Tafsir Surah Yaasin Ayat 28 – 34 (Hati yang mati boleh dihidupkan)

Ayat 28: Penduduk Antokiah itu telah membunuh para utusan agama dan juga Habib yang telah berdakwah kepada mereka. Apakah balasan yang Allah kenakan kepada mereka?

۞ وَما أَنزَلنا عَلىٰ قَومِهِ مِن بَعدِهِ مِن جُندٍ مِّنَ السَّماءِ وَما كُنّا مُنزِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We did not send down upon his people after him any soldiers from the heaven, nor would We have done so.

(MELAYU)

Dan kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukanpun dari langit dan tidak layak Kami menurunkannya.

 

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ قَوْمِهِ مِن بَعْدِهِ

Tidaklah Kami menurunkan ke atas kaumnya selepas mereka membunuhnya;

Iaitu selepas mereka membunuh Habib an Najr dan para Rasul itu. 

Apabila Allah tambah perkataan مِن sebelum بَعْدِهِ (selepasnya), ianya bermakna balasan Allah kepada kaumnya itu adalah dengan segera. Selepas mati sahaja, terus mereka diturunkan dengan bala.

 

مِن جُندٍ مِّنَ السَّمَاءِ

sebarang tentera daripada langit;

Tapi Allah tak perlu nak bawa turun tentera dari langit untuk menghancurkan mereka itu. Perkataan مِن جُندٍ itu bermaksud apa jenis tentera pun. Allah tidak perlu turunkan walau satu jenis tentera pun, walaupun Allah ada banyak tentera: dari golongan manusia, malaikat dan entah apa lagi.

 

وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ

Dan tidaklah Kami perlu menurunkannya;

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah telah menghukum kaumnya kerana mereka telah mendustakan para RasulNya dan membunuh waliNya. Tapi Allah tidak menurunkan para Malaikat yang ramai untuk hancurkan mereka. Allah hantar Jibrail seorang sahaja. Jibril turun dengan satu tempikan dan keluar api dari mulutnya. Dengan suara yang kuat sehingga mereka semua tiba-tiba mati dengan tidak ada satu jasad pun yang tersisa.

Oleh itu, dari sini, kita dapat tahu bahawa Jibrail turunkan wahyu dan bala sekali. Dengan Jibrail sahaja sudah cukup untuk hancurkan mereka. Dia juga yang mengazab kaum Aad dan juga kaum-kaum lain. Sebab tu Yahudi dan Kristian tak berapa suka dengan Jibrail kerana dia selalu menghancurkan kaum yang zalim. Kerana itu ahli kitab lebih suka kepada Mikail sebab dia bawa turun rahmat. Sebab itu, mereka ramai menamakan anak-anak mereka dengan nama Michael, tapi tidak ramai yang menamakan anak mereka dengan nama Gabriel.

Ayat ini boleh jadi berbagai makna:

1. Allah tidak menurunkan tentera apa pun dan Allah tidak akan turunkan sampai bila-bila.

2. Allah tidak turunkan tentera kerana mereka tidak layak menerima tindakan sebegitu dari Allah. Maknanya, mereka tidak layak menerima perhatian sebegitu pun. Kerana amat teruknya mereka. Kerana menurunkan tentera bertujuan untuk mengajar. Mereka tak layak untuk menerima pengajaran itu.

3. Kalau Allah hendak mengazab manusia, tidak semestinya Dia perlu turunkan tentera. Banyak cara lagi Allah boleh lakukan.

Maka begitulah yang terjadi kepada penduduk kota itu. Allah tak payah susah-susah nak turunkan tentera. Sekali tempik sahaja, semuanya mati. Walaupun pada hakikatnya, mana-mana cara Allah pilih pun, tidak menyusahkan Allah. Bermakna, mereka itu tidak layak mendapat layanan yang lebih daripada satu tempikan itu.


 

Ayat 29: Azab untuk mereka satu tempikan sahaja.

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً وّاحِدَةً فَإِذا هُم خامِدونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

It was not but one shout,1 and immediately they were extinguished.

  • From Gabriel or a blast from the sky.

(MELAYU)

Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara saja; maka tiba-tiba mereka semuanya mati.

 

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Sesungguhnya azab yang kena kepada mereka itu hanyalah satu tempikan sahaja;

Mereka dimusnahkan sekaligus dengan tempikan dari Jibrail sahaja. Kalimah صَيْحَةً adalah satu jenis tempikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepada manusia.

 

فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ

Maka mereka semua jatuh bergelimpangan mati;

Kuatnya tempikan itu sampaikan seluruh bandar Antokiah itu hancur. Hancur jadi debu. Yang tinggal sekarang ini hanyalah bandar purba sahaja. Tinggal tapak rumah sahaja. Lain semua sekali hancur.

Perkataan خَمِدُ digunakan untuk perbuatan memadam api. Macam kita memadam api dengan meniupnya. Bermakna, mereka dimatikan begitu sahaja, bagai memadam api lilin sahaja. Atau boleh juga bermaksud, kesombongan mereka dan ego mereka disenyapkan dengan begitu mudah sahaja.

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat-ayat dari surah Yaasin ini diturunkan di Mekah di hujung-hujung masa Nabi dan para sahabat di Mekah. Allah hendak memberitahu kepada mereka, jikalau mereka berdiri mempertahankan agama, mereka mungkin tidak dapat melihat pulangannya di dunia ini. Mereka mungkin mati seperti apa yang terjadi kepada Habib itu. Tapi balasan kepada mereka di akhirat nanti adalah amat besar sekali.

Ia juga untuk memperingatkan kepada mereka yang menentang agama Allah bahawa balasan kepada mereka amatlah pedih. Allah boleh balas perbuatan mereka semasa mereka di dunia lagi. Janganlah mereka sangka yang kemenangan mereka yang sedikit itu sebagai kejayaan sebenarnya. Memang penduduk kota itu berjaya membunuh pendakwah dan Habib itu, tapi itu bukanlah kejayaan sebenarnya. Jadi dalam ayat ini, Puak Quraish yang menentang Nabi dan para sahabat diancam dengan azab seperti yang terjadi kepada penduduk kota itu. Jangan mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja. Jaga-jaga dengan azab Allah. Allah boleh kenakan azab itu semasa di dunia lagi, tak payah tunggu akhirat.

Begitu juga, pujukan dan peringatan ayat-ayat ini juga sesuai untuk pendakwah dan penentang dakwah zaman sekarang.


 

Ayat 30:

يٰحَسرَةً عَلَى العِبادِ ۚ ما يَأتيهِم مِن رَّسولٍ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

How regretful for the servants. There did not come to them any messenger except that they used to ridicule him.

(MELAYU)

Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada datang seorang rasul pun kepada mereka melainkan mereka selalu memperolok-olokkannya.

 

يٰحَسرَةً عَلَى العِبادِ

Alangkah besarnya penyesalan keatas hamba-hamba;

Mereka jadi amat-amat menyesal tapi penyelesalan itu tidak berguna lagi kerana mereka telah hancur. Mereka akan menyesal apabila mereka melihat azab yang akan dikenakan kepada mereka di akhirat kelak yang memang lagi teruk. Kerana azab dunia sekali sahaja tapi azab di akhirat akan berkali-kali sampai bila-bila tidak ada penghujungnya.

Kata حَسْرَةً adalah perasaan sesalan yang sangat besar. Menyesal kerana semasa di dunia dulu mereka tidak mengikut kata Rasul dan pendakwah yang mengajak kepada jalan kebenaran. Maka janganlah kita pun jadi begitu juga. Sekejap sahaja kita tinggal di dunia ini. Jadikanlah dunia tempat kita menanam pahala, bukan dosa.

 

مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ

Tidaklah datang kepada mereka dari mana-mana Rasul

Kisah ini adalah tentang penduduk kota Antokiah. Tapi tidak disebut nama Kota itu dalam surah Yaasin ini. Ini adalah kerana ianya adalah dalam bentuk umum. Malah seperti yang telah disebut, ada pendapat yang kritik pemilihan nama Antokiah ini kerana tempat itu tidak pernah ada sejarah dihancurkan. Oleh itu, kita kena lihat sebagai bukan hanya terjadi kepada penduduk kota itu sahaja, tapi ia boleh jadi di mana-mana. Kejadian di Antokiah itu sebagai satu contoh sahaja.

Bukan sahaja Antokiah atau tempat yang disebut dalam ayat ini sahaja yang didatangi para Rasul. Ini adalah kerana Allah tidak memberi azab kepada sesuatu tempat melainkan mereka telah didatangi oleh Rasul. Malah, setiap kaum akan ada Rasulnya. Tapi bagaimanakah penerimaan mereka terhadap para Rasul itu?

 

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka terhadap rasul-rasul itu, mereka mengejek-ejek;

Mereka tolak dakwah dari para Rasul mereka itu. Mereka tolak dengan berbagai cara. Bukan sahaja mereka, tapi macam sekarang pun, ada sahaja golongan yang menolak dan mereka berkata: “betul dah kata ustaz itu, tapi…” Atau zaman sekarang, banyak yang akan mengejek pendakwah sunnah dengan gelaran ‘Wahhabi’. Padahal, mereka pun tidak tahu apakah Wahhabi itu. Yang mereka gunakan itu adalah kerana mereka hendak mengejek. Mereka akan mereka-reka ejekan kepada para pendakwah. Antaranya, bila kita kata jangan buat benda bidaah, mereka akan kata: “Kalau tak boleh buat bidaah, suruh mereka jangan naik kereta, sebab Nabi tak naik kereta. Suruh mereka naik unta sahaja.” Itu adalah antara bunyi ejekan-ejekan mereka.

Semua nabi-nabi kena ejek oleh umat-umat mereka. Begitu juga kepada penyebar-penyebar agama. Mereka semua akan diejek. Jadi, penyebar agama hendaklah bersabar. Sedangkan para Rasul dahulu pun kena ejek. Tambahan pula kita.


 

Ayat 31:Dalil Aqli pertama dalam surah ini.

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِّنَ القُرونِ أَنَّهُم إِلَيهِم لا يَرجِعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not considered how many generations We destroyed before them – that they to them1 will not return?

  • i.e., to those living presently in the world.

(MELAYU)

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyaknya umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, bahawasanya orang-orang (yang telah Kami binasakan) itu tiada kembali kepada mereka.

 

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا قَبلَهُم

Tidakkah mereka melihat entah berapa ramai telah Kami hancurkan sebelum daripada mereka;

Tidakkah mereka tahu telah banyak kaum-kaum sebelum mereka yang Allah telah musnahkan? Lafaz ‘mereka’ di sini merujuk kepada Musyrikin Mekah. Semasa ayat ini diturunkan, diingatkan kepada Musyrikin Mekah tentang orang-orang sebelum mereka. Oleh kerana sekarang kitalah yang membaca Qur’an ini, ‘mereka’ disini merujuk kepada orang-orang di zaman kita. Iaitu mereka yang masih tidak mahu menerima dakwah.

Musyrikin Mekah itu memang kenal kisah-kisah kaum yang telah dihancurkan dulu. Terutama Kaum Aad dan Tsamud kerana mereka akan melalui kawasan penempatan Aad dan Tsamud itu.

 

مِّنَ الْقُرُونِ

daripada berbagai bangsa dan negara;

Seperti Kaum Aad dan Tsamud. Mereka tidak keturunan pun lagi. Yang ada dari tempat mereka adalah kesan-kesan kehancuran sahaja. Kerana Allah hancurkan semua sekali penduduk negeri mereka dengan tidak tinggalkan baka pun. Walaupun keturunan mereka sudah tidak ada, tapi perbuatan mereka ditulis dan mereka akan dibawa ke hadapan Allah untuk dinilai apakah yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Ini akan diterangkan dalam ayat seterusnya nanti.

 

أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ

Bahawasanya mereka itu tidak akan dikembalikan;

Tidakkah puak musyrikin sedar yang mereka yang telah dihancurkan itu tidak boleh kembali ke dunia selepas mereka dibinasakan? Maknanya mereka tidak boleh nak hidup semula ke dunia untuk baiki kesalahan mereka. Ada golongan yang sangka apabila mereka mati, mereka akan dikembalikan ke dunia semula (reincarnation). Maka, ayat ini menidakkan fahaman mereka itu. Yang masuk neraka, akan terus kekal dalam neraka selama-lamanya. Tidak akan keluar-keluar.


 

Ayat 32:

وَإِن كُلٌّ لَمّّا جَميعٌ لَّدَينا مُحضَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And indeed, all of them will yet be brought present before Us.

(MELAYU)

Dan setiap mereka semuanya akan dikumpulkan lagi kepada Kami.

 

Iaitu semua makhluk akan hadhir mengadap Tuhan sendiri-sendiri, berseorangan. Dalam keadaan telanjang dalam keadaan melutut mengadap Tuhan. Tidak ada yang akan terlepas. Tapi kita tidak dapat melihat Tuhan waktu itu. Cuma kita tahu Tuhan ada waktu itu. Hanya mereka yang masuk syurga sahaja yang boleh melihat Allah. Oleh itu, dalam kita berdoa, hendaklah kita berdoa semoga kita dapat jumpa Allah di syurga nanti. Mintalah ampun kepada Allah atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Supaya kita dapat masuk syurga. Takkan kita tidak teringin hendak berjumpa dengan Allah yang telah menjadikan kita?

Perkataan مُحْضَرُونَ itu bukan bermaksud mereka hadir dengan sendiri. Tapi mereka ‘akan dibawa hadir’. Kerana kalau mereka hadir sendiri, perkataan yang digunakan adalah: حضرون. Mereka akan dikerah untuk mengadap Allah. Yang jahat akan dikerah seperti binatang, dirantai dan ditarik dengan kasar.

Apabila dibawa ke hadapan Allah, mereka akan disuruh baca sendiri apakah perbuatan mereka dahulu semasa di dunia. Kitab Amalan akan dibentangkan dihadapan mereka dan mereka akan disuruh baca sendiri amalan mereka. Begitulah seperti apa yang telah tertulis dalam Isra’:14

اقرَأ كِتابَكَ كَفىٰ بِنَفسِكَ اليَومَ عَلَيكَ حَسيبًا

“Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu”.

Kemudian mereka akan dibalas sesuai dengan akidah dan amalan mereka semasa di dunia.


 

Ayat 33: Dalil yang kedua. Golongan Musyrikin Mekah tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Akal mereka tidak dapat menerima bahawa apabila mereka telah mati dan hancur, mereka akan dihidupkan kembali. Oleh itu, Allah beri perumpamaa dalam ayat ini.

Sekarang kita sudah masuk kedalam bahagian kedua surah Yaasin ini. Surah Yaasin terbahagi kepada tiga bahagian: tentang kerasulan, tentang tauhid dan tentang akhirat. Sebelum ini, telah dibentangkan ayat-ayat tentang kerasulan dan perkara yang berkaitan dengannya. Itulah susunan surah ini – Rasul menyampaikan ajaran – ajaran yang disampaikan adalah ajaran tauhid – hasil samada mereka terima atau tidak, akan ditentukan di akhirat nanti.

Cara Qur’an menerangkan kepada kita tentang tauhid tidak sama dengan cara manusia. Sekarang, manusia suka berfalsafah dengan kewujudan Allah. Begitulah yang terjadi dengan ilmu Sifat 20 itu. Tapi cara Qur’an lain. Qur’an menarik perhatian kita kepada alam. Apabila kita lihat kepada alam yang luas ini, kita sepatutnya teringat tentang Allah. Sebagai contoh, apabila kita mendapat hadiah dari seseorang, kita bukan teringat sangat kepada hadiah itu, tapi kita teringat kepada orang yang memberinya. Ataupun kalau kita ada sijil yang kita gantung di dinding pejabat kita. Bukanlah jenis kertas atau warna kertas sijil itu yang penting, tapi makna sijil itu yang penting. Contohnya, makna sijil itu adalah kita telah mendapat kelulusan dari mana-mana universiti. Begitulah juga dengan alam ini. Apabila kita melihat alam ini, ianya mengingatkan kita kepada makna alam ini. Kita teringat kepada Siapa yang menjadikannya.

Banyak ayat-ayat dalam Qur’an yang menyuruh kita melihat alam dan makhluk yang diciptaNya. Semua sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah. Kalau kita tidak teringat kepada Allah, maka sudah tentunya ada masalah dengan diri kita. Maknanya teruk sangatlah sampaikan tertutup fitrah mengenal Allah yang sudah tersedia ada dalam diri setiap kita. Setiap kita telah kenal Allah sebenarnya dari alam roh lagi. Cuma kita sahaja yang lupa.

Oleh itu, ayat-ayat dalam Qur’an ini bukanlah untuk memberikan maklumat baru kepada kita, tapi ianya cuma untuk mengingatkan kita sahaja kepada apa yang kita telah tahu. Banyak tempat di dalam Qur’an, Allah mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu sebagai ‘pemberi peringatan’ sahaja. Kalau dikatakan beri ‘peringatan’ sahaja, tentulah nak ingatkan kepada perkara yang kita sendiri sudah tahu, bukan?

وَآيَةٌ لَّهُمُ الأَرضُ المَيتَةُ أَحيَينٰها وَأَخرَجنا مِنها حَبًّا فَمِنهُ يَأكُلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a sign for them is the dead earth. We have brought it to life and brought forth from it grain, and from it they eat.

(MELAYU)

Dan suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan bumi itu dan Kami keluarkan dari padanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan.

 

وَآيَةٌ لَّهُمُ

Diantara dalil bukti kepada mereka;

Allah hendak beri dalil bahawa Dia boleh menghidupkan manusia semula.

Perkataan آيَةٌ bermaksud ‘tanda’. Dengan mengenal tanda, kita boleh kenal yang disebaliknya.

 

الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ

iaitu bumi yang sudah mati gersang;

Allah memilih perumpamaan tanah dalam ayat ini. Bukan hanya hendak menceritakan tentang tanah yang mati sahaja, tapi ada lagi yang lebih penting dari itu. Bayangkan satu kawasan dari bumi ini yang kering dan gersang, kerana tidak ada air padanya. Tumbuhan tidak dapat hidup tanpa air.

 

أَحْيَيْنَاهَا

Kami boleh menghidupkan semula;

Allah hidupkan semula dengan cara menurunkan hujan. Bukan susah pun Allah hendak menghidupkan balik tanah yang gersang itu. Allah hanya turunkan hujan sahaja, sudah hiduplah tanah itu. Kerana apabila ada air, maka tumbuhan dapat hidup dan binatang pun akan datang ke tempat itu.

Ada maksud yang lebih mendalam dalam ayat ini. ‘Tanah yang mati’ juga boleh membawa maksud ‘hati yang mati’. Hati yang tidak ada kefahaman tauhid di dalamnya adalah hati yang mati. Allah boleh menghidupkan balik hati yang mati itu dengan memberi fahaman tauhid kepadanya.

 

وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا

Dan Kami keluarkan dari bumi yang gersang itu berbagai-bagai bijian;

Dan menumbuhkan dengan air hujan itu, berbagai jenis tumbuhan yang indah-indah dapat hidup. Ia dapat mengeluarkan biji-bijian.

Begitu juga, apabila hati yang mati telah dihidupkan dengan kefahaman tauhid, maka barulah ianya ada kebaikan sedikit padanya. Kebaikan itulah yang dimaksudkan dengan bijian itu.

 

فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ

Daripada bijian itu ada yang mereka makan;

Biji-bijian itu menjadi makanan untuk mereka dan juga ternakan mereka.

Kebaikan yang sedikit dari hati yang telah ada fahaman tauhid, sudah mula berguna. Seperti juga biji-bijian sudah boleh dimakan oleh dirinya (seperti beras dan gandum) dan orang lain, begitu juga orang-orang yang ada kefahaman tauhid sudah boleh membantu sedikit dirinya dan diri orang lain. Tapi masih tidak banyak lagi, kerana perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘bijian’ sahaja.


 

Ayat 34: Sambungan dari ayat sebelum ini. Dari biji benih, ia bercambah menjadi bermacam-macam tanaman.

وَجَعَلنا فيها جَنّٰتٍ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ وَّفَجَّرنا فيها مِنَ العُيونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed therein gardens of palm trees and grapevines and caused to burst forth therefrom some springs –

(MELAYU)

Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air,

 

وَجَعَلنا فيها جَنّٰتٍ مِّن نَّخيلٍ وَأَعنابٍ

Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur

Tanah yang sebelum itu gersang tapi sudah subur setelah Allah turunkan hujan; apabila sudah subur, ianya boleh menumbuhkan berbagai jenis tanaman.

Allah beri contoh tamar dan anggur kerana itu adalah tanaman yang biasa dikenali di tanah Arab. Kalau Allah sebut rambutan, tentulah susah nak terangkan tentang rambutan pula kepada mereka.

Kurma – adalah sumber makanan bangsa Arab yang utama.

Anggur – adalah makanan yang mewah.

Maknanya, Allah bukan sahaja menumbuhkan tanaman sebagai sumber tanaman tapi juga makanan yang mewah kepada manusia.

Terdapat peningkatan dari ‘bijian’ kepada ‘buahan’ dalam ayat ini. Apabila seseorang itu terus di atas jalan tauhid, maka dia akan bertambah baik, imannya akan bertambah dan memberi manfaat kepada orang-orang di sekelilingnya. Kalau sebelum ini, ianya hanya dalam bentuk bijian sahaja, tapi sekarang dalam bentuk buah tamar dan anggur.

 

وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ

dan kami pancarkan mata-mata air padanya;

Mata-mata air itu akan bercampur dan menjadi sungai kecil dan sungai-sungai kecil itu akan bercampur menjadi sungai-besar besar. Air sungai itu amat bermanfaat kepada manusia. Hujan adalah air yang turun dari atas, mataair pula adalah air yang naik dari bawah. Allah beri air dari atas dan dari bawah. Itulah nikmat Allah yang berikan kepada makhlukNya.

Air juga adalah isyarat kepada ‘ilmu’. Kerana Nabi selalu memberi perbandingan ilmu dengan air. Bermakna, orang yang tetap dalam jalan tauhid akan mula mengajar orang lain. Ini adalah satu manfaat yang besar sekali. Kerana mataair adalah air yang melimpah-limpah dari dalam tanah, ianya melimpah kepada orang lain pula.

Airlah yang menghidupkan kembali tanah yang mati. Ilmu juga yang dapat menghidupkan kembali masyarakat yang telah mati hatinya. Oleh kerana itu, masyarakat kenalah meluangkan masa untuk mendalami ilmu. Janganlah ilmu agama ini hanya menjadi mainan orang agama sahaja. Semua manusia kena ada ilmu. Kerana Allah telah berikan akal yang sihat dan pancaindera kepada semua manusia. Maka tidak ada alasan kalau tidak tahu ilmu agama. Maka, kalau ada yang kata mereka tidak tahu tentang ilmu tauhid, maka yang bersalah bukanlah Allah, tapi manusia itu. Kerana mereka buat tidak tahu sahaja tentang ilmu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.


Rujukan:

Maulana Hadi

Ustaz Rosman

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s