Tafsir Surah Yaasin Ayat 22-58

Surah 36. Ya Seen, Ayat 22:

وَما لِيَ لا أَعبُدُ الَّذي فَطَرَني وَإِلَيهِ تُرجَعونَ

Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawab Habin an Najar): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

Ayat ini adalah maksud bagi surah Yaasin. Oleh kerana Yaasin adalah hati bagi Quran, maka keseluruhan Quran terletak dalam ayat ini. Ayat ini dipanggil dakwa surah atau maksud surah.

وَمَا لِيَ لَا أَعْبُدُ الَّذِي فَطَرَنِي

Kenapakah tidak aku sembah/puja/berdoa/berzikir hanya kepada Dzat yang menciptakan diriku.

Ada perbezaan antara maksud فَطَرَ (fatara) dan ‘khalaqa’. Dua-duanya membawa maksud menjadikan. Tapi apabila فَطَرَ digunakan, ianya bermaksud ‘yang mula-mula menjadikan’.

Habib berdakwah kepada kaum itu dengan menggunakan rasional akal: kenapakah kita tidak menyembah Allah sahaja, padahal Dia lah yang menjadikan kita?

Lihatlah penggunaan bahasa yang digunakannya: dia hendak berdakwah kepada penduduk kota itu, tapi dia menggunakan dirinya sebagai contoh: kenapa tidak ‘aku’ sembah Dzat yang mula-mula menjadikan ‘diriku’.

Ada perkataan yang dhomir, iaitu tidak dinyatakan dalam ayat ini iaitu: “samada aku puja atau aku tak puja pun, samada aku sembah atau aku tidak sembah Dia, samada aku sembahyang atau tidak“, aku pasti akan kembali kepadaNya.

وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

aku pasti akan kembali kepadaNya sahaja.

Di akhir hayat kita, kita akan pulang bertemu Allah. Kita kena ingat. Tak kisah apakah yang kita buat di dunia ini, akhirnya kita akan mengadap Allah dan segala perbuatan kita akan dinilai.

Makna ayat ini adalah: kita kena sembah kepada Pencipta kita sahaja, iaitu Allah Taala.

Yang berkata dalam ayat ini adalah Habib an-Najar. Peristiwa ini berlaku di Syria. Dekat Damsyik, di satu bandar yang bernama Antioch. Sesiapa pergi sana, akan dibawa oleh tourist guide ke bandar purba ini. Ianya adalah salah satu dari Bandar Purba Kerajaan Rom. Penduduknya menyembah patung berhala waktu itu. Kejadian dalam surah Yaasin ini terjadi di zaman Nabi Isa. Dia telah menghantar tiga Nabi (ada yang kata mereka bukan Nabi, oleh itu mereka adalah pengikut Nabi Isa) ke bandar ini, iaitu Yahya, Sadoq dan Sam’un. Terdapat khilaf penafsir berkenaan nama mereka. Ada kata nama mereka lain. Nama mereka tidak penting, yang penting adalah pengajaran yang boleh diambil dari ayat ini.

Pada mulanya, hanya seorang sahaja yang pergi berdakwah, tetapi kaum itu tak mahu terima, lalu mereka menerima bala, iaitu penyakit dan kemarau. Maka dihantar satu lagi Nabi ke sana. Dua-dua didustakan oleh kaum tersebut. Mereka berkata: “Kamu sama macam kami sahaja. Allah tak kirim apa-apa pun kepada kamu. Kamu sahaja yang mengaku.” Maka Tuhan hantar Nabi yang ketiga. Juga didustakan oleh penduduk bandar itu. Mereka hendak merejam dan menyeksa para pembawa risalah itu. Sehinggalah Habib datang. Dia adalah seorang Rom yang telah masuk Kristian (agama Islam waktu itu) setelah didakwah oleh nabi-nabi itu. Waktu itu, Nabi Isa belum diangkat ke langit lagi. Habib mengajak kaumnya mengikut Rasul yang berdakwah itu. Sebab mereka itu orang yang terpimpin. Dan mereka juga tidak meminta upah dari penduduk kota itu.

Maka dari ayat ini, kita diingatkan bahawa kita semua akan menemui Allah akhirnya. Maka sayugialah kita sebagai orang Islam, berdoa sebelum tidur waktu malam, untuk minta nak jumpa Allah di akhirat nanti. Tempat perjumpaan dengan Allah adalah dalam syurga sahaja. Di Padang Mahsyar kita hanya dengar suara Allah sahaja. Tiada nikmat yang lebih besar daripada dapat melihat wajah Allah. Jadi tentulah kita banyak dosa, ditakuti kita tidak dapat masuk syurga, maka kita minta kepada Allah supaya mengampunkan semua dosa-dosa kita dan masukkan juga kita ke dalam syurga. Baca doa dalam bahasa Melayu pun boleh: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya Kamulah yang menciptakan diriku, dan aku ingin untuk berjumpa denganMu. Tapi Kamu tak mahu jumpa kami kecuali dalam syurga. Tapi ibadat aku kurang, dosa pula banyak. Kira-kiranya, tak cukup syaratlah nak masuk syurgaMu. Tapi aku nak juga berjumpa denganMu Ya Allah. Maka ampunilah semua dosaku supaya aku dapat masuk syurgaMu dan dapat berjumpa denganMu ya Allah”. Itu adalah cadangan doa. Boleh diubah mengikut kesesuaian perasaan waktu itu. Pastikan yang doa yang dibaca adalah dari hati kita sendiri. Dan kita faham apakah yang kita sebutkan.

Kita berdoa itu dengan nada memujuk Tuhan. Minta juga nak masuk walaupun sebenarnya kita tak cukup syarat untuk dimasukkan ke dalam syurga sebab banyak sangat dosa-dosa kita. Takkan tak boleh berdoa begitu, bukannya susah pun. Itulah yang dipanggil ‘mengharap’. Sebagai tanda kita sayang kepada Allah. Sebab kita cintakan Dia lah yang menyebabkan kita nak jumpa dengan Dia. Kerana Dia lah yang menjadikan kita.

Maka, janganlah kita hanya meminta untuk masuk syurga Allah, tapi kita tidak langsung berdoa untuk berjumpa dengan Tuhan yang menjadikan kita. Macam kita juga, kalau kita sudah lama tak jumpa ayah kita, sebab dia sudah lama mati, tentulah kita teringin sangat nak berjumpa dengan dia. Tapi Tuhan yang menciptakan kita, kita tidak pernah teringin pun nak jumpa Dia. Tidakkah itu menunjukkan kita tidak sayang kepada Allah? Kalau kita tak minta begitu, bermakna kita cuai dalam berdoa. Macam-macam benda lain, bersungguh-sungguh kita minta. Kalau kita susah, kita minta diselesaikan. Rezeki Dia, hari-hari kita minta. Kalau sakit, kalau boleh kita nak sakit kita terus sembuh waktu itu jug. Tapi kalau kita tak doa nak bertemu dengan Dia, bermakna kita ada masalah dengan otak kita sebenarnya.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 23:

أَأَتَّخِذُ مِن دونِهِ آلِهَةً إِن يُرِدنِ الرَّحمٰنُ بِضُرٍّ لا تُغنِ عَنّي شَفاعَتُهُم شَيئًا وَلا يُنقِذونِ

 “Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

أَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِ آلِهَةً

Patutkah aku mengambil selain dari Allah pujaan-pujaan lain?; Inilah yang ramai manusia buat sekarang. Macam-macam jenis pujaan mereka selain dari Allah. Ada yang memuja malaikat, wali malah ada yang memuja Nabi.

إِن يُرِدْنِ الرَّحْمَٰنُ بِضُرٍّ

Sekiranya Tuhan Rahman ingin memberi mudharat apa sahaja,

Kenapa Habib mengingatkan mereka tentang mudharat? Kerana selalunya manusia apabila mereka ditimpa kemalangan, kesusahan atau bala, mereka akan terus teringat kepada Allah. Kepada Tuhan yang dapat menyelamatkan mereka. Mereka akan rasa tidak ada daya lagi waktu itu dan yang hanya boleh menyelamatkan mereka adalah Tuhan sahaja. Harapannya adalah supaya mereka teringat sewaktu mereka dalam kesusahan, kepada siapakah yang mereka akan minta tolong? Tentunya kepada Allah. Seperti yang telah Allah ingatkan manusia dalam 10:22

Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.

Sekali lagi Allah menggunakan perkataan الرَّحْمَٰنُ dalam ayat ini. Banyak sekali penggunaan perkataan الرَّحْمَٰنُ dalam surah Yaasin ini. Ini semua adalah kerana hendak mengingatkan Allah yang bersifat Maha Pemurah kepada sekelian alam. Kalau ada apa-apa bala yang Allah berikan kepada kita, ianya adalah untuk mengingatkan kita kepadaNya. Itu pun juga adalah kerana sifat الرَّحْمَٰنُ Allah itu.

لَّا تُغْنِ عَنِّي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا

tidaklah mereka (tuhan-tuhan lain itu) boleh bantu (syafaat) aku sedikitpun daripada bala itu.

Alangkah bodohnya kalau kita menyembah pujaan-pujaan lain selain dari Allah, padahal kalau Allah menginginkan mudharat apa sahaja kepada kita, pujaan-pujaan itu langsung tidak boleh menyelamatkan kita.

Habib hendak menidakkan kepercayaan mereka bahawa شَفَاعَتُ dari pujaan-pujaan dan sembahan-sembahan mereka selain Allah itu dapat menolong mereka dari bala bencana. Macam masyarakat kita juga, ada yang ingat kalau mereka menyembah atau beribadat kepada makhluk selain Allah, mereka-mereka itu dapat menyelamatkan mereka. Contohnya, golongan pengamal silat akan memberi salam kepada malaikat-malaikat kerana mereka sangka malaikat-malaikat itu akan memberi perlindungan kepada mereka. Tidak sama sekali. Malaikat-malaikat bukanlah boleh mengikut arahan atau permintaan kita. Mereka hanya taat kepada Allah taala sahaja.

Kadang-kadang memang Allah timpakan bala kepada kita. Itu kadang-kadang adalah kerana kesalahan yang kita buat juga. Ingat tak lagi, apabila Malaysia kena serang selsema babi, kita diminta ramai-ramai untuk solat hajat. Ketahuilah, kalau bala dah sampai, tak boleh tolak lagi dah.

Dalam ayat yang lain, Allah berkata:

Apa sahaja bala yang kena keatas kamu, adalah hasil kerja tangan kamu. Tapi dosa kamu yang banyak telah diampun.

Apakah yang dimaksud dengan: “Tapi dosa kamu yang banyak telah diampun“? Seperti yang kita ketahui, dosa kita diampun apabila kita melakukan solat ke solat. Dan juga apabila kita melakukan zikir kepada Allah. Begitu juga apabila kita ambil wuduk – dosa-dosa itu akan gugur dengan gugurnya air wuduk itu. Lebih-lebih lagi dosa kita akan diampunkan kalau kita minta ampun terus kepada Allah. Dosa-dosa itu akan diampunkan, kalau Allah mahu. Walaupun kita tidak minta ampun dalam doa kita. Kadang-kadang ianya gugur dengan sendiri. Tapi kenapa kita masih lagi dikatakan berdosa? Maknanya ada dosa yang kita lakukan, kita belum minta ampun lagi. Iaitu dosa syirik yang kita tak minta ampun pun. Sebabnya kita telah buat dosa syirik tanpa kita sedari kerana kita tak tahu perbuatan itu syirik. Kita tak tahu kerana kita tak belajar. Lebih-lebih lagi kita tak belajar tafsir Quran. Inilah kecelakaan yang besar yang berlaku kepada masyarakat kita. Mereka ada buat syirik, tapi mereka tidak tahu bahawa mereka telah buat syirik. Dosa-dosa syirik Allah boleh ampunkan, dengan syarat, kita kena minta ampun kepada Allah. Dosa-dosa syirik bukan macam dosa-dosa yang lain. Dosa-dosa syirik kita kena minta ampun secara spesifik. Tapi bagaimana kita hendak minta ampun kalau kita tidak tahu bahawa ianya adalah syirik?

Dalam ayat lain Allah berkata: Mereka (para Rasul) akan membaca ayat-ayat Allah, dan ‘menyucikan’ hati manusia dari ‘sifat buruk’ iaitu syirik kepada Allah yang sudah tertanam dalam hati. Contohnya, kita percaya yang bila burung hantu berbunyi, ada orang akan mati. Kepercayaan itu sudah ada dalam diri kita. Cuma tak keluar lagi, kecuali bila kita dengar burung hantu berbunyi, kita akan cakap ada orang nak mati. Maknanya kita dah percaya dah dalam hati kita. Cuma tak sebut sahaja sebab tidak ada burung hantu di bandar. Ada guru yang kata, kalau kita percaya itu sahaja dah syirik dah, ada yang kata hanya berdosa besar. Dan macam-macam lagilah kepercayaan karut lain yang kita percaya. Apabila kita gatal tangan contohnya, kita kata nak dapat rezeki, atau bila jumpa tapak kaki gajah dalam hutan, tak boleh sebut ‘gajah’ sebab takut gajah itu dengar. Padahal bukan gajah itu faham pun apa kita kata. Kalau penjaga gajah di zoo tu cakap pun gajah tu tak faham. Atau macam selalu dibuat orang iaitu minta izin dari jin penjaga sesuatu tempat itu, kerana nak lalu bawah pokok atau semasa mereka hendak kencing dalam hutan. Itu semua adalah perkara khurafat yang manusia buat. Mereka buat sebegitu kerana ada masalah dengan akidah mereka.

Kalau semua kepercayaan ini tidak dibuang, ibadat kita tak diterima lagi. Sebab satu syarat untuk ibadat diterima, seseorang itu mesti Islam. Dan Islam tu maksudnya tidak syirik. Kena istifar cepat-cepat kalau kita ada pemahaman seperti pemahaman seperti yang disebut diatas. Tapi ada banyak lagi kefahaman syirik yang lain.

Lagi satu, kena ingat yang apa sahaja kita baca dalam Quran, sebenarnya Allah bercakap terus dengan kita. Jangan degil untuk mengikut nasihat yang telah diberikan dalam Quran. Itu sahaja yang Tuhan hendakkan dari kita – jangan degil. Kalau salah, mengaku salah dan minta ampun.

Semua kepercayaan salah itu sudah ada dalam hati kebanyakan manusia. Ini adalah amalam-amalan yang diajar oleh syaitan kepada ahli-ahli ibadat yang dinamakan Abid. Mereka itu bukan orang alim. Mereka hanya kuat beribadat tanpa ilmu. Oleh kerana mereka tidak ada ilmu, mereka senang kena tipu dengan syaitan. Bukanlah hendak mengatakan tidak baik beribadat dengan banyak. Tapi sambil kita banyak beribadat, hendaklah kita menambah ilmu agama kita. Supaya kita tidak terjerumus ke lembah kehinaan. Masalah dengan para abid adalah, mereka banyak mengamalkan ibadat sampaikan mereka tidak meluangkan masa untuk menambah ilmu. Syaitan membisikkan mereka untuk buat ibadat sahaja tanpa menambah ilmu. Akhirnya, kerana mereka suka buat ibadah, syaitan akan membisikkan kepada mereka untuk buat ibadah yang Allah tak suruh buat – maka ibadah-ibadah itu adalah ibadah bidaah. Allah tak terima ibadah yang bidaah. Ianya adalah perbuatan yang salah. Kita ingat kita buat amal yang baik, tapi tidak.

Dengan menyucikan hati, kita akan menjadi mukmin, dan akan terima kitab amalan kita di tangan kanan. Dan kalau kita sebar agama pula, itu dipanggil muqarrabin, dan mereka akan terus masuk syurga tanpa hisab.

Jangan kita ingat bahawa sembahan atau pujaan yang salah itu hanya kepada berhala sahaja. Itu memang dah syirik dah. Tapi selain dari pujaan/sembahan kepada tuhan lain seperti berhala, masyarakat kita ada juga menyembah pujaan-pujaan yang lain. Antaranya mereka memuja-muja wali, malaikat dan Nabi. Itu akan diterangkan dalam tafsir kita ini nanti. Mereka-mereka yang dipuja itu pun tidak dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada kita walaupun kalau mereka hendak. Allah sahaja yang Maha Berkuasa.

وَلَا يُنقِذُونِ

tidaklah aku akan diselamatkan oleh sesiapapun.

Perkataan يُنقِذُونِ (diselamatkan) adalah dari kata dasar ‘Inqaadh‘. Ia bermaksud menyelamatkan seseorang yang hampir terjatuh. Bayangkan kalau seseorang itu hampir jatuh ke dalam gaung. Perbuatan menarik tangannya daripada terjadi itu adalah ‘Inqaadh‘.

Jikalau kita ditimpa apa sahaja musibah atau bala, tidak ada sesiapa yang dapat menyelamatkan kita melainkan Allah sahaja. Habib mengingatkan mereka bahawa apabila ditimpa bala apa sahaja, manusia hendaklah berpaling kepada Allah dan meminta pertolongan kepada Allah. Kerana penduduk kota itu pun sudah ditimpa bala oleh Allah kerana mereka menolak para pembawa risalah itu.

Ini adalah dalil bahawa kita tidak boleh meminta tolong kepada selain Allah, termasuklah Nabi Muhammad pun. Di Padang Mahsyar nanti, anak kita sendiri pun tidak boleh tolong kita. Kita pun tidak boleh nak bantu suami isteri kita sendiri. Tidak ada sesiapa yang boleh tolong sesiapa.

Yang boleh selamatkan kita hanyalah amal soleh yang kita buat semasa di dunia. Amal soleh itu tidak akan sah kalau kita buat syirik kepada Allah. Kalau kita syirik, segala amal kita akan terbatal. Macam peperiksaan zaman sekarang, kalau tak lulus bahasa Malaysia, akibatnya seluruh peperiksaan itu gagal. Walaupun kita dapat A+ dalam matapelajaran lain pun.

Makin tinggi iman kita, semakin tinggi tingkatan pahala kita. Apabila iman kita tinggi, ibadat yang kita buat semakin tinggi pahalanya, walaupun ibadat yang kita buat itu sama dengan orang yang rendah imannya. Didalam hadis, telah disebutkan bahawa pahala zikir orang yang alim lebih tinggi dari pahala zikir orang yang tidak berilmu. Ketahuilah bahawa iman tidak boleh naik dengan membanyakkan zikir, tapi dengan ilmu. Tapi yang diajar oleh banyak guru agama adalah membanyakkan zikir, bukan belajar agama. Jadi amal mereka banyak, tapi pahala mereka sedikit sahaja. Alangkah ruginya kalau begitu. Tambahan pula kalau amalan yang dibuat itu salah. Amalan salah itu kerana mereka tidak berilmu. Bukan sahaja tidak dapat pahala dari amalan salah itu, kena azab sebab buat amalan bidaah pula nanti.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 24:

إِنّي إِذًا لَفي ضَلالٍ مُبينٍ

Sekiranya aku ini buat seperti itu, aku termasuk orang yang sesat nyata.

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang kesalahan mereka yang mengambil selain Allah sebagai ‘ilah’ – pujaan-pujaan. Dalam ayat ini, Habib mengatakan kalau dia buat buat begitu, tentunya dia termasuk dalam golongan mereka yang sesat nyata. Maka janganlah kita memuja selain Allah.

Allah menggunakan perkataan لَفِي – ‘dalam’. Itu bermakna seseorang yang sesat, ianya seperti lemas di dalam kesesatan itu. Kemana sahaja dia melihat, dia akan hanya nampak kesesatan.

Begitu juga, kalau kita minta tolong kepada selain Allah, seperti mereka yang meminta kepada Nabi Muhammad, Nabi Daud, Nabi Yusuf dan sebagainya, kita akan jadi kufur macam mereka juga. Maka jadilah kita seperti orang Kristian yang meminta doa kepada Nabi Isa.

Banyak yang buat macam ini. Antaranya yang masyarakat kita selalu amalkan, kalau nak makan ubat, akan baca selawat dahulu, padahal tidak pernah disuruh Nabi untuk buat macam itu. Ditakuti kalau kita buat macam itu, kita memohon berkat Nabi untuk menyembuhkan sakit kita. Atau kita ingat Nabi sendiri yang boleh menyembuhkan kita. Padahal, kita sendiri tahu yang Allah lah yang menyembuhkan kita, bukan ada sesiapa selain Allah yang dapat menyembuhkan. Jadi, kalau makan ubat, cukuplah dengan kita membaca basmallah. Kita ambil berkat nama Allah sahaja, itu lebih selamat untuk akidah kita. Janganlah beri berbagai-bagai alsan untuk membolehkan kita baca juga selawat apabila hendak memakan ubat. Sebaiknya kita ambil jalan yang selamat.

Atau amalan orang bersilat yang akan beri salam dulu kepada Nabi Yunus kerana mereka kata Nabi Yunus itu adalah penjaga pokok kayu dan di gelanggang memang banyak pokok kayu. Itu semua adalah termasuk dalam kategori sihir. Apabila kita beri salam sahaja, yang datang kepada kita adalah jin. Kita sahaja yang tidak nampak. Jadi memberi salam kepada makhluk-makhluk yang kita tidak nampak seperti malaikat itu adalah satu perbuatan yang sesat.

Jikalau kita ada amalan macam itu, maka bertaubatlah dan buanglah amalan itu dengan membaca syahadah dan mengeluarkan amalan yang syirik itu dengan bacaan Bismillah. Amalan-amalan itu kena buang kerana ada dalam badan kita. Dah lama dah kita bela jin-jin itu dalam badan kita. Senang sahaja nak buang, iaitu dengan Bismillah sahaja. Tak payah untuk jumpa bomoh-bomoh yang karut yang suruh kita buat amalan syirik pula. Kita ingat kita pergi kepada mereka untuk menyelamatkan kita, tapi mereka ajar kita buat perkara syirik pula. Bukan tentu jin-jin itu keluar pun. Jin-jin memang pandai berlakon. Mereka akan berlakon keluar untuk menipu kita. Kita pula sangka bahawa bomoh itu berkuasa pula, maka jatuh syirik kita disitu. Padahal, yang Maha Berkuasa adalah Allah. Allah lah yang menyembuhkan kita. Tapi, apabila kita kata seseorang bomoh itu hebat, sampai dapat menyembuhkan kita, kita sudah jatuh syirik. Kerana kita telah memberikan kuasa Allah kepada makhluk.

Antara ayat ini dan ayat yang seterusnya, sebenarnya ada kisah pertanyaan orang kafir yang bertanya kepada Habib: “adakah kamu beriman dengan mereka ini?” Pertanyaan itu tidak dimasukkan dalam ayat Quran. Begitulah Quran. Tidak semua cerita dimasukkan. Oleh itu, kenalah belajar tafsir untuk tahu. Samada yang bertanya itu adalah orang kafir penduduk bandar itu atau pun Nabi-Nabi itu yang bertanya kepada Habib untuk memastikan keimanannya. Kalau yang bertanya itu adalah Nabi-nabi itu, pertanyaan mereka mungkin berbunyi: “Adakah kamu beriman dengan kami?”.

Maka, Habib pun menjawab dalam ayat seterusnya:


Surah 36. Ya Seen, Ayat 25:

إِنّي آمَنتُ بِرَبِّكُم فَاسمَعونِ

 “Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.

Habib berkata menjawab soalan kaumnya atau soalan Nabi-Nabi itu:

إِنِّي آمَنتُ بِرَبِّكُمْ

Sesungguhnya aku ini memang telah beriman penuh dengan Tuhan kamu semua.

Tuhan yang beliau maksudkan adalah Allah. Kerana walaupun mereka tidak mengaku yang Allah adalah Tuhan mereka, tapi dari segi hakikatnya, Tuhan mereka adalah Allah jua.

Dan kalau dia menjawap pertanyaan para Rasul itu, dia menegaskan keimanannya. Dia telah datang memberi pertolongan kepada para Rasul itu. Tidak timbul perasaan dalam hatinya yang mereka itu tidak kena mengena dengan dia. Ada orang yang walaupun mempunyai pandangan yang sama, tapi mereka takut mereka dilabel sebagai orang yang pelik, mereka akan hanya mendiamkan diri sahaja. Sebab takut mereka dikata orang. Kita sebagai penganut agama Islam sepatutnya tolong menolong sesama sendiri. Tugas dakwah perlu dipikul bersama. Ayat ini diturunkan di Mekah semasa Islam tidak kuat lagi. Islam waktu itu memerlukan sokongan yang kuat. Begitu juga dalam zaman kita sekarang. Untuk mengamalkan sunnah amat payah sekali kerana merata-rata orang Islam amat jauh dari sunnah. Mereka mengamalkan perkara-perkara khurafat, syirik dan bidaah sepanjang hari mereka. Sampaikan mereka yang mengamalkan sunnah nampak pelik di mata mereka. Golongan sunnah adalah golongan yang tersisih. Macam-macam mereka kata kepada kita. Antara yang popular adalah panggilan ‘Wahhabi’. Oleh itu, kita hendaklah bekerjasama dan sokong menyokong antara satu sama lain. Berilah sokongan kepada pendakwah yang hendak menyampaikan ajaran sunnah kepada masyarakat. Jangan duduk di tepian sahaja melihat siapakah yang akan menang.

Dia menjawap dengan tegas dan yakin. Tidak takut dengan sesiapapun. Lihatlah bagaimana dia telah memberikan sokongan kepada para pendakwah itu. Sedih sekali kalau kita lihat zaman sekarang, banyak orang-orang Islam tidak membela Islam. Mereka melihat sahaja bagaimana agama ini dicarik-carik oleh orang lain. Mereka melihat sahaja bagaimana masyarakat mereka sendiri menentang agama Islam. Mereka itu langsung tidak menghormati ajaran-ajaran agama, tapi kita hanya melihat sahaja.

Kadang-kadang orang lihat kita sampai tak boleh nak pastikan apakah agama kita.

Kita sepatutnya menjadi duta agama Islam. Sepatutnya apabila sesiapa melihat kita, mereka dapat melihat keindahan Islam. Tapi sedih sekali kerana perangai orang Islam sendiri amat buruk sekali. Sampaikan orang bukan Islam tidak nampak keindahan Islam. Apabila mereka melihat kita sebagai contoh pengamal agama Islam, tentu mereka sangka yang Islam bukanlah agama yang baik kerana penganutnya tidak nampak baik.

Dari segi bahasa, perkataan آمَنتُ itu dalam bentuk past tense – ‘aku telah beriman’. Dia menggunakan perkataan itu dalam bentuk past tense untuk menegaskan bahawa dia sungguh-sungguh telah beriman. Kerana kalau dia kata dia sedang beriman, mungkin di masa hadapan boleh jadi dia tidak beriman. Jadi, apabila penggunaan perkataan yang digunakan dalam past tense, itu menunjukkan kepastian.

فَاسْمَعُونِ

Maka kamu dengarlah nasihat aku ini.

Bila dia cakap macam itu sahaja, Habib an-Najar itu telah dibunuh dengan dipijak oleh semua orang bandar itu. Sampai pecah perut dia dan mati. Nabi Yahya telah kena gergaji. Ketiga-tiga Nabi itu telah kena bunuh.

Tiba-tiba cerita berkenaan Habib terputus. Selepas sahaja dia mati, dia terus dimasukkan ke dalam syurga. Inilah balasan baik kepada penyebar agama dan orang yang mati syahid. Jadi sesiapa yang mati syahid, mereka itu terus masuk syurga. Hanya dikeluarkan balik sebentar apabila Kiamat tiba. Itupun bukan untuk dibicarakan macam orang-orang lain. Cuma untuk dibacakan apa yang mereka akan terima dan mereka akan masuk balik ke dalam syurga.

Tiga orang Nabi itu, pengikut mereka adalah Habib bin Najar ini sahaja. Maka, ini adalah penenang kepada pendakwah yang tidak ramai yang nak dengar apa yang hendak disampaikan. Kalau kita dapat pengikut sedikit pun, tidaklah lebih teruk dari tiga orang Nabi itu yang berkongsi seorang sahaja pengikut.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 26:

قيلَ ادخُلِ الجَنَّةَ ۖ قالَ يا لَيتَ قَومي يَعلَمونَ

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui –

Lepas mati sahaja, iaitu selepas dia dibunuh oleh kaumnya – dikatakan oleh malaikat,

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ

Masuklah kamu terus ke dalam syurga.

Inilah dalil yang mengatakan orang yang mati syahid akan terus masuk syurga tanpa hisab. Dihilangkan darinya penyakit dan kedukaan dunia. Tidak masuk alam kubur, terus mereka masuk ke dalam syurga. Tetapi siapa yang berhutang termasuk mereka yang mati syahid, roh mereka akan tergantung-gantung. Jadi, jagalah hutang-hutang kita dengan orang. Kalau kita ada berhutang, pastikan kita bayar balik hutang itu.

Dalam Quran tidak disebutkan bagaimana Habib an Najar itu dibunuh. Tiba-tiba dari ayat ke 25 tadi, terus masuk ke ayat 26 ini, dia disuruh masuk ke dalam syurga. Ini adalah salah satu keindahan Quran. Quran tidak menceritakan satu persatu kejadian sesuatu peristiwa itu. Kita pun ada buat macam itu juga. Selalu kita lihat dalam filem, bagaimana di permulaan filem itu, ditunjukkan seorang budak. Dan dalam scene kemudiannya, dia sudah besar remaja. Walaupun tidak ditunjukkan dia membesar, tapi kita tahu bahawa dia adalah budak yang sama dalam scene yang awal tadi.

Habib an Najr itu dibunuh oleh kaumnya, kerana dia telah mengumumkan keislaman dan keimanannya secara terbuka. Mereka marah sangat.

Ayat ini juga sebagai dalil menunjukkan bahawa syurga itu telah ada. Sedang menunggu sahaja sesiapa yang layak masuk ke dalamnya untuk memasukinya.

قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي

Dia berkata dari dalam syurga: Alangkah baiknya kalau kaum aku

يَعْلَمُونَ

mengetahui; mengetahui apa yang Allah telah berikan kepadanya.

Dia masih lagi nak tabligh kepada kaum dia walaupun dia telah masuk syurga. Lihatlah keikhlasan hati Habib an Najar ini. Walaupun dalam syurga, dia masih lagi hendak berdakwah kepada kaumnya.

Begitulah pendirian dakwah yang kena ada dalam hati kita. Kita bukan hanya semata-mata menyampaikan hujjah kita kepada manusia, tapi kita sebenarnya mahukan supaya mereka kembali kepada Islam. Kita mahu supaya mereka mengamalkan Islam berdasarkan Quran dan Sunnah. Jangan kita cuma beri sahaja dakwah kepada mereka dan rasa kerja kita sudah selesai. Kita kena sedaya upaya berusaha supaya mereka menerima dakwah kita. Kalau dengan cara pertama tidak berjaya, kita cuba dengan cara lain. Ada orang yang tidak faham, mereka cuma cakap sekali sahaja, dan mereka terus kata: “Aku dah berhujjah dengan dia, dia yang tak mahu terima.” Memang tugas kita berdakwah sahaja, samada mereka terima atau tidak, bukan urusan kita. Itu adalah urusan Allah. Tapi walaupun begitu, kita hendaklah ada keinginan dalam hati kita supaya mereka menerima hidayah kita. Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad sampai menangis-nangis kerana umatnya tidak menerima dakwahnya. Kalau baginda hanya memikirkan tentang menyampaikan dakwah sahaja, baginda telah sampaikan. Tapi kita tahu bagaimana susahnya hati baginda. Kerana baginda mahu sangat supaya umatnya menerima Islam.

Itulah semangat yang ada pada Habib an Najar. Namanya tidak disebut didalam Quran, tapi kata-katanya disemadikan dalam Quran.

Kadang-kadang usaha dakwah kita, kita tidak dapat melihatnya semasa di dunia. Tapi in sha Allah kita akan dapat melihatnya di akhirat kelak.


 

Surah 36. Ya Seen, Ayat 27: Inilah kata-kata Habib an-Najar:

بِما غَفَرَ لي رَبّي وَجَعَلَني مِنَ المُكرَمينَ

“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.

بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي

Bahawasanya Tuhanku telah mengampunkan dosaku

Allah telah mengampunkan dosa Habib an Najr. Tidak disebutkan apakah dosa yang telah dilakukan oleh beliau. Kita tidak tahu samada dosa besar atau kecil. Itu tidak penting. Allah telah mengampunkannya semua sekali. Allah boleh ampunkan dosa sesiapa sahaja yang Dia hendak. Tidak kira berapa banyak dosa itu. Perkataan غَفَرَ bermaksud ‘menutup’. Allah bukan sahaja ampunkan dosa itu, tapi Dia juga telah tutup dosa itu sampai sesiapapun tidak tahu. Allah pun tidak ungkit dosa yang telah dilakukan oleh mereka yang telah diampun dosa itu.

وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ

dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan;

Dia telah dimasukkan ke dalam syurga Firdaus. Dia asalnya adalah orang biasa, tapi Allah telah memuliakannya. Namanya disebut sampai sekarang.

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah الْمُكْرَمِينَ – orang-orang yang dimuliakan. Ini adalah dalam bentuk katanama, bukan katakerja. Dia tidak kata ‘Allah telah memuliakan aku’, tapi dia cakap: “Allah telah menjadikan aku sebahagian dari orang-orang yang dimuliakan.” Ini adalah sebagai tanda bahawa kemulian yang diberikan kepadanya itu adalah kekal sampai bila-bila. Kerana kalau disebut dalam bentuk katakerja, ia mungkin tidak kekal. Macam orang politik sekarang, sekejap sahaja mereka dimuliakan. Selepas sekian lama, atau selepas mereka tidak memegang tampuk pemerintahan, mereka sudah dilupakan. Tapi mereka yang masuk syurga, akan dimuliakan sampai bila-bila.

Perkataan yang digunakan juga adalah مِنَ الْمُكْرَمِينَ – ‘sebahagian dari orang-orang yang dimuliakan’. Bermakna, dia bukan seorang sahaja. Kita sebagai manusia, suka untuk berkawan. Kita lebih suka kalau dapat berkawan dengan orang yang hebat-hebat. Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita adalah orang-orang yang dimuliakan.


 

Surah 36. Ya Seen, Ayat 28:

۞ وَما أَنزَلنا عَلىٰ قَومِهِ مِن بَعدِهِ مِن جُندٍ مِنَ السَّماءِ وَما كُنّا مُنزِلينَ

Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ قَوْمِهِ مِن بَعْدِهِ

Tidaklah Kami menurunkan keatas kaumnya selepas mereka membunuhnya;

Iaitu selepas mereka membunuh Habib an Najr dan para Rasul itu.

Apabila Allah tambah perkataan مِن sebelum بَعْدِهِ (selepasnya), ianya bermakna balasan Allah kepada kaumnya itu adalah dengan segera. Selepas mati sahaja, terus mereka diturunkan dengan bala.

مِن جُندٍ مِّنَ السَّمَاءِ

sebarang tentera daripada langit;

Allah tak payah nak bawa turun tentera dari langit untuk menghancurkan mereka itu. Perkataan مِن جُندٍ itu bermaksud apa jenis tentera pun. Allah tidak perlu turunkan walau satu jenis tentera pun. Sebab Allah ada banyak tentera. Dari golongan manusia, malaikat dan entah apa lagi.

وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ

Dan tidaklah Kami perlu menurunkannya;

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah telah menghukum kaumnya kerana mereka telah mendustakan para RasulNya dan membunuh waliNya. Allah tidak menurunkan para Malaikat. Allah hantar Jibrail seorang sahaja. Jibril turun dengan satu tempikan. Keluar api dari mulutnya. Dengan suara yang deras. Tiba-tiba semua mereka mati dengan tidak ada satu roh pun yang tersisa.

Dia juga yang mengazab kaum Ad. Sebab tu Yahudi dan Kristian tak berapa suka dengan Jibrail. Mereka suka kepada Mikail sebab dia bawa turun rahmat. Sebab itu, mereka ramai menamakan anak-anak mereka dengan nama Michael, tapi tidak ramai yang menamakan anak mereka dengan nama Gabriel. Oleh itu, dari sini, kita dapat tahu bahawa Jibrail turunkan wahyu dan bala sekali.

Ayat boleh jadi berbagai makna:

1. Allah tidak menurunkan tentera apa pun dan Allah tidak akan turunkan sampai bila-bila.

2. Allah tidak turunkan tentera kerana mereka tidak layak menerima tindakan sebegitu dari Allah. Maknanya, mereka tidak layak menerima perhatian sebegitu pun. Kerana amat teruknya mereka. Kerana menurunkan tentera bertujuan untuk mengajar. Mereka tak layak untuk menerima pengajaran itu.

3. Kalau Allah hendak mengazab manusia, tidak semestinya Dia perlu turunkan tentera. Banyak cara lagi Allah boleh lakukan.

Begitulah yang terjadi kepada penduduk kota itu. Allah tak payah susah-susah nak turunkan tentera. Sekali tempik sahaja, semuanya mati. Walaupun pada hakikatnya, mana-mana cara Allah pilih pun, tidak menyusahkan Allah. Bermakna, mereka itu tidak layak mendapat layanan yang lebih daripada satu tempikan itu.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 29:

إِن كانَت إِلّا صَيحَةً واحِدَةً فَإِذا هُم خامِدونَ

(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Sesungguhnya azab yang kena kepada mereka itu hanyalah satu tempikan sahaja;

Iaitu dengan tempikan dari Jibrail sahaja.

Perkataan صَيْحَةً adalah satu jenis tempikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepada manusia.

فَإِذَا هُمْ خَامِدُونَ

Maka mereka semua jatuh bergelimpangan mati;

Kuatnya tempikan itu sampaikan seluruh bandar Antokiah itu hancur. Hancur jadi debu. Yang tinggal sekarang ini hanyalah bandar purba sahaja. Tinggal tapak rumah sahaja. Lain semua sekali hancur.

Perkataan خَمِدُ digunakan untuk perbuatan memadam api. Macam kita memadam api dengan meniupnya. Bermakna, mereka dimatikan begitu sahaja, bagai memadam api lilin sahaja. Atau boleh juga bermaksud, kesombongan mereka, ego mereka disenyapkan dengan begitu mudah sahaja.

Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat-ayat dari surah Yaasin ini diturunkan di Mekah di hujung-hujung masa Nabi dan para sahabat di Mekah. Allah hendak memberitahu kepada mereka, jikalau mereka berdiri mempertahankan agama, mereka mungkin tidak dapat melihat pulangannya di dunia ini. Mereka mungkin mati seperti apa yang terjadi kepada Habib itu. Tapi balasan kepada mereka di akhirat nanti adalah amat besar sekali.

Ia juga untuk memperingatkan kepada mereka yang menentang agama Allah bahawa balasan kepada mereka amatlah pedih. Allah boleh balas perbuatan mereka semasa mereka di dunia lagi. Janganlah mereka ingat kemenangan mereka yang sedikit itu sebagai kejayaan sebenarnya. Memang penduduk kota itu berjaya membunuh pendakwah dan Habib itu, tapi itu bukanlah kejayaan sebenarnya. Puak Quraish yang menentang Nabi diancam dengan azab seperti yang terjadi kepada penduduk kota itu.

Begitu juga, pujukan dan peringatan ayat-ayat ini juga sesuai untuk pendakwah dan penentang dakwah zaman sekarang.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 30:

يا حَسرَةً عَلَى العِبادِ ۚ ما يَأتيهِم مِن رَسولٍ إِلّا كانوا بِهِ يَستَهزِئونَ

Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

Allah berfirman:

يَا حَسْرَةً عَلَى الْعِبَادِ

Alangkah besarnya penyesalan keatas hamba-hamba;

penyelesalan itu tidak berguna lagi kerana mereka telah hancur. Mereka akan menyesal apabila mereka melihat azab yang akan dikenakan kepada mereka. Menyesal kerana semasa di dunia dulu mereka tidak mengikut kata Rasul dan pendakwah yang mengajak kepada jalan kebenaran.

Kata حَسْرَةً adalah perasaan sesalan yang sangat besar.

مَا يَأْتِيهِمْ مِنْ رَسُولٍ

Tidaklah datang kepada mereka dari mana-mana Rasul

Kisah ini adalah tentang penduduk kota Antokiah. Tapi tidak disebut nama Kota itu dalam surah Yaasin ini. Ini adalah kerana ianya adalah dalam bentuk umum. Bukan hanya terjadi kepada penduduk kota itu sahaja, tapi di mana-mana. Kejadian di Antokiah itu sebagai satu contoh sahaja. Sebab itu tidak disebut nama kota itu dalam surah ini.

إِلَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ

melainkan mereka terhadap rasul-rasul itu, mereka mengejek-ejek;

Macam sekarang, mereka akan kata: “betul dah kata ustaz itu, tapi…” Atau zaman sekarang, banyak yang akan mengejek pendakwah sunnah dengan gelaran ‘Wahhabi’. Padahal, mereka pun tidak tahu apakah Wahhabi itu. Yang mereka gunakan itu adalah kerana mereka hendak mengejek. Mereka akan mereka-reka ejekan kepada para pendakwah. Antaranya, bila kita kata jangan buat benda bidaah, mereka akan kata: “Kalau tak boleh buat bidaah, suruh mereka jangan naik kereta, sebab Nabi tak naik kereta. Suruh mereka naik unta sahaja.” Itu adalah antara bunyi ejekan-ejekan mereka.

Semua nabi-nabi kena ejek oleh umat-umat mereka. Begitu juga kepada penyebar-penyebar agama. Mereka semua akan diejek. Jadi, penyebar agama hendaklah bersabar. Sedangkan para Rasul dahulu pun kena ejek. Tambahan pula kita.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 31:

أَلَم يَرَوا كَم أَهلَكنا قَبلَهُم مِنَ القُرونِ أَنَّهُم إِلَيهِم لا يَرجِعونَ

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

أَلَمْ يَرَوْا

Tidakkah mereka melihat

كَمْ أَهْلَكْنَا

Entah berapa ramai telah Kami hancurkan

قَبْلَهُم

sebelum daripada mereka;

Lafaz ‘mereka’ disini merujuk kepada Musyrikin Mekah. Semasa ayat ini diturunkan, diingatkan kepada Musyrikin Mekah tentang orang-orang sebelum mereka. Oleh kerana sekarang kitalah yang membaca Quran ini, ‘mereka’ disini merujuk kepada orang-orang di zaman kita. Yang tidak mahu menerima dakwah.

مِّنَ الْقُرُونِ

daripada berbagai bangsa dan negara;

Seperti Kaum Aad dan Tsamud. Mereka tidak ada kesan peninggalan pun dah. Kalau Firaun tu ada juga kesan peninggalan dia yang kita boleh lihat. Yang lain, tidak ada kesan tinggalan mereka. Kerana Allah hancurkan semua sekali. Walaupun peninggalan mereka tiada kesan langsung, tapi perbuatan mereka ditulis dan mereka akan dibawa kehadapan Allah untuk dinilai apakah yang mereka telah lakukan semasa di dunia. Ini akan diterangkan dalam ayat seterusnya nanti.

أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ

Bahawasanya mereka itu tidak akan dikembalikan;

Mereka tidak boleh kembali ke dunia selepas dibinasakan. Tidak boleh nak hidup semula. Ada golongan yang sangka apabila mereka mati, mereka akan dikembalikan ke dunia semula. Maka, ayat ini menidakkan fahaman mereka itu. Yang masuk neraka, akan terus kekal dalam neraka selama-lamanya. Tidak akan keluar-keluar.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 32:

وَإِن كُلٌّ لَمّا جَميعٌ لَدَينا مُحضَرونَ

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

وَإِن كُلٌّ لَّمَّا جَمِيعٌ لَّدَيْنَا

Dan setiap sesuatu tentu akan dikumpulkan di sisi Kami

مُحْضَرُونَ

hadhir;

Iaitu hadhir mengadap Tuhan sendiri-sendiri berseorangan. Dalam keadaan telanjang dalam keadaan melutut mengadap Tuhan. Tapi kita tidak dapat melihat Tuhan waktu itu. Cuma kita tahu Tuhan ada waktu itu. Hanya mereka yang masuk syurga sahaja yang boleh melihat Allah. Oleh itu, dalam kita berdoa, hendaklah kita berdoa semoga kita dapat jumpa Allah di syurga nanti. Mintalah ampun kepada Allah atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Supaya kita dapat masuk syurga. Takkan kita tidak teringin hendak berjumpa dengan Allah yang telah menjadikan kita?

Perkataan مُحْضَرُونَ itu bukan bermaksud mereka hadir dengan sendiri. Tapi mereka ‘akan dibawa hadir’. Kerana kalau mereka hadir sendiri, perkataan yang digunakan adalah: حضرون. Mereka akan dikerah untuk mengadap Allah. Yang jahat akan dikerah seperti binatang, dirantai dan ditarik dengan kasar. Ini ada disebut dalam ayat Az-Zumar:71.

Apabila dibawa ke hadapan Allah, mereka akan disuruh baca sendiri apakah perbuatan mereka dahulu semasa di dunia. Kitab Amalan akan dibentangkan dihadapan mereka dan mereka akan disuruh baca sendiri amalan mereka. Begitulah seperti apa yang telah tertulis dalam 17:14.


Surah 36. Ya Seen, Ayat 33: Orang-orang kafir Musyrikin Mekah tidak dapat menerima bahawa mereka akan dihidupkan kembali. Akal mereka tidak dapat menerima bahawa apabila mereka telah mati dan hancur, mereka akan dihidupkan kembali. Oleh itu, Allah beri perumpaan dalam ayat ini.

Sekarang kita sudah masuk kedalam bahagian kedua surah Yaasin ini. Surah Yaasin terbahagi kepada tiga bahagian: tentang kerasulan, tentang tauhid dan tentang akhirat. Sebelum ini, telah dibentangkan ayat-ayat tentang kerasulan dan perkara yang berkaitan dengannya. Itulah susunan surah ini – Rasul menyampaikan ajaran – ajaran yang disampaikan adalah ajaran tauhid – hasil samada mereka terima atau tidak, akan ditentukan di akhirat nanti.

Cara Quran menerangkan kepada kita tentang tauhid tidak sama dengan cara manusia. Sekarang, manusia suka berfalsafah dengan kewujudan Allah. Begitulah yang terjadi dengan ilmu Sifat 20 itu. Tapi cara Quran lain. Quran menarik perhatian kita kepada alam. Apabila kita lihat kepada alam yang luas ini, kita sepatutnya teringat tentang Allah. Sebagai contoh, apabila kita mendapat hadiah dari seseorang, kita bukan teringat sangat kepada hadiah itu, tapi kita teringat kepada orang yang memberinya. Ataupun kalau kita ada sijil yang kita gantung di dinding pejabat kita. Bukanlah jenis kertas atau warna kertas sijil itu yang penting, tapi makna sijil itu yang penting. Contohnya, makna sijil itu adalah kita telah mendapat kelulusan dari mana-mana universiti. Begitulah jugalah dengan alam ini. Apabila kita melihat alam ini, ianya mengingatkan kita kepada makna alam ini.

Banyak ayat-ayat dalam Quran yang menyuruh kita melihat alam dan makhluk yang diciptaNya. Semuanya sepatutnya mengingatkan kita kepada Allah. Kalau kita tidak teringat kepada Allah, maka sudah tentunya ada masalah dengan diri kita. Sampaikan tertutup fitrah mengenal Allah yang sudah tersedia ada dalam diri setiap kita. Setiap kita telah kenal Allah sebenarnya dari alam roh lagi. Cuma kita sahaja yang lupa. Inilah maksud ayat 7:172.

Oleh itu, ayat-ayat dalam Quran ini bukanlah untuk memberikan maklumat baru kepada kita, tapi ianya cuma untuk mengingatkan kita sahaja kepada apa yang kita telah tahu. Ingatlah dalam Quran ayat 88:21 dimana Allah mengatakan bahawa Nabi Muhammad itu sebagai pemberi peringatan sahaja. Kalau dikatakan beri ‘peringatan’ sahaja, tentulah nak ingatkan kepada perkara yang kita sendiri sudah tahu, bukan?

وَآيَةٌ لَهُمُ الأَرضُ المَيتَةُ أَحيَيناها وَأَخرَجنا مِنها حَبًّا فَمِنهُ يَأكُلونَ

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

وَآيَةٌ لَّهُمُ

Diantara dalil bukti kepada mereka;

Allah hendak beri dalil bahawa Dia boleh menghidupkan manusia semula.

Perkataan آيَةٌ bermaksud tanda. Allah memilih perumpamaan tanah dalam ayat ini. Bukan hanya hendak menceritakan tentang tanah yang mati sahaja, tapi ada lagi yang lebih penting dari itu.

الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ

iaitu bumi yang sudah mati gersang;

Dahulu, bumi ini adalah kering dan gersang.

أَحْيَيْنَاهَا

Kami boleh menghidupkan semula;

Allah hidupkan semula dengan menurunkan hujan. Bukan susah pun Allah hendak menghidupkan balik tanah yang gersang itu. Allah hanya turunkan hujan sahaja, sudah hidup tanah itu.

Ada maksud yang lebih mendalam dalam ayat ini. Tanah yang mati juga boleh membawa maksud hati yang mati. Hati yang tidak ada kefahaman tauhid di dalamnya adalah mati. Allah boleh menghidupkan balik hati yang mati itu dengan memberi fahaman tauhid kepadanya.

وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا

Dan Kami keluarkan dari bumi yang gersang itu berbagai-bagai bijian;

Dan menumbuhkan dengan air hujan itu berbagai jenis tumbuhan yang indah-indah.

Apabila hati yang mati telah dihidupkan dengan kefahaman tauhid, maka barulah ianya ada kebaikan sedikit padanya. Kebaikan itulah yang dimaksudkan dengan bijian itu.

فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ

Daripada bijian itu ada yang mereka makan;

Makanan untuk mereka dan juga ternakan mereka.

Kebaikan yang sedikit yang telah ada itu sudah mula berguna. Seperti juga biji-bijian sudah boleh dimakan oleh dirinya dan orang lain, begitu juga orang-orang yang ada kefahaman tauhid sudah boleh membantu sedikit dirinya dan diri orang lain. Tapi masih tidak banyak lagi, kerana perumpamaan yang digunakan dalam ayat ini adalah ‘bijian’ sahaja.

———————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 34: Sambungan dari ayat sebelum ini. Dari biji benih, ia bercambah menjadi bermacam-macam tanaman.

36:34

Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,

وَجَعَلْنَا فِيهَا

Dan kami jadikan pada bumi itu; tanah yang sebelum itu gersang tapi sudah subur setelah Allah turunkan hujan, apabila sudah subur, ianya boleh menumbuhkan berbagai jenis tanaman.

جَنَّاتٍ

berbagai-bagai jenis kebun

مِّن نَّخِيلٍ وَأَعْنَابٍ

dari tamar dan anggur

Allah beri contoh tamar dan anggur kerana itu adalah tanaman yang biasa dikenali di tanah Arab. Kalau Allah sebut rambutan, tentulah susah nak terangkan tentang rambutan pula kepada mereka.

Kurma – adalah sumber makanan bangsa Arab yang utama.

Anggur – adalah makanan yang mewah.

Maknanya, Allah bukan sahaja menumbuhkan tanaman sebagai sumber tanaman tapi juga makanan yang mewah kepada manusia.

Terdapat peningkatan dari bijian kepada buahan. Apabila seseorang itu terus di dalam jalan tauhid, maka dia akan bertambah baik, imannya akan bertambah dan memberi manfaat kepada orang-orang di sekelilingnya. Kalau sebelum ini, ianya hanya dalam bentuk bijian sahaja, tapi sekarang dalam bentuk buah tamar dan anggur.

وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ

dan kami pancarkan mata-mata air padanya; mata-mata air itu akan bercampur dan menjadi sungai kecil dan sungai-sungai kecil itu akan bercampur menjadi sungai-besar besar. Air sungai itu amat bermanfaat kepada manusia.

Hujan adalah air yang turun dari atas, mataair pula adalah air yang naik dari bawah. Allah beri air dari atas dan bawah. Itulah nikmat Allah yang berikan kepada makhlukNya.

Air juga adalah isyarat kepada ilmu. Kerana Nabi selalu memberi perbandingan ilmu dengan air. Bermakna, orang yang tetap dalam jalan tauhid akan mula mengajar orang lain. Ini adalah satu manfaat yang besar sekali. Kerana mataair adalah air yang melimpah-limpah dari dalam tanah, ianya melimpah kepada orang lain pula. Airlah yang menghidupkan kembali tanah yang mati. Ilmu juga yang dapat menghidupkan kembali masyarakat yang telah mati hatinya.

—————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 35:

36:35

Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

لِيَأْكُلُوا مِن ثَمَرِهِ

Supaya manusia dan binatang semua sekali dapat makan dari berbagai jenis buahnya,

وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ

dan apa sahaja yang mereka usahakan dari tangan mereka; ini merujuk kepada manusia yang menanam pokok. Ada pokok yang kita tanam dan ada pokok yang bukan kita tanam tapi tumbuh sendiri. Macam rumput dan sebagainya. Kita tak kisah pun rumput itu. Tapi rumput itulah yang dimakan oleh lembu dan lembu itu pula kita makan. Semuanya dari air yang satu jenis sahaja Allah beri. Tapi tumbuh berbagai jenis tanaman. Itulah yang hebatnya. Kalau kita cipta minyak, bukan boleh satu jenis minyak dipakai untuk semua jenis kereta. Kena ada minyak untuk enjin, minyak lain untuk brek dan sebagainya. Tapi lihatlah, Allah cipta satu jenis air sahaja, semua tanaman pakai air yang sama. Keluar jadi pokok yang berjenis-jenis. Walaupun dari satu jenis air.

Semua itu tidak akan terjadi tanpa rahmat dari Allah. Semua itu tidak terjadi hanya semata-mata dengan usaha kemampuan dan kekuatan manusia sahaja. Oleh itu, perkataan مَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ itu boleh juga bermakna, ‘yang bukan diusahakan oleh tangan-tangan mereka’. Kerana perkataan مَا itu juga bermakna ‘bukan’. Walaupun kita sangka bahawa kitalah yang menanam pokok-pokok itu, tapi kalau bukan Allah yang membenarkan ianya tumbuh, ianya tidak akan tumbuh.

أَفَلَا يَشْكُرُونَ

Kenapakah mereka tidak bersyukur? Kenapakah mereka tidak bersyukur kepada Allah yang menurunkan hujan dan menjadikan kita boleh hidup?

Kenapa mereka tidak taat kepada agama? Kenapa mereka tidak mensyukuri segala nikmat yang Allah telah berikan? Ucapan ‘Alhamdulillah‘ yang kita ucapkan itu adalah lafaz yang akhir yang kita ucapkan. Awalnya kena taat setelah diberi kita segalanya maka hendaklah beribadah kepadaNya untuk menzahirkan kesyukuran kita, kemudian disempurnakan dengan lafaz alhamdulillah. Bukan hanya cukup dengan mengucapkan Alhamdulillah sahaja. Itu barulah dinamakan bersyukur yang sempurna. Maknanya, bukan hanya sebut Alhamdulillah sahaja.

—————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 36: Oleh sebab Allah lah yang menjadikan segalanya,

36:36

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا

Maha suci Dzat yang menciptakan pasangan-pasangan semua sekali:

Kita telah bincangkan kata dasar سُبْحَانَ iaitu ‘berenang’. Ada kaitan antara kata dasar itu dengan kehidupan kita sekarang. Kalau kita berenang, bukankah kita kena berusaha untuk terus timbul? Kepala kita diatas air, tapi kaki kita terus menendang-nendang air untuk menimbulkan kita. Kalau kita berhenti, kita akan tenggelam dan lemas. Begitulah kita dalam dunia ini. Kena sentiasa berusaha untuk kekal dalam iman. Kerana amat banyak perkara-perkara yang hendak menjatuhkan kita. Syaitan dan nafsu akan sentiasa memujuk kita untuk melupakan Allah. Maka kita hendaklah sentiasa mengingati Allah dengan zikr kepadaNya.

Zikr tidak sepertinya menyebut perkataan-perkataan tertentu. Zikr itu bermaksud: ingat. Banyak perkara boleh mengingatkan kita tentang Allah. Kita hendaklah mencari peluang untuk mengingati Allah dalam segenap kehidupan kita. Kadang-kadang kita malu untuk menyebut perkataan seperti ‘in sha Allah’, ‘alhamdulillah’, ‘ma sha Allah’ dan sebagainya dalam percakapan kita seharian. Tapi itulah perbuatan orang yang beriman dan sentiasa ingat kepada Allah. Zikr sentiasa basah dibibirnya.

مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ

Daripada yang tumbuh dari bumi

وَمِنْ أَنفُسِهِمْ

dan dari diri mereka sendiri; Manusia tidak dicipta melainkan dengan berpasangan. Begitu juga dengan binatang dan pokok-pokok. Walaubagaimana pun, ada juga jenis pokok yang tumbuh dari dia sendiri. Apabila kita potong, dia akan jadi pokok lain. Seperti ubi kayu dan sebagainya. Ini adalah lain dari yang umum. Tuhan nak beritahu bahawa Dia boleh buat juga walaupun jenis yang tidak berpasangan.

وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Dan daripada banyak lagi yang mereka tidak ketahui; banyak yang kita dah tahu, tambahan lagi dengan kemajuan ilmu sains dan keduniaan, tapi banyak lagi yang kita tidak ketahui. Antara yang kita tahu adalah dalam dunia ini, semuanya ada pasangan masing-masing, walaupun sekecil-kecil atom. Tapi ada lagi bermacam-macam makhluk yang kita tidak tahu.

—————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 37: Sebelum ini Allah sebut bahawa Allah telah menjadikan dalam dunia ini berpasangan. Sekarang Allah memberi satu contoh pasangan yang kita boleh lihat setiap hari: pasangan malam dan siang.

36:37

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;

وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيْلُ

Dan diantara dalil kudrat Allah bagi mereka semua adalah malam; Kita disuruh untuk memerhatikan kejadian malam.

نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ

Kami tanggal siang daripadanya; Siang tak bercampur dengan malam.

Perkataan نَسْلَخُ berasal dari kata dasar سْلَخ yang bermaksud ‘mengupas’ seperti mengupas kulit haiwan. Apabila siang, hari adalah cerah. Tapi sedikit demi sedikit, siang itu dikupas sehingga akhirnya keadaan menjadi gelap.

فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ

Tiba-tiba mereka duduk dalam kegelapan; tidak boleh kita nak buat apa. Adakah boleh kita hendak menghalang malam dari terjadi? Semuanya dalam kekuasaan Dia.

Selalu kita dengar dari ahli sains bahawa akan ada kejadian yang akan menghancurkan dunia. Tahi bintang, Tsunami dan sebagainya. Tapi semua itu adalah atas kehendak Dia. Dia lah yang menentukan segalanya. Janganlah kita risau. Dalam batu pun ada ulat, dan dalam batu itu pun ada makanan untuk ulat itu. Apabila Tuhan cipta manusia, Dia lah yang memberi makan. Macam kalau kita tangkap burung dan letak dalam sangkar. Kalau kita tidak beri makan kepada dia, tentulah mati burung itu. Sebab dia sudah duduk dalam sangkar dan tidak boleh cari makanan sendiri. Maka, Allah lah yang mencipta kita, maka Dia juga yang akan selamatkan kita untuk kita dapat hidup dalam dunia ini. Allah lah yang memberi segala keperluan hidup kepada manusia dan binatang-binatang. Kalau kita sudah menjaga burung itu dengan memberi segala keperluan dia, tapi sudah setahun tidak juga berbunyi macam yang kita hendak, tentulah kita akan sembelih, sebab menyusahkan sahaja. Maka, Allah yang telah cipta manusia dan telah beri segala keperluan manusia itu, tapi jika kita tidak menyembah Dia, tentulah layak untuk Dia sembelih kita. Iaitu Dia akan masukkan kita ke dalam neraka.

————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 38: Ini pula adalah contoh pasangan kedua: Matahari dan Bulan.

36:38

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا

Dan lihatlah bagaimana matahari bergerak pada tempat yang telah ditetapkan untuknya;

Perkataan مُسْتَقَرٍّ bermaksud sesuatu yang telah ditetapkan tempatnya. Kalau ia bergerak, ianya akan diletakkan balik ke tempat yang sepatutnya. Begitulah matahari, telah ada tempat yang Allah telah tetapkan baginya.

Matahari setiap hari pergi sujud kepada Allah dan tanya samada dia terus naik dari timur lagikah. Allah akan suruh naik dari timur sampai satu masa Allah akan suruh matahari naik dari barat. Sebab dalam hadis ada disebut bahawa matahari akan terbit dari barat dan kemudian turun balik ke tempat asal dan naik balik dari timur macam biasa. Seratus tahun dari kejadian itu akan terjadinya kiamat.

Imam Bukhari meriwayatkan hadis dari Nabi dari Abu Dzar: Aku bersama Nabi di dalam masjid ketika terbenamnya matahari. Lalu Rasulullah bersabda: “Wahai Abu Dzar, apakah engkau tahu di mana matahari itu terbit?” Aku menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah bersabda: “Dia itu pergi, hingga sujud di bawah Arash. Itulah firman Allah – Dan matahari berjalan di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” Yaasin:38.

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah lama dah beritahu tentang alam ini kepada manusia. Ayat ini jelas mengatakan bahawa matahari pun bergerak juga atas orbitnya. Tapi ingati tak bahawa ahli sains zaman dahulu kata matahari tak bergerak. Tapi apabila kajian semakin maju, barulah tahu bahawa memang matahari pun ada bergerak dalam orbit dia. Allah dah beritahu lama dah.

ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

demikianlah satu penentuan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Gagah Perkasa dan Maha Mengetahui selok belok makhlukNya.

Matahari yang besar itu pun mengikut arahan Tuhan, bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini?

الْعَزِيزِ – Yang Maha Gagah Perkasa. Dia yang mengusai. Tidak ada yang dapat bergerak tanpa izinNya.

الْعَلِيمِ – Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Jikalau ada bergerak dari tempatnya, Dia akan tahu.

—————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 39:

36:39

Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ

Dan bulan, Kami telah tetapkan baginya,

مَنَازِلَ

beberapa peringkat; 28 hari untuk menyempurnakan sebulan. Minima hari dalam sebulan dalam bulan Qamariah adalah 28 hari. Samada 28 atau 29 hari.

حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ

Sehingga kembali menjadi seperti tandan tua yang melengkung; bila sampai hujung bulan, bulan itu akan melengkung. Kemudian akan menjadi penuh semula dan akan kembali menjadi melengkung. Begitulah kitaran hidupnya.

Isyarat kepada manusia bahawa kita akan melalui proses yang sama. Mula-mula kita kecil dan membesar sampai dewasa. Apabila kita tua, badan kita akan membongkok seperti tandan tua itu juga. Maka beringatlah untuk menggunakan masa yang telah diberikan kepada kita dengan baik. Jangan kita sisakan masa kita semasa di dunia ini dengan berbuat maksiat.

——————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 40:

36:40

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak patut baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ

Tidak patut matahari itu mengejar bulan; Bulan dan matahari tidak akan dapat duduk di tempat yang sama. Matahari tidak boleh melepasi bulan. Tidak boleh mengejar sampai memotong bulan. Matahari ada masanya dan bulan ada masanya. Tidak boleh mendahului antara satu sama lain. Walaupun matahari dari segi saiznya, ia lebih besar dari bulan; tapi masih tidak dapat mendahului bulan.

Lihatlah bagaimana matahari yang besar pun mengikut perintah dan hukum Allah. Tapi bagaimana pula dengan kita yang kerdil ini? Bagaimana kita berani hendak menolak hukum Allah yang Dia telah tetapkan untuk kita?

وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ

Dan tidak boleh malam itu boleh mendahului siang hari.

Siang dan malam ada turutannya masing-masing. Tidak boleh salah satu mendahului yang lain.

Itulah susunan yang Allah telah buat. Tapi Allah boleh sahaja menjadikan malam berterusan tanpa siang seperti Allah telah sebut dalam 28:71. Atau siang berterusan tanpa malam. Ini Allah telah sebut dalam 28:72.

وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ

Setiap sesuatu pada tempatnya sujud kepada Allah.

Perkataan فَلَكٍ itu boleh ditafsirkan sebagai orbit. Iaitu bulan dan matahari berada dalam orbitnya sendiri. Apa yang mereka buat dalam orbit itu?

Kata يَسْبَحُونَ bermakna ‘mereka berenang’ dari segi bahasa. Bermakna mereka sentiasa bergerak dalam orbit mereka. Seperti juga kalau orang yang berenang, mereka kena sentiasa bergerak. Kalau tidak, mereka akan tenggelam. Pergerakan mereka itu adalah atas arahan Allah – mereka menurut arahan Allah – bermakna mereka ‘sujud’ kepada arahan Allah.

Semua ini adalah ketentuan Allah. Allah boleh buat apa sahaja. Dia boleh kalau hendak mengubah perjalanan matahari dan bulan itu. Tapi Allah tidak akan mengubahnya, kerana Allah telah sebut dalam 48:23 bahawa Allah tidak akan mengubah ‘sunnatullah’. Iaitu perjalanan alam ini. Kalau matahari keluar waktu siang, bulan akan keluar waktu malam dan sebagainya.

Allah telah beri beberapa contoh pasangan: malam/siang – matahari/bulan. Maka, pasangan bagi kehidupan di dunia ini adalah kehidupan di akhirat. Manakah yang lebih penting? Tentunya kehidupan di akhirat kelak – 87:17. Maka, kita kenalah jadikan kehidupan di dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam untuk kita menuainya di akhirat kelak. Ingatlah bahawa sebagaimana kitaran tandan tamar dan juga bulan, kehidupan kita pun ada kitarannya. Akan datang masa apabila kita akan jadi tua dan tidak dapat hendak beribadat banyak dah. Dan akhirnya kita akan mati. Maka, ambillah peluang semasa kita hidup dan semasa kita masih berupaya untuk beribadat lagi, untuk menanam sebanyak mungkin amal-amal yang soleh.

—————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 41:

36:41

Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;

وَآيَةٌ لَهُمْ

Dan diantara dalil lagi bagi manusia

أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ

adalah Kami angkat zuriat-zuriat mereka dalam kapal (Nabi Nuh) yang penuh sarat.

Sebelum ini, Allah sudah suruh kita melihat kepada bumi. Dengan tanaman dan binatang yang melata. Kemudian Allah suruh kita melihat kepada langit pula – matahari dan bulan. Sekarang Allah suruh kita lihat kepada lautan pula. Allah telah memberi kita kemudahan untuk bermusafir di alam ini. Musafir yang paling susah adalah di lautan. Walaupun susah, tapi Allah telah beri nikmat kepada kita untuk bermusafir menggunakan pengangkutan lautan. Allah memberi contoh pengangkutan laut, kerana ianya adalah jenis pengangkutan yang sukar.

Pendapat yang kuat mengatakan bahawa الْفُلْكِ (kapal) yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bahtera Nabi Nuh. Kerana dalam 26:119 telah digunakan perkataan yang sama – الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ – di dalam menceritakan tentang bahtera Nabi Nuh. Tapi dalam masa yang sama, ianya juga boleh juga digunakan untuk menceritakan tentang pengangkutan laut yang digunakan sekarang pun. Tidak semestinya hanya merujuk kepada bahtera Nabi Nuh sahaja.

Binatang yang dibawa di dalam kapal Nabi Nuh itu berpasang-pasangan termasuk juga pokok-pokok. Lebar kapal itu dikatakan sepanjang 300 kaki. Kapal itu dibuat mengikut perintah Allah. Tuhan ajar Nabi Nuh melalui Jibrail yang mengajar kepada Nabi Nuh bagaimana cara membuat kapal itu. Atau Nabi Nuh suruh orang lain buat kapal itu berdasarkan apa yang telah disampaikan oleh Jibrail. Hanya mereka yang ada dalam kapal itu sahaja yang selamat. Kalaulah manusia dalam kapal itu tenggelam masa itu, kita ni takkan ada. Kita ini adalah keturunan kedua Islam. Keturunan pertama adalah dari Adam, kemudian mereka telah mula kafir. Mereka telah melakukan syirik dengan memuja guru-guru agama mereka. Kaum Nabi Nuh telah puja lima guru sebagai wakil Tuhan. Bermakna, mereka juga telah buat amalan tawassul. Ditenggelamkan mereka semua sekali.

Untuk bayangkan kejadian itu, bayangkan gunung yang paling tinggi, bahagian bawah kapal tak kena gunung itu apabila belayar diatasnya. Apabila Tuhan kata “wahai langit, berhenti!”, barulah air hujan berhenti turun dan air mataair berhenti naik dari bumi. Berapa banyak air yang berada di langit sekarang ini? Bayangkan, bila hujan beberapa jam sahaja, dah berlaku banjir kilat. Boleh tenggelam KL kalau hujan berterusan. Sebenarnya air banyak lagi ada di awan. Dan banyak lagi yang berada dalam bumi. Dan kemudian Allah berkata “Wahai bumi, telan air kamu”. Maka surutlah air. Kapal Nabi Nuh mendarat atas Bukit Judi di Turki. Dalam surah Hud diceritakan perkara ini. Turun dari kapal itu seramai 83 orang Islam. Bukan ramai pun.

Selalunya umat akan melakukan bidaah dahulu sebelum mereka menjadi kafir. Mula-mula mereka akan bidaah dahulu, kemudian lama-lama mereka akan sembah berhala. Banjir itu berkalu kerana Nabi Nuh telah berdoa kepada Allah supaya membantunya. Sudah 950 tahun dia tabligh (menyampaikan dakwah) kepada kaumnya tapi mereka ingkar. Lama sangat dah dia bertabligh. Semua bahasa dia dah tahu. Dalam dia berdakwah itu, tak pernah dia minta upah sikit pun. “Upahku hanya dari Allah” katanya. Maka kalau kita tak ajar Islam yang sebenar dari sekarang, anak cucu kita akan jadi kafir balik seperti juga umat Nabi Nuh itu. Antaranya, supaya ajar mereka jangan buat amalan bidaah. Banyak dah ahli bidaah sekarang. Kalaulah kita dibangkitkan kembali setelah kita meninggal nanti, anak cucu tak tahu akan jadi apa. Kita minta jauh dari ini terjadi. Kerana itulah, kita kena menentang amalan bidaah dari dilakukan dari amalan yang kecil lagi. Kerana kalau tidak ditentang semasa ianya masih kecil, ianya akan menjadi besar dan lama-lama akan jadi amalan syirik. Kadang-kadang kita ingat amalan itu tidak ada masalah sangat, tapi ketahuilah, daripada ianya kecil, ianya akan jadi besar. Apabila dah jadi amalan masyarakat, dah jadi besar, sudah susah nak lawan lagi dah.

Yang jadi masalah, amalan-amalan bidaah ini dibawa dan diajar oleh guru-guru agama dan ustaz-ustaz juga yang tidak mengamalkan sunnah. Masyarakat sangka, kalau sesuatu amalan itu diajar oleh mereka, tentulah amalan itu betul. Tapi tidak sebenarnya.

———————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 42:

36:42

Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.

وَخَلَقْنَا لَهُمْ

Dan Kami ciptakan bagi mereka,

مِنْ مِثْلِهِ

kenderaan seperti kapal itu juga

Kalau ayat 41 tadi berkenaan kapal Nabi Nuh, jadi ayat ini bermaksud kenderaan pengangkutan laut seperti sampan, bot, feri dan sebagainya.

Kalau ianya merujuk kepada pengangkutan apa sahaja, jadi ia boleh jadi kereta, bas, keretapi dan sebagainya. Semua sekali boleh pakai.

مَا يَرْكَبُونَ

yang mereka boleh menungganginya; Allah mencipta binatang seperti kapal, iaitu unta. Dan juga kenderaan zaman moden seperti kereta, bas dan lain-lain. Lihatlah bagaimana Allah telah memudahkan kita untuk bermusafir di muka bumi ini. Maka, oleh itu, hendaklah kita mengucapkan syukur kepada Allah. Allah telah ajar kita bagaimana untuk berdoa apabila kita naik kenderaan. Ini ada dalam ayat 43:13 dan 43:14.

—————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 43:

36:43

Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, –

وَإِنْ نَشَأْ نُغْرِقْهُمْ

Sekiranya Kami kehendaki, Kami boleh tenggelamkan mereka;

Kalau Allah mahu, Allah boleh tenggelamkan mereka. Banyak sangat kejadian begini terjadi dalam sejarah. Yang paling terkenal adalah kapal Titanic. Mereka kata kapal itu tidak akan tenggelam. Sampaikan Tuhan pun tidak boleh tenggelamkan kapal itu. Maka, Allah telah tunjukkan bagaimana ianya tenggelam juga akhirnya. Tak sempat nak habiskan perjalanan pertamanya pun.

Begitu juga dengan kenderaan lain, seperti kereta, bas dan sebagainya. Berapa banyak yang telah kemalangan? Tidak terkira banyaknya. Itu semua adalah atas kehendak Allah belaka. Kita tidak ada kuasa.

فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ

Maka tiada siapa boleh beri pertolongan.

Perkataan صَرِيخَ asalnya bermaksud ‘menjerit meminta pertolongan’. Kemudian, ianya menjadi makna ‘yang mendengar jeritan meminta pertolongan’. Maknanya, tidak ada yang mendengar pun mereka menjerit meminta pertolongan kalau Allah dah takdirkan mereka akan ditenggelamkan. Apabila tidak ada orang yang mendengar, maknanya, tidak ada yang akan datang menolong mereka.

وَلَا هُمْ يُنْقَذُونَ

Dan mereka tidak dapat diselamatkan.

Perkataan نْقَذُ bermaksud seseorang yang menyelamatkan seseorang yang hampir kemalangan. Contohnya, orang itu hampir nak jatuh gaung, jadi kita pun berusaha untuk menyelamatkan dia dari jatuh ke dalam gaung. Maksud ayat ini, tidak ada yang akan datang menolong mereka yang Allah telah takdirkan akan menemui kemalangan.

—————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 44:

36:44

Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

إِلَّا رَحْمَةً مِنَّا

Melainkan semua itu adalah rahmat daripada Kami; iaitu diselamatkan baka manusia yang berada dalam kapal itu. Yang turun dari kapal itu semuanya Islam. Tapi, lama kelamaan, keturunan itu pun sebahagiannya jadi sesat juga. Dari merekalah keturunan kita sekarang. Ada antara kita yang mukmin, dan ada antara kita yang sesat.

Begitu juga, kemudahan menggunakan pengangkutan tanpa kemalangan adalah atas rahmat Allah jua. Oleh itu, apabila kita telah menggunakan kenderaan dan kita telah selamat dalam musafir dan perjalanan kita, maka bersyukurlah kepada Allah atas rahmatNya. Kerana, ingatlah berapa banyak manusia yang menggunakan kenderaan tapi Allah tidak selamatkan mereka.

Allah menggunakan perkataan رَحْمَةً مِنَّا (rahmat dari Kami) dalam bentuk yang biasa sahaja. Kerana ini adalah rahmat biasa yang Allah berikan kepada semua makhlukNya. Tapi apabila Allah memberikan rahmat yang khas, Allah akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا (rahmat dari ‘sisi’ Kami), contohnya seperti yang Allah telah berikan kepada Nabi Khidr dalam ayat 18:65. Oleh itu, apabila Allah menceritakan rahmat yang khas yang diberikan kepada para Nabi atau orang-orang yang mulia dan baik-baik, Allah akan menggunakan perkataan رحمة من عندنا.

وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ

Dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Maknanya keselamatan itu datangnya dari Allah. Tapi kita ada juga minta doa dari Nabi. Sepatutnya kita berdoa minta tolong kepada Allah, tapi entah macam mana, setelah diajar oleh guru yang sesat, ada antara umat Islam yang minta tolong kepada Nabi Muhammad pula. Kalau golongan Syiah yang sesat, mereka minta tolong kepada Saidina Hussein. Kalau kita buat begitu, kita akan jadi kafir. Memang dalam banyak keadaan manusia akan berdoa kepada Allah, tapi ada juga mereka yang berdoa kepada Nabi. Contohnya, orang bersilat akan menyeru nama Nabi sekian-sekian untuk memberi keselamatan kepada mereka. Mereka akan kata itu adalah ajaran dari tok nenek kita. Itu semua adalah hasil dari ajaran syaitan yang hendak menyesatkan kita. Mereka telah ajar kepada manusia yang tidak berilmu bahawa Nabi-nabi itu akan menyampaikan doa itu kepada Allah. Padahal, sepatutnya kita terus minta kepada Allah sahaja, tidak perlu melalui perantaraan.

Ingatlah bahawa niat yang murni bukan dalil untuk menghalalkan sesuatu perkara. Kalau nak dikirakan niat murni tu, Kristian pun niat murni juga. Tapi kita kena sertai amalan yang kita buat dengan dalil dari Quran dan sunnah.

Ingatlah bahawa kita semua akan kembali kepada Allah. Jangan kita terlalu suka menggunakan segala kemudahan yang Allah telah berikan kepada kita dalam dunia ini, tapi kita lupa bahawa akhirnya kita akan kembali bertemuNya. Dan kita akan disoal tentang perbuatan kita di dunia ini.

Ingatlah bahawa kita dibenarkan menggunakan kemudahan yang Allah telah berikan kepada kita, tapi hanya untuk masa yang singkat sahaja. Tidak lama kehidupan dan kemudahan kita di dunia ini. Kita sahaja yang ingat ianya lama, tapi hakikatnya, ia tidak lama. Kita tidak tahu bilakah masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini. Oleh itu, gunalah masa yang ada ini untuk melakukan kebaikan. Jangan kita sia-siakan masa yang ada ini dengan buat benda-benda yang maksiat dan perkara yang membuang masa sahaja.

—————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 45: Setelah diberikan contoh-contoh dalam alam ini sebagai menunjukkan kepada tauhid kepada Allah, maka manusia disuruh untuk memikirkan tentangnya.

36:45

Dan apabila dikatakan kepada mereka: ” berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu, dan apa yang ada di belakang kamu, supaya kamu beroleh rahmat”, (mereka tidak mengindahkannya).

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘mereka’ disini adalah orang munafik atau orang musyrikin.

‘Apabila dikatakan kepada mereka’ – ini adalah ayat dalam bentuk pasif. Bentuk aktif adalah begini – Apabila A berkata kepada B. Allah gunakan ayat ini dalam bentuk pasif kerana Allah hendak menekankan tujuan ayat ini adalah untuk memperkatakan tentang mereka, bukan tentang siapakah yang berkata itu.

Juga ayat ini tidak menyatakan siapakah yang mengatakan kepada mereka, kerana banyak yang telah ‘berkata-kata’ kepada mereka – Allah, Nabi, alam ini, Kitab-kitab, orang-orang mukmin dan lain-lain. Mereka diberitahu dalam berbagai-bagai cara, dalam berbagai-bagai keadaan.

اتَّقُوا مَا بَيْنَ أَيْدِيكُمْ

berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di depan kamu;

Perkataan اتَّقُوا (bertaqwalah kamu) bukan hanya bermaksud ‘takut’ seperti yang selalu diterjemahkan. Maksud ‘taqwa’ adalah luas. Antaranya ianya bermaksud berjaga-jaga, dan berhati-hati. Bertaqwa tentang apa?

Ada banyak penafsiran tentang ayat ini:

1. Yang dimaksudkan dengan di hadapan kita adalah perbuatan kita dan kesannya.

2. Di hadapan adalah akhirat. Kerana ianya ada di hadapan kita dan kita akan bertemu dengannya. Maka kenalah bersedia untuk melaluinya.

3. Di hadapan kita adalah zaman kita sekarang ini.

4. Yang di hadapan adalah surah-surah selepas surah Yaasin ini. Iaitu surah Sad dan Saffat. Ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

وَمَا خَلْفَكُمْ

dan belakang kamu;

Begitu juga seperti maksud di hadapan kita, perkataan ‘di belakang’ kita pun ada banyak makna:

1. Kalau di hadapan kita akan perbuatan kita sekarang, dan kesannya, ‘di belakang’ pula bermaksud: perbuatan-perbuatan kita yang telah lalu.

2. Kalau di hadapan adalah akhirat, di belakang adalah tentang dunia dan kesan perbuatan kita di dunia ini. Segala perbuatan kita di dunia ini akan ada kesannya.

3. Kalau di hadapan adalah bermaksud zaman kita sekarang, maka di belakang bermaksud kaum-kaum yang terdahulu. Kita kena mengambil pengajaran dari apakah yang telah terjadi kepada mereka. Surah Yaasin ini awalnya dibaca kepada Musyrikin Mekah. Mereka kenal tentang kaum-kaum terdahulu dari mereka seperti kaum Aad dan Tsamud. Dan kita yang berada pada zaman ini pun, telah diberitahu dengan kisah-kisah mereka.

4. Yang di belakang adalah surah-surah sebelum surah Yaasin ini. Iaitu surah Fatir dan Saba’. Ada kesinambungan antara surah-surah itu dengan surah Yaasin ini.

Ayat-ayat Quran mempunyai beberapa lapis makna. Jadi tafsir-tafsir diatas semuanya boleh dipakai. Itulah kehebatan Quran. Tidak akan habis kalau kita mentadabbur ayat-ayat Quran ini.

لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

mudah-mudahan kamu akan mendapat rahmat; Bila Tuhan kata ‘mudah-mudahan’, maka pasti kamu akan dapat rahmat kalau kamu buat seperti apa yang disuruh.

Kita semua mengharapkan rahmat dari Allah. Ingatlah bahawa kita tidak akan dapat masuk syurga dengan amalan kita. Tapi kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat dari Allah. Jadi, kita memang mengharapkan sangat rahmat dari Allah.

————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 46:

36:46

Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

وَمَا تَأْتِيهِمْ

Tidaklah datang kepada mereka;

مِنْ آيَةٍ مِنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ

dari ayat-ayat dari ayat-ayat Tuhan mereka;

Perkataan آيَةٍ bukan sahaja bermakna ayat-ayat Quran, tapi ia juga bermaksud ‘tanda’. Allah telah memberikan banyak tanda-tanda dalam alam ini tentang kewujudanNya. Begitu juga Allah telah memberikan kepada kita berbagai-bagai perumpamaan dalam ayat-ayat Quran. Berkali-kali. Dalam berbagai-bagai cara.

إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

melainkan mereka berpaling daripadanya; ‘berpaling’ itu bermaksud mereka menolak, tidak mahu terima. Bila tidak mahu terima, bermakna mereka kufur dengan ayat-ayat itu. Dan apabila kufur dengan ayat-ayat Allah, bermakna mereka kufur dengan Allah. Ini adalah perkara yang besar. Padahal, mereka tahu bahawa Quran itu diturunkan oleh Allah untuk kita. Mereka tahu bahawa Quran itu adalah panduan hidup untuk kita di duni ini. Tapi, apabila diajak untuk belajar tafsir Quran, mereka tidak mahu nak ikut. Paling teruk adalah mereka yang apabila dibacakan dalil-dalil dari ayat-ayat Quran, mereka tidak mahu terima. Mereka tidak mahu terima itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir. Oleh kerana tidak belajar, mereka tidak faham Quran. Apabila kita membacakan dalil kepada mereka, mereka kata kita pandai tafsir sendiri. Padahal, mereka sendiri yang tidak belajar.

Ada yang dah faham dah pun kepentingan belajar tafsir tapi masih tak mahu belajar juga. Kerana mereka kata keadaan tidak mengizinkan. Ini dipanggil dugaan dalam bentuk keadaan atau dipanggil ‘takwiniah‘. Apabila diuji dengan keadaan, maka mereka kalah dengan keadaan itu. Seperti sibuk dengan kerja, dengan keluarga dan sebagainya. Dalam keadaan apa pun, kita kena buat ibadah. Tapi banyak antara kita kalah. Contohnya berapa banyak orang kalau sakit, tak solat dah. Mereka macam dah dapat lesen untuk tak buat ibadah. Yang datang melawat pun macam dah terima yang orang sakit itu tak payah solat. Padahal, solat tidak boleh ditinggalkan dalam keadaan apa pun. Mungkin salah satu sebabnya adalah mereka tidak tahu yang mereka boleh menggunakan tayammum apabila mereka sakit. Tapi yang diajar kepada mereka adalah cara-cara mengambil tayammum yang salah. Mereka diajar kena tayammum dan kena ambil wudu sekali. Padahal, kalau orang sihat pun disuruh ambil wudu sahaja, tapi kenapa pula kalau orang yang sakit, yang lebih memerlukan kemudahan dalam beragama, disuruh buat dua-dua? Ini adalah kerana mereka tidak belajar bahagian fekah yang memudahkan manusia.

——————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 47: Ayat-ayat selepas ini, ada cerita pasal rezeki sedikit dan seterusnya tentang kiamat.

36:47

Dan apabila dikatakan kepada mereka:” Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu”, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): ” Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ

Dan bila dikatakan kepada mereka (iaitu orang-orang munafik); salah satu sifat orang-orang Munafik itu adalah mereka amat susah untuk sedekah kepada agama. Kalau nak tahu kita ini orang munafik atau tidak, apabila datang orang meminta sedekah kepada kita, dan kita payah nak bagi sedekah, bermaksud ada ciri-ciri munafik dalam diri kita. Bangsa Melayu ini berat sedikit nak beri sedekah kalau dibandingkan dengan orang Arab. Kalau kita lihat orang Arab, mereka beri sedekah macam mereka tak takut mereka akan jatuh miskin.

أَنْفِقُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ

infaklah daripada rezki yang Allah beri kepada kamu; Allah lah yang sebenarnya beri rezeki kepada kamu. Asalnya kamu tidak ada rezeki. Tapi Allah telah berikan rezeki yang banyak kepada kita. Tapi, ramai yang berat tangan untuk bersedekah atau infak kepada orang lain. Padahal, yang Allah suruh beri itu pun dari rezeki yang Dia beri. Bukan kita yang dapat sendiri rezeki itu. Kalau Allah tak beri rezeki kepada kita, ita pun tidak ada apa-apa.

Apabila telah ada iman dalam diri kita, secara otomatik kita akan senang untuk berbuat amal kebaikan. Iman bukan hanya dalam perkara ibadah sahaja, solat, puasa, haji dan sebagainya. Tapi iman juga menyuruh kita untuk berbuat kebaikan untuk manusia lain. Islam tidak memisahkan amal ibadat untuk diri kita dan juga menolong orang lain juga. Konsep kebajikan dalam Islam diterangkan dengan jelas dalam ayat 2:177.

Ini adalah kata-kata nasihat yang diberikan kepada mereka. Tapi bagaimana pula balasan mereka?

قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا

berkata orang-orang kafir munafik itu; mereka dipanggil kafir kerana walaupun mereka mengucap syahadah depan Nabi, tapi sebenarnya hati mereka dalam kekafiran. Mereka nanti akan masuk neraka kekal di dalamnya.

لِلَّذِينَ آمَنُوا

kepada orang-orang yang beriman,

أَنُطْعِمُ مَنْ لَوْ يَشَاءُ اللَّهُ أَطْعَمَهُ

patutkah kami beri makan kepada orang yang kalau Allah ingin, Allah sendirilah yang beri makan kepadanya?; Mereka kata mereka pun dapat rezeki dari Allah juga, patutnya Allah juga yang beri rezeki kepada orang itu. Jadi mereka akan kata kepada orang yang meminta itu untuk minta sendiri kepada Tuhan, bukan kepada mereka. Jadi ayat ini bukan hanya ditujukan kepada orang dulu sahaja, tapi kepada orang zaman sekarang sekali.

Lihatlah hujjah mereka. Mereka menggunakan logik akal. Mereka kata, kalau Allah telah memberi rezeki kepada mereka, tentulah Allah pun boleh juga untuk memberi rezeki kepada orang yang susah itu? Begitulah tanda orang-orang munafik. Mereka akan memberikan hujah akal untuk menolak dari melakukan kebaikan. Mereka otak mereka pandai, tapi iman mereka kurang. Kita akan berjumpa dengan ramai orang yang macam ini. Mereka pandai berhujah sahaja, tapi hujah mereka itu adalah hujah-hujah akal yang mengikut hawa nafsu mereka sahaja. Kepada orang-orang sebegini, kita berikan hujah-hujah Quran kepada mereka. Kalau mereka tidak mahu terima, ingatkan mereka telah bala yang mereka akan terima seperti apa yang telah disebut dalam surah ini. Kalau mereka tidak mahu terima, bermakna Allah masih tidak memberi hidayah kepada mereka. Memang dari zaman dahulu sampai sekarang, akan ada manusia yang bersifat sebegini.

Jikalau kita tidak dapat beri sumbangan kepada peminta sedekah, hendaklah kita minta maaf kepada mereka, jangan hina dan halau dia. Walaupun mungkin kita tahu dia jenis orang yang ambil kesempatan. Kita dilarang untuk berkata hina kepada orang yang meminta. Kena jaga mulut kita. Memanglah orang-orang yang meminta sedekah itu memang ada masalah pada diri mereka sendiri. Dalam hadis dikatakan bahawa di Mahsyar nanti, akan luruh muka mereka kerana mereka semasa di dunia meminta sedekah. Kita kena kata kepada mereka dengan lembut. Mungkin ada penyakit putus asa pada diri mereka. Ataupun mereka itu mungkin kaki judi dan sebagainya. Tak payah kita nak buka rahsia mereka. Tak payah kita nak cari apa salah mereka. Itu bukan tugas kita. Kita sebagai orang yang dah belajar, janganlah kita buat macam tu.

Allahlah yang menentukan rezeki kepada kita. Ada yang hanya usaha sedikit, tapi dikurniakan rezeki yang banyak. Ada yang susah bekerja, berhempas pulas setiap hari, tapi sikit sahaja mereka dapat. Itu semua adalah anugerah dari Tuhan. Ikut kepada Allah nak beri berapa banyak kepada seseorang itu. Kita tidak boleh nak persoalkan. Memang sudah begitu lumrahnya. Tidak boleh kita nak hina orang yang miskin, tidak boleh kita nak berbangga kalau kita orang yang berharta. Ada yang memang Allah beri rezeki yang sedikit kepada mereka. Mungkin ada sebab kenapa Allah buat macam tu. Mungkin kita orang yang tidak berharta kerana Allah tahu jikalau diberikan harta yang banyak kepada kita, kita akan menjadi orang yang tidak baik. Maka bersyukurlah dengan apa sahaja yang kita ada.

Bukan banyak pun yang Allah suruh kita infakkan. Kalau kita lihat zakat harta atau zakat perniagaan, kita hanya disuruh memberi 2.5% dari harta atau hasil perniagaan kita sahaja.

إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya kamu tidak lain dan tidak bukan, termasuk orang yang sesat yang nyata;

Siapakah yang berkata dalam ayat ini? Ada dua penafsiran. Samada yang berkata itu adalah orang-orang munafik itu sebagai menguatkan hujah mereka, atau ianya adalah jawapan Allah kepada orang-orang yang bersifat munafik seperti mereka itu:

Tafsiran 1. Ayat ini dulu dikatakan oleh orang Munafik kepada Nabi Muhammad dan pengikutnya. Sekarang kata-kata ini dikatakan kepada orang-orang yang mengikut sunnah. Antara yang mereka katakan sekarang kepada orang yang bawa Sunnah ini adalah panggilan ‘Wahhabi’. Padahal ini adalah gelaran rekaan sahaja. Wahhabi ini, pengikut tidak diketahui, ketua pun tidak diketahui. Hanya gelaran rekaan sahaja yang digunakan untuk mengejek golongan yang hendak ikut sunnah sahaja. Kita kena lihat siapakah yang mula-mula menggunakan istilah ini.

Hendaklah kita infakkan harta kepada orang yang memerlukan. Berilah infak kepada masjid, fakir miskin, anak yatim, pelajar agama dan orang yang mengajar agama. Pahala yang paling besar adalah kepada mereka yang mengajar dan menyebar agama kerana tanpa mereka, tidak ada orang akan datang ke masjid, tidak ada pelajar agama dan merekalah yang menganjurkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim.

Tafsiran 2: Mereka yang bersifat seperti yang disebut dalam ayat ini adalah orang yang dalam kesesatan yang nyata. Allah menggunakan perkataan فِي untuk menunjukkan bahawa mereka bergelumang di dalam kesesatan mereka itu. Bukan hanya dalam perkara ini sahaja mereka tapi dalam perkara lain pun mereka sesat juga.

————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 48: Disambung lagi menceritakan mereka yang munafik atau kufur ini. Apakah lagi yang mereka kata?

36:48

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”,

وَيَقُولُونَ

Mereka pun berkata; yang berkata itu adalah orang-orang Munafik itu atau orang kafir. Ini akan berlaku apabila mereka bertambah kufur. Mereka berkata dengan sombongnya.

Perkataan يَقُولُونَ adalah dalam present tense, bermaksud ianya telah berlaku dan sedang berlaku. Memang ada orang yang bercakap macam ini lagi pun sekarang.

مَتَىٰ هَٰذَا الْوَعْدُ

bilakah akan berlaku janji ini?; Apakah janji yang dimaksudkan itu? Ianya adalah janji bahawa orang yang tidak infak harta akan masuk neraka. Atau janji bahawa mereka yang engkar dengan agama itu akan kena azab. Atau mereka yang menyembah berhala itu akan masuk neraka. Mereka mengejek dengan mengatakan tidak ada pun bala datang kepada mereka yang menyembah berhala itu atau semasa mereka berbuat perkara syirik itu.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Jika benar kamu orang-orang yang benar? Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu yang mengatakan orang yang tidak sedekah akan masuk neraka, orang yang engkar akan masuk neraka, mana dia azab itu? – itulah kata-kata nista mereka. 

Mereka berkata: “Kami dah lama engkar dah ni, tapi tak datang pun azab.” Seperti apa yang dilakukan oleh orang Musyrikin Mekah, dimana mereka tawaf Kaabah dalam keadaan telanjang tapi tak jadi apa-apa. Jadi mereka sangka, benarlah apa yang mereka lakukan itu. Kalau tidak, takkan Allah biarkan tanpa lakukan apa-apa kepada mereka. Mereka letak berhala di kawasan Kaabah, pun tak jadi apa-apa pun. Maka apabila tidak kena apa-apa balasan, mereka sangka Tuhan membenarkan apa yang mereka lakukan itu.

Dan di zaman sekarang ni, orang Islam menggunakan dalil yang sama. Semua guru buat, takkan semua nak masuk neraka, kata mereka. Sampai ada yang berkata, orang Hindu boleh berjalan atas api, takkan mereka salah. Mereka yang akidah dah sesat akan jadi orang yang bodoh habis.

Mereka mencabar Nabi untuk menurunkan bala kepada mereka. Inilah perangai kaum Musyrikin. Jadi kalau ada yang berani mencabar penyebar agama untuk menurunkan bala, bermakna mereka itu sama macam Musyrikin.

Ayat macam ini selalu ditanya oleh orang-orang Kafir seperti yang disebut dalam Quran. Kaum yang engkar seperti Kaum Aad dan Tsamud juga bertanya sebegitu juga. Maka, kenapakah orang yang engkar dan berbuat zalim di dunia tidak dikenakan hukuman semasa di dunia? Jawapan itu ada dalam ayat yang lain. Kita semua ini dalam ujian semasa di dunia ini. Dalam tempoh ujian ini, kita boleh berbuat apa sahaja, tapi Allah tidak akan terus beri azab kepada kita semasa di dunia ini. Ini adalah kerana janji Allah untuk melewat-lewatkan azab. Selagi dalam ujian, mereka boleh berbuat apa sahaja mereka hendak. Seperti kita juga semasa dalam ujian di sekolah. Hanya apabila sudah selesai peperiksaan barulah dikenakan hukuman sebab gagal dalam peperiksaan.

Tapi ada pengecualian yang Allah berikan kepada umat-umat yang dahulu seperti Kaum Nabi Musa, Saleh, Syuaib, Nuh dan lain-lain. Mereka terus dikenakan azab semasa di dunia lagi. Itu adalah kerana mereka hendak membunuh Nabi itu. Apabila terjadi begitu, Nabi-Nabi telah mengangkat doa supaya Allah menolong mereka dan Allah terus turunkan bala kepada kaum mereka. Bala yang diturunkan akan menghancurkan seluruh baka kaum itu, tak tinggal sedikit pun, kecuali orang yang beriman yang Allah selamatkan dengan mengeluarkan mereka dahulu sebelum azab diturunkan. Selagi umat mereka belum ancam bunuh, mereka akan selamat selama di dunia. Allah hanya akan azab mereka apabila mereka mati nanti. Begitu juga kalau ada yang mengancam hendak membunuh penyebar ugama, Allah akan turunkan azab terus.

———————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 49:

36:49

Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Tidaklah mereka tunggu melainkan satu tempikan sahaja; iaitu tempikan tiupan sangkakala dari Israfil. Malaikat Israfil akan tiup sekali sahaja, bukan ‘pet pet pet’ banyak kali. Langit akan pecah dan apabila nampak sahaja langit menjadi merah, maka matilah semua orang. Tidak sempat berbuat apa-apa. Dari hadis Nabi, Israfil itu sudah bersedia dengan sangkakala itu dimulutnya, menunggu arahan Allah sahaja untuk meniupnya.

Lihatlah perkataan صَيْحَةً pernah digunakan dalam surah Yaasin ini sebelum ini. Ianya adalah satu suara pekikan yang amat kuat sampaikan boleh memecahkan kepada mereka yang mendengarnya.

تَأْخُذُهُمْ

yang akan menimpa mereka; yang akan menyebabkan kematian mereka.

وَهُمْ يَخِصِّمُونَ

sedang mereka sedang bertengkar-tengkar; bertengkar tentang bilakah akan terjadi kiamat. Mereka yang mengkaji tentang bumi dan astronomi sedang bertengkar tentang bilakah kehancuran dunia akan berlaku. Waktu mereka bertengkar itu, mereka sudah tahu bahawa kiamat akan berlaku dan mereka sudah yakin hampir tapi mereka tidak tahu bilakah akan terjadinya dengan tepat.

Atau mereka sedang bertengkar tentang kehidupan masing-masing. Tentang perniagaan dan sebagainya.

————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 50:

36:50

Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً

Tidaklah mampu mereka untuk berpesan; Nak hantar SMS kepada sesiapa pun tak boleh. Tak sempat nak beritahu kepada sesiapa dah waktu itu. Mati dengan serta merta apabila tiupan sangkakala berbunyi. Ada ibu yang mengandung terkeluar anaknya dari kandungan kerana terkejut. Ada ibu yang mengendong anak membuang anaknya kerana takutkan kiamat. Langit itu terbelah dua. Nampak api yang merah menyala turun dari langit. Bumi tak sempat nak hancur, semuanya akan mati. Laut tak sempat naik, manusia sudah mati.

Makhluk akan mati dalam salah satu dari tiga cara:

  1. Malaikat Maut cabut nyawa.
  2. Mati dengan tiupan sangkakala.
  3. Mati dengan perintah Allah. Apabila ditiupkan sangkakala, semua makhluk akan mati, kecuali lapan malaikat yang angkat Arash dan empat malaikat besar. Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail. Allah perintah mereka mati satu persatu. Dimatikan Malaikat Maut oleh Allah. Akhirnya, akan tinggal hanya Israfil dan Allah sahaja. Allah akan tanya Israfil, “siapa lagi yang hidup?” Allah tanya itu bukan Dia tak tahu. Saja nak tanya. Israfil jawap: ana wa anta (aku dah kamu ya Allah). Allah kata: “mati kamu Israfil!” Maka Israfil mati dengan perintah Allah. Perintah Tuhan ini pernah berlaku di dunia. Mati hidup semula pun pernah terjadi. Semua ada dicatit dalam Quran.

وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ

Dan tidak sempat kembali kepada keluarga masing masing; kalau duduk luar rumah nak masuk rumah pun tak sempat.

Bulan dan bintang akan berlaga sesama sendiri. Semua mati sekali gus. Bila mati semua, Tuhan berkata: hari ini kerajaan milik siapa? Milik Allah lah sahaja.

Kenapakah segalanya dihancurkan? Kerana dunia adalah ibarat tiang-tiang sokongan yang digunakan untuk membina rumah. Apabila rumah dah siap, maka tiang-tiang itu akan dibuang. Begitu juga dunia adalah sebagai tempat ujian telah habis gunanya. Sekarang nak dibicarakan makhluk semua sekali dan akan dimasukkan makhluk samada ke neraka atau ke syurga.

Kita kena ingat mati. Sentiasa memikirkan bahawa esok kita boleh mati. Nescaya kalau buat begitu, iman kita akan meningkat.

————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 51: Ini adalah bahagian ketiga dalam surah Yaasin ini. Bahagian pertama membincangkan tentang Risalah. Bahagian kedua membincangkan tentang Tauhid. Dan sekarang bahagian ketiga membincangkan tentang Hari Akhirat.

36:51

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiupkan sangkakala; ini adalah sangkakala yang kedua. Israfil akan dihidupkan semula untuk meniupkan sangkakala sekali lagi. Sangkakala ditiupkan kali pertama untuk mematikan semua makhluk. Tiupan Sangkakala kedua ditiup untuk menghidupkan balik makhluk.

Perkataan نُفِخَ (ditiupkan) itu dalam past tense, walaupun ianya belum terjadi lagi. Ini adalah sebagai isyarat hendak mengatakan bahawa kejadian pasti akan berlaku.

فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ

Maka tiap-tiap mereka keluar dari kubur masing-masing; Iaitu kubur di Alam Barzakh.

Kata هُمْ (mereka) dalam ayat ini merujuk kepada mereka yang engkar kepada dakwah Nabi Muhammad.

Perkataan الْأَجْدَاثِ adalah ‘kubur’ tapi bukan kubur yang biasa. Ianya adalah kubur yang terlalu lama, sampai orang tak tahu tentang kubur itu. Orang tak kisah tentang kubur itu. Ini adalah kerana orang-orang yang sombong sangka bahawa mereka adalah orang yang penting dan ada kedudukan. Tapi Alah nak cakap bahawa mereka akan dilupai langsung. Tidak ada sesiapa yang ingat kepada mereka. Selalunya kalau kubur orang-orang yang penting akan dijaga orang, tapi tidak berlaku kepada kubur mereka. Mereka ingat mereka penting, tapi sebenarnya mereka akan jadi orang yang hina. Perkataan الْأَجْدَاثِ digunakan untuk menghina mereka.

Roh orang beriman duduk di Iliyyin iaitu di atas (tempat yang mulia), dan roh orang tidak beriman duduk di Sijjin iaitu di bawah (tempat yang hina). Jadi, tidak kena kalau ada orang yang baca talqin di kubur, dan baca pula mengadap ke bawah. Kerana kalau di bawah, bermakna, simati itu adalah ahli neraka.

Dikatakan semuanya akan bangun seperti cendawan tumbuh masa pagi. Semua malaikat, jin dan manusia akan bangkit tiba-tiba. Berapa ramai? Bayangkan bangun serentak semua makhluk yang dicipta dari permulaan alam hingga ke sebelum waktu hampir terjadinya kiamat. Semuanya akan bangun dalam suasana gelap. Mahsyar adalah satu tempat yang ada matahari yang sebatu tingginya dari kepala kita. Maka kita sebenarnya akan bergerak dari tempat bangkit yang tiada matahari ke tempat yang ada matahari. Dari tempat yang gelap ke tempat yang ada cahaya. Malaikat arahkan semua bergerak macam polis nanti.

إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Mereka akan bergerak dengan cepat kepada Pencipta mereka.

Perkataan يَنْسِلُونَ bermaksud ‘bergerak dengan cepat’. Ianya merujuk kepada keadaan seseorang yang bergerak turun dari atas bukit. Orang sebegini akan bergerak dengan cepat dan mereka tidak ada pilihan lain dari bergerak ke hadapan. Mereka tentunya sudah tahu apa yang mereka akan terima – azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Tentunya mereka tidak mahu bergerak ke hadapan. Tapi mereka tidak ada pilihan lain.

Orang yang beriman, akan keluar dari anggota wuduknya cahaya yang menyuluh. Yang buat syirik akan sibuk meminta-minta lampu. “Tunggu! tunggu!”, mereka akan laungkan kepada orang beriman.

Mereka-mereka yang muqarrabin (dekat dengan Allah) akan dibawa ke Mahsyar dengan menaiki kenderaan seumpama jet eksekutif. Dibawa ke Padang Mahsyar dengan segala kesenangan. Akan dibawa berseorangan sahaja. Tak bawa orang lain walaupun ruang kosong dalam kenderaan itu banyak lagi. Lepas tu ada yang akan naik kenderaan yang kurang sikit kualitinya dan seterusnya semakin kurang kualiti. Mengikut tingkatan mereka. Tapi yang pentingnya, mereka masih naik kenderaan. Akhir sekali, akan ada yang pergi dengan berjalan kaki. Ada pula yang merangkak. Ada yang dengan lutut. Ada yang menyulur. Ada yang berjalan dengan muka mereka.

Semua sekali apabila sampai, duduk berlutut di hadapan Tuhan. Dalam keadaan tunduk tak berani nak angkat muka. Ini ada diceritakan dalam Surah Sajdah: “Sekiranya kamu dapat melihat mereka tunduk kepala sambil berkata: kami dah tengok neraka. Kami dah dengar mendidihnya neraka. Kembalilah kami ke dunia sebab kami nak buat amalan soleh kepadaMu. Kami nak buat amalan lebih baik dari Nabi kamu sendiri beramal. Hari ni kami baru percaya.” Sia-sia sahaja iman mereka waktu itu. Iman tidak dikira apabila sudah mati. Allah jawap: Kalau aku hendak, nescaya aku bagi hidayat kepada semua manusia, tapi sudah tetap keputusanKu memenuhkan neraka dengan manusia dan jin. Maka rasalah azab yang kamu dulu ejek-ejek. Tentang ugama kamu buat tak tahu. Dulu kamu lupa nak ingat kepada Kami, hari ini Kami akan lupa nak ingat kepada kamu. Rasalah azab itu.

Dalam surah Zumar:68 ada ditafsirkan ayat ini:

39:68

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ

Pada hari ditiupkan sangkakala, mati semua makhluk di tujuh langit dan tujuh bumi, melainkan sesiapa yang Allah kehendaki; Bermakna ada yang tidak mati, termasuk Israfil. Dalam hadis, dikatakan 12 malaikat tidak mati. Mereka kemudian diperintah mati oleh Allah.

ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَ

Kemudian ditiupkan sangkakala kedua, maka tiba-tiba mereka bangun berdiri menunggu perbicaraan.

—————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 52:

36:52

(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,

قَالُوا

Mereka berkata; Yang berkata adalah orang-orang kafir atau orang munafik yang engkar kepada dakwah.

يَا وَيْلَنَا

alangkah celakanya kami; mereka menyesal sungguh waktu itu.

مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَ

Siapakah yang mengejutkan kami dari tempat tidur kami ini?;

Kata مَرْقَدِنَ diambil dari kata رقَدِ raqada yang bermaksud tidur-tidur ayam. Tidur yang tidak lena, tapi ianya adalah tidur yang sedap. Kalau orang gerakkan kita dari tidur sebegitu, kita akan marah.

Mereka rasa dulu macam tidur. Mereka lupa bahawa mereka berada di alam barzakh. Ini tidaklah menidakkan azab dalam kubur. Jangan kita ingat mereka tidur sahaja selama dalam kubur itu. Kerana azab kubur adalah benar. Tapi kerana apa yang akan mereka alami selepas itu, akan membuatkan mereka rasa azab yang mereka terima dalam kubur itu macam sedang tidur kalau dibandingkan dengan azab neraka selepas itu.

Pertanyaan mereka itu tadi dijawap oleh: samada malaikat atau orang beriman:

هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ

inilah dia hari yang dijanjikan oleh Tuhan Rahman; inilah hari perbicaaan di Mahsyar

Sekali lagi perkataan الرَّحْمَٰنُ digunakan untuk merujuk kepada Allah. Banyak kali sifat الرَّحْمَٰنُ Allah disebut dalam surah Yaasin ini. Ini adalah untuk mengingatkan kita tentang segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah yang Maha Pemurah itu.

وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ

Maka benarlah kata Nabi, Rasul; dan para pendakwah sebelum ini yang mengatakan bahawa Hari Kebangkitan ini pasti akan berlaku.

Bayangkan keadaan masa itu. Bayangkan kita sedang memandu di lebuhraya, tiba-tiba seluruh polis dan JPJ dengan kenderaan dipasang semua lampu. Semua mereka beratur di tepi jalan. Agak-agaknya kita nak lari laju tak? Bayangkan pula lagi keadaan alam akhirat nanti, dengan malaikat berpusing di atas kita semua sekali. Waktu itu kita akan nampak rupa sebenar para malaikat termasuk Jibrail yang dikatakan sayapnya sahaja 600 bilangannya. Begitulah besarnya Jibrail. Semuanya kita akan nampak. Syaitan dan jin pun kita nampak. Tak takut lagikah waktu itu? Dan Tuhan akan keluarkan sifat Jalal dan Jamal Dia. Sampaikan semua Nabi-Nabi pun dalam ketakutan juga. Adakah kita berani kita nak cakap pada masa itu? Tidak akan ada sesiapa yang berani masa tu. Kita semua akan senyap duduk dalam takut.

Boleh jadi juga, perkataan itu dikatakan sendiri oleh mereka. Mereka baru mengaku bahawa apa yang telah disampaikan oleh Nabi, Rasul dan pendakwah itu adalah benar.

————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 53:

36:53

Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

إِنْ كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً

Sesungguhnya tempikan sangkakala itu tidak lain hanya sekali pekikan sahaja; bukan macam Cina jual suratkhabar pet, pet, pet.

Sekali lagi perkataan صَيْحَةً digunakan dalam ayat ini. Ayat ini menunjukkan begitu mudahnya Allah hendak mengambil nyawa kita. Tak payah nak susah-susah buat proses yang berbagai-bagai. Dengan sekali tempik sahaja.

فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Maka tiba-tiba mereka kesemua sekali kehadapan Kami akan dihadapkan.

Semua sekali makhluk akan dibawa mengadap Allah. Waktu itu kita semua akan dibicarakan. Apa sahaja perbuatan kita di dunia ini nanti akan dikira. Seperti juga pengiraan akauntan yang menjaga keluar masuk wang syarikat, kita semua akan dikeluarkan dengan segala perbuatan kita selama di dunia. Malah, pengiraan di mahkamah Allah lebih ketat lagi. Kalau kita dapat mendalami pemahaman bahawa apa sahaja perbuatan kita di dunia akan diambil kira, maka kita akan lebih berhati-hati dalam segala amalan kita. Ingatlah tentang kisah Saidina Umar r.a. dengan anak penjual susu. Begitulah seorang yang beriman, walaupun manusia tidak nampak, mereka sedar bahawa Allah sentiasa memerhatikan segala perbuatan kita.

Tidaklah dapat dibayangkan kejadian di Mahsyar itu kelak. Ianya sudah tentu satu keadaan yang mengerikan jikalau kita adalah orang yang banyak dosa. Maka moleklah kalau kita berdoa kepada Allah setiap hari: Ya Allah, engkau akan memanggil kami untuk menghadap kamu di Mahsyar nanti. Semoga kami dijauhkan dari kemurkaanMu pada hari itu.

—————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 54:

36:54

Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

Allah akan umumkan:

فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا

Maka pada hari itu, tidak akan dizalimi sesiapa pun, sedikitpun.

Apabila Allah menggunakan perkataan فَالْيَوْمَ, Allah hendak kita membayangkan suasana pada hari itu. Dimana kita semua akan beratur di Mahsyar dan kita akan dibentangkan dengan kitab amalan kita. Allah hendak memberikan satu perasaan dalam hati kita bahawa hari itu adalah dekat. Seperti kita telah ada disana. Tentang dekatnya hari itu, Allah telah sebut dalam 21:1.

وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kamu tidak akan dibalas melainkan apa yang kamu lakukan sahaja; Kita akan dibalas dengan perbuatan yang kita buat sahaja. Bermakna, kalau amalan itu orang lain yang buat, seseorang itu tidak akan dapat pahala dari amalan itu. Ini bermakna, kita tidak boleh nak sedekah pahala amalan kepada orang lain. Kecuali kalau seseorang itu mengajar dan anak murid dia buat amalan yang baik itu, yang mengajar pun akan dapat pahala juga. Pahala itu pula sama dengan pahala dengan orang yang melakukannya. Tak dikurangkan sikit pun. Kerana itu tidak ada orang yang ada pahala lebih besar dari Abu Bakr selain dari Nabi Muhammad. Kerana dialah yang mula-mula masuk Islam dan banyak orang yang dia masukkan ke dalam Islam. Setiap amalan baik orang Islam, Abu Bakr akan dapat sahamnya.

Yang mengajar ilmu salah pula, dia akan dapat dosa setiap kali anak murid dia melakukannya kesalahan itu. Kita mohon berlindung dari mengajar yang salah kepada orang lain. Maka berhati-hatilah dalam mengajar. Jangan kita mengajar sesuatu yang tiada dalil dari sumber Quran dan Hadis.

Ini semua adalah kejadian sebelum manusia dimasukkan ke dalam syurga atau neraka.

Tafsir ayat ini ada dalam surah az-Zumar:69

39:69

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka cerah memancar bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhan mereka; ini adalah ayat mutasyabihat. Kita tidak tahu bagaimana keadaan cahaya itu. Allahu a’lam. Jangan cuba nak tafsir.

وَوُضِعَ الْكِتَابُ

Dibentangkan kitab Amal; Apabila dibuka kitab amal itu, satu hari amalan akan terbentang sejauh mata memandang. Kitab itu dalam bentuk gulungan (scroll). Kita yang akan baca sendiri buku amal kita. Segala amalan kita akan tertulis belaka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ

Dan didatangkan kepada mereka nabi-nabi; Nabi-nabi akan ditanya adakah mereka telah mengajar ilmu yang benar kepada umat mereka. Kalau manusia ada buat amalan bidaah, Nabi juga akan dipanggil dan Nabi akan ditanya jikalau baginda ada mengajar amalan itu. Maka, amat rugilah kepada sesiapa yang mengamalkan amalan bidaah yang Nabi tak pernah ajar.

وَالشُّهَدَاءِ

Dan para saksi; Nabi telah ajar kepada sahabat, sahabat telah ajar kepada anak murid mereka, turun dari satu guru ke guru yang lain. Maka, oleh kerana itu, seorang guru itu tidak boleh meninggalkan satu ayat pun dari Quran. Sebab itu seorang guru tidak boleh meminta upah. Kerana kalau minta upah, dia akan takut nak ajar perkara-perkara sensitif kerana takut anak murid lari.

وَقُضِيَ بَيْنَهُمْ بِالْحَقِّ

Dan akan diadili diantara mereka itu dengan seadil-adilnya;

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan mereka tidak dizalimi; maksud tidak dizalimi itu adalah: satu dosa dibalas satu, atau kurang atau diampun terus. Pahala pula sekali buat dibalas sepuluh, 70, seratus, beribu atau terlalu banyak sampai tak dapat dibilang. Kalau sesuatu amalan itu kita istiqamah (tetap meneruskan), pahalanya akan berganda. Contohnya, kalau kita buat solat sunat ba’diah selepas solat, kita akan dapat pahala. Tapi kalau kita istiqamah melakukannya, pahalanya tidak sama dengan pahala orang yang hanya buat sekali sekala.

————————————————————————————

Surah 36. Ya Seen, Ayat 55: Ini tentang nikmat syurga pula. Di awal surah telah disebutkan tentang mereka yang tidak menerima dakwah dari Nabi. Dan kemudian disebutkan tentang mereka yang menerima hidayah. Ayat ini menceritakan tentang kenikmatan yang akan diperolehi oleh mereka yang menerima hidayah itu.

36:55

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

إِنَّ أَصْحَابَ الْجَنَّةِ

Sesungguhnya pemilik-pemilik geran syurga; dengan segala hak istimewa yang diberikan kepada mereka.

Allah tidak mengatakan ‘Ahli Syurga’ dalam ayat ini tapi ‘Ashab Syurga’. Menunjukkan rapatnya mereka dengan syurga nanti. Dan mereka bukan berseorangan di sana. Mereka akan ada banyak sahabat-sahabat yang akan bersama mereka.

الْيَوْمَ فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ

pada hari itu duduk dalam kesibukan menikmati syurga; sibuk sampaikan tidak mahu melayan orang lain dah. Macam zaman sekarang, sibuk sangat sampai kalau ada orang telefon pun tak mahu nak angkat. Orang panggil pun tak mahu jawab. Itulah maksud perkataan شُغُلٍ itu. Bayangkan kanak-kanak sekarang yang main video game. Mereka akan tekun bermain video game sampaikan mereka tidak hiraukan keadaan sekeliling. Begitulah ahli syurga nanti – sibuk menikmati segala pemberian Allah dalam syurga. Dalam dunia, kita tidak digalakkan sibuk dengan hal-hal keduniaan sangat sampai melupakan hal agama. Kita kena pandai membahagikan masa supaya banyak masa kita untuk akhirat juga. Ada benda-benda yang lagha yang kita kena korbankan. Di syurga nanti, kita akan dibalas atas pengorbanan kita itu. Apabila kita tinggalkan perkara yang membuang masa di dunia ini, Allah akan membalasnya nanti kepada kita nanti.

Dia tidak akan ingat anak isteri, ibu dan ayah yang mungkin ditakdirkan masuk neraka. Dibuang perasaan ingat kepada mereka. Kerana kalau ingat, dia tidak akan bergembira. Dibuang juga daripadanya perasaan dengki, cemburu, sedih dan sebagainya. Perkataan فَاكِهُونَ itu menerangkan tentang seseorang yang suka sangat. Dia sibuk di dalam kesenangannya itu. Kerana sudah tidak ada tanggungjawab lagi kepadanya melainkan untuk menikmati syurga sahaja. Tidak ada ibadat lagi dah di sana. Tidak perlu memikirkan tentang pekerjaan dan sebagainya.

Pernah tak kita pegi supermarket nak beli keperluan kita? Bila kita dah beli barang, ada banyak lagi kita teringin nak beli tapi duit tak cukup. Maka setiap manusia berjuta kehendak-kehendak dia yang belum Tuhan tunaikan. Nak pergi jalan-jalan dan macam-macam lagi cita-cita kita. Rumah yang cantik juga hendak dimiliki tapi kita tak mampu. Semua itu belum ditunaikan. Bila masuk syurga, Allah akan berikan apa sahaja yang kita hendakkan sebelum ini, dan sibuk dia sebab nak itu dan ini. Ini juga adalah salah satu dalil untuk mengatakan memang syurga itu ada. Kerana kenapa Allah jadikan manusia tetapi tidak memberikan segala keinginan mereka? Sentiasa tidak puas sahaja selama di dunia? Ini adalah kerana Allah akan memuaskan hati mereka di syurga nanti.

Orang lelaki tak boleh masuk syurga kalau tidak diberi persalinan 70 lapis kain sutera. Di dunia dia tak boleh pakai sebab lelaki haram pakai sutera. Kain sutera di syurga itu, tebal didalam, nipis diluar. Sutera yang di dunia adalah cuma salinan daripada sutera yang di syurga. Diberi mahkota, gelang, loket dan wangi-wangian. Kemudian, dia akan dimandikan oleh malaikat. Barulah dimasukkan ke dalam syurga. Mereka akan sibuk hendak itu dan ini. Semua mereka akan dapat belaka.

will be occupied: شُغُلٍ

in amusement: فَاكِهُونَ

————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 56:

36:56

Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ

Mereka dan pasangan-pasangan mereka; Tentulah tidak akan gembira kalau kita menikmati kenikmatan syurga berseorang sahaja. Maka, di syurga nanti, kita akan ada pasangan kita. Ramai yang kata ‘dan isteri-isteri mereka’, tapi sebenarnya tidak. Perempuan ada pasangan dan lelaki ada pasangan masing-masing. Mereka akan mempunyai pelayan dari bidadari. Isteri itu lagi cantik dari bidadari. Macam mana bidadari lagi cantik dari isteri sedangkan bidadari tidak pernah buat ibadat dan tidak pernah diuji? Isteri kitalah yang paling cantik. Sebab dia ada buat ibadat semasa di dunia. Bidadari dibuat secara langsung. Isteri akan menjadi ketua kepada semua bidadari. Kalau isteri kurang pahala, dan jika suami sudah masuk syurga, suami boleh tarik isteri masuk syurga juga. Dalam kes sebegini, penghuni syuga boleh beri syafaat. Bermakna, syafaat itu boleh diberi apabila sudah berada di sana, bukan semasa berada di dunia.

فِي ظِلَالٍ

duduk dalam teduhan; ada satu pokok di depan istana penghuni syurga. Jarak perjalanan dengan kuda yang paling pantas ke hujung dahan pokok itu akan mengambil masa selama 80 tahun baru sampai.

عَلَى الْأَرَائِكِ

atas singgahsana-singgahsana

الْأَرَائِكِ ini adalah satu benda yang boleh dikatakan antara katil dan kerusi malas. Amat selesa sekali bersenggeng di atasnya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal kita sekarang.

مُتَّكِئُونَ

bersandar; atau disebut ‘bersenggeng’. Maknanya duduk dalam keadaan seronok. Dalam keadaan rileks. Pasal tidak lagi dahaga sampai bila-bila. Tidak lapar, tidak sakit, tidak tua. Tidak ada ibadah lagi dah yang perlu dibuat. Duduk untuk menikmati hidup sahaja.

Ahli neraka pula akan terasa lapar dan dahaga dari mula masuk neraka sampai bila-bila. Bila mereka minta untuk makan dan minum, seribu tahun baru diberi. Itupun diberi air mendidih, apabila didekatkan sahaja air itu ke muka, terbidas naik bibir disebabkan oleh panasnya air itu. Badan kita semua telah dinaiktaraf supaya mampu menerima seksaan. Dan juga untuk menerima nikmat. Nak masuk syurga pun akan dinaiktaraf supaya tak terkejut melihat segala nikmat yang macam-macam.

————————————————————————————–

Surah 36. Ya Seen, Ayat 57:

36:57

Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ

Bagi mereka, berbagai-bagai jenis buah-buahan; Kalau kita di dunia pun, kalau kita duduk berehat-rehat, kita akan ada makanan ringan untuk kita makan sambil berehat. Di syurga pun begitu juga. Berbagai-bagai jenis buahan yang mudah dipetik. Kita tak perlu bangun untuk petik pun. Buah itu akan datang kepada kita. Petik satu, keluar buah baru. Tidak ada musim. Sentiasa sahaja ada buah. Macam-macam jenis buah-buahan termasuk yang tidak ada di dunia.

Bukan buah-buahan itu sahaja yang mereka akan dapat. Ianya sebagai pembuka kata sahaja. Ada banyak lagi yang mereka akan dapat.

وَلَهُمْ مَا يَدَّعُونَ

Dan bagi mereka, apa sahaja yang mereka minta;

Berjuta keinginan manusia yang tidak tertunai semasa hidup di dunia. Kerana tidak cukup wang dan sebagainya. Ataupun ada wang, tapi memang tak boleh nak dapat sebab benda terhad. Semua itu penghuni Syurga akan dapat. Yang dia pernah tengok di dunia, semua dia akan dapat. Dan apa sahaja yang mereka minta. Mungkin ada benda yang dia tak tahu kewujudan benda tu. Sebab dia tak pernah berjumpa. Macam orang dulu-dulu pakai tv hitam putih. Dulu mereka tak tahu akan ada tv warna. Di syurga, akan ditunjuk segala jenis kemewahan yang dia tak tahu, dia akan minta, itu pun akan dapat. Ada mufassir yang kata, kita tak perlu sebut pun apa yang kita hendak. Berdetik sahaja dalam hati kita hendakkan sesuatu, ianya akan datang kepada kita.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh mengubah rupa kita kalau kita hendak. Mungkin semasa di dunia, kita ada keinginan supaya rupa kita macam orang lain. Maka, di syurga kita boleh nak jadi apa sahaja yang kita kehendaki. Apabila kita tukar sahaja, semua penghuni syurga yang dibawah takluk kita akan ikut tukar sekali.

Dalam dunia, ada benda kita tak boleh nak buat atau guna, seperti minum arak, pakai emas dan sutera untuk lelaki, tapi semua kita akan dapat buat apabila dalam syurga. Air sungai di syurga boleh lalu dalam rumah ikut bagaimana kita hendak. Nak bagi dia mengalir ke atas, ke bawah, pusing keliling rumah dan sebagainya.

—————————————————————————————-

Surah 36. Ya Seen, Ayat 58:

36:58

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

سَلَامٌ

Tengah sibuk dengan melayan segala kenikmatan itu, tiba-tiba Tuhan akan berkata, assalamualaikum. Bila manusia dengar ucapan salam dari Allah itu, kepala dia akan terangkat naik, lupa segala kenikmatan yang dia baru dapat, semua lupa terpaku tengok keindahan Allah tak tahu berapa lama. Sehari, seminggu, setahun, seribu tahun atau sejuta tahun, kita tak tahu. Sebab seronok sangat tengok Allah. Tinggal semua nikmat yang lain. Sehingga Tuhan tutup hijab barulah ahli syurga itu tersedar kembali. Maka berniatlah setiap hari untuk berjumpa dengan Allah. Tidak betul satu manusia yang minta untuk masuk syurga tapi tak pernah minta nak jumpa Allah yang menjadikan kita. Nikmat melihat Allah adalah nikmat yang paling besar.

قَوْلًا مِنْ رَبٍّ رَحِيمٍ

Perkataan yang mulia daripada Tuhan pencipta pemelihara yang amat sayang kepada makhluk yang masuk syurga.

Klik untuk pergi ke tafsir ayat yang seterusnya

About tafsirsunnah

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.
This entry was posted in Surah 036: Yaasin, Tafsir. Bookmark the permalink.

5 Responses to Tafsir Surah Yaasin Ayat 22-58

  1. nabilah amin says:

    boleh tak saya nak tahu mana saudari dapat huraian yassin ini . saya ingin mengetahui nama pengarang ,nama buku dan tarikh diterbitkan boleh tak .

    • tafsirsunnah says:

      Sumber diambil dari pengajian kelas tafsir bertalaqqi. Kalau anda berminat, anda juga boleh join. Itulah yang sebaik-baiknya. Dalam penulisan ini ditambah lagi dengan rujukan kepada kitab, antaranya Kitab Tafsir Ibn Kathir.
      Rujukan guru tafsir adalah berdasarkan kitab-kitab tafsir utama. Dirangkumkan semuanya dalam pengajaran ini. Yang penting adalah pengajaran ini telah menerapkan pemahaman yang ada dengan keadaan semasa. Supaya kita boleh faham dengan melihat kepada keadaan zaman ini. Kalau kita baca kitab Tafsir sahaja, tiada contoh-contoh yang diberikan, jadi kita susah nak faham. Jadi, contoh-contoh yang diberikan dalam penulisan ini tidaklah ada kalau dirujuk dalam kitab.
      Harap penjelasan ini dapat membantu. Lebih baik kalau dapat datang ke kelas sendiri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s