yang digunakan adalah ذِكْرٌ. Bukan az-Zikr. Oleh itu, ianya adalah dalam bentuk umum. Ianya adalah untuk memberitahu kita bahawa banyak benda yang Quran itu ingatkan kita. Antaranya tentang realiti kehidupan, fitrah manusia, mengingatkan kita tentang sejarah silam umat-umat terdahulu, peringatan tentang apakah kesannya kalau kita engkar kepada Allah, dan macam-macam lagi.

 

وَقُرْآنٌ مُبِينٌ

dan satu bacaan yang jelas nyata;

Maknanya, apabila kita belajar tafsir Quran, kita akan tahu mana perbuatan salah yang kita buat. Sebab telah jelas nyata kepada kita kerana telah diterangkan dengan nyata didalam Quran. Yang tidak jelas adalah kepada orang yang tidak belajar sahaja. Quran itu jelas memberi peringatan kepada mereka yang merenungkan maknanya dan mentaddaburkannya (memikirkan tentangnya).
يَنبَغِي: befitting


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 70:

لِيُنذِرَ مَن كانَ حَيًّا وَيَحِقَّ القَولُ عَلَى الكافِرينَ

Sahih International

To warn whoever is alive and justify the word against the disbelievers.

Malay

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

لِيُنْذِرَ مَنْ كَانَ حَيًّا

Supaya dengan Quran itu memberi ancaman kepada sesiapa yang hatinya hidup; 

Ada orang yang hatinya mati. Mereka tak mahu terima ajaran tauhid. Hanya mereka yang hatinya hidup sahaja yang sanggup menerima ajaran tauhid. Hatinya hendak mencari kebenaran. Dan dengan belajar tafsir Quran, imannya semakin kuat. Semakin hidup hatinya dalam keimanan. Quran ini hanya boleh diterima oleh orang yang berakal waras.

Kenapa ramai orang yang tidak dilahirkan Islam tapi akhirnya mereka memeluk agama Islam? Itu adalah kerana hati mereka hidup dan mahu mencari kebenaran. Apabila mereka mengkaji Islam dan Quran, mereka akan mendapati kebenaran ada dalam Islam dan Quran. Sebab itulah mereka memeluk agama Islam.

Tapi ada kalangan orang Islam yang dilahirkan dalam keluarga Islam, tapi hati mereka mati. Mereka tidak mahu kebenaran. Mereka telah diberi banyak pilihan tapi tidak mahu menerima ajakan Tauhid. Malah mereka menolak dakwah tauhid yang disampaikan kepada mereka. Kepada orang-orang sebegini, apakah nasib mereka nanti?:

 

وَيَحِقَّ الْقَوْلُ عَلَى الْكَافِرِينَ

Dan sudah tetaplah keputusan azab kepada orang orang kafir;

Allah telah tetapkan bahawa kepada mereka yang engkar kepada ajakan Tauhid, mereka akan dimasukkan ke dalam Neraka. Dimana mereka akan diazab dengan sekeras-kerasnya. Quran itu adalah rahmat bagi orang-orang yang beriman dan hujjah bagi orang-orang yang kafir. Apabila di akhirat nanti, mereka akan kata bahawa dakwah tidak sampai kepada mereka, dan sebab itu mereka sesat. Allah akan mengingatkan mereka bahawa Quran itu telah diturunkan kepada mereka lama dah, mereka sahaja yang tidak ambil peduli.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 71: Ini lagi satu ayat dalil menunjukkan Tuhan itu berkuasa dan patut disembah.

أَوَلَم يَرَوا أَنّا خَلَقنا لَهُم مِمّا عَمِلَت أَيدينا أَنعامًا فَهُم لَها مالِكونَ

 Sahih International

Do they not see that We have created for them from what Our hands have made, grazing livestock, and [then] they are their owners?

Malay

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

 

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا خَلَقْنَا لَهُمْ

Tidakkah mereka melihat bahawa Kami lah yang menciptakan bagi mereka

 

مِمَّا عَمِلَتْ أَيْدِينَا

daripada yang dibuat dengan tangan Kami

Allah mengingatkan manusia bahawa semua itu dilakukan olehNya. Bukan oleh tangan manusia sendiri.

 

أَنْعَامًا

binatang-binatang ternak;

Seperti lembu, kambing dan sebagainya. Begitu banyak nikmat yang manusia telah dapat dari binatang-binatang ternak ini. Dari zaman dulu sampailah zaman sekarang. Mungkin manusia zaman sekarang tak perasan sebab kita beli daging dan susu dari supermarket sekarang, tapi hendaklah kita ingat bahawa ianya datang dari binatang-binatang itu juga.

 

فَهُمْ لَهَا مَالِكُونَ

yang mereka miliki?

Untuk kegunaan mereka. Ini menunjukkan bahawa Allah telah menundukkan binatang ternak kepada manusia. Manusia memiliki kemampuan untuk menundukkan binatang. Allah mengingatkan manusia tentang nikmat yang telah diberikanNya kepada manusia tapi kebanyakan manusia lupa tentangnya.

Kalau kita telah berbakti kepada manusia dan manusia itu tidak ikut cakap kita, kita akan mengingatkan mereka tentang segala pertolongan yang telah diberikan kepada mereka dulu semasa mereka susah. Atau semasa mereka memerlukannya. Begitulah dengan manusia, kadang-kadang perlu diingatkan.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 72:

وَذَلَّلناها لَهُم فَمِنها رَكوبُهُم وَمِنها يَأكُلونَ

Sahih International

And We have tamed them for them, so some of them they ride, and some of them they eat.

Malay

Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

وَذَلَّلْنَاهَا لَهُمْ

Dan Kami jinakkan binatang ternak untuk mereka;

Allah kata Dialah yang menjinakkan binatang itu. Kalaulah ada kambing yang garang sikit, dah kena sembelih. Kalau binatang jadi ganas, kita tak boleh bela. Sebab itu binatang macam harimau kita tidak boleh bela.

Ada banyak jenis binatang dalam dunia ini yang telah dijadikan oleh Allah. Tapi tak semua kita boleh jinakkan. Maka, menjinakkan binatang sampai kita boleh mendapat manfaat darinya adalah nikmat dari Allah. Allah ingatkan kita tentang nikmat itu kepada kita.

 

فَمِنْهَا رَكُوبُهُمْ

maka sebahagian darinya dijadikan tunggangan

 

وَمِنْهَا يَأْكُلُونَ

dan ada sebahagian yang boleh dimakan;

Iaitu jenis-jenis seperti kambing dan lembu. Ada yang boleh tunggang dan makan sekali, macam unta.


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 73:

وَلَهُم فيها مَنافِعُ وَمَشارِبُ ۖ أَفَلا يَشكُرونَ

 Sahih International

And for them therein are [other] benefits and drinks, so will they not be grateful?

Malay

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

 

وَلَهُمْ فِيهَا مَنَافِعُ

Dan bagi mereka binatang-binatang itu padanya berbagai-bagai lagi manfaat lain;

Iaitu seperti bulu, kulit, tulang, gigi dan lain-lain lagi yang manusia boleh gunakan dalam kehidupan mereka.

 

وَمَشَارِبُ

Dan sebagai minuman;

Contohnya, susu dari binatang-binatang itu. Begitu juga air kecing binatang juga boleh dijadikan ubat, seperti air kencing unta.

 

أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Kenapakah mereka tidak bersyukur?

Dengan segala nikmat yang Allah telah berikan kepada kita, sepatutnya kita sedar dan kita bersyukur kepada Allah. Tapi ramai yang tidak bersyukur. Kenapa masih lagi tidak ikut ajaran Islam yang betul? Dengan segala apa yang Allah telah berikan kepada kita? Kalau ikut suruhan Allah dan Nabi, barulah dikatakan bersyukur. Maka lafaz syukur adalah ‘alhamdulillah’. Barulah layak kalau nak cakap Alhamdulillah kalau telah melakukan apa yang Allah suruh. Kena ikut semua ajaran Tuhan dan Nabi. Bukan hanya senang-senang sahaja mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan sangka kita telah bersyukur.

Kenapa kita tidak ikut sahaja ajaran Nabi Muhammad? Kenapa kita buat amalan yang tidak diajar oleh baginda? Sebagai contoh: Tidak ada dalil hadis yang sahih mengatakan kena baca Yaasin pada setiap malam jumaat. Tidak ada. Padahal hadis yang ada adalah baca surah Kahfi pada hari jumaat, bukan surah Yaasin. Begitu juga tidak ada hadis yang sahih yang menyuruh kita membacakan Yaasin kepada orang yang hampir mati dan orang yang telah mati. Tapi ianya sekarang dibuat secara menyeluruh.

Apabila manusia tidak bersyukur, apakah yang manusia akan buat?


 

Surah 36. Ya Seen, Verse 74:

وَاتَّخَذوا مِن دونِ اللَّهِ آلِهَةً لَعَلَّهُم يُنصَرونَ

 Sahih International

But they have taken besides Allah [false] deities that perhaps they would be helped.

Malay

Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

 

وَاتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ آلِهَةً

Mereka masih juga mengambil selain dari Allah pujaan-pujaan lain yang mereka seru;

Kristian puja Nabi Isa, Hindu puja malaikat (dalam bentuk berhala), Buddha puja wali-wali (tok nenek mereka yang telah mati). Tapi kita orang Islam, semua sekali kita puja! Kalau orang yang bersilat lagi teruk, mereka kalau masuk gelanggang silat, ada seru kepada Nabi Yunus. Ada yang seru Nabi Khidr dan Nabi-Nabi yang lain. Maka banyaklah kefahaman yang salah tentang wali-wali, sampai ada yang kata pada Malam Lailatul Qadr, Nabi Khidr akan turun. Dan diajar kalau jumpa dia, pegang janggung dia dan minta harta karun dan umur yang panjang. Mereka nak minta hal dunia juga! Padahal, kalau betullah Nabi Khidr itu boleh memakbulkan doa, mintalah supaya dosa kita diampunkan contohnya. Tapi malangnya, itu semua adalah angan-angan kosong sahaja, kerana tidaklah ada dalil yang sahih yang mengatakan Nabi Khidr turun pada malam Lailatul Qadr.

Perkataan آلِهَةً itu bukan sahaja bermaksud ‘tuhan’. Ianya boleh jadi macam-macam. Ianya apa-apa sahaja yang kita lebihkan dari Allah. Kalau kita lebihkan wang dari Allah, maka wang itulah آلِهَةً kita. Kalau kita lebihkan Nabi dari Allah, maka Nabi itulah yang jadi آلِهَةً.

 

لَعَلَّهُمْ يُنْصَرُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat pertolongan;

Tujuan mereka memuja dan menyeru semua entiti itu adalah mengharap pertolongan sebenarnya. Supaya yang diseru itu membantu mereka di Mahsyar dengan beri syafaat kepada mereka. Sedangkan untuk dapat syafaat adalah dengan beri selawat kepada Nabi, bukan beri salam kepada baginda!

Manusia ada yang puja dewa, malaikat, Nabi dan sebagainya. Ada juga yang memberi salam kepada Nabi. Mereka beri salam kepada Nabi itu kerana mereka nak minta supaya Nabi ingat mereka dalam beri syafaat nanti. Semua itu adalah perbuatan kufur kepada Tuhan. Kerana kita hanya boleh minta tolong kepada Allah sahaja. Mereka habis duit pergi Umrah dan Haji tapi kufur di Madinah.

Kalau bagi salam kepada Nabi pun tak payah sebenarnya. Cukuplah dengan berselawat sahaja. Tak boleh minta syafaat kepada Nabi, kerana sebenarnya kita kena minta dengan Allah. Tak boleh kita berkata begini di kubur Nabi: “Ya Rasulullah, kami dah sampai ni, semoga kamu ingat kepada kami nanti di Padang Mahsyar. Dari jauh kami datang ni..” Padahal Nabi Muhammad dah wafat, macam mana kita boleh bercakap dengan dia lagi? Kerana ramai tak faham tentang inilah yang menyebabkan mereka akan kirim salam kepada Nabi Muhammad melalui rakan-rakan dan keluarga yang melawat Masjid Nabi. Padahal, kita hanya disuruh untuk berselawat sahaja kepada baginda. Apabila kita berselawat, Nabi Muhammad akan dimaklumkan tentang selawat kita itu oleh malaikat. Bukannya Nabi dengar sendiri selawat kita itu.

Semua perbuatan mereka itu yang mengharapkan pertolongan dari entiti-entiti itu adalah sia-sia sahaja. Ianya tidak bermanfaat kepada mereka sedikitpun.

Penjelasan Tentang Makna ‘Syafaat’: Untuk faham makna syafaat, kita kena buat perbandingan: Siapa yang sebenarnya ambil nyawa kita apabila telah sampai ajal kita? Allah yang mengambil nyawa kita, bukan Malaikat Maut. Allah yang suruh Malaikat Maut untuk mencabut nyawa kita. Malaikat yang beri rezeki pula? Mikhail. Kalau Malaikat Mikhail yang menurunkan rezeki, kenapa tak minta rezeki dengan Mikhail sahaja? Tapi semua kita minta rezeki dengan Allah, bukan dengan Malaikat Mikhail. Sebab kita tahu rezeki itu bukan dari Malaikat Jibrail tapi dari Allah. Sama juga, Nabi tugasnya adalah ‘menyampaikan’ sahaja syafaat. Bukan ‘pemberi’ syafaat. Baginda hanya boleh memberi apa yang Tuhan suruh. Hakikatnya Allah taala belaka.

Perkataan ‘hadrat’ yang selalu diamalkan dalam bertawasul kepada Nabi itu datang dari India. Bukan dari Nabi dan bukan dari ajaran Islam. Kita selalu dengar kepala majlis tahlil akan memulakan majlis dengan membaca: “ila hadratin Nabiyy….” Maksud mereka adalah Nabi Muhammad hadir dalam majlis mereka. Padahal, itu adalah kefahaman yang salah. Nabi sudah wafat dan tidak mendampingi alam dunia lagi. Mereka kirim al-fatihah adalah sebagai bodek kepada Nabi. Tujuannya, adalah nak berkat dari Nabi, keluarga baginda dan para sahabat baginda. Tapi bayangkan, kalaulah Nabi boleh beri syafaat kepada sesiapa sahaja yang dia hendak, bolehlah baginda beri kepada bapa saudara dia kerana dia sayang sangat kepada Abu Talib dan Abu Talib pun dah banyak tolong dia. Tapi tak boleh juga. Abu Talib masuk neraka juga dan akan dapat hukuman paling ringan dalam neraka. Nabi sayang sangat dengan Abu Talib. Bukan sahaja bapa saudara, tapi dia juga adalah bapa angkat. Beliau juga adalah besan Nabi juga kerana anaknya Saidina Ali telah berkahwin dengan Fatimah. Tiga pangkat terdapat pada Abu Talib. Tapi Nabi tak boleh juga nak bagi syafaat kepadanya. Abu Talib semasa hidupnya percaya Nabi Muhammad itu rasul. Abu Jahal pun sebenarnya percaya juga. Jadi percaya dan beriman itu adalah perkara berbeza. Takat percaya sahaja tapi tidak beriman tidak diterima.

Jadi ingatlah bahawa tidaklah Nabi itu pemberi berkat. Kita sebenarnya tak boleh minta berkat dengan manusia. Tapi ada keadaan yang telah diberitahu kita akan dapat berkat. Contohnya, dalam majlis ilmu, semua yang ada dalam majlis ilmu itu akan dapat berkat, tak perlu kita minta. Tapi bukanlah kerana ustaz yang mengajar itu yang memberi berkat, tapi majlis itu sendiri yang ada berkat. Ini kita tahu dari dalil-dalil yang sah. Begitu juga, Allah telah beritahu bahawa ada tempat yang diberkati, seperti Tanah Haram dan Kaabah.

Sepanjang hidup Nabi, tidak ada dalil Nabi buat majlis tahlil dan tak buat talqin orang mati pun. Padahal, dalam hidup baginda, ada isteri dia yang mati, anak dia pun ada yang mati, sahabat Nabi pun banyak yang mati sepanjang hidup baginda. Tapi walaupun kita tahu Nabi tak pernah buat, kita pandai-pandai juga buat. Padahal Allah tak kata Dia nak beri pahala bila kita buat tahlil, Nabi pun tak pernah cakap, sahabat pun tak amalkan. Jadi mereka yang mengamalkannya sebenarnya berdusta kepada Tuhan mereka. Kerana mengatakan perbuatan itu adalah baik padahal Allah tak kata nak bagi pahala. Itu adalah perbuatan bidaah dalam agama. Ingatlah bahawa orang yang mengamalkan bidaah tidak ada peluang nak masuk syurga.

Ada satu lagi amalan bidaah yang banyak orang kita buat. Dalam hadis, kita belajar bahawa Nabi pernah letak pelepah tamar atas kubur. Pada waktu itu, Allah telah buka hijab kepada Nabi, bahawa orang yang telah mati itu sedang mendapat siksaan kerana dosa mengumpat dan satu lagi kencing tak basuh dengan baik. Kesalahan mereka itu telah menyebabkan mereka diazab dalam kubur. Nabi pacak pelepah tamar itu atas kubur. Dan Nabi berdoa semoga selagi hidup pelepah tamar ini, mereka berdua akan lepas dari azab. Sahabat yang ada bersama Nabi waktu itu tak buat pun amalan itu walaupun mereka lihat Nabi buat macam tu. Sebab mereka tahu bahawa itu bukan dari syariat Islam. Itu hanya khusus kepada Nabi sahaja. Bagaimana kita nak tahu samada ianya adalah syariat atau tidak, kerana memang jelas Nabi buat perkara itu? Bukankah ianya adalah sunnah juga? Cara nak tahu adalah, kita lihat samada sahabat buat atau tidak. Para sahabat adalah anak murid dan ada sekali bersama Nabi. Mereka faham apa yang terjadi. Dan kalau perbuatan itu adalah sunnah, kenapa Nabi tak buat pula dengan kubur orang lain? Sekali tu sahaja Nabi buat. Ini menunjukkan kejadian itu hanya terjadi sekali sahaja kerana ditunjukkan kepada Nabi sekali itu sahaja. Hijab tak dibuka kepada Nabi setiap masa. Itu dipanggil mukjizat. Sesuatu mukjizat berlaku sekali sahaja. Macam Nabi keluarkan air dari jari. Bukan selalu terjadi. Bukan Nabi boleh keluarkan air dari tangan dia kalau air tiada. Dalam hal ini, mukjizat dan keramat sama. Iaitu berlaku sekali sahaja. Kalau berlaku banyak kali, itu adalah sihir sebenarnya. Contohnya ada orang kita yang belajar amalan supaya mereka ditikam tak lut. Itu sihir sebenarnya. Mengamalkan sihir adalah dosa besar dan orang yang mengamalkan sihir hukumnya pancung. Kalau dalam ajaran Kristian, pengamal sihir dibakar dengan api. Itu adalah syariat kristian.

Ada juga orang kita yang membaca Quran di kubur. Tujuannya adalah supaya pahala baca Quran itu boleh disedekahkan kepada simati dalam kubur itu. Tapi, Nabi kata janganlah kamu buat rumah itu sebagai kubur. Iaitu, sesiapa yang tak baca Quran di rumah, bermakna rumahnya itu macam kubur. Ini bermakna, kita kena baca Quran di rumah. Dan Nabi juga menunjukkan bahawa, Quran itu sebenarnya tidak dibaca di kubur. Kalau Quran pun tak boleh baca di kubur, zikir lagilah tidak boleh dilakukan di kubur. Yang kita disyariatkan semasa di kawasan perkuburan, hanyalah bagi salam kepada penghuni kubur dan doakan kesejahteraan mereka. Janganlah kita buat sesuatu amalan itu tanpa usul periksa dan tahu dalil tentangnya.

Doa kita untuk mereka yang telah mati in sha Allah boleh mengampunkan dosa mereka. Tapi bukan kirim pahala. Pahala adalah sesuatu yang dapat meningkat darjat seseorang dalam syurga. Tapi banyak orang kita, salah faham tentang masalah kirim pahala. Tidak ada dalil yang mengatakan pahala yang kita kirim kepada simati akan sampai kepadanya. Kalau boleh kirim pahala, tentu ada ayat Quran yang mengatakan boleh kirim pahala kepada yang telah mati. Yang ada, ayat yang mengatakan tak sampai pahala yang dikirim. Ini juga adalah pendapat Imam Syafie yang mengatakan tidak sampai pahala yang dikirim. Dalil ini terdapat dalam Surah an-Najm:39.

Surah 53. An-Najm, Verse 39:

53:39

Makna:
Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;

Dalam ayat ini, untuk seseorang itu mendapat balasan pahala, ianya mestilah dari amalan yang dia buat sendiri. Bukan kiriman dari orang lain. Kita pula pandai-pandai kirim pahala dan sangka pahala itu akan sampai. Padahal, kita disyariatkan berdoa kepada orang yang mati supaya diampun dosa mereka. Sebagai anak yang soleh, mesti berdoa kepada ibu bapa. Siapa yang tak berdoa kepada mak ayah dia, dia adalah derhaka. Anak derhaka tempatnya di neraka. Bayangkan betapa berat dosa orang yang tidak mendoakan ibu dan ayah. Dalam hadis Nabi, Nabi kata akan terputus amalan seorang hamba apabila dia mati, kecuali tiga perkara. Salah satunya adalah doa anaknya yang soleh. Nabi kata ‘doa’, tak kata baca wirid. Banyak yang keliru dengan mengatakan bahawa kirim pahala itu adalah doa juga. Sebenarnya tidak. Doa adalah perkataan dari kita supaya Allah mengampunkan dosa simati dan memasukkan simati dalam syurga. Bukan meminta supaya dikirimkan pahala amalan kita kepada simati.

Kalau nak kirim pahala ada jalan lain, iaitu sedekah dalam bentuk harta. Berdasarkan kisah sahabat Nabi, Abd Rahman Auf. Dia bagi geran tamar nak serah kepada Islam dan dia niat infak pahala sedekahnya itu kepada arwah mak dia. Nabi kata boleh. Pahala itu dari sedekah duit, bukan dari pahala sedekah ibadat. Kalau kita buat begitu, in sha Allah arwah akan pahala sedekah itu dan kita yang mengeluarkan duit juga akan dapat pahala juga yang sama. 

Syaitan nak menyebabkan kita sesat dengan bidaah dengan buat syariat sendiri. Apabila kita buat sendiri syariat, itu bermakna kita ganti kerja Nabi. Ganti kerja Nabi adalah perbuatan yang kufur. Daripada kita buat kenduri arwah yang tidak memberikan imbalan kepada arwah yang telah mati, lebih baik kita pakai duit kenduri arwah tu dan sedekahkan ke masjid dan kita niat pahala sedekah itu untuk arwah simati.

Hadith Nabi juga ada mengatakan bahawa tidak ada kenduri di rumah keluarga simati. Itu adalah perbuatan yang bidaah juga.

Ayat-ayat surah Yaasin yang seterusnya.

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin, Tafsir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s